Arkib Tag: sistem tol tanpa palang

PLUS mula uji sistem tol tanpa palang April ini

Laman berita The Edge melaporkan syarikat konsesi lebuh raya PLUS Expressways Bhd akan memulakan ujian rintis sistem tol tanpa palang tersendiri, bermula April ini.

Sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) yang dibangunkan sendiri itu bertujuan untuk mengelakkan salah guna dan eksploitasi keuntungan semasa pelaksanaannya.

Selain itu, syarikat tersebut akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenakan penalti terhadap pengguna yang culas membayar tunggakan tol.

Menurut seorang eksekutif industri, objektif kerjasama dengan JPJ adalah untuk memastikan pengguna yang masih mempunyai tunggakan bayaran tol untuk melunaskan hutang sebelum dibenarkan memperbaharui cukai jalan.

The Edge turut melaporkan pihak PLUS mempunyai kelebihan tersendiri, di mana syarikat tersebut memiliki subsidiari Teras Teknologi Sdn Bhd yang kini menyediakan sistem pembayaran tol elektronik kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya lain.

Selain PLUS, antara syarikat konsesi lebuh raya yang sudah memulakan ujian rintis sistem MLFF termasuklah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), serta Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR).

Berjaya Group bida pasang sistem tol tanpa palang

BERJAYA Group Bhd dipercayai dipercayai sedang mendapatkan sokongan daripada syarikat konsesi lebuh raya dalam bidaan untuk memasang sistem tanpa palang di plaza tol, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Menurut sumber yang dipetik oleh FMT, cadangan itu dibuat selepas 32 syarikat konsesi tol lebuh raya menentang langkah kerajaan melantik unit YTL Holdings Bhd bagi menghasilkan sistem tanpa palang itu.

Menurut sumber itu, eksekutif kanan Berjaya telah mengadakan mesyuarat dengan wakil 32 syarikat konsesi untuk menjelaskan perkara yang mereka fikirkan dan mendapatkan maklum balas mereka sebelum mengemukakan cadangan terakhirnya kepada Kementerian Kerja Raya.

Tawaran Berjaya itu dikatakan lebih menarik berbanding cadangan sebelum ini yang masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Pada asasnya, rancangan mereka adalah apa yang kami mahu, untuk membenarkan syarikat lebuh raya membina pondok tol aliran bebas pelbagai lorong manakala Berjaya atau syarikat lain menyediakan perkhidmatan kutipan tol.

“Di bawah rancangan ini, syarikat konsesi akan mendapat pendapatan mereka pada hari berikutnya, seperti yang diamalkan sekarang,” kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, syarikat konsesi juga mencadangkan syarikat yang menyediakan perkhidmatan kutipan tol itu akan menjaga kebocoran pendapatan yang timbul apabila pondok tol berpalang dibuang.

“Kami tidak mahu terperangkap dengan mengesan pemandu yang memandu lalu tanpa membayar,” katanya.