Arkib Tag: singer vehicle design

Porsche 911 Carrera Coupe Reimagined by Singer: apabila moden bertemu klasik

Singer Vehicle Design kembali lagi dan kali ini, tuner terkenal dari California itu memperkenalkan hasil tangan terbaharu mereka iaitu Porsche 911 Carrera Coupe Reimagined by Singer.

Diinspirasikan daripada 911 ‘Super Sport’ berbadan lebar yang popular pada era 1980-an, kereta ini dibangunkan dengan kepakaran Cosworth untuk pemanduan yang penuh semangat, sama ada di jalan raya mahupun di litar lumba.

Ia dipacu oleh enjin NA 4.0-liter dengan konfigurasi enam silinder mendatar (boxer) yang mampu menjana 420 hp dan ‘menjerit’ sehingga 8,000 rpm. Jumlah tork tidak dinyatakan namun menurut Singer, ia disalurkan pada julat kelajuan enjin yang lebih lebar.

Enjin yang dibina oleh Cosworth ini menggabungkan silinder berpenyejukan udara dan kepala silinder berpenyejukan air. Ia juga merupakan kereta pertama binaan Singer yang menggunakan teknologi pemasaan injap berubah (variable valve timing).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan, manakala runut bunyi yang menjadi trademark Singer dihasilkan oleh sistem ekzos titanium baharu.

911 Carrera Coupe ini dibina menggunakan casis Porsche 964 yang telah diperkukuhkan menerusi teknologi melibatkan penggunaan komposit dan keluli yang dibangunkan bersama Red Bull Advanced Technologies.

Sistem suspensi menggunakan peredam boleh laras empat-hala dengan kawalan redaman elektronik, digandingkan dengan cakera brek karbon-seramik. Selain itu, terdapat mod pemanduan Road, Sport, Track, Off dan Weather yang bertindak untuk melaraskan kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan elektronik.

Penggunaan panel badan yang diperbuat daripada gentian karbon bukan sahaja mengurangkan berat, malah memberikan jentera ini penampilan seakan 911 siri G (930) yang ikonik.

Sudah tentu, antara keistimewaan utama kereta binaan Singer adalah tahap kustomisasi tinggi yang ditawarkan kepada setiap pemilik.

Selain warna dan material, pelanggan juga boleh memilih spoiler kekal atau aktif, serta lampu pemanduan tambahan berprestasi tinggi yang muncul dari bonet depan apabila diaktifkan dan kembali ‘tersembunyi’ apabila tidak digunakan.

Di dalam, di samping upholsteri dan kemasan cat, pelanggan boleh mendapatkan tempat duduk sport ringan atau kerusi bucket. Rekaan panel meter klasik 911 diberi nafas baharu, digabungkan dengan teknologi moden seperti sistem navigasi dan sambungan telefon pintar.

Menurut Singer, hanya 100 unit 911 Carrera Coupe akan dihasilkan. Harga bagi setiap binaan bergantung kepada spesifikasi yang diminta, namun dijangka berada dalam lingkungan enam hingga tujuh angka (dalam mata wang mereka).

Singer Turbo Study – Porsche 930 Turbo ikonik dengan sentuhan moden

PAKAR restorasi Porsche, Singer Vehicle Design telah memperkenalkan konsep terbaharu mereka iaitu Turbo Study. Menggunakan kerangka asal dari model 964, konsep terbaru ini mengambil inspirasi penggayaan dari model 930 Turbo. Sebanyak 70 pelanggan telah membuat tempahan restorasi berdasarkan konsep terbaharu ini.

Turbo Study dikuasakan dengan enjin Mezger 3.8-liter twin turbo yang menghasilkan 450hp secara standard. Namun jika pakej ini tidak mencukupi, Singer bersedia untuk menala semula kuasa mengikut kehendak pelanggan.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan sahaja, tetapi pelanggan boleh memilih pacuan roda-belakang (RWD) atau semua-roda (AWD).

Turbo Study menjelmakan semula rekaan ikonik 930 yang mempunyai spoiler ‘whale tail’ yang juga dikenali sebagai ‘tea tray’ di kalangan peminat Porsche. Rekaan fender belakang turut diberi kelainan dengan reka bentuk ‘shark fin intake’ yang berfungsi menyalurkan angin ke ruang enjin.

Dari segi dalaman, Singer menyediakan pilihan tempat duduk kawalan elektrik dengan pemanas terbina bagi keselesaan perjalanan di musim sejuk. Fungsi seperti anti-lock braking system (ABS), traction control dan brek karbon seramik juga boleh dipilih jika diperlukan.

Kemasan kulit dengan kod warna Malibu Sand serta trim kayu dengan berwarna Black Forest di papan pemuka dan panel pintu menjadi identiti kemasan dalaman manakala di sebelah luar, Singer memilih kemasan cat dengan kod warna Wolf Blue.

Singer masih belum mengumumkan harga rasmi Turbo Study namun ia dijangka bermula pada tanda harga USD500,000 (RM2.1 Juta).

Turbo Study bakal membuat penampilan pertama di Goodwood Festival of Speed pada Jun dan seterusnya di Monterey Car Week pada Ogos tahun ini.