Arkib Tag: sportsbike

QJMotor SRK 450 RR 2026 rasmi – harga serendah RM25,888 sahaja

Sebuah lagi jentera ’empat dapur’ dilancarkan oleh QJMotor Malaysia, iaitu sportsbike SRK 450 RR dengan harga jualan yang agak murah – serendah RM25,888 sahaja.

Menurut Mforce, jentera ini disasarkan untuk golongan pengguna motosikal bersesaran rendah yang mahu naik taraf kepada motosikal bersesaran lebih tinggi pada harga yang lebih mampu beli.

Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 421 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 77.6 hp @ 14,000 rpm dan daya kilas 39 Nm @ 13,000 rpm, dengan dua mod tunggangan tersedia iaitu Standard dan Sport.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) Marzocchi, penyerap hentak tunggal di belakang, serta sistem brek Brembo dengan tetapan dua cakera di depan.

 

Ciri lain termasuklah sistem ambilan udara RAM Air, skrin paparan TFT saiz 7 inci, tangki bahan api 16.5 liter, tinggi pelana 795 mm, serta rim saiz 17 inci.

SRK 450 RR turut dilengkapi ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, dan kawalan cengkaman (TCS).

QJMotor SRK 250 RD 2026 rasmi di Malaysia – harga RM21,888

Selain skuter kembara, QJMotor Malaysia turut membawakan model sportsbike SRK 250 RD untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM21,888.

Ia membawakan enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menjana 40 hp @ 15,500 rpm dan daya kilas 22 Nm @ 12,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang, serta sistem brek Brembo depan dan belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, sistem ambilan udara RAM, skrin paparan TFT tujuh inci, tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter, pengecas peranti pintar 18W, tinggi pelana 795 mm, rim 17 inci serta winglet aerodinamik.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan depan dan belakang, dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Keeway RKR250 2026 – harga dari RM13,888, bakal masuk Malaysia

Sebuah lagi model baharu diumumkan oleh pihak Keeway Malaysia, iaitu sportsbike Keeway RKR250.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.3 cc DOHC dengan hamburan kuasa 31.5 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 9,500 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac slipper.

Kerangka jenis diamond itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 40 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Brek pula menggunakan angkup empat omboh dengan rotor 320 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor saiz 240 mm di belakang.

RKR250 menawarkan tangki bahan api berkapasiti 12 liter, tinggi pelana 770 mm, sistem pencahayaan LED, suis bar hendal bercahaya serta skrin paparan TFT lima inci.

Ciri keselamatan yang disertakan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Keeway RKR250 dijual pada harga RM13,888 dan dijangka akan tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

QJMotor SRK250R 2025 rasmi di Malaysia – dari RM9,988

Pasaran motosikal segmen 250 cc di Malaysia kini dimeriahkan lagi dengan kehadiran jentera baharu QJMotor SRK250R 2025.

Dilancarkan bersempena dengan pembukaan Mforce Smart Shop W H S Motor Sdn Bhd di Banting, QJMotor SRK250R ini ditawarkan pada harga istimewa RM9,988 untuk 1,000 orang pemilik pertama.

Dari segi kuasa, SRK250R dijana dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat, serta sistem pacuan akhir rantai.

QJMotor SRK250R menampilkan fork teleskopik hadapan jenis terbalik (USD), diikuti penyerap hentak tunggal boleh laras di belakang.

Sistem brek terdiri daripada rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor 240 mm belakang dan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan lain termasuklah sistem pencahayaan LED penuh depan belakang, rim bersaiz 17 inci, slot pengecasan USB Type-A dan Type-C, tangki bahan api 12.5 liter dan tinggi pelana 780 mm.

Skrin paparan digital berwarna penuh turut menyokong sambungan kepada peranti pintar menggunakan teknologi Bluetooth.

Honda CBR150R kini dengan liveri harimau istimewa – 250 unit terhad, harga RM14,399

Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan kemunculan penawaran edisi terhad Honda CBR150R Special Edition untuk pasaran tempatan.

Uniknya, ia kini menampilkan liveri harimau garang lengkap dengan tema warna CyberRoar yang menambahkan lagi imej agresif pada sportsbike 150 cc itu.

Setiap pembelian model edisi istimewa ini akan mendapat hadiah berupa kamera sport, peranti komunikasi intercom, dan juga beg reflektif LED.

