PRO-NET selaku pengedar sah kenderaan jenama smart di Malaysia selesai melancarkan sebuah lagi SUV elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu smart #5.
Terdapat dua varian yang ditawarkan, dimulakan dengan varian Premium yang dilengkapi motor elektrik tunggal dan sistem pacuan roda belakang (RWD).
Dengan kuasa 358 hp dan daya kilas 373 Nm, #5 Premium boleh memecut sepantas 6.5 saat dari 0-100 km/j.
Pek bateri 100 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 590 km mengikut data WLTP, selain menyokong pengecasan AC 22 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 400 kW (10-80 peratus SoC dalam 15 minit).
Sementara varian Brabus pula dikuasakan oleh dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang mampu menghamburkan 637 hp dan 710 Nm.
Versi Brabus boleh memecut sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, dan boleh dipandu sejauh 540 km.
Secara standard, smart #5 mendapat kelengkapan seperti:
- ruang kargo sebesar 1,530 liter serta ruang frunk 72 liter
- skrin paparan OLED berkembar 13 inci
- skrin paparan head-up realiti terimbuh 25.6 inci
- sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
- sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara dan teknologi Dolby Atmos
- upholsteri kulit Nappa
- kemasan kayu oak
- bumbung kaca panorama sebesar 1.7 meter persegi
- peti pendingin terbina dalam ruang simpanan konsol tengah
Varian Brabus pula mendapat ciri tambahan seperti Launch Mode, kemasan upholsteri mikrofiber Dinamica, angkup brek merah, rim Brabus Monoblock Z 21 inci serta talan suspensi sport.
Ciri keselamatan termasuklah struktur casis keluli berkekuatan tinggi dengan ketegaran sehingga 42,000 Nm, tujuh beg udara, Highway Pilot Assist (HWA) dengan fungsi Stop & Go, serta sistem kamera 360 darjah.
Harga jualan smart #5 bermula dari RM199,800 untuk varian Premium, dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.
Varian Premium ditawarkan dalam empat warna iaitu Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby, dan Saturn Beige Matte, semuanya dilengkapi dengan bumbung berwarna Eclipse Black.
Varian BRABUS pula menampilkan tiga kemasan eksklusif iaitu Atom Grey Matte, Meta Black, dan Digital White, bersama kemasan bumbung bewarna Eclipse Black.
smart Malaysia turut menawarkan konsep Pemilikan Premium Menyeluruh merangkumi perkara berikut:
- Jaminan Bateri Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 200,000km
- Jaminan Komponen Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 150,000km
- Jaminan Kenderaan 4 Tahun tanpa had perbatuan
- Jaminan Alat Ganti 2 Tahun tanpa had perbatuan
- Khidmat Bantuan Tepi Jalan 24 jam
- Pengecas Wallbox percuma bernilai RM3,200
- Penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM800
- Pakej Aksesori percuma dengan 6 item bernilai RM2,000
- Data Internet percuma 3 Tahun, 3GB/bulan (108GB)
