Arkib Tag: supermoped

AFAZ sahkan kehadiran supermoped buatan tempatan, enjin GSX-R150

Ini merupakan satu perkembangan menarik yang datang daripada jenama motosikal nasional kedua, AFAZ.

Hujung minggu lalu, pihak AFAZ mendedahkan beberapa info tentang perkembangan terbaharu sebuah lagi model yang bakal dilancarkan tahun ini, iaitu supermoped 150 cc.

Ya, nampaknya Modenas Z15GT bakal ada pesaing sebenar tak lama lagi!

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

1. Supermoped AFAZ ini akan menggunakan enjin 147 cc daripada GSX-R150.

Difahamkan, enjin yang mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 14 Nm @ 9,000 rpm ini akan ditala semula oleh pihak AFAZ.

 

2. Ketika acara berlangsung, kami tidak dibenarkan untuk mengambil sebarang gambar rupa sebenar supermoped tersebut.

Unit prototaip yang dipamerkan selepas itu didapati mengguna pakai komponen daripada Raider 150.

Namun usah risau kerana menurut AFAZ, casis bagi supermoped ini akan dibangunkan serba baharu, dan segala komponen lain turut dibuat sendiri oleh pihak AFAZ.

 

 

3. Supermoped AFAZ ini dikategorikan sebagai sebuah model premium yang setanding dengan model Yamaha Y16ZR.

Antara ciri yang boleh kita jangkakan termasuklah skrin paparan TFT dengan sokongan arahan suara, ABS dua-saluran, lampu LED dan ciri yang lebih sesuai untuk sebuah motosikal pantas.

 

4. Satu lagi benda menarik yang dikongsikan ialah supermoped ini bakal menggunakan sistem auto clutch yang dibangunkan oleh Amitech, sebuah sub-syarikat di bawah AFY Mobilities.

Sistem auto clutch ini akan debut pada model Raider pasaran Vietnam, sebelum ditawarkan pada model supermoped AFAZ ini.

5. Sedang berkira-kira untuk mencari supermoped selain Yamaha, Honda dan Modenas?

Anda boleh menantikan kemunculan model ini tidak lama lagi, jangkaan pelancaran mungkin dalam separuh kedua tahun ini (H2 2026).

MODENAS Z15GT 2025 rasmi dilancarkan – harga RM8,288

MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.

Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.

Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.

Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.

Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
  • lampu kecemasan
  • sistem kunci pintar
  • panel meter instrumen LCD
  • soket pengecasan jenis USB Type-A

Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.

Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.

Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.

Honda RS-X terima empat warna baharu – dari RM9,698

Kapcai popular, Honda RS-X telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut Boon Siew Honda (BSH), RS-X kini hadir dengan empat pilihan warna, bermula dengan Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) yang boleh didapati di pasaran bermula 4 Januari diikuti  Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) yang akan ditawarkan bermula 18 Januari.

Dalam pada itu, Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) boleh didapati pada harga RM9,848 manakala Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) pula akan dijual pada harga RM9,698.

Bagaimanapun, tiada perubahan terhadap spesifikasi enjin dengan model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan 6-kelajuan yang menawarkan 16hp dan 13.6Nm. 

Ini rupa jelas ‘Supermoped’ WMOTO, lancar tak lama lagi

Beberapa minggu ini tular ‘spy shot’ daripada warga media sosial yang memaparkan sebuah motosikal ‘supermoped’ yang sedang menjalani ujian jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Terbaru, pemilik akaun Facebook Najwa Syafiqah berjaya merakam gambar jelas motosikal berkenaan di salah sebuah stesen minyak di Gopeng, Perak. 

Didakwa sebagai ‘supermoped’ terbaru dari WMOTO, gambar terbaru itu memberitahu kami beberapa ciri menarik yang ditawarkan.

Pertamanya, motosikal berkenaan hadir dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu hadapan yang seakan diilhamkan daripada Ducati Panigale V4. Lampu hadapan juga dilengkapi dengan ciri DRL (daytime running light). 

Panel meter pula jenis digital penuh dan menunjukkan info yang penuh termasuk paras minyak, suhu enjin, volt bateri, odometer, waktu, dan meter RPM. Tinjauan di bahagian rim pula menunjukkan kehadiran sensor ABS sekaligus merujuk kepada adanya sistem keselamatan ABS. Namun, tidak dipastikan sama ada ABS tersebut adalah satu atau dua saluran. 

Antara ciri lain kelihatan termasuk brek jenis axial di bahagian depan dengan cakera brek tunggal di depan dan belakang serta tork teleksopik.  Transmisi pula jenis manual namun tidak dapat dipastikan jumlah gear yang tersedia. 

Supermoped Aveta SVR180 dilancarkan di Malaysia pada harga RM9,988

AVETA Malaysia Sdn Bhd terus menghangatkan pasaran kapcai tempatan dengan melancarkan model baharu iaitu Aveta SVR 180.

Model yang digelar sebagai ” the ultimate supermoped” itu dijual pada harga menarik RM9,988 serta didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu merah, biru, cyan dan hitam.

SVR180 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang DOHC bersesaran 175 cc yang mampu menghasilkan 16.8 hp (12.5 kW) pada 8,500 rpm dan 15.5 Nm pada 8,500 rpm. Enjin bertaraf Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak monoshock, manakala untuk roda pula, model ini menggunakan rim 17 inci dan tayar bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Ia juga dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Dari segi dimensi, SVR180 berukuran 1,940 mm panjang, 690 mm lebar, 1,055 mm tinggi dan jarak antara rodanya adalah 1,288 mm. Ia mempunyai tangki bahan api sebesar 6.6 liter.

Kelengkapan lain yang tersedia pada model ini termasuk lampu utama berkembar dengan lampu nyalaan siang LED, pelindung radiator, paparan meter digital dan soket pengecas USB.