Honda CBR150R Special Edition ini akan ditawarkan dalam 250 unit terhad menerusi pusat pameran Impian X bermula 15 Julai, setiap satu berharga RM14,399 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Sekiranya terlepas peluang, anda masih boleh dapatkan Honda CBR150R standard dengan pilihan warna Honda Tricolor dan Silver, setiap satu berharga RM13,399.

Spesifikasi asas jentera ini masih sama, ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc menghasilkan 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist & slipper.

Antara ciri lain termasuklah fork hadapan jenis terbalik, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, tangki bahan api 12 liter, sistem pencahayaan LED, dan meter digital penuh.

Untuk makluman, Honda CBR150R telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada MyMAP.

Zontes ZT 703 RR, sportsbike 110 hp, bakal masuk Malaysia 2025

Selain daripada jentera adventure tourer 703 F Adventure, Zontes Malaysia bakal memperkenalkan sebuah lagi model berenjin tiga silinder, iaitu superbike ZT 703 RR.

Berbeza dengan 703 F Adventure, Zontes 703 RR diberikan enjin tiga silinder dengan talaan kuasa yang berbeza, di mana ia mampu menjana kuasa kuda setinggi 110 hp, namun daya kilas yang sedikit rendah, iaitu 75 Nm.

703 RR menggunakan casis kerangka aluminium serta lengan ayun menggunakan bahan yang sama, diikuti suspensi yang terdiri daripada fork hadapan USD dan penyerap hentak tunggal Marzocchi, dan sistem brek J.Juan.

Kami juga turut mendapat info pemilik akan diberikan opsyen untuk sistem brek Brembo.

Ciri lain termasuklah unit lampu nyalaan siang DRL LED, tempat pemijak kaki yang diposisikan untuk tunggangan agresif, skrin paparan digital TFT, panel reraup hadapan agresif, serta struktur winglet pada bahagian hadapan.

Buat masa ini, pihak Zontes Malaysia masih lagi merahsiakan tarikh pelancaran serta harga jualan untuk model sportsbike 703 RR.

Namun, apa yang pasti kemunculan 703 RR ini mampu memberikan saingan hebat kepada model seperti Aprilia RS 660, Honda CBR650R, dan Triumph Daytona 660.

Aprilia RS 457 diperkenalkan sebagai sportbike entry-level dengan 47 hp

SAINGAN dalam segmen motosikal sports entry-level bakal menjadi lebih sengit dengan kehadiran Aprilia RS 457.

Menurut Aprilia, model ini dibangunkan dengan formula yang sama dengan RS 660 yang telah menjadi motosikal sports paling laris di Eropah sejak pelancarannya tiga tahun lalu.

Ini bermula dengan penggayaan, di mana RS 457 tampil dengan elemen-elemen sama yang dilihat pada RS 660 seperti tiga lampu LED yang mengintegrasikan lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok, double fairing dan ekzos pada bahagian ‘perut’.

RS 457 dikuasakan oleh enjin parallel twin DOHC berkapasiti 457 yang dilengkapi dengan teknologi penyejukan cecair dan empat injap setiap silinder. Kuasa yang dihasilkan adalah 47 hp namun jumlah tork tidak didedahkan.

Jentera ini menggunakan kerangka aluminium dengan crankcase yang berfungsi sebagai elemen penggalas beban seperti RS 660. Ini memastikan berat berada pada tahap rendah (175 kg) dan prestasi tunggangan yang dinamik.

Kerangka itu digandingkan dengan fork 41 dengan jarak pergerakan 120 mm di hadapan, serta penyerap hentak jenis monoshock dengan jarak pergerakan 130 mm di belakang. Kedua-duanya mempunyai pelarasan pramuatan.

Sementara itu, sistem brek pula merangkumi cakera bersaiz 320 mm di hadapan, 220 mm di belakang, serta angkup radial empat piston dari ByBre. Model ini menggunakan rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

Dari segi elektronik, RS 457 didatangkan dengan kluster instrumen TFT lima inci, ABS dwi saluran, sistem Ride-by-Wire, tiga mod tunggangan, Traction Control dengan tiga tahap pelarasan. Quickshifter ditawarkan sebagai aksesori.