Arkib Tag: sti

Subaru bawa 3 model hebat – LEVORG STI, WRX S4 STI, IMPREZA ST-H STI ke TAS 2026!

Subaru Corporation bersama subsidiari permotoran, Subaru Tecnica International (STI) bakal membawa sejumlah model hebat ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2026 pada Januari depan.

Melalui pameran ini, Subaru meneruskan aspirasi untuk kekal sebagai jenama yang berbeza melalui dua tema utama iaitu Performance Scene dan Adventure Scene.

Performance Scene menampilkan keseronokan pemanduan, manakala Adventure Scene pula menekankan keterujaan pengembaraan.

Di Tokyo Auto Salon 2026, fokus utama gerai SUBARU/STI adalah kepada dunia Performance Scene, dengan menampilkan model produksi dan jentera perlumbaan yang mencerminkan DNA prestasi Subaru.

Model pameran yang ditampilkan adalah berasaskan model pasaran Jepun iaitu Levorg, WRX S4 dan Impreza.

LEVORG STI Sport R-Black Limited II STI Performance

Model ini dibangunkan berasaskan Levorg STI Sport EX (model pasaran Jepun) dan tampil dengan warna badan eksklusif Sunrise Yellow.

Penampilan luaran diperkemaskan dengan pelbagai komponen berwarna hitam bagi menyerlahkan karakter prestasi.

Antara ciri luaran utama termasuk:

  • Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
  • Bahagian muka hadapan berwarna hitam
  • Cermin sisi dan antena bumbung berwarna hitam

Ruang dalaman pula menonjolkan ciri eksklusif melalui:

  • Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang rona kuning
  • Panel instrumen kemasan suede
  • Padanan aksesori tulen Subaru dan komponen prestasi STI tambahan

Gabungan ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran visual, malah mengukuhkan identiti prestasi Levorg versi STI.

WRX S4 STI Sport R-Black Limited II STI Performance

Berasaskan WRX S4 STI Sport R EX (model Jepun), varian ini turut menggunakan warna badan Sunrise Yellow yang sama, menekankan kesinambungan identiti eksklusif siri R-Black Limited II.

Ciri luaran utama merangkumi:

  • Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
  • Cermin sisi hitam
  • Antena bumbung hitam

Untuk ruang dalaman, WRX S4 dilengkapi:

  • Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang warna kuning
  • Panel instrumen kemasan suede
  • Aksesori tulen Subaru serta komponen prestasi STI

Keseluruhan pakej ini direka bagi meningkatkan kehadiran visual dan rasa istimewa, sejajar dengan imej prestasi WRX.

IMPREZA ST-H STI Performance Edition with Plus Package

Model ini diasaskan daripada Impreza ST-H (model Jepun), yang menggabungkan reka bentuk sporti namun kasual dengan prestasi pemanduan yang mantap serta praktikaliti.

Dilengkapi komponen prestasi STI yang dibangunkan hasil pengalaman Subaru dalam dunia perlumbaan, model ini menampilkan:

  • Reka bentuk lebih agresif
  • Dinamik pemanduan yang dipertingkatkan
  • Keselesaan tunggangan yang lebih anjal
  • Kestabilan pengendalian yang lebih tinggi

Edisi ini memperlihatkan bagaimana Impreza boleh diposisikan sebagai model harian yang kekal menyerlah dari sudut prestasi dan kawalan.

Subaru BRZ STI Sport Type RA – model edisi terhad 300 unit dengan naik taraf kereta lumba

Subaru Tecnica International (STI), divisyen prestasi dan perlumbaan Subaru, telah memperkenalkan model edisi terhad BRZ STI Sport Type RA (Record Attempt) yang diinspirasikan terus daripada dunia perlumbaan sebenar.

Hanya 300 unit akan dihasilkan, dan ia hanya boleh dibeli melalui sistem undian di pengedar Subaru di seluruh Jepun dari 13 hingga 30 November 2025.

Ia juga akan membuat penampilan umum pertamanya di acara Super Taikyu Series 2025 “S-Tai Final” di litar Fuji Speedway pada 15 dan 16 November.

Di bawah bonet, enjin boxer 2.4 liter empat silinder (FA24) dikekalkan namun setiap komponen utama seperti piston, conrod, aci engkol, roda tenaga dan penutup klac tela ditala semula bagi mengurangkan getaran serta menghasilkan pecutan lebih responsif.

Apa yang menarik, proses penalaan ini sama seperti yang digunakan pada jentera lumba Team SDA Engineering BRZ CNF Concept dalam siri perlumbaan Super Taikyu.

Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan perumah differential belakang dengan sirip penyejuk, memastikan prestasi konsisten walaupun dipandu secara agresif.

Sistem Shift Assist dengan fungsi Rev-Sync dan Flat Shift turut disertakan. Rev-Sync berfungsi untuk memadankan rev secara automatik ketika menurunkan gear untuk pertukaran gear lebih lancar, manakala Flat Shift membolehkan menaikkan gear tanpa perlu menekan klac.

Sistem suspensi turut dinaik taraf dalam bentuk penyerap hentak ZF bersama komponen fleksibel STI, menjadikan pengendalian lebih tajam dan lincah.

Dari segi penampilan, model ini tampil lebih garang dengan rim aloi STI BBS 18 inci (matte grey atau bronze), angkup brek Brembo emas, spoiler belakang gentian karbon, serta kit aero STI di sekeliling badan.

Bahagian dalam pula dihiasi upholsteri fabrik hitam dengan jahitan merah, pemegang pintu hitam, dan logo-logo STI.

Setiap unit turut hadir dengan plat khas enjin yang menampilkan logo STI dan TYPE RA, menandakan status eksklusifnya sebagai model edisi terhad.

Harga rasmi bermula dari 4,972,000 yen (sekitar RM133,000) untuk versi tanpa spoiler belakang, manakala varian dengan spoiler gentian karbon berharga 5,478,000 yen (sekitar RM147,000).

Subaru WRX tS tampil dengan peredam adaptif, brek Brembo

SUBARU memperluaskan barisan model WRX di Amerika Syarikat dengan varian baharu yang dikenali sebagai tS atau Tuned by STI.

Secara visual, WRX tS tampil dengan cermin sisi, antena sirip yu dan spoiler belakang yang dicat dalam warna hitam, manakala angkup brek pula berwarna emas.

Selain itu, terdapat logo tS pada bahagian but dan untuk roda, model ini diberikan rim aloi berukuran 19 inci dalam warna Satin Gray dan tayar Bridgestone Potenza S007 berukuran 245/35.

Masuk ke dalam, anda akan mendapati meter konvensional telah digantikan dengan panel instrumen digital 12.3 inci. Ini bermakna pemandu tidak perlu lagi bergantung kepada skrin sentuh 11.6 inci untuk melihat peta dan panduan arah.

WRX tS didatangkan dengan kerusi Recaro Performance Design yang dibalut kemasan Ultrasuede berwarna hitam dengan aksen biru, serta logo WRX tS pada perehat kepala dan karpet.

Apa yang menarik, Subaru telah membuang moonroof bagi mengurangkan berat dan menyediakan ruang kepala yang lebih luas untuk pemandu yang memakai topi keledar.

Untuk tS, enjin turbo 2.4-liter empat silinder tidak disentuh langsung, bermakna enjin boxer itu masih menghasilkan 271 hp dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi manual enam kelajuan, menerusi sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring.

Walau bagaimanapun, jentera ini diberikan peredam yang dikawal secara elektronik dan sistem suspensi yang ditala semula oleh siapa lagi kalau bukan STI.

Pemandu boleh mengubahsuai prestasi dinamik peredam tersebut menerusi tiga tetapan yang disediakan iaitu Comfort, Normal dan Sport.

Prestasi membrek turut dipertingkatkan menerusi sistem brek Brembo yang merangkumi cakera yang lebih besar, serta angkup enam piston di depan dan dua piston di belakang.

Menurut Subaru, WRX tS akan membuat penampilan sulung pertamanya di himpunan peminat Subaru terbesar Amerika iaitu Wicked Big Meet di Stafford Motor Speedway, Connecticut pada 2 Jun depan.

Inilah Subaru WRX wagon dengan manual 6-kelajuan yang kita tak boleh beli

SUBARU akhirnya memperkenalkan pakej kombinasi idaman ramai peminat tegarnya; WRX, wagon, dan manual. Ia hadir dalam bentuk Subaru WRX Sportwagon.

Masalahnya, seperti anda baca pada tajuk, kita tidak boleh membelinya. Subaru WRX Sportwagon ini hanya ditawarkan untuk Mexico. Ya, untuk Jepun atau Amerika Syarikat pun tiada.

Kenderaan prestasi tinggi wagon ini akan mula dijual di Mexico tidak lama lagi, dan tempahan sudah mula dibuka.

WRX Sportwagon dikuasakan oleh enjin 2.4-liter boxer 4-silinder turbo dengan output 271hp dan 350Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Ciri standard wagon adalah pintu but berkuasa dan tempat duduk belakang dengan lipatan 40/20/40.

Subaru WRX Sportwagon ini akan dijual pada harga MX$819,900 (RM230k). Sementara itu WRX tS berharga MX$919,900 (RM258k) manakala WRX dengan kotak gear CVT dijual pada MX$899,900 (RM252k).

Ramai peminat WRX wagon manual di sini? Adakah kemungkinan kita boleh beli dari Mexico dan import ke Malaysia? Tinggalkan pendapat anda di ruangkan komen.

Prodrive P25 versi moden Subaru Impreza 22B STi, lebih 400hp dan hanya 25 unit

PRODRIVE P25 meraikan hubungan mereka dengan Subaru pada 1990an dengan menghasilkan kereta versi jalanan untuk jentera Impreza WRC 1997 dan 22B. Pada tahun itu, Subaru menjuarai kategori pengeluar dan pemandunya Colin McRae menjadi pemandu di tempat kedua dalam kejuaraan.

P25 akan menggunakan enjin 2.5-liter turbo flat-four yang menjana lebih 400hp. Kuasa akan disalurkan ke semua roda melalui kotak gear semi-auto 6-kelajuan dengan paddle-shifters.

Prodrive berkata model ini menggunakan gentian karbon secara menyeluruh untuk memastikan ia cukup ringan.

Lakaran yang dikongsi menunjukkan ia mempunyai rupa Impreza dengan beberapa elemen lain. Lampu kabus besar dan rendah adalah dari 22B, dan cermin sisi aerodinamik adalah sama dengan jentera rali.

Menurut lakaran ini, fender depannya adalah lebih agresif dari model asal. Ia akan dipadankan dengan rim khas dari Prodrive. Setakat ini tiada maklumat atau gambaran mengenai rupa dalamannya.

Prodrive juag berkongsi bahawa P25 akan mempunyai “casis ringan”. Tidak dapat dipastikan sama ada ia dibina dari Impreza asal atau baharu sepenuhnya dari mula.

Dikatakan beberapa kakitangan yang pernah menjadi krew untuk jentera WRC 1997 itu juga menyumbang kepada P25 ini.

“Impreza 22B asal ialah Subaru paling ikonik dan paling menjadi buruan. Kami mahu meningkatkan segala yang ada pada kereta itu dengan menggunakan teknologi terkini dan menghasilkan versi kami sendiri dari sebuah jentera yang terpahat dalam sejarah permotoran,” kata pengerusi Prodrive, David Richards.

Hanya 25 unit Prodrive P25 akan dibina, dan ia akan membuat kemunculan pertama di Goodwood Festival of Speed pada Jun depan. Penyerahan kepada pelanggan pula dijangka bermula hujung tahun ini.