Arkib Tag: sedan

Proton S70 2026: Tempahan bermula 7 Februari, enjin baharu 181 PS, 290 Nm

Proton hari ini mengumumkan sedan Proton S70 2026 sudah pun tiba di bilik pameran 3S/4S di seluruh negara.

Tempahan bagi model tersebut akan dibuka secara rasmi bermula 7 Februari ini dengan yuran RM500.

Spesifikasi

Antara perubahan besar yang dibuat pada S70 2026 ini ialah enjin 4-silinder sebaris i-GT 1.5 liter turbo menggantikan enjin 3-silinder yang asal.

Enjin baharu ini mampu menjana kuasa 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.5 saat, dengan kadar penggunaan bahan api cuma 5.7 liter per 100 km.

Dari segi luaran, S70 2026 hadir dengan unit lampu utama yang disemak semula, lampu nyalaan siang (DRL), serta rim aloi 17 inci.

Terdapat juga kit aerodinamik untuk penampilan yang lebih bergaya.

Ruang kabin pula didatangkan dengan skrin infohibur 12.3 inci yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

S70 2026 dilengkapi dengan 13 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang turut merangkumi fungsi-fungsi seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Sejak diperkenalkan, Proton S70 telah terjual lebih 38,000 unit.

smart #6 EHD: Spesifikasi dan imej rasmi didedahkan

Inilah dia model kenderaan yang paling besar dihasilkan oleh smart, iaitu sedan #6 EHD.

Dari segi ukuran, smart #6 EHD mempunyai dimensi badan sepanjang 4,906 mm, lebar 1,922 mm, tinggi 1,508 mm.

Ia juga menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,926 mm – yang paling panjang berbanding model-model smart sedia ada.

Sedan ini dikuasakan oleh sistem plug-in hybrid EHD NordThor Hybrid 2.0, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo 161 hp, motor elektrik, transmisi DHT tiga-kelajuan dan bateri lithium iron phosphate.

Secara keseluruhan, sistem ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 429 hp dengan jarak pandu keseluruhan sejauh 1,810 km dan kadar penggunaan bahan api serendah 3.9 liter/100 km.

Ia juga mampu bergerak dalam mod EV sejauh 285 km.

Unit lampu utama depan dan belakang tampil ringkas tanpa garis dan bentuk yang berserabut.

Terdapat perumah penderia Lidar pada bahagian bumbung, diikuti dengan kehadiran kamera sisi pada bahagian dapra depan.

smart turut menawarkan opsyen rekaan rim yang berbeza, angkup brek berwarna kuning diikuti dengan sayap belakang adaptif untuk varian yang lebih sporti.

 

Proton Saga 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – dari RM37,990

Proton akhirnya secara rasmi mengumumkan harga jualan bagi sedan Proton Saga 2026 untuk pasaran Malaysia.

Berikut merupakan harga jualan bagi setiap varian yang ditawarkan:

  • 1.5 Standard – RM37,990
  • 1.5 Executive – RM43,990
  • 1.5 Premium – RM48,990

Proton Saga 2026 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter i-GT yang mampu menjana kuasa 120 PS @ 6,100 rpm dan daya kilas 150 Nm @ 4,000 rpm.

Terdapat dua pilihan transmisi, iaitu automatik 4-kelajuan untuk varian Standard dan Executive, sementara varian Premium pula mendapat kotak gear CVT.

Dari segi dimensi, Saga baharu membawakan ukuran sepanjang 4,390 mm, lebar 1,690 mm, tinggi 1,525 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,465 mm. Radius putaran adalah sekecil 5.2 meter.

Suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di depan, dibantu dengan tetapan torsion beam di belakang.

Antara ciri luaran yang tersedia termasuklah unit lampu projektor LED, lampu nyalaan siang DRL LED, rim aloi 15 inci (14 inci untuk varian Standard), cermin sisi larasan elektrik, serta lampu belakang LED melintang penuh.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster meter tujuh inci, skrin infohibur sebesar 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, empat pembesar suara (dua untuk varian Standard), tempat duduk balutan leatherette (fabrik untuk dua varian terendah), dan port pengecasan USB.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HHA), serta fungsi-fungsi ADAS seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Pergerakan Kenderaan Depan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHBC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)

Proton Saga 2026: Tempahan dibuka, tiga varian, harga anggaran dari RM40k

Proton mengumumkan tempahan untuk model sedan Saga baharu telah pun rasmi dibuka.

Proton Saga 2026 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan harga jualan anggaran bermula dari RM40,000 hingga RM50,000.

Proton turut menawarkan ganjaran eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

20,000 pembeli terawal yang membuat membuat tempahan dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025 layak mendapat tawaran berikut:

  • Pakej Servis Percuma 1 Tahun atau had 20,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Kad Touch ‘n Go Saga Serba Baharu Edisi Terhad

Perincian tentang Proton Saga 2026 boleh dibaca menerusi pautan berikut:

4 Perkara yang anda perlu tahu tentang Proton Saga 2026

Toyota Corolla Concept didedahkan, petunjuk kehadiran generasi baharu?

Bersempena dengan acara Japan Mobility Show 2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Toyota mengambil peluang dengan mendedahkan beberapa model konsep yang cukup mencuri tumpuan.

Salah satu daripadanya ialah Toyota Corolla Concept yang dijangka membuka lembaran baharu untuk plet nama yang paling laris terjual di seluruh dunia.

Kelibat model konsep tersebut muncul dalam kempen yang dinamakan sebagai “To You, Toyota”.

Terdapat beberapa perincian yang boleh kita lihat, seperti:

  • muka depan membawakan rekaan ikan jerung tukul yang lebih moden, lengkap dengan lampu LED melintang penuh
  • tiada struktur jeriji tradisional
  • kehadiran liang pengudaraan pada hud enjin
  • rekaan belakang lebih ringkas dengan lampu piksel LED melintang, spoiler ekor itik dan perkataan Corolla di tengah
  • penutup port pengecasan pada fender hadapan

Penggunaan rekaan cermin sisi dan pemegang pintu yang konvensional pula memberikan petunjuk kuat sedan ini mempunyai spesifikasi yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar.

Perasan komponen penutup port pengecasan yang kami sebut tadi?

Ia memberikan satu lagi petunjuk kemungkinan besar Corolla akan ditawarkan sebagai sebuah sedan elektrik, atau mungkin sekali tetapan plug-in hybrid (PHEV) sama seperti Prius.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang acara Japan Mobility Show 2025 yang akan dibuka tirainya pada 29 Oktober nanti.

Geely Galaxy A7 gegar pasaran China, terima lebih 10,000 tempahan dalam masa sehari

Geely Galaxy A7 membuat impak di pasaran apabila menerima lebih 10,000 tempahan dalam tempoh sehari selepas jualannya bermula.

Pesaing kepada BYD Qin L DM-i dan Seal 06 DM-i ini dilancarkan secara rasmi di pasaran China dalam tujuh varian, dengan harga jualan bermula dari 89,800 hingga 125,800 yuan (RM53,050 hingga RM74,320).

Bagi mereka yang belum tahu, Galaxy A7 merupakan sedan saiz pertengahan yang dibangunkan menggunakan platform GEA (Global Intelligent New Energy Architecture).

Ia berukuran panjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,495 mm, dan tapak roda 2,845 mm. Gabungan bentuk fastback dan permukaan badan licin memberikannya pekali seretan serendah 0.229.

Untuk pasaran domestik, Galaxy A7 ditawarkan dalam enam pilihan warna, dengan saiz rim antara 17 hingga 19 inci.

Bahagian dalaman menampilkan kluster instrumen digital 10.2 inci dan sistem infotainmen Flyme Auto yang boleh diakses menerusi skrin berukuran 14.6 inci atau 15.4 inci, bergantung pada varian.

Varian tertinggi turut dilengkapi paparan head-up 16.6 inci, bumbung suria panoramik, sistem audio Flyme dengan 16 pembesar suara, serta ciri pemanas, penyejuk dan urut pada tempat duduk hadapan.

Di bawah bonet, ia dipacu sistem hibrid Geely EM AI Super Hybrid 2.0 yang menggabungkan enjin 1.5 liter berkuasa 111 PS dengan motor elektrik yang menjana 238 PS.

Terdapat dua pilihan bateri iaitu 8.5 kWh dengan jarak pandu CLTC sehingga 70 km, dan 18.4 kWh dengan jarak 150 km.

Versi 8.5 kWh menawarkan penggunaan bahan api serendah 2.67 l/100 km, manakala versi 18.4 kWh mencatat 2.8 l/100 km. Bateri berkapasiti lebih tinggi ini turut menyokong pengecasan pantas DC 37 kW, membolehkan cas dari 30% hingga 80% dicapai dalam 18 minit.

Menurut Geely, gabungan enjin pembakaran dalaman dan bateri mampu memberikan jarak pandu melebihi 2,100 km.

BMW lancar sedan M340i xDrive M Sport Pro 2025 untuk pasaran Malaysia – harga dari RM388,800

BMW Malaysia secara rasmi mengumumkan model sedan BMW M340i xDrive M Sport Pro sebagai pelengkap kepada penawaran 3 Series sedia ada.

Penampilan luaran M340i ini boleh diserikan dengan pilihan warna Alpine White, Black Sapphire, Arctic Race Blue atau M Brooklyn Grey, diikuti dengan rim aloi M 19 inci, serta pakej M Aerodynamics termasuklah spoiler belakang dan tip ekzos berkembar.

Untuk ruang kabin pula, terdapat pilihan warna upholsteri Tacora Red atau hitam klasik, tempat duduk sports dengan fungsi memori, panel melengkung yang terdiri daripada skrin kluster 12.3 inci dan skrin infohibur 14.9 inci yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5.

Ia juga turut menerima kelengkapan istimewa seperti tali pinggang keledar M, trim Aluminium Rhombicle Anthracite M, headliner anthracite, serta roda stereng tiga jejari M dengan penanda pukul 12.

Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, bumbung kaca berkuasa elektrik, serta sistem audio Harman Kardon 464W dengan 16 pembesar suara.

BMW M340i xDrive ini dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo menghasilkan 387 hp dan 500 Nm yang dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan.

Dengan sistem pacuan semua roda xDrive, pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Aspek pemanduan dipertingkatkan dengan sistem suspensi adaptif M, pembeza sport M dan sistem stereng sport berbilang (VSS).

Dari segi keselamatan, M340i turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu termaju Driving Asisstant yang merangkumi fungsi amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah aktif (ACC), serta fungsi Parking Assistant Plus.

BMW M340i xDrive M Sport Pro ini dijual pada harga dari RM388,888 tidak termasuk pakej servis dan pembaikan (RM26,400).

Geely Galaxy A7 – sedan PHEV segmen D, tawar jarak gerak 2,100 km

Tatkala pengeluar lain sudah mula mengabaikan segmen sedan, masih terdapat beberapa pihak yang percaya masih wujud permintaan terhadap model tersebut.

Salah satu daripadanya ialah Geely, di mana pengeluar itu tampil dengan model sedan baharu Galaxy A7.

Sedan segmen D yang bakal memberikan cabaran kepada Honda Accord dan Toyota Camry ini ditawarkan secara eksklusif dalam versi plug-in hybrid (PHEV) yang menawarkan jarak gerak mencecah 2,100 km.

Galaxy A7 menggunakan tetapan PHEV yang terdiri daripada enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, di mana Geely mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah serendah 2 liter/100 km.

Beberapa laporan media tempatan mencadangkan Geely akan menawarkan Galaxy A7 dengan beberapa pilihan pek bateri LFP (lithium-iron phosphate), dengan jarak gerak sifar emisi mencecah 120 km.

Dari segi dimensi, Galaxy A7 berukuran sepanjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,495 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,845 mm.

Rekaan luaran A7 ini, terutama bahagian depan sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada rekaan Proton Perdana versi facelift yang muncul pada tahun 2016.

Perumah lampu depan tampil lebih ringkas, namun berbeza dengan unit lampu belakang dengan grafik yang agak kompleks.

Secara standard, Galaxy A7 boleh didapati dengan pilihan rim bersaiz 17 hingga 19 inci.

Ruang kabin pula menempatkan susun atur papan pemuka yang minimalis, dengan kehadiran skrin kluster dan skrin infohibur yang agak besar, diikuti dengan butang kawalan fizikal pada konsol tengah.

Sedan PHEV ini bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, dengan harga jualan anggaran sekitar RMB100,000 (RM58,801), jauh lebih murah berbanding Camry berharga RMB179,800 (RM105,725).

Adakah sedan ini akan dijelmakan semula sebagai pengganti kepada Proton Perdana kelak?

Volvo S90 2026 tiru rekaan SUV XC90 facelift

Sedan eksekutif Volvo S90 telah pun wujud di pasaran sejak tahun 2016 sebagai alternatif kepada sedan mewah buatan Jerman.

Setelah dikemas kini pada tahun 2020, Volvo sekali lagi cuba menjadikan penawaran S90 ini lebih malar segar menerusi model facelift kedua.

Seperti yang dijangka, ia membawakan pendekatan rekaan yang hampir serupa dibuat pada model SUV XC90 facelift sebelum ini.

Perubahan yang boleh dikesan di bahagian luar termasuklah unit lampu baharu dengan grafik LED tukur Thor, struktur jeriji dan bampar baharu, diikuti dengan lampu belakang dengan grafik berbentuk tukul.

Untuk kabin, Volvo S90 dibekalkan dengan skrin tengah sebesar 11.2 inci yang turut hadir dengan fungsi kemas kini over-the-air (OTA), selain fungsi penebatan bunyi untuk kabin yang lebih senyap.

Penggunaan sistem suspensi adaptif menyumbang kepada tahap keselesaan yang lebih baik.

Dari segi kuasa, S90 facelift ini boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0 liter hibrid ringan, atau versi PHEV yang menawarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 80 km.

Berita kurang enak, Volvo S90 facelift ini tidak akan muncul di Amerika Syarikat dan Eropah, sebaliknya Volvo akan menumpukan jualan S90 di pasaran China serta beberapa pasaran utama Asia.

Bolehkah anda terima masa depan Volvo tanpa wagon?

Sejujurnya, kami berpendapat Volvo merupakan salah satu daripada pengeluar yang pandai menghasilkan rekaan wagon yang cukup cantik sejak model pertama (Duett) muncul tahun 1953 sehinggalah sekarang.

Namun, kepakaran yang dimiliki oleh Volvo itu tidak lagi diperlukan pada masa akan datang.

Menurut CEO Volvo Jim Rowan dalam satu temubual bersama AutoExpress, masa depan Volvo tidak lagi memerlukan model wagon, sebaliknya jenama itu akan menumpukan perhatian kepada model sedan dan SUV.

