Mforce Bike Holdings memperkenalkan satu lagi jenama motosikal baharu untuk pasaran tempatan, iaitu EZI.
Untuk makluman, EZI merupakan sebuah jenama skuter elektrik dibawah Kumpulan Keeway.
Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah EZI TS1, ditawarkan pada harga RM4,288 (atas jalan tidak termasuk pendaftaran dan insurans).
Dari segi spesifikasi, EZI TS1 menawarkan motor elektrik yang dipasang pada hab roda, menghasilkan kuasa 2.68 hp yang digandingkan dengan bateri Graphene 72V 32Ah.
EZI TS1 mengambil masa kira-kira 8 jam 30 minit untuk pengecasan penuh 0-100 peratus SoC.
Ia mampu bergerak sejauh 100 km (tunggangan 25 km/j), dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 65 km/j.
TS1 turut dilengkapi dengan sistem brek gabungan (CBS), rim 12 inci, skrin paparan meter LED tujuh inci, sistem pencahayaan LED, sistem tanpa kunci NFC, dan port pengecasan USB Type-A.
Terdapat tiga mod tunggangan disediakan, diikuti dengan fungsi Auto Cruise, Walk Assist Function, serta suis keselamatan topang sisi.
TS1 menawarkan pelana setinggi 755 mm, berat bersih sekitar 82 kg (tanpa bateri), serta beberapa ruang storan tersedia termasuklah di bawah tempat duduk.
