Segmen motosikal naked 250 cc di Malaysia dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, iaitu Morbidelli F252.
Jentera gaya streetfighter ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.5 cc DOHC dengan janaan kuasa 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21.0 Nm @ 9,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.
Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 120 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang (jarak pergerakan 122 mm).
Brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor terapung saiz 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.
Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT lima inci, tiga mod tunggangan (Normal, Sport & Expert), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua-saluran, serta sistem kawalan cengkaman (TCS).
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 15 liter sementara tinggi pelana 790 mm.
Morbidelli F252 disahkan masuk pasaran Malaysia menjelang Disember ini dengan harga jualan RM14,888.
Boon Siew Honda melancarkan jentera berprestasi tinggi Honda CB1000 SP 2025 untuk pasaran Malaysia.
Jentera ini dilengkapi dengan enjin CBR1000RR Fireblade 1,000 cc yang mampu menjana kuasa 155 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 107 Nm @ 9,000 rpm.
Honda CB1000 SP ini hadir dengan klac assist slipper untuk tunggangan yang lebih lancar, serta tidak ketinggalan fungsi penukaran gear pantas.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 17 liter, sementara tinggi pelana pula 809 mm.
Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan Showa SFF-BP jenis terbalik 41 mm dengan larasan pra-beban, diikuti penyerap hentak tunggal belakang Ohlins TTX36 juga hadir dengan larasan pra-beban.
Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar 310 mm dengan angkup empat omboh Brembo di depan, diikuti rotor tunggal 240 mm dengan angkup Nissin omboh tunggal di belakang.
Segala info boleh dibaca menerusi skrin TFT berwarna penuh saiz 5-inci, serta tema paparan yang boleh disesuaikan mengikut kegemaran.
Selain daripada tiga mod tunggangan (Rain, Standard, Sport), terdapat dua mod USER yang boleh disesuaikan dengan mengubah tetapan kuasa (P), Engine Brake (EB) dan HSTC/Wheelice Control (T).
Akhir sekali, ciri keselamatan seperti ABS dua saluran serta lampu berhenti kecemasan (ESS).
Untuk pasaran Malaysia, Honda CB1000 SP dijual pada harga RM69,999 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.
DUCATI Malaysia hari ini melancarkan kehadiran Streetfighter V4 Lamborghini untuk pasaran negara ini. Ya, anda tidak salah baca. Edisi terkini untuk Streetfighter V4 menggabungkan kuasa dan prestasi Ducati dengan kemewahan dan elegan yang sinonim dengan Lamborghini.
Jika anda lihat pada warna dan liverynya, anda akan tahu Streetfighter V4 Lamborghini diinspirasikan dari Lamborghini Huracan STO (Super Trofeo Omologata). Rimnya tampil kemas dan aerodinamik, ditambah dengan nut pengunci titanium pada rim belakang.
Jentera ini turut mendapat tekstur gentian karbon seperti Huracan STO. Kemudian mudguard depan, belly pan, penutup tangki minyak, dan penutup tempat duduk penumpang mirip dengan ruang udara dan corong yang terdapat pada supercar V10 itu.
Bercakap mengenai enjin, Ducati Streetfighter V4 ini dikuasakan oleh nadi 1,103cc Desmosedici Stradale yang menjana 208hp. Enjin ini juga dipadankan dengan klac kering perlumbaan serta peredam ekzos Akrapovic dari titanium dan gentian karbon.
Streetfighter V4 Lamborghini mempunyai livery STO dan nombor 63, merujuk kepada tahun lahirnya Lamborghini. Warna hijau Verde Citrea mendominasi badan jentera ini, dengan kontra Arancio Dac.
“Kami berbangga kerana dua dari motosikal edisi terhad ini ada di Malaysia,” kata Dennis Michale, CEO Ducati Malaysia.
“Ducati Streetfighter V4 Lamborghini lebih dari sekadar sebuah motosikal; ia simbol sejarah dan minat yang dikongsi demi inovasi antara Ducati dan Lamborghini.
“Formula ini membawakan dua benda terbaik dari dunia berbeza, seterusnya menjadi hasil karya yang diminati peminat serta pengumpul di Malaysia,” katanya.
Ducati Streetfighter V4 Lamborghini hanya akan dibina sebanyak 630 unit seluruh dunia. Berminat? Ia dijual pada harga RM460,900.
DUCATI Malaysia semalam melancarkan bukan satu atau dua, sebaliknya enam model baharu untuk pasaran negara kita. Model-model tersebut adalah Streetfighter V2, Streetfighter V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Multistrada V2S, dan siri Scrambler Urban Motard serta Scrambler 1100 Tribute Pro.
Jom kita lihatkan satu per satu.
Streetfighter V2 – RM101,900
Motosikal naked serba baharu in menawarkan praktikaliti untuk tunggangan seharian tetapi pada masa sama membawa prestasi sebuah Streetfighter.
Ia dikuasakan enjin 955cc V2 90-darjah Superquadro yang memberikan 153hp @ 10,750rpm dan 101.4Nm, dan output disalurkan melalui kotak gear Quick Shift.
Streetfighter V2 mendapat tangki minyak dari Panigale V2 serta rekaan lampu depan lebih minimalis mirip Streetfighter V4. Muka depannya dikemaskan dengan DRL berbentuk V yang juga menjadi identiti keluarga Ducati.
Ia juga dilengkapi suspensi depan Showa 43mm, suspensi belakang boleh-laras dengan penyerap hentak Sachs, dan brek cakera 320mm di depan berserta angkup Brembo M4.32 dengan Bosch Cornering ABS EVO. Brek belakang pula bersaiz 245mm, juga dengan ABS EVO.
Streetfighter V4 SP – RM239,900
Seterusnya kita ke satu lagi Streetfighter tetapi model naked terpantas dalam pasaran iaitu V4 SP. Ia menawarkan nisbah kuasa-kepada-berat yang tertinggi dalam kelasnya, hasil dari kuasa setinggi 208hp dan tork 123Nm.
Streetfighter V4 SP dibina khas untuk menawan litar-litar lumba, dapat dilihat pada penampilan agresif padanya. Ia menampilkan rim Marchesini, sirip biplanes gentian karbon, pemijak kaki boleh-laras aluminium dari Rizoma, dan kotak gear Quick Shift yang boleh dikonfigurasi untuk jalanan atau perlumbaan.
Warnanya pula ialah hitam matte dengan tangki minyak berwarna brushed aluminium yang menyerupai livery ujian musim sejuk (winter test).
Ducati Streetfighter V4 SP juga dilengkapi komponen-komponen berorientasikan litar seperti klac kering STM-EVO SBK 9-cakera, suspensi depan dan belakang dari Panigale V4 S 2021, dan suspensi depan/belakang Ohlins dengan pelarasan elektronik.
Panigale V2 Bayliss – RM136,900
Seterusnya kita ke model superbike, iaitu Panigale V2. Tetapi ini bukan Panigale V2 biasa, sebaliknya edisi khas Bayliss 1st Championship 20th Anniversary Model. Ya, satu nama yang cukup panjang.
Ianya dibina bagi memperingati ulang tahun ke-20 Troy Bayliss memperoleh kejuaraan pertama beliau dalam WSBK Championship pada 2001.
Motosikal ini dilengkapi dengan beberapa perincian yang menunjukkan ulang tahun ini iaitu livery khas 2001 Ducati 996 R SBK yang ditunggang Bayliss, warna merah khas, nombor perlumbaan #21, lencana Shell, nombor 21 pada tempat duduk, dan tandatangan Bayliss di atas tangki minyak.
Komponen lain termasuklah penyerap hentak hendal Ohlins, suspensi Ohlins depan belakang, silencer gentian karbon dan titanium, dan bateri lithium-ion. Motosikal ini juga 3kg lebih ringan dari Panigale V2 biasa.
Multistrada V2S – RM105,900
Multistrada V2S baharu menawarkan tempat duduk yang lebih rendah dan selesa, sesuai untuk tunggangan jarak jauh serta lebih lincah untuk kegunaan harian.
Ia dikuasakan oleh enjin 937cc Testastretta L-Twin yang juga 2kg lebih ringan, menjana 113hp @ 9,000rpm dan 96Nm tork @ 6,750rpm.
Multistrada V2S ini juga didatangkan dengan ekor baharu, penutup enjin baharu, dan komponen dari Multistrada V4 iaitu rim dan cermin sisi. Swingarm double-sided aluminium juga didatangkan standard.
Motosikal touring ini turut dilengkapi dengan Riding Modes, Power Modes, Ducati Safety Pack (Cornering ABS, Ducati Traction Control), Ducati Brake Light dan Vehicle Hold Control, serta pakej elektronik penuh yang lain.
Untuk suspensi, Multistrada mendapat fork dengan pelarasan elektronik Ducati Skyhook Suspension Evo di depan dan belakang. Ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai aksesori lain mengikut citarasa pemiliknya.
Scrambler Urban Motard – RM68,900
Seterusnya kita ke siri Scrambler, model pertama kali ini ialah Urban Motard. Ia tampil dengan rupa klasik tetapi dengan kelengkapan moden.
Urban Motard dilengkapi rim 17-inci, tayar Pirelli Diablo Rosso, bar hendal aluminium, plat nombor sisi, dan dikemaskan dengan penutup tali sawat aluminium.
Scrambler Urban Motard dikuasakan oleh enjin 803cc yang menghasilkan 73hp dan 66.2Nm tork.
Kelengkapan standard lain termasuklah brek ABS, lampu LED dengan DRL, dan panel instrumen LCD dengan penunjuk gear dan paras bahan api.
Scrambler 1100 Tribute Pro – RM85,900
Akhir sekali, Scrambler 1100 yang juga merupakan satu-satunya motosikal Ducati dengan sejukan udara. Edisi Tribute Pro ini merupakan satu peringatan khas kepada motosikal-motosikal ikonik Ducati pada 1970an, meraikan ulang tahun ke-50 enjin sejukan udara.
Scrambler 1100 Tribute Pro menawarkan tiga mod kuasa dan tunggangan iaitu Active, Journey, dan City. Enjinnya menghasilkan 86hp @ 7500rpm dan 88Nm tork.
Ia juga dilengkapi Ducati Safety Pack yang merangkumi cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), sistem brek Brembo, suspensi boleh laras, tangki minyak besi, dan ruang simpanan bawah tempat duduk dengan soket USB.