Ini merupakan satu anjakan yang cukup besar oleh jenama yang sangat terkenal dengan tradisi wagon yang anggun sejak bertahun-tahun lamanya.

Rowan menjelaskan, agak mahal untuk membawa model kenderaan yang berbeza ke pasaran, dan mengekalkannya di dalam pasaran.

“Ia lebih menjimatkan kos untuk memacu volum yang lebih tinggi menerusi platform dan bentuk faktor yang sama,” jelasnya lagi.

Tanpa kehadiran model wagon, Volvo mahu memposisikan model sedia ada (SUV) menerusi penawaran varian yang berbeza seperti Black Edition dan Cross Country yang lebih sesuai untuk golongan tertentu.

Menariknya, berita terbaharu ini timbul tidak lama selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah komersial Volvo UK, Robert Deane yang mengakui langkah menghentikan jualan model V60 dan V90 pada tahun 2023 adalah satu kesilapan.

“Apabila anda memberitahu pelanggan model (wagon) tidak lagi dijual, mereka akan pergi mencari model daripada jenama lain,” jelasnya lagi.

Tidak dinafikan, selain daripada Volvo, beberapa pengeluar lain seperti Audi dan BMW masih lagi menawarkan model-model wagon biarpun pasaran tersebut semakin mengecil saban tahun.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, Rowan berkata Volvo sengaja mengecilkan tumpuannya pada ketika ini.

“Kami membuat pilihan yang wajar tentang di mana kami mahu bermain. Dengan menumpukan perhatian kepada SUV yang lebih selamat dan mempunyai ketinggian yang baik, kami fikir kami dapat mempertahankan kekuatan ini berbanding pesaing lain.

“Ia lebih mudah bagi kami daripada terus terganggu dengan kehadiran terlalu banyak model kenderaan.”

Untuk tahun 2025, Volvo sudah merancang untuk memperkenalkan lima model baharu, termasuklah sedan ES90 dan SUV elektrik EX60 yang bakal tiba kelak.

Yang pasti, wagon sudah tidak lagi termasuk dalam senarai keutamaan Volvo pada ketika ini.

Lexus ES 2025 facelift muncul di Guangzhou Auto Show 2024

Dengan lebih satu juta unit terjual, Lexus ES masih lagi mempunyai peminat yang tersendiri di pasaran China.

Generasi ketujuh sedan mewah buatan Jepun itu kini telah dikemas kini untuk kali kedua selepas model facelift pertama dilancarkan pada tahun 2021.

Diperlihatkan secara rasmi di Guangzhou Auto Show 2024, Lexus ES membawakan perubahan bersifat kosmetik terutama pada bahagian muka depan dan belakang.

Unit lampu matriks LED telah disemak semula rekaannya, kini menampilkan grafik boomerang berkembar, sementara struktur jeriji spindle hadapan pula menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model Lexus RX.

Beralih ke belakang, unit lampu LED turut dikemaskini dengan grafik huruf L berkembar diikuti dengan bar lampu melintang penuh yang menepati trend semasa.

Masuk ke dalam ruang kabin, Lexus ES kini mengguna pakai skrin infohibur sebesar 14 inci menggantikan skrin asal sebesar 12.3 inci, dan lengkap dengan dua tombol kawalan tetapan iklim dan media.

Tombol penukaran gear juga turut direka semula, diikuti dengan pilihan trim dan upholsteri baharu.

Lexus ES masih lagi mengekalkan penawaran enjin yang sama seperti model pra-facelift, di mana varian ES 200 hadir dengan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 170 hp.

Sementara varian ES 300h pula dijana dengan enjin 2.5 liter hibrid menghasilkan kuasa keseluruhan 215 hp.

Generasi ketujuh Lexus ES telah berada di pasaran sejak 2018 lagi, dan kehadiran model facelift kedua ini dilihat mampu menjadikan penawaran yang lebih malar segar untuk tempoh beberapa tahun lagi sebelum model generasi baharu muncul.

Terdapat ura-ura di mana Lexus bakal melancarkan sedan berkuasa elektrik sepenuh masa untuk model generasi baharu ES kelak.

MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

Adakah SUV jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Dengan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat, kita seharusnya beruntung kerana terdapat pelbagai pilihan kereta keluarga yang lebih selamat untuk dipertimbangkan.

Namun, seperkara yang harus kita semua maklum, jumlah kereta di atas jalan raya juga semakin meningkat saban tahun.

Ini bermakna, kadar kemalangan juga tidak mungkin akan turun secara mendadak.

Perdebatan soal keselamatan antara kereta dan SUV juga sekali-sekala menghiasi ruangan Group FB, forum dan Whatsapp.

Ada yang mendakwa kereta yang lebih besar mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik.

Dakwaan ini turut diperkukuhkan dengan data rasmi di mana kadar kematian pemandu adalah yang tertinggi di kalangan kenderaan kecil, berbanding kenderaan bersaiz besar.

Apabila kita melihat dari sudut fizik, kenderaan yang lebih besar mempunyai daya momentum yang lebih tinggi berbanding kenderaan yang ringan.

Jadi, apabila berlaku pelanggaran antara kenderaan yang tidak sama saiz, sudah pasti kenderaan yang lebih kecil akan merasai impak yang lebih hebat saat kedua-dua kenderaan nyahpecut secara mendadak.

Jadi, adakah SUV dan kenderaan bersaiz besar lain seperti trak pikap jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Tidak juga, sekiranya anda mengambil kira ciri tipikal yang wujud pada mana-mana SUV/trak pikap, iaitu jarak kelegaan tanah yang tinggi.

Disebabkan ciri ini, kebanyakan SUV dan trak pikap mempunyai titik graviti yang lebih tinggi dan lebih berisiko untuk terlibat dalam kemalangan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kemalangan olengan (rollover).

Kes-kes kemalangan melibatkan SUV dan trak pikap yang dipandu pada kelajuan tinggi juga kerap berlaku, disebabkan ada di kalangan pemandu itu sendiri yang tidak memahami had dan batasan yang ada pada kenderaan dengan jarak lega bumi yang tinggi.

Janganlah disebabkan anda memandu kenderaan yang lebih tinggi, ego juga naik sama tinggi dan langsung tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Akhir sekali, tanpa mengira apa jua jenis kenderaan yang anda pandu, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan diselenggara secara berkala.

Paling mustahak, pastikan juga anda faham dengan keadaan kesihatan diri, dan berhenti rehat sekiranya anda sendiri perasan petanda diri sudah kepenatan semasa memandu.

 

Toyota Corolla 1.8G, teman balik kampung yang ‘sempurna’ – Pandu Uji

Sebagai seorang yang tidak begitu menggemari bentuk badan SUV (kecuali beberapa model), penulis rasa bersyukur kerana rata-rata pengeluar automotif utama di Malaysia masih lagi cuba mengekalkan penjualan model sedan, biarpun popularitinya semakin menurun di peringkat global.

Di sini, kita mempunyai beberapa pilihan model sedan, bermula dari harga yang mampu milik, hinggalah kepada model sedan mewah berprestasi tinggi dengan harga yang mampu didengari.

Namun sayang sekali, persaingan model-model sedan tidaklah sekuat beberapa puluh tahun lepas.

Seperti contoh dalam segmen C, pengguna hanya disajikan dengan beberapa model sahaja, seperti contoh Proton S70, Mazda3, Honda Civic dan nama yang sangat popular di luar sana – Toyota Corolla Altis.

Corolla memang tidak perlu diperkenalkan pun, kecuali jika anda memang lahir dalam era Covid dan hanya lebih kenal dengan barisan kereta-kereta elektrik yang tidak berjiwa itu.

Toyota Corolla 1.8G yang kami pandu uji ini merupakan model facelift yang dilancarkan pada tahun lepas.

Nama je facelift, tapi jika anda mengimpikan sesuatu yang ‘wow’, Corolla 1.8G ini mungkin akan mengecewakan harapan tersebut.

Ini kerana, tidak banyak aspek yang diubah pada luaran model Corolla sedan ini, melainkan jeriji bampar dengan rekaan yang unik, diikuti rekaan rim 17 inci baharu yang dibaluti tayar profil 225/45.

Reka bentuk lampu utama depan projektor LED dan lampu belakang juga masih lagi sama. Mungkin sudah sempurna rekaannya, jadi tidak perlu pun aspek tersebut diubah.

Cuma, anda perlu masuk ke dalam ruang kabin untuk menikmati perubahan yang dibawakan oleh Toyota pada model ini.

Tempat duduk hadapan telah direka semula untuk aspek keselesaan, selain memegang erat pemandu sewaktu leka melayan selekoh.

Perubahan yang lebih besar ialah kehadiran skrin kluster digital 12.3 inci, membawakan antaramuka yang ringkas, dan paling penting masih lagi menyediakan grafik meter analog yang klasik.

Selain sokongan Apple CarPlay secara nirwayar, Corolla juga menyediakan slot pengecasan jenis USB-C pada konsol tengah, serta klip untuk memegang peranti pintar pada slot pengecasan tanpa wayar.

Selain daripada itu, spesifikasi asas masih lagi sama, seperti ruang kargo sebesar 470 liter, suspensi topang MacPherson dan double wishbone, sistem stereng kuasa elektrik, diikuti sistem brek cakera depan dan belakang.

Penulis berkesempatan menguji Corolla ini dengan lebih jauh semasa bercuti ke Pantai Timur beberapa minggu yang lepas.

Satu perkara utama yang penulis perasan ialah kadar NVH yang dirasakan lebih senyap berbanding Corolla pra-facelit.

Kuasa 137 hp dan daya kilas 172 Nm yang dihamburkan oleh enjin 1.8 liter itu cukup memadai untuk menggerakkan badan seberat 1.3 tan ini.

Lincah, dan tiada momen kurang bertenaga dirasakan sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali disebabkan oleh mind set pemandu yang beranggapan Corolla ini bukan sebuah kereta sports, jadi pemanduan dibuat dengan relaks dan bersahaja.

Cuma, anda perlu menikmati magis platform TNGA ini apabila keluar dari laluan lebuh raya dan masuk ke jalan-jalan persekutuan yang berselekoh dan berliku.

Di situ, anda akan mendapati tetapan gantungan MacPherson/Double Wishbone pada Corolla ini beraksi dengan cemerlang dengan pengendalian stabil setiap kali ia berjumpa dengan selekoh.

Olengan badan masih lagi terasa, namun pada tahap yang boleh dikawal walaupun sedan ini tidak dilengkapi dengan talaan suspensi yang lebih sporti macam varian GR Sport.

Selain itu, talaan sistem stereng berkuasa elektrik juga turut membantu pemandu mengendalikan sedan ini dengan tepat tanpa perlu bersilat sepanjang masa.

Apa yang diarahkan oleh pemandu, itulah yang direalisasikan oleh Corolla ini.

Cubaan untuk lari dari lebuh raya yang kadang kala ada kamera perangkap kelajuan itu nampaknya berjaya membuatkan penulis jatuh cinta pada satu laluan yang jarang digunakan orang ramai, menerusi pemanduan Corolla ini.

Yang pasti, suasana dalam kabin tidak terganggu oleh deruman bunyi enjin dan desingan bunyi angin, malah bunyi bising getah Dunlop SP Sport Maxx juga ditapis dengan baik.

Untuk sebuah sedan standard kilang, penulis nyata menikmati pemanduan yang lebih menyeronokkan daripada sebuah Corolla, berbanding Honda Civic dan Proton S70.

Tempat duduk standard itu juga cukup selesa untuk menemani kami sepanjang perjalanan.

Walaupun ada kalanya sedan ini perlu menempuh jalan tar dengan kualiti seumpama permukaan planet Marikh, penumpang di sebelah masih tidur nyenyak.

Ruang kargo sebesar 470 liter itu sudah memadai untuk memuatkan barangan keperluan semasa merentas negeri.

Tidak seperti Vios, anda boleh lipat tempat duduk baris kedua untuk menyediakan ruang yang lebih besar.

Kadar penggunaan bahan api juga memuaskan, di mana penulis berjaya mencapai angka serendah 8.1 liter untuk setiap 100 km, atau kira-kira 680 km untuk sekali isian penuh.

Aspek keselamatan tidak perlu dirisaukan, kerana secara standard Corolla ini lengkap dengan Toyota Safety Sense.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah sistem pra-pelanggaran (PCS), amaran keluar lorong (LDA), bantuan suluhan tinggi (AHB), pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta kawalan jelajah radar dinamik (DRCC) yang sangat berguna semasa di atas lebuh raya.

Selain itu, terdapat juga tujuh beg udara SRS, amaran peringatan tali pinggang keledar, serta cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak di belakang.

Di penghujung hari, apa yang boleh penulis simpulkan ialah Toyota Corolla 1.8G ini boleh jadi satu pilihan sedan keluarga yang berbaloi untuk dimiliki dan dipertimbangkan.

Toyota Corolla facelift ini menawarkan satu pakej lengkap untuk mereka yang mementingkan aspek praktikaliti dan keselesaan tanpa mengorbankan soal pemanduan yang menyeronokkan.

Dengan harga jualan bermula dari RM147,800 untuk varian 1.8G, tidak salah untuk anda lari dari kebiasaan masyarakat yang begitu menggemari logo H untuk sebuah peneman balik kampung yang cukup sempurna ini.

 

Spesifikasi Toyota Corolla 1.8G
Enjin: empat silinder sebaris 1.8 liter (2ZR-FE)
Kuasa: 137 hp @ 6,400 rpm
Daya kilas: 172 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: CVT 7-kelajuan
Suspensi: MacPherson/Double Wishbone
Rim: 17 inci
Kargo: 470 liter

 

Pengalaman Pandu Uji Proton S70 Flagship X Yang Kurang Memuaskan

Bila sebut pasal mana-mana kereta jenama Proton, ia akan menimbulkan sesi perdebatan yang tidak berkesudahan, lebih-lebih lagi bila melibatkan barisan model yang ditukarkan lencananya daripada pasaran Tanah Besar China.

Cakaplah apa sahaja yang anda mahu, kerana hakikatnya inilah pendekatan yang sesuai untuk Proton masa kini.

Lihat sahaja betapa banyak kelibat model-model SUV Proton di atas jalan raya pada masa kini.

 

 

Kalau dulu boleh tahan bersepah model X70, kini tempat SUV popular tempatan telah digantikan dengan model Proton X50 yang lebih lincah dan sporti. Bagaimana dengan Proton X90? Mungkin tak ramai yang pakai, tapi masih ada.

Tapi cerita kali ini penulis tidak akan menyentuh soal SUV, akan tetapi lebih berminat untuk berbicara tentang model kereta terbaharu Proton.

Lebih tepat lagi, sedan Proton S70 yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung tahun yang lepas.

 

 

Hendak bercerita tentang spesifikasi, rasanya semua sudah arif dan tahu yang Proton S70 ini dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS @ 5,500 rpm dan 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Ia juga datang dengan kotak gear yang jauh lebih moden berbanding pesaing dalam segmen harga bawah RM100k, iaitu DCT tujuh nisbah kelajuan.

Selain itu, Proton S70 juga datang dengan rekaan sedan tiga kotak yang lebih tradisional, jauh lebih senonoh berbanding bentuk sedan yang digantikannya, iaitu Proton Preve dan adiknya Proton Persona.

Rekaan sisi sedan ini juga mengingatkan kita pada sebuah lagi sedan, iaitu Proton Waja (bak kata Amirul Hazmi).

 

Jika dibandingkan dengan model-model pesaing (tak kira segmen B atau C), Proton S70 boleh disifatkan sebagai sebuah sedan mampu milik yang menawarkan kelengkapan yang lebih menyeluruh dan premium.

Jadi, bagaimana pula dengan pengalaman pemanduan? Adakah ia mampu menjadi model Proton yang terbaik?

Adakah S70 ini satu model yang berbaloi jika mahu naiktaraf daripada sedan Proton sedia ada? Kami ada pendapat sebaliknya:

 

1. Sedan bertenaga, dengan kuasa yang sukar dikawal

Dalam banyak-banyak pesaing, Proton S70 datang dengan tetapan rangkaian kuasa yang agak unik – enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tatkala model lain hanya dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA dan kotak gear CVT.

Canggih bermakna lebih baik?

Tidak juga. Walaupun S70 ini mampu menghasilkan kuasa pecutan yang agak baik di atas lebuh raya, lain pula ceritanya ketika ia mahu mula bergerak dari keadaan pegun.

 

Ini kerana ia mewarisi satu sifat malas bergerak yang hampir sama dengan abang besarnya Proton X70, walaupun kadar kemalasan itu kurang sedikit sahaja jika dibandingkan.

Lebih memburukkan keadaan, tayar hadapan Proton S70 ini ada kalanya gemar untuk berputar (buat aksi wheelspin) melebihi kadar cengkaman yang diperlukan sewaktu pedal pendikit ditekan agresif.

Ya, kedengaran cool bila dapat buat wheelspin depan orang ramai, tapi silap haribulan anda mungkin terpaksa mengira duit simpanan untuk melantak mee segera. Mungkin berpuasa lebih afdal.

 

2. Posisi pemanduan yang tidak selesa

Ini antara perkara yang membuatkan penulis bingung, kerana Proton sebelum ini sangat terkenal dengan penawaran tempat duduk yang selesa, jauh mengatasi keselesaan tempat duduk Perodua.

Tempat duduk hadapan balutan kulit palsu yang wujud pada S70 ini sukar menawarkan tahap keselesaan yang diperlukan, di mana kaki rasa agak tergantung bila ia diposisikan rendah. Keadaan ini lebih terasa sekiranya penulis terpaksa membuat perjalanan jarak jauh merentas negeri.

Acap kali juga penulis terpaksa mengubah kedudukan beberapa kali untuk mencapai posisi yang selesa dan ergonomik. Takkan la nak pandu sedan tapi posisi tempat duduk tinggi macam pandu SUV, kan?

Lebih aneh, penulis sebelum ini pernah duduk dalam varian Proton S70 yang dilengkapi dengan kerusi balutan fabrik, dan ia dirasakan jauh lebih selesa berbanding S70 Flagship X ini.

Untuk penumpang belakang, usah risau kerana tempat duduk baris kedua memang direka khas untuk anda menikmati keselesaan, dibantu dengan sistem pendingin hawa yang boleh tahan sejuk sepanjang masa.

 

3. Ciri shift-by-wire yang paling menyusahkan

Dalam dunia ini, terdapat pelbagai jenis sistem penukaran gear yang telah dicipta oleh pengeluar semata-mata untuk faktor cool di mata pengguna. Ada yang wujud dalam bentuk garis lurus, ada yang bengkang-bengkok, bersegi-segi dan ada yang mula menggunakan butang khas PRND.

Salah satu sistem yang menyusahkan pengguna sebenarnya wujud pada Proton S70.

Ciri penukaran gear shift-by-wire yang nampak ringkas ini memerlukan anda menarik dan menolak tuil gear berkali-kali untuk masuk ke dalam posisi gear yang diperlukan, dan ada kalanya ia langsung tidak masuk ke dalam posisi yang diinginkan.

Sistem yang rumit ini memang menyusahkan pemandu, terutama ketika sedang masuk parkir di kawasan yang sibuk waktu tengah hari, seperti contoh di kawasan sekitar Sunway Pyramid.

Bayangkan nak masuk petak parkir tapi tempoh masa yang diambil mengalahkan budak yang baru nak belajar memandu.

Lagi satu, sedan S70 ini langsung tiada paddle shifter! Jadi jika anda mahu menikmati penukaran gear secara manual pun kena tarik tolak tuil gear ke kiri atau ke kanan.

 

 

Ibarat abam Dominic Toretto acah tukar gear automatik Dodge Charger empat pintu dalam filem Fast Furious…

 

4. Kabin senyap, tapi luar bising macam trak pikap

Seperkara yang membuatkan Proton S70 ini terasa mahal dipandu ialah tahap kesenyapan kabin yang baik, walaupun ada kalanya diganggu dengan bunyi bising yang datang daripada golekan tayar Goodyear Assurance Triplemax 2 atas turapan jalan yang tidak berkualiti.

Bunyi bising angin yang datang dari arah luar tidak jelas kedengaran dari dalam kabin, malah bunyi bising enjin juga berjaya ditapis dengan baik bagi mengelakkan sebarang ketidakselesaan sepanjang pemanduan.

Setelah penat memandu, anda semestinya memerlukan masa untuk berehat.

Masa inilah anda boleh keluar dari kereta untuk menikmati bunyi enjin S70 melahu seakan bunyi trak pikap berenjin diesel. Orang sebelah pun mungkin terkejut bila mendengar S70 anda berperangai macam trak pikap.

 

5. Aspek pemanduan, bukan untuk mereka yang mahukan kepuasan

Usah salah sangka, penulis bukanlah bermaksud pemanduan Proton S70 ini langsung tidak sedap.

Berdasarkan pengalaman beberapa hari menguji, penulis juga amat suka dengan apa yang ditawarkan oleh S70.

Pertama, talaan respons stereng yang ringan dan mudah untuk dikawal, dan patuh pada setiap arahan pemandu, di mana maklum balas yang diterima agak baik.

Terdapat juga beberapa mod talaan termasuklah Comfort, Normal dan Sport untuk pemanduan yang lebih..err.. sporti!

 

Kedua, sistem suspensi yang telah diubah mengikut citarasa tempatan.

S70 secara standard datang dengan tetapan topang MacPherson di depan, dan torsion beam di belakang. Agak ringkas di situ. Menurut Proton, ia telah disesuaikan dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman, sistem gantungan S70 ini dirasakan mampu menyerap segala hentakan dan ketidakrataan jalan dengan baik, tanpa menghasilkan gegaran dan bunyi bising ketara yang mampu mengganggu kesejahteraan penumpang.

 

Ketiga, casis Proton S70 yang memang mantap dan terasa mahalnya di situ.

Semasa menikmati jalan-jalan lama, boleh dirasakan casis S70 ini menghasilkan olengan badan yang terkawal, tidak terlalu agresif sehingga menyebabkan pemandu terpaksa bersilat dengan stereng.

Ketiga-tiga aspek ini bekerja dengan harmoni bagi memastikan pemanduan yang lebih mengujakan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia, terutama di kawasan yang berselekoh.

Cuma, bagi jiwa-jiwa yang sensitif, aspek pemanduan dan pengendalian Proton S70 ini masih lagi belum cukup sifat seperti yang pernah ditawarkan pada model-model sedan Proton terdahulu (Waja, Preve, Persona).

Respons stereng bantuan elektrik tersebut dirasakan tidak cukup sensitif dan sporti (walaupun dalam mod Sport), dan had yang ditunjukkan oleh suspensi torsion beam belakang sewaktu kereta ini dibelasah di selekoh juga menyebabkan S70 ini rasa sedikit tidak sempurna.

 

Tapi untuk golongan kebanyakan, tetapan standard yang dibawakan pada Proton S70 ini rasa sudah pun memadai.

Cuma kalau ada bajet lebih, tukar sahaja tayar asal kepada tayar yang lebih berprestasi.

Tahukah anda, penulis tidak pernah menyukai pemanduan X70, tapi Proton sebenarnya berjaya menjadikan pemanduan SUV tersebut lebih dinamik dengan penggunaan tayar Continental UltraContact UC6.

 

6. Kokpit ringkas, dah macam Tesla Model 3

Antara perkara yang membuatkan pengalaman pemanduan penulis rasa tidak teruja ialah susun atur ruang kabin yang mengingatkan penulis pada EV Tesla Model 3.

Ya, jujur kami cakap, rekaan papan pemuka Proton S70 merupakan antara yang terkemas Proton pernah tawarkan kepada pengguna, dengan kehadiran butang fungsi yang agak minimum untuk penampilan yang minimalis.

Namun, terlalu ringkas mungkin akan menyusahkan pengguna di kemudian hari, terutama bagi mereka yang masih lagi rindukan butang kawalan fizikal.

 

Seperti contoh, untuk membuka bumbung kaca, anda perlu mencari fungsi tersebut di dalam skrin infohibur, memandangkan tiada langsung butang fungsi khas disediakan pada tempat yang sepatutnya.

Sistem arahan berbentuk suara ‘Hi Proton’ ada kalanya lambat untuk bertindak, mungkin sekali disebabkan oleh sistem terpaksa memahamkan loghat Nismilan yang tak sengaja dikeluarkan semasa bersuara.

Samalah juga halnya apabila pemandu mahu mengubah mod pemanduan, jari jemari terpaksa menari di skrin infohibur terlebih dahulu sebelum dapat mengubah mod yang diinginkan.

Jadi, kebanyakan masa penulis lebih gemar membiarkan mod pemanduan dikekalkan pada mod Comfort.

 

7. Skrin kluster digital, tapi masih lagi ada perangai X70

 

Ciri skrin kluster digital merupakan satu perkara yang normal untuk kereta-kereta baharu, di mana untuk S70 anda boleh mendapatkan ciri ini menerusi dua varian tertinggi, iaitu Flagship dan Flagship X.

Skrin ini membawakan antaramuka (UI) yang lebih ringkas, mudah untuk dibaca dengan dua mod paparan iaitu cerah atau gelap.

Biarpun jauh lebih ringkas berbanding skrin yang wujud pada X70, ia tetap mewarisi satu ciri yang biasa didapati pada kereta buatan China, iaitu masalah paparan info yang berterabur dan cenderung untuk membuatkan pemandu rasa serabut.

Selain itu, penulis mendapati tidak banyak penyesuaian yang boleh dibuat seperti memilih paparan meter kelajuan berbentuk analog, atau tema grafik yang mampu membuatkan pemandu rasa teruja.

Mujur juga skrin tersebut boleh ditetapkan mod paparannya mengikut masa, jadi untuk tidak menyakitkan mata pada waktu siang, ubah saja paparan kepada mod gelap yang lebih menyenangkan pemandangan.

 

Cukup sudah tujuh perkara yang kami kurang gemar, ini pula senarai lima perkara yang membuatkan S70 ini satu model yang berbaloi untuk anda miliki:

 

1. Kelengkapan keselamatan lebih menyeluruh untuk sebuah sedan Proton

Sejak bertahun-tahun lamanya penulis mengimpikan Proton untuk menaik taraf sedan Persona dan Saga dengan ciri keselamatan yang lebih maju.

Sayang sekali, impian tersebut sukar untuk direalisasikan walaupun sudah beberapa model facelift bertaraf lima bintang ASEAN NCAP itu dilancarkan.

Kekecewaan tersebut akhirnya terubat dengan kehadiran Proton S70 Flagship X, di mana secara standard ia didatangkan dengan bermacam-macam akronim yang boleh membuatkan lidah terbelit.

Paling penting, sedan S70 kini datang dengan ciri pengesanan titik buta yang diintegrasikan ke dalam fungsi Bantuan Penukaran Lorong (LCA) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Ciri lain termasuklah enam beg udara, Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Informasi Papan Tanda Trafik (TSI), Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IIHBC) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) membuatkan S70 ini satu model yang agak berbaloi untuk dipertimbangkan.

 

2. Sistem kamera keliling yang jelas, terang dan nyata

 

Terlupa pula, skrin infohibur sebesar 12.3 inci itu sebenarnya masih lagi tidak menawarkan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Nak bising lebih-lebih pun, memang Proton takkan buat untuk barisan model sedia ada. Tunggu sahaja kehadiran model baharu yang akan muncul kelak.

Cuma, penulis agak suka dengan tahap ketajaman grafik paparan yang wujud, ditambah pula dengan menu yang ringkas dan intuitif.

Walaupun ada kalanya rasa jengkel untuk tangan menari seketika pada skrin, sistem menu yang wujud pada skrin infohibur Proton S70 ini sebenarnya amat mudah untuk digunakan.

Selain itu, S70 juga datang dengan sistem kamera 360 darjah dengan paparan yang cukup jelas dan tajam, mengalahkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

3. Sedan Proton yang paling jimat minyak?

Berdasarkan pengalaman memandu mana-mana sedan Proton (termasuklah sedan milik sendiri) sebelum ini, agak sukar untuk penulis mendapatkan satu bacaan yang positif.

Ini kerana Proton amat sinonim dengan barisan kereta yang sedap dipandu, akan tetapi pelahap bahan api. Sebut sahaja apa jua versi enjin empat silinder yang pernah Proton lancarkan sebelum ini.

Rata-rata model kereta Proton yang pernah penulis pandu uji sebelum ini sukar untuk melepasi angka 400 km untuk setangki minyak penuh, walaupun penulis sehabis baik memaksa kaki kanan untuk menjadi ringan semasa pemanduan.

Tapi dengan S70, penulis agak teruja kerana setangki penuh bahan api berkapasiti 50 liter itu membolehkan pemanduan melebihi 600 km berjaya dibuat tanpa perlu singgah stesen minyak dengan kerap.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 8.5 liter untuk setiap 100 km. Jadi, jimat ke tak jimat?

 

4. Tidak kedekut ruang

 

Secara asasnya, Proton S70 merupakan sebuah sedan yang dibina atas pelantar segmen B, namun dengan dimensi yang mampu menyaingi sedan dalam segmen C yang lebih besar.

Ukuran panjang kali lebar kali tinggi memang jauh mengatasi mana-mana model sedan dalam segmen B (Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera), malah dengan ruang kabin memang jauh lebih besar, luas dan selesa berbanding Proton Persona segmen B dan Persona segmen C.

Selain itu, Proton S70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih praktikal di mana sehingga 500 liter muatan boleh diisi pada ruang but belakang.

Tidak cukup dengan itu, anda boleh mendapatkan ruang barangan ekstra untuk meletakkan peranti pintar atau barangan lain pada ruang bawah konsol tengah, terima kasih kepada penggunaan sistem shift-by-wire yang menyusahkan.

 

5. Harga jualan yang memang berbaloi-baloi

Proton S70 varian Flagship X yang kami pandu uji ini dijual pada harga bermula dari RM94,800 sahaja, di mana anda akan mendapat kelengkapan tambahan seperti bumbung suria dan alat perakam video digital (DVR) tunggal.

Jelas sekali di penghujung hari, Proton S70 Flagship X ini merupakan satu pembelian yang sangat berbaloi jika anda merasakan kereta-kereta segmen B pada julat harga tersebut tidak cukup premium, atau harga sedan segmen C Jepun yang masih lagi di luar kemampuan.

Namun jika anda langsung tidak mementingkan elemen moden, kemewahan dan keselamatan canggih yang wujud pada varian Flagship X, masih wujud varian asas Executive dengan harga bermula dari RM73,800.

Bagi penulis, varian standard ini sudah lebih daripada mencukupi di mana ia masih lagi didatangkan dengan lampu halogen, lampu DRL LED, rim 16 inci, kelengkapan keselamatan ADAS asas (RCW, LCA, DOW, & RCTA).

Paling penting, varian asas ini juga dirasakan lebih selesa untuk pemandu dengan kehadiran tempat duduk balutan fabrik yang lebih menyokong postur pemandu dan paling penting, paparan meter analog tradisional!

Kejap, ini ulasan S70 Flagship X atau S70 Executive?

 

Spesifikasi ringkas Proton S70 2024

Enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa 150 PS @ 5,500 rpm
Daya kilas 226 Nm @ 1,750-4,000 rpm
Kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan
Sistem pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson hadapan/torsion beam belakang
Ruang kargo 500 liter
Tangki bahan api 50 liter
Harga RM94,800

 

Toyota Corolla GR Sport – Sekadar tepek emblem?

BAGUS sebenarnya sesebuah pengeluar mempunyai ‘halo car’ atau kereta yang terhebat dalam barisan model mereka. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi aspirasi pengguna yang belum cukup bajet dengan membeli model-model yang lebih mampu milik.

Sebagai contoh, Honda ada Civic Type R, maka peminat yang belum mampu boleh membeli Civic FE. Proton dulu ada Satria GTi, peminat boleh membeli Satria biasa. Dan Mazda dulu ada RX-7, peminat yang sedang menabung boleh membeli Mazda3 dahulu.

Toyota pula sekarang ada barisan kenderaan prestasi tinggi seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra. Jadi adakah ia mampu melariskan jualan Corolla dan Vios?

Eh ada juga model pertengahan, iaitu Corolla GR Sport. Ya, GR Sport sama seperti AMG Line untuk Mercedes atau M Sport untuk BMW; bukan all-out high performance, tetapi masih dapat ‘jajan’ sporti.

Kenapa perlu ada GR Sport?

Memandangkan Toyota Corolla sedan sudah berada dalam pasaran sejak 2019, maka bersesuaian untuk UMW Toyota memperkenalkan versi GR Sport sebagai pembaharuan atau facelift. Corolla GR Sport dilancarkan pada Ogos 2023, kira-kira empat tahun selepas pelancaran Corolla sedan.

Ini juga susulan pengenalan lima model GR secara serentak tahun lepas – GR86, GR Supra 6MT, GR Corolla, Hilux GR Sport, dan Corolla Cross GR Sport. Maka, Corolla sedan juga ibaratnya menunggu masa sahaja untuk di-GR-kan.

Dari sudut persaingan segmen-C pula, bagi penulis ini mungkin jawapan Toyota kepada Honda Civic FE di Malaysia. Jika dulu Honda Civic FC facelift pernah diberikan tayar Michelin Pilot Sport kerana Corolla mendapat Michelin Primacy, penulis anggap pengenalan GR Sport ini juga jawapan kepada Honda.

Sekadar tepek emblem?

Adakah ini sekadar tepek emblem GR? Tidak juga, lebih dari itu. Toyota Corolla GR Sport ini dilengkapi dengan bampar depan lebih agresif, bampar belakang dengan kemasan diffuser, tulisan-tulisan GR di merata badan luar dan dalam, dan grafik meter baharu yang lebih sporti.

Paling penting dan paling penulis suka, ialah rim lebih besar 18-inci, berbanding 17-inci pada model biasa. Kemudian tayar Dunlop SP Sport Maxx 225/40 yang nampak lebih sporti berbanding Michelin Primacy 225/45.

Akhir sekali ialah suspensi yang – menurut UMW Toyota – telah ditala semula penyerap hentak, spring, dan bar anti-olengnya.

Banyak juga ya? Cukup lazat? Oh ya, enjin tidak diusik, masih mengekalkan penggunaan 1.8-liter 2ZR-FE naturally-aspirated dengan 138hp dan 172Nm, dipadankan dengan CVT.

Kira ok juga lah, sebab harga pun bertambah RM5,000 sahaja berbanding Corolla biasa. Versi GR Sport ini dijual pada harga RM152,800. Bagi penulis, memberikan nilai wang yang cukup menarik jika dilihat perubahan dan talaan yang diberikan.

Cuma grafik meter ada satu perkara kurang memuaskan. Bila anda tukar mod, terdapat animasi Toyota Corolla bergerak tetapi dari rekaan rim yang dipaparkan, seperti Corolla biasa dan bukannya GR Sport. Sekadar komen untuk perkara yang tidak berapa penting.

Jadi, memang seronok dipandu?

Ya, seronok dipandu. Penulis masih ingat Toyota Corolla biasa dulu memang senyap, sangat refined, tetapi boleh dikerah laju jika anda mahu bergegas. Toyota Corolla GR Sport ini pula kebanyakan kawalannya lebih keras dan jitu.

Disebabkan suspensinya ditala semula pada agak banyak komponen, anda boleh terus merasainya. Sebagai contoh bila melalui bonggol, wah keras dan mantap juga serapan suspensinya.

Stereng juga sangat menerus atau direct. Sedikit input anda berikan ke kiri atau kanan, terus input ini dipindahkan ke badan kereta. Hampir tiada langsung free play di tengah stereng.

Talaan stereng yang tepat ini memberikan anda sensasi kepuasan semasa memandu di kelajuan tiga digit. Pada masa yang sama, ada rasa keyakinan memandu dan menjurus kepada meningkatnya tahap keselamatan.

Casis TNGA (Toyota New Global Architecture) pada Corolla biasa pun sudah boleh membuatkan kereta itu stabil dan senyap, dengan versi GR Sport ini ia menyerlahkan lagi kemampuan casis.

Cuma bila anda pandu Corolla GR Sport ini, jangan guna mod Sport kerana penulis dapati tetapan CVT-nya terlalu sensitif. Pedal minyak memang sedap dalam Sport. Tetapi untuk kepuasan dalam semua situasi, guna sahaja mod Normal.

Pedal minyak masih mengikut ‘input’ kaki, dan tindak balas CVT pula lebih semula jadi. Pemanduan secara keseluruhan lebih tenang tetapi kekal sporti.

Boleh pakai daily?

Dengan jiwa GR, sudah tentu Toyota Corolla ini masih boleh digunakan seharian! Ia bukanlah jentera prestasi tinggi yang terlalu fokus. Ia masih 80 peratus sedan keluarga, mungkin 20 peratus sahaja bersifat kereta sport.

Anda masih dapat praktikaliti harian sebuah sedan segmen-C. Seperti penulis katakan, kereta ini senyap, stabil, penulis berjaya pandu dengan lebih laju dari kebiasaan tetapi semua empat penumpang lena tidur. Magik casis TNGA dan input lancar penulis kot, ehem.

Corolla GR Sport masih sebuah sedan biasa, cuma pengalaman pemanduannya disuntik sedikit elemen sporti.

Dengan pemanduan seperti biasa, ada memecut, duduk dalam kesesakan trafik, bawa penumpang dan barangan, penulis masih dapat 9.0L per 100km, bersamaan 11.11km/liter.

Untuk siapa?

Bagi penulis, ada dua jenis pembeli sesuai untuk Toyota Corolla GR Sport ini. Pertama, mereka yang rasa segmen-C terlalu dibanjiri dengan Honda. Nak pilih Mazda, masih di luar bajet.

Jadi Corolla GR Sport di tengah-tengah. Sedikit kelainan, tetapi harga masih boleh tengok, orang kata.

Kedua, adalah jenis pembeli yang taksub dengan jenama Toyota atau Gazoo Racing. Pembeli ini berminat untuk menyambar GR Yaris bila harga terpakai kurang RM180,000 nanti, jadi sementara itu ambil Corolla GR Sport dahulu. Buat raso-raso

Spesifikasi Toyota Corolla GR Sport

Harga: RM152,800
Enjin: 2.0-liter naturally-aspirated 4-silinder
Kotak gear: CVT
Kuasa: 138hp @ 6,400rpm
Tork: 172Nm @ 4,000rpm

Toyota USA lancar sedan Corolla FX, edisi khas imbau hot hatch FX16 era 80-an

Secara asasnya, Toyota Corolla merupakan nama yang digunakan untuk pelbagai jenis kenderaan penumpang seperti sedan, hatchback, wagon dan juga yang terbaharu crossover Corolla Cross.

Biarpun sinonim dengan kereta penumpang, nama Corolla juga pernah pernah dikaitkan dengan versi yang lebih panas, seperti contoh Sprinter Trueno AE86, Corolla Levin GT Apex (AE101) dan tidak ketinggalan hot hatch GR Corolla yang lebih moden.

 

 

Di Amerika Syarikat, Toyota memperkemaskan penawaran keluarga Corolla dengan melancarkan model edisi khas yang digelar sebagai Corolla FX.

Ia merupakan satu penghormatan kepada hot hatch Corolla FX16 yang muncul pada tahun 1987.

Walaupun datang dengan nama sporti, Corolla FX 2025 ini sayang sekali hanya ditawarkan dalam bentuk badan sedan dan pacuan roda hadapan sahaja.

 

 

Spesifikasi enjin juga masih standard, di mana nadi Dynamic Force 2.0 liter itu masih lagi mampu menjana kuasa setinggi 169 hp dan 205 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Dibina berdasarkan gred SE yang ditawarkan di US, Corolla FX ini membawakan rupa luaran yang sedikit agresif, dimulakan dengan rim aloi hitam satin bersaiz 18 inci, bumbung hitam untuk penampilan dua tona, lencana warna hitam dan tidak ketinggalan perumah cermin sisi, juga berwarna hitam.

Tidak ketinggalan, sedan ini turut dipadankan dengan spoiler belakang membawakan imej yang lebih sporti.

 

 

Penggunaan platform TNGA-C pada Corolla menawarkan struktur casis yang lebih tegar dan titik graviti yang lebih rendah, namun untuk Corolla FX ini Toyota telah membawakan spring gegelung yang lebih rendah, diikuti dengan talaan yang lebih sporti pada sistem stereng elektrik.

Susun atur papan pemuka masih lagi sama tidak berubah, namun Corolla FX kini membawakan skrin infohibur baharu sebesar 10.5 inci secara standard, skrin kluster digital tujuh inci, pengecas peranti pintar tanpa wayar yang diambil daripada trim XSE, dan tempat duduk sport balutan fabrik Moonstone.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Corolla FX, iaitu Midnight Black Metallic, Ice Cap dan Underground.

 

 

Toyota Corolla FX16 1987

Spesifikasi sedan Mazda EZ-6 EV terdedah, 255 hp, jarak gerak 600 km

Mazda menerusi kerjasama dengan syarikat automotif China Changan bakal melancarkan sedan baharu Mazda EZ-6 di pasaran China dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menerusi informasi yang diperoleh daripada laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi (MIIT) China, Mazda EZ-6 bakal ditawarkan dalam dua pilihan unit rangkaian kuasa, motor elektrik (EV), atau sistem rangkaian kuasa penambah jarak (EREV).

Berikut merupakan fakta ringkas berkenaan Mazda EZ-6:

 

1. Dimensi

Ketiga-tiga versi sedan EZ-6 itu membawakan ukuran yang hampir sama, sepanjang 4,921 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,485 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,895 mm.

Difahamkan, jarak antara roda Mazda EZ-6 itu adalah lebih pendek 5 mm berbanding model sedan Deepal SL03 yang digunakan sebagai asas pembangunan.

 

2. EV atau EREV?

Versi EV dibekalkan dengan unit rangkaian kuasa yang dipinjamkan daripada model Deepal SL03, terdiri daripada motor elektrik berkuasa 255 hp, dengan pek bateri lithium iron phosphate CATL yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

Selain itu, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Sementara versi penambah jarak (EREV) pula menggandingkan nadi 1.5 liter (94 hp), motor elektrik berkuasa 215 hp, dan pek bateri lithium iron phosphate, di mana EZ-6 EREV ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

Walaupun dengan penambahan enjin, Mazda EZ-6 EREV mempunyai berat sehingga 1,862 kg sahaja, berbanding EZ-6 EV dengan berat sekitar 1,855 hingga 1,962 kg.

 

3. Perbezaan rekaan

 

Secara keseluruhan, kedua-dua versi EZ-6 EV dan EREV membawakan reka bentuk yang hampir sama sahaja, dengan bahasa rekaan yang diselarikan dengan apa yang digunakan pada model-model Mazda masa kini.

Cuma bezanya, model EZ-6 EV mempunyai struktur jeriji hadapan yang tertutup tanpa sebarang bukaan, sementara versi EZ-6 EREV pula datang dengan rekaan jeriji konvensional.

 

4. Kelengkapan ruang kabin

Mazda EZ-6 bakal membawakan ciri-ciri seperti skrin tengah terapung sebesar 14.6 inci, skrin kluster instrumen LCD, roda stereng rekaan bawah rata, cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8155, sistem bunyi Sony dan tempat duduk graviti sifar untuk pemandu dan penumpang hadapan.

 

Mazda EZ-6