Arkib Tag: Seal

BYD Seal jadi EV pertama dinobat Overall Malaysia Car of the Year

BYD Seal Premium Extended Range melakar sejarah apabila menjadi EV pertama yang merangkul anugerah Overall Car of the Year dalam majlis anugerah Malaysia Car of the Year Awards 2024 (MCOTY).

Selain pengiktirafan tertinggi itu, Seal Premium Extended Range turut mengungguli kategori Sedan Bawah RM200,000 dan xEV (RM150,000-RM300,000), sementara Seal Performance AWD memenangi kategori Sedan (RM200,000-RM300,000).

Tidak cukup dengan itu, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia iaitu BYD Sime Motors juga menang besar apabila menyapu empat anugerah secara keseluruhan.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors berkata penganugerahan ini mencerminkan kepimpinan berterusan Sime Motors dalam pasaran EV.

“Penghargaan ini mencerminkan kepercayaan terhadap tawaran BYD, disokong oleh rangkaian luas Sime Motors, pusat perkhidmatan yang luar biasa, dan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang di seluruh negara,” katanya.

MCOTY adalah satu pengiktirafan berprestij yang menonjolkan kecemerlangan dalam sektor automotif, meraikan pencapaian dalam inovasi, kelestarian, dan kecemerlangan.

Setiap kenderaan dinilai berdasarkan beberapa faktor seperti reka bentuk, keselamatan, prestasi, kecekapan tenaga dan nilai untuk wang. Panel juri terdiri daripada golongan profesional industri automotif, pakar, dan wakil media yang memastikan proses penilaian yang telus dan komprehensif.

Ini 5 benda kami tak suka tentang BYD Seal

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin lama semakin hangat dengan kehadiran pelbagai model menarik dari serata dunia.

Pada pengamatan penulis, dua jenama EV yang sering menjadi topik bualan ketika ini adalah Tesla dan BYD. Tesla menandakan kemasukannya ke pasaran tempatan menerusi pelancaran Model 3 facelift pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, BYD pula telah membawa masuk tiga model EV setakat ini, dengan Seal sebagai penawaran terbaru yang akan bersaing secara terus dengan Model 3 yang cukup popular itu.

Ketika memandu ujinya tempoh hari, penulis mendapati Seal mempunyai ramuan yang tepat untuk memberikan saingan sengit kepada lawannya itu namun seperti kebanyakan kereta lain, ia masih mempunyai beberapa kelemahan.

Berikut adalah lima perkara yang penulis tidak suka tentang Seal:

Terlalu banyak lencana

Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang Seal adalah kereta yang paling segak dalam segmennya, dengan bentuk sedan empat pintu sporty yang diserlahkan lagi dengan garisan karakter yang kuat, rim 19 inci dan diffuser belakang.

Bagaimanapun, mungkin kerana inginkan orang tahu yang kereta ini adalah buatan BYD, syarikat itu meletakkan dua tulisan ‘BYD’ pada tailgate. Bukan itu sahaja, terdapat juga tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’, iaitu masa yang diambil untuk pecutan 0-100 km/j. Ini sebenarnya tidak perlu kerana entah bagaimana ia membuatkan Seal nampak murah.

Bumbung panoramik besar tapi…

Seal didatangkan standard dengan bumbung suria panoramik yang besar. Ia memberikan pemandangan yang cantik pada waktu malam namun pada waktu siang ketika matahari berada tegak di atas kepala, ruang kabin boleh menjadi agak panas. Terasa seperti tiada sebarang perlindungan UV atau filem penebat haba langsung.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai penghadang cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual. Untuk kereta yang berharga hampir RM200,000, ini sesuatu yang menjengkelkan.

Canggih sangat pun susah juga

Penulis faham, bagi menghasilkan rekaan ruang kabin yang kemas dan teratur, pengeluar cuba untuk mengurangkan bilangan butang dan tombol fizikal sebanyak mungkin, dan mengintegrasikan fungsi-fungsi tersebut ke dalam sistem infotainmen.

Namun pengeluar perlu tahu bahawa tidak semua benda perlu didigitalkan. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa. Di dalam Seal, bukan suhu dan kelajuan kipas sahaja yang perlu dikawal menerusi skrin sentuh, malah corong juga perlu dilaras menggunakan kaedah yang sama.

Pengecasan tak cukup pantas

Seal dibangunkan menggunakan seni bina 800V yang biasa digunakan pada model-model EV mewah namun entah mengapa ia hanya mendapat pengecas pantas sehingga 150 kW sahaja.

Untuk pengecasan AC pula, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh. Sedangkan di Eropah model ini didatangkan dengan pengecas AC 11 kW.

Ruang but yang agak kecil

Seal mempunyai ukuran yang lebih panjang dan lebar berbanding kebanyakan sedan segmen C namun ruang butnya agak kecil iaitu 400 liter sahaja. Ada ruang simpanan tambahan sebesar 53 liter pada bahagian depan namun ia tidaklah seluas mana.

Untuk perbandingan, ruang but Model 3 adalah sebesar 682 liter manakala sedan segmen B iaitu Honda City pula mempunyai but sebesar 519 liter.

BYD Seal Performance AWD mengujakan tetapi tidak sempurna – Pandu Uji

BAGI anda yang terlepas, penulis sebenarnya sudah pernah memandu uji BYD Seal beberapa bulan sebelum sedan elektrik itu dilancarkan di Malaysia.

Ketika itu, penulis bersama-sama dengan beberapa penerbitan yang lain dijemput oleh pihak BYD Malaysia untuk merasai sendiri kehebatan Seal di Litar Antarabangsa Zhuhai di China.

Walaupun sesi pandu uji yang dijalankan boleh dikatakan agak pendek, pengalaman memandu Seal di litar tersebut sudah cukup untuk penulis mengatakan yang ia memang sebuah sedan yang berjiwa sporty.

Baru-baru ini, penulis sekali lagi diberi peluang untuk memandu uji Seal tetapi kali ini untuk tempoh yang lebih lama dan dalam persekitaran yang lebih familiar iaitu jalan raya di Malaysia.

Sejujurnya, penulis sebenarnya tidak begitu meminati reka bentuk kereta dari China kerana rata-rata pengeluar dari negara itu gemar ‘meminjam’ elemen-elemen dari model-model lain.

Namun dengan Seal, ia berbeza. Ia tidak nampak seperti mana-mana kereta lain dalam pasaran dan sebagai sebuah sedan sport, ia mempunyai bentuk yang atletik dan nampak laju walaupun tidak bergerak.

Ini kerana Seal direka oleh ketua rekaan BYD yang merupakan warga Jerman iaitu Wolfgang Egger. Beliau bukanlah nama yang asing dalam industri automotif, dengan pengalaman yang cukup luas dalam bidang reka bentuk bersama dengan nama-nama besar seperti Alfa Romeo, Lamborghini dan Audi.

Hasil sentuhan Egger memberikan Seal pekali seretan yang rendah iaitu 0.219, lebih rendah dari Porsche Taycan. Ini penting kerana bentuk yang aerodinamik akan memberikan impak yang besar terhadap jarak gerak sesebuah EV.

Cuma, ada beberapa benda kecil yang kurang cantik di mata penulis. Pertama, terdapat dua tulisan ‘BYD’ pada pintu but. Satu sebenarnya sudah memadai.

Kedua, terdapat tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’. Angka tersebut merujuk kepada prestasi pecutan 0-100 km/j kereta ini tetapi ini juga tidak perlu.

Jika anda seorang yang tradisional seperti penulis, anda pasti akan menyukai ruang dalaman Seal. Ia masih mempunyai butang fizikal, malah pemilihan gear perlu dilakukan menggunakan tombol sebenar dan bukannya menerusi skrin atau butang bodoh seperti sesetengah EV.

Sesetengah orang mungkin akan mengatakan yang ruang kabin Seal kolot atau ketinggalan zaman namun dengan pendekatan yang lebih konvensional ini, ia sebenarnya memudahkan pengguna untuk beralih dari ICE ke EV.

Dari segi kualiti, penulis berpuas hati dengan apa yang ditawarkan oleh Seal. Binaan papan pemuka dan konsol tengah terasa cukup solid, manakala kehadiran upholsteri ala suede dan juga kulit membuatkan penulis terasa seperti berada di dalam kereta conti yang lebih mahal.

Kelengkapan yang diberikan dilihat amat berbaloi dengan harga. Anda mendapat panel instrumen digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio dengan 12 pembesar suara, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Praktikaliti juga boleh dikatakan amat baik untuk sebuah kereta sport. Terdapat ruang simpanan yang agak besar di bawah konsol tengah dan perehat tangan, manakala bahagian belakang tempat duduk hadapan didatangkan dengan poket berkembar.

Tetapi sayangnya, kapasiti ruang but agak kecil iaitu 400 liter namun terdapat ruang simpanan tambahan di bawah lantai but. Jika ini masih tidak mencukupi, terdapat frunk sebesar 53 liter di depan.

Tempat duduk depan sangat selesa dan empuk, selain menawarkan sokongan yang baik untuk pemanduan agresif. Malah, rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ia lebih baik berbanding kerusi Mercedes-Benz EQS.

Di belakang, tempat duduk agak rendah dan anda masih mempunyai ruang kepala yang luas walaupun bumbung kereta ini agak rendah. Ruang kaki juga agak luas, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah, cuma anda tidak boleh melunjurkan kaki ke depan kerana kerusi depan diletakkan betul-betul di atas lantai.

Penulis amat menggemari Seal tetapi kereta ini mempunyai beberapa kelemahan yang agak ketara. Pertama sekali, pelarasan corong udara pendingin hawa hanya boleh dilakukan menerusi skrin sentuh, sesuatu yang penulis tidak pernah lihat sebelum ini.

Secara ringkasnya, ia menyusahkan dan tidak praktikal.

Kedua, Seal didatangkan dengan bumbung suria yang besar namun ia tidak disertakan dengan filem penebat cahaya, jadi ruang kabin boleh menjadi agak panas ketika matahari berada tegak di atas kepala.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai pelapik cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual.

Selain itu, sistem operasi sistem infotainment Seal mudah digunakan tetapi tidak selancar MBUX atau iDrive. Untuk menggunakan Apple CarPlay, anda perlu menyambungkan iPhone anda menggunakan kabel Type A kerana kabel Type C hanya menyokong fungsi pengecasan.

Varian Performance AWD yang penulis pandu uji didatangkan dua motor elektrik. Motor hadapan menjana 215 hp dan 310 Nm manakala motor belakang pula menjana 308 hp dan 360 Nm.

Gabungan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 523 hp dan 670 Nm, membolehkan Seal memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat.

Kali ini, penulis tidak membuat ujian pecutan kerana kereta di Zhuhai, kereta ini telah membuktikan yang ia mampu melakukannya walaupun dalam keadaan permukaan basah dan dengan tayar biasa.

Jadi, jika prestasi pecutan garis lurus adalah keutamaan anda, anda tidak perlu risau kerana Seal Performance AWD mampu mengalahkan atau sekurang-kurangnya mencabar kebanyakan kereta berprestasi tinggi yang ada dalam pasaran.

Cuma, ketika menekan pendikit, penulis dapat merasakan ada sedikit kelambatan atau delay. Walau bagaimanapun, ia tidaklah begitu ketara, malah kebanyakan pemandu mungkin tidak akan perasan. Ini mungkin sesuatu yang disengajakan sama ada untuk menjaga motor elektrik atau sebagai ciri keselamatan.

Pengendalian adalah satu lagi kelebihan yang ada pada Seal, terima kasih kepada sistem suspensi semi-aktif yang digelar sebagai FSD (Frequency Selective Damping). Secara asasnya, ia bertindak untuk melaraskan kekerasan dan kelembutan peredam mengikut keadaan jalan raya.

Di jalan yang rata, ia terasa lebih keras bagi menjadikan kereta lebih stabil dan responsif manakala di jalan yang beralun, ia menjadi lebih lembut bagi menyerap hentakan dengan lebih baik, sekaligus membuatkan kereta lebih selesa.

Berdasarkan pengalaman penulis, amatlah sukar untuk mendapatkan jarak gerak seperti yang dicanang oleh mana-mana pengeluar EV. Perkara yang sama juga penulis hadapi dengan Seal.

Seal Performance AWD didatangkan dengan bateri LFP berkapasiti 82.5 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 520 km mengikut kitaran WLTP. Ketika diambil di Ara Damansara, bateri berada pada tahap 98% dengan baki jarak 550 km.

Namun dengan gaya pemanduan yang agak agresif, penulis hanya mendapat jarak gerak sekitar 400 km. Ya, jauh lebih rendah berbanding apa yang ditulis dalam brosur tetapi seperti yang diperkatakan, penulis tidak begitu berhemah ketika memandu uji kereta ini.

Dengan gaya pemanduan yang lebih santai, penulis yakin ia boleh mencapai jarak hampir 500 km yang mana bagi penulis, sudah cukup bagus untuk kebanyakan pemandu di luar sana.

Seal didatangkan dengan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW yang boleh mengisi semula tenaga bateri dari 10 hingga 80% dalam 37 minit sahaja.

Bagaimanapun, untuk pengecasan AC, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh.

Namun satu kelebihan yang ada pada bateri Blade adalah anda sentiasa boleh mengecasnya sehingga 100% tanpa perlu risaukan tentang isu kemerosotan prestasi seperti yang sering berlaku pada bateri litium ion.

Spesifikasi BYD Seal Performance AWD

Harga: RM199,800
Kuasa: 523 hp
Tork: 650 Nm
Bateri: 82.5 kWj
Jarak gerak: 520 km (WLTP)

BYD Seal dapat sambutan, lebih 1,300 tempahan diterima dalam 4 hari

SIME Darby Motors (SDM) mengumumkan ia menerima lebih 1,300 tempahan untuk BYD Seal dalam tempoh empat hari selepas pelancaran.

Atas permintaan yang menggalakkan, SDM mengumumkan lanjutan kempen tempahan awalnya sehingga 3 Mac 2024.

Menerusi kempen ini, pelanggan yang membuat tempahan untuk Seal menerusi laman web atau di bilik pameran BYD di seluruh negara sebelum 3 Mac akan mendapat pengecas kediaman dan kredit pengecasan Gentari/ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Seal ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

Sebagai perbandingan, pesaing terdekatnya iaitu Tesla Model 3 dijual pada harga RM189,000 untuk Standard Range Rear Wheel Drive dan RM218,000 untuk Long Range All-Wheel Drive.

Seal versi Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Sementara itu, versi Performance mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk mencapai 100 km/j.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance.

Seal didatangkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, SDM berkata, “Maklum balas daripada rakyat Malaysia jelas menunjukkan kesediaan mereka untuk menerima kenderaan elektrik (EV) daripada BYD.”

Lebih 800 unit BYD Seal terjual dalam tempoh dua hari

SIME Darby Motors mengumumkan bahawa ia berjaya menjual lebih 800 unit BYD Seal dalam tempoh hanya dua hari selepas model itu dilancarkan.

Berikutan sambutan yang luar biasa itu, Sime Darby Motors akan menambah 300 lagi pakej BYD Seal Early Bird Special di mana pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menerima pengecas wallbox dan kredit pengecasan Gentari/ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Untuk pasaran Malaysia, Seal boleh didapati dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

Varian Premium dipacu motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Varian Performance pula mempunyai motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance.

BYD Seal dilancarkan di Malaysia – dua varian, harga dari RM180k

BYD Seal akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia. Ia merupakan model kenderaan elektrik (EV) BYD ketiga yang dibawa masuk ke negara ini oleh Sime Darby Motors selepas Atto 3 dan Dolphin.

Untuk pasaran tempatan, sedan elektrik daripada barisan Ocean Series itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

 

Varian Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Sementara itu, varian Performance didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.

 

Di samping itu, varian ini juga dilengkapi dengan Intelligent Torque Adaption Control (ITAC) dan penyerap hentak Frequency Selective Damping (FSD) pada bahagian hadapan dan belakang.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance. Kedua-dua angka adalah berdasarkan kitaran NEDC.

Untuk pengecasan, Seal didatangkan standard dengan pengecasan AC 7 kW yang mengambil masa 15.2 jam untuk pengecasan 0% hingga 100%. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW yang boleh melakukan pengecasan 10% hingga 80% dalam 37 minit.

Senarai kelengkapan antara kedua-dua varian berkenaan tidak jauh berbeza. Untuk bahagian luaran, ciri-ciri seperti lampu LED depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, kaca kalis bunyi dua lapis dan rim aloi 19 inci disertakan secara standard.

Untuk pasaran Malaysia, Seal boleh didapati dalam warna Cosmos White, Aurora White, Atlantis Grey dan Arctic Blue. Bagaimanapun, warna Arctic Blue adalah eksklusif untuk varian Performance.

Di dalam, anda akan menemui upholsteri kulit, pelarasan lapan hala dan sokongan lumbar empat hala untuk tempat duduk pemandu, pemanas dan penyejuk tempat duduk hadapan, pendingin hawa dua zon dan sistem penapis udara PM2.5 pada kedua-dua varian.

Sistem infohibur pula merangkumi daripada skrin sentuh berputar 15.6 inci, kluster instrumen digital 10.25 inci, dua pengecas wayarles, empat port USB dan sistem audio Dynaudio dengan 12 pembesar suara.

Sistem bantuan pemandu juga sama pada kedua-dua varian, terdiri daripada Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Emergency Lane Keeping Assist, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Detection dan banyak lagi.

Seal didatangkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun/150,000 km, waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km dan waranti unit pacuan selama lapan tahun/150,000 km.

Bukan itu sahaja, 800 pembeli pertama akan mendapat pengecas wallbox dan kredit pengecasan Gentari bernilai RM800 secara percuma.

BYD Seal sedia bersaing dengan Model 3 – Pandu Uji

RASANYA adil jika dikatakan bahawa setahun yang lalu, tidak ramai orang Malaysia yang pernah mendengar nama BYD.

Namun selepas pelancaran Atto 3 pada Disember 2022, pengeluar kenderaan dari China itu semakin menjadi sebutan ramai terutamanya dalam kalangan peminat kenderaan elektrik (EV).

Berikutan sambutan yang begitu menggalakkan, BYD memperkembangkan portfolionya menerusi pelancaran model EV yang kedua iaitu Dolphin.

Jika anda fikir yang dua model sudah cukup untuk sebuah jenama yang baru hendak mula bertapak, sangkaan anda sebenarnya salah.

Melihat pasaran EV negara ini yang sedang rancak berkembang, BYD berniat untuk mengambil langkah ofensif dengan membawa masuk satu lagi model yang menarik.

Kali ini, ia adalah sebuah sedan dengan perwatakan sporty yang akan memberi saingan secara terus kepada Tesla Model 3 iaitu Seal.

Walaupun masih belum diumumkan secara rasmi, Seal dijangka akan memasuki pasaran Malaysia dalam suku pertama 2024.

Dan sementara menunggu ketibaannya, baru-baru ini kami telah dijemput ke Zhuhai, China untuk melihat dengan lebih dekat Seal dan menguji kehebatan sedan elektrik itu di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Bagi yang anda belum tahu, Seal merupakan salah satu model Ocean Series yang juga termasuk Dolphin. Seperti hatchback kecil itu, ia juga dibina menggunakan e-platform 3.0 namun seperti yang boleh dilihat, rekaannya jauh lebih menggoda.

Bagi mereka yang sudah bosan dengan SUV dan crossover, Seal pastinya menarik perhatian kerana ia sebuah sedan empat pintu yang mempunyai elemen reka bentuk yang selalunya terdapat kereta berjenama mewah.

Ini termasuk bumbung ala coupe, pemegang pintu tersembunyi, batang cermin sisi yang nipis dan sirip diffuser yang menonjol. Tidak dilupakan signatur lampu LED depan dan belakang yang begitu menyerlah.

Jika dibandingkan dengan Atto 3 dan Dolphin, ruang dalaman model ini kelihatan lebih serius dan matang dengan tema warna gelap dan rekaan papan pemuka yang lebih konvensional.

Ia juga terasa lebih premium berbanding dua model tersebut, dengan gabungan kulit berkualiti tinggi dan material ala suede, dan tombol gear seperti kristal pada konsol tengah.

Dari segi kelengkapan, kereta ini mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pengguna masa kini seperti panel instrument digital, skrin sentuh berputar, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Dynaudio, dua pengecas wayarles, bumbung panoramik, NFC dan pendingin hawa dua zon.

Kereta ini juga cemerlang dari segi keselesaan dan praktikaliti. Walaupun mempunyai garisan bumbung yang agak rendah, ruang kepala dirasakan cukup luas. Ruang kaki juga agak besar, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan terowong tengah pada bahagian belakang.

Kapasiti ruang but tidaklah begitu besar iaitu 400 liter namun sekiranya ini tidak mencukupi, terdapat ruang storan tambahan di bawah lantai but dan frunk sebesar 53 liter di depan.

“Sporty”, “pecutan” dan “prestasi tinggi” adalah antara perkataan-perkataan yang sering digunakan oleh BYD untuk menggambarkan Seal, jadi Litar Antarabangsa Zhuhai dilihat sebagai lokasi yang paling tepat untuk menguji kemampuan sedan ini.

Sesi pandu uji pada hari itu dibahagikan kepada empat sesi iaitu pecutan, slalom, S-curve dan pemanduan trek penuh. Hujan yang dibawa oleh taufan sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pada hari itu namun secara keseluruhannya, objektif kami dengan Seal tercapai.

Untuk ujian pecutan, kami diberikan varian Performance AWD yang mempunyai 530 PS dan 670 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Atas kertas, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat, 0.4 lebih pantas berbanding Model 3 Long Range Dual Motor.

Angka tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk sebuah EV dengan dua motor elektrik namun agak mengagumkan yang ia berjaya melakukannya beberapa kali walaupun dalam keadaan permukaan basah, dengan tayar biasa.

Dalam mod Sport, tindak balas yang ditunjukkan oleh pendikit sangat memuaskan dan apa yang paling penting, stereng kekal dalam keadaan lurus dan terkawal dari mula pedal ditekan hinggalah ia dilepaskan.

Sesi slalom dan S-curve memberi peluang kepada saya untuk merasai kelebihan Seal dari segi pengendalian namun kedua-dua sesi itu tidak begitu mengujakan jika dibandingkan dengan sesi pemanduan penuh di litar.

Ini kerana Litar Antarabangsa Zhuhai mempunyai beberapa selekoh berkelajuan tinggi dan laluan lurus sepanjang 900 meter – elemen yang sangat sesuai untuk menguji kuasa dan juga casis Seal.

Seperti yang dikatakan, Seal boleh memecut seperti sebuah kereta sport sebenar namun apa yang lebih mengagumkan adalah talaan casis dan suspensi yang telah dilakukan oleh BYD.

Dengan pek bateri yang agak besar, Seal sebenarnya agak berat dengan berat keseluruhan mencecah 2,185 kg namun pergerakan badannya ketika mula memasuki selekoh boleh dikatakan agak responsif dan tepat dengan input stereng.

Bercakap tentang stereng, talaannya agak seimbang atau dalam erti kata lain, tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat. Mungkin bukan yang terbaik untuk pemanduan agresif di litar namun di jalan raya, rasanya ia sudah cukup memadai.

Namun dengan tork yang agak tinggi, Seal dirasakan agak cenderung untuk ‘membuang’ terutamanya jika pendikit ditekan semasa stereng sedang membelok. Bagaimanapun, harus diingat bahawa tayar yang digunakan bukan jenis UHP dan permukaan litar basah ketika itu.

Sesi pandu uji di Zhuhai ini agak pendek tetapi sudah cukup untuk saya mendapat sedikit idea mengenai apa yang boleh ditawarkan oleh Seal. Dari segi reka bentuk, kelengkapan dan prestasi, ia sudah cukup bersedia untuk menandingi pesaing terdekatnya.

Untuk faktor-faktor lain seperti kebolehgunaan, terutamanya dari segi jarak pandu dan pengecasan, kita perlu menunggu pelancarannya untuk pandu uji yang lebih komprehensif.

Bolehkah Seal menyaingi Model 3 yang mendapat sambutan hangat di sini? Ia bukan satu misi mustahil namun Sime Darby Motors selaku pengedar rasmi BYD perlu menetapkan harga yang kompetitif kerana pada pendapat saya, hargalah yang akan menjadi faktor penentu terbesar untuk kejayaan Seal di Malaysia.

BYD Seal, Dolphin terima 5 bintang dari Euro NCAP

BUKAN satu, tetapi dua kenderaan elektrik (EV) keluaran BYD iaitu Seal dan Dolphin telah meraih pengiktirafan lima bintang dari program penilaian keselamatan EURO NCAP.

Menurut BYD, kunci utama pencapaian tersebut adalah kualiti binaan dan teknologi mereka termasuk e-Platform 3.0 dan bateri Blade. Platform berkenaan menampilkan struktur ‘multi-load path’ yang berfungsi untuk mengawal bagaimana tenaga diserap oleh kereta jika berlaku perlanggaran, seterusnya mengurangkan impak di dalam kabin.

Terima kasih kepada teknologi Cell-to-Body (CTB), Seal mempunyai ketegaran kilasan 40,500 Nm/darjah, membolehkan ia mencapai markah 89% untuk perlindungan penumpang dewasa.

Bukan itu sahaja, ruang penumpang juga kekal stabil dalam ujian offset hadapan, selain menawarkan perlindungan daripada kecederaan whiplash. Sistem eCall yang berfungsi untuk mengenakan brek selepas impak bagi mengelakkan perlanggaran kedua juga memainkan peranan.

Dalam ujian perlindungan kanak-kanak, Seal mencapai markah 87% dengan meminimumkan impak kepada bahagian-bahagian kritikal dalam ujian penghadang hadapan dan sisi.

Pengguna jalan raya seperti pejalan kaki dan penunggang basikal pula dilindungi dengan adanya sistem Autonomous Emergency Braking (AEB). Euro NCAP turut memuji sistem amaran yang berbunyi sekiranya pintu dibuka semasa penunggang basikal mendekati dari belakