Continental Tyre Malaysia mengumumkan pelancaran jaminan pengeluaran tayar sepanjang hayat sebagai komitmen dalam meningkatkan keyakinan pelanggan dan kualiti produk.
Program jaminan terbaharu tersedia untuk semua tayar kereta penumpang, SUV dan 4×4 daripada jenama Continental, General Tire dan juga Viking.
Menurut Continental Tyre Malaysia, jaminan ini merangkumi perlindungan ke atas kecacatan pengeluaran, dan tidak melibatkan kerosakan akibat faktor luaran di luar kawalan seperti tayar pancit, terbelah, atau impak disebabkan oleh kerosakan jalan.
Jaminan baharu ini juga akan menggantikan jaminan lima-tahun yang terdahulu, dan turut ditawarkan secara retrospektif ke atas tayar kereta penumpang, SUV dan 4×4 yang dibeli sebelum ini.
Andrea Somorova selaku Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia berkata, “Kami bukan sekadar menghasilkan tayar. Kami membina keyakinan. Jaminan baharu ini menunjukkan kawalan ketat kami terhadap kualiti yang tidak berbelah bagi dan inovasi yang diterapkan dalam setiap produk kami.”
Bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan, Continental meneruskan program Total Confidence Plan (TCP) yang memberikan perlindungan 12 bulan dari tarikh pembelian terhadap kerosakan disebabkan oleh risiko di jalan yang tidak dijangka – dengan syarat pembelian didaftarkan di bawah aplikasi Conti TCP.
