Perlumbaan endurans Sepang 1000KM yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 28-29 November lalu turut dimeriahkan dengan penganjuran perlumbaan maya Virtual Sepang 1000km powered by Castrol.
Apa yang anda perlu tahu tentang Virtual Sepang 1000km?
1. Sebanyak 10 pasukan bertanding untuk merebut hadiah trofi dan wang tunai bernilai RM3,000 untuk tempat pertama, RM2,000 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
2. Setiap pasukan boleh mendaftarkan tiga atau empat orang pelumba, berusia sekurang-kurangnya 16 tahun dan memegang lesen sah MAM Esports Competition.
Pemandu antarabangsa perlu mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh ASN yang diiktiraf FIA serta kelulusan MAM.
3. Virtual Sepang 1000km powered by Castrol ini menampilkan format perlumbaan simulasi tujuh jam mirip kepada perlumbaan ketahanan kereta touring 1000 km.
4. Dengan menggunakan platform RaceRoom Evo, setiap pelumba diberikan peluang mengendalikan sebuah jentera WTCC Honda Civic.
Untuk memastikan persaingan yang lebih adil, setiap jentera lumba menggunakan tetapan yang serupa, bantuan yang terhad, kawalan kestabilan yang dimatikan, serta mod kerosakan penuh diaktifkan.
5. Setiap pelumba perlu mematuhi peraturan had masa selama 75 minit maksimum, masa rehat sekurang-kurangnya 2/3 daripada tempoh stint terdahulu dan mengambil bahagian melainkan sekiranya dikecualikan oleh pihak Stewards.
6. Acara ini diiktiraf sebagai pertandingan esports peringkat kebangsaan dengan penyertaan dari seluruh ASEAN.
Untuk makluman, acara ini turut disahkan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) di bawah Kod Sukan Antarabangsa FIA, Peraturan Pertandingan Kebangsaan MAM dan juga Peraturan Sukan bagi acara ini.
Kesemua aspek perlumbaan dipantau sepenuhnya mengikut peraturan rasmi MAM.
Dengan menganjurkan Virtual S1K serentak dengan Sepang 1000KM, Castrol dapat menghubungkan peserta dan peminat perlumbaan simulasi secara langsung dengan salah satu acara perlumbaan ketahanan utama Malaysia.
Castrol sebelum ini menyokong Unleashed Youth Simracing Championship melibatkan lebih 400 peserta muda dan lebih 2,000 pelajar dalam program perlumbaan simulasi berstruktur.
Perlumbaan Virtual S1K ini dapat memberikan peluang kepada komuniti tersebut untuk merasai sendiri format perlumbaan ketahanan selari dengan acara sebenar di Litar Antarabangsa Sepang.
