Arkib Tag: Skyline GT-R

Nissan Skyline GT-R empat pintu sentuhan Autech – si legend yang rare

Bila sebut Nissan Skyline GT-R, kebanyakan peminat automotif pasti terbayangkan versi dua pintu yang agresif dan penuh aura JDM.

Namun, bagi generasi R32, R33 dan R34, Nissan sebenarnya turut menawarkan versi empat pintu namun ia sering dianggap lebih “biasa” dan tidak begitu berfokuskan prestasi berbanding coupe.

Tapi ada satu pengecualian yang cukup istimewa. Ketika era R33, Nissan secara senyap membangunkan satu versi Skyline GT-R empat pintu yang tidak berkompromi dari segi prestasi.

Model ini dikenali sebagai GT-R Autech, dan ia dibangunkan oleh Autech, divisyen talaan dalaman Nissan sendiri.

Apa yang menarik, GT-R Autech ini bukan sekadar Skyline empat pintu dengan rupa GT-R. Dari segi mekanikal, ia berkongsi hampir semua komponen utama dengan R33 GT-R coupe, termasuk enjin, sistem pacuan dan suspensi.

Model ini diperkenalkan secara rasmi di Tokyo Motor Show 1997, bersempena ulang tahun ke-40 Nissan Skyline.

Pengeluarannya sangat terhad, dengan hanya 416 unit dibina. Secara rasminya, kesemuanya ditawarkan untuk pasaran Jepun namun begitu, beberapa unit kini sudah mula muncul di luar Jepun melalui pasaran import.

Seperti GT-R lain pada zaman tersebut, GT-R Autech dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 2.6-liter dwi-turbo RB26DETT.

Secara rasmi, ia menghasilkan 276 hp dan 368 Nm, selaras dengan ‘Gentlemen’s Agreement’ Jepun ketika itu. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda ATTESA dan kotak gear manual lima kelajuan.

Salah satu unit yang kini ditawarkan merupakan kereta ke-247 daripada 416 unit yang dibina, dengan jarak perbatuan hampir 240,000 km.

Walaupun sudah jauh dipandu, keadaannya masih original, hanya dipasang ekzos Fujitsubo catback. Terdapat beberapa kesan lusuh hasil dari penggunaan sejak sekian lama namun tiada kerosakan besar.

Unit ini ditawarkan di Amerika Syarikat pada harga sekitar USD44,985 (RM182,120). Bagi yang mahukan keadaan lebih cantik dan perbatuan rendah, terdapat satu lagi unit dengan hanya sekitar 57,000 km, tetapi harganya melonjak kepada hampir USD78,500 (RM317,810), sekaligus mencerminkan tahap keaslian dan kondisinya.

Hanya 19 di dunia, Nissan Skyline GT-R Clubman Race Spec untuk dijual di Dubai

Bagi peminat tegar Nissan Skyline, model GT-R R34 sememangnya sudah dianggap legenda. Namun, bagi yang mencari versi paling eksklusif, Clubman Race Spec adalah antara yang paling sukar ditemui.

Difahamkan hanya 19 unit wujud di seluruh dunia, dan kini salah satu daripadanya muncul untuk dijual di sebuah pengedar kereta mewah di Dubai.

Model ini bukan sekadar GT-R biasa-biasa. Ia merupakan projek restomod yang dilakukan oleh divisyen prestasi Nissan iaitu Nismo, dan dibina di kilang Omori yang terkenal.

Jika duit bukan masalah, pemilik boleh menghantar kereta mereka ke sana, dan Nismo akan membina semula keseluruhan kereta, menambah baik prestasi dan memperbaharui reka bentuk. Sudah tentu, mereka juga sedia memenuhi pelbagai permintaan peribadi pelanggan.

 

Di bawah bonet terletak enjin RB26 dalam spesifikasi R2 yang dibangunkan oleh Nismo. Ia masih mengekalkan konfigurasi 2.8-liter twin-turbo enam silinder sebaris, namun telah ditala semula menggunakan komponen premium seperti salur masuk udara gentian karbon.

Hasilnya, enjin ini menghamburkan 450 hp dan 475 Nm tork, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan serta sistem pacuan semua roda canggih ATTESA E-TS Pro.

Dari segi penampilan, ia mengadaptasi kit badan daripada Z-Tune (satu lagi model R34 yang rare), disempurnakan dengan warna Midnight Purple III, yang dianggap sebagai antara warna paling ikonik dalam sejarah Skyline.

Rim tempa serta angkup brek berwarna emas menambahkan lagi daya tarikan jentera ini.

Kereta ini ditawarkan oleh F1rst Motors di Dubai, sebuah pengedar yang biasanya menjual jentera seperti Lamborghini dan McLaren, bukan kereta JDM klasik.

Bacaan odometer menunjukkan perbatuan 40,747 km, namun tidak jelas sama ada itu jarak keseluruhan atau selepas restorasi penuh oleh Nismo.

Harga tidak didedahkan, tetapi dengan tahap eksklusiviti dan kondisi yang hampir sempurna, nilainya dijangka melebihi $800,000 (RM3.4 juta) dan mungkin mencecah $1 juta (RM4.2 juta) jika ada yang berani.

Bagi pengumpul GT-R sejati, inilah antara permata paling bernilai dalam dunia automotif Jepun.

Nissan Skyline GT-R R34 Paul Walker bakal dilelong

KITA semua tahu bahawa Nissan Skyline GT-R R34 adalah kereta sport JDM yang istimewa namun unit yang ditampilkan ini lebih istimewa berbanding yang lain kerana ia dispesifikasikan dan pernah dipandu oleh mendiang Paul Walker.

Dan buat pertama kalinya, peminat francais Fast & Furious berpeluang untuk memiliki kereta penuh sejarah ini kerana ia akan dilelong oleh Bonhams pada satu acara lelongan yang akan diadakan dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Harga pembukaan tidak dinyatakan namun ia sudah pasti mencecah enam atau tujuh angka memandangkan kereta ini telah diubah suai mengikut cita rasa Walker sendiri.

Bukan itu sahaja, unit berwarna TV2 Bayside Blue ini juga merupakan satu-satunya GT-R R34 asli yang muncul dalam filem Fast & Furious 4 yang dikeluarkan pada 2009. Nombor casisnya adalah BNR34-400109.

Menurut Bonhams, beberapa buah Skyline lain yang digunakan untuk penggambaran filem tersebut sebenarnya adalah model GT-T yang telah diubah suai dengan kit badan.

Tambah syarikat itu lagi, kereta ini dibeli di Jepun dan dibawa masuk ke Amerika Syarikat tanpa enjin oleh Kaizo Industries. Syarikat itu berjaya mendapatkan sebuah enjin RB26 dan kereta ini kemudiannya didaftarkan dengan pihak berkuasa.

Modifikasi yang telah dilakukan pada GT-R R34 ini memang bukan calang-calang. Antara ‘barang’ yang telah dimasukkan adalah intercooler Turbonetics, set spring Nismo, strut titanium ARC, rim Volk Racing RE30 19 inci, brek Rotora dan sistem ekzos Nismo NE-1. Boost juga telah dinaikkan bagi membolehkan enjin menjana 550 hp.

Di dalam, anda akan menemui roll cage kustom, stereng Momo dengan balutan Alcantara, pedal Nismo V-Spec, paparan head-up kustom dan kerusi OMP dengan tali pinggang keledar lima poin. Tempat duduk belakang telah dikeluarkan.

Apa yang menarik, setelah penggambaran selesai, kereta ini disita oleh pihak berkuasa kerana ia tidak pernah diimport secara rasmi ke Amerika Syarikat. Pada 2012, ia telah dilepaskan dan kemudiannya dieksport ke Jerman dan berada di sana sehingga ke hari ini.

Kereta ini jarang dipandu dan hanya menjadi bahan pameran di Munich Motorworld. Menurut Bonhams, ia masih boleh dipandu namun bakal pemilik baharunya dinasihatkan untuk membuat servis terlebih dahulu sebelum ‘melenjan’.

Nissan Skyline GT-R R34 milik Brian O’Conner diabadikan dalam bentuk Lego Speed Champions

LEGO Speed Champions menyediakan alternatif yang lebih mampu milik kepada mereka yang mungkin tidak mampu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk set Lego Technic.

Ia tidak begitu terperinci seperti Technic namun kualiti set yang dibawakan oleh Speed Champions sudah cukup  untuk bagus untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

Kini, barisan Speed Champions menambah satu lagi model ke koleksinya dan ia pasti akan membuat peminat francais Fast and Furious begitu teruja.

Ini kerana set terbaru itu menampilkan kereta yang paling ikonik dari filem 2 Fast 2 Furious iaitu Nissan Skyline GT-R (R34) milik Brian O’Conner yang dimainkan oleh mendiang Paul Walker.

Mengandungi 319 kepingan Lego, perincian set ini tidak kurang hebatnya. Seperti jentera sebenar, Skyline GT-R R34 itu memakai kit badan dan didatangkan dalam warna kelabu dengan grafik biru pada bahagian bonet, pintu dan spoiler.

Apa yang menarik, ia juga didatangkan dengan figura mini Brian O’Conner yang boleh diletakkan pada tempat duduk pemandu.

Menurut laporan, set Nissan Skyline GT-R (R34) 2 Fast 2 Furious ini boleh ditempah mulai 3 Januari 2023 dengan harga anggaran 24.99 euro (RM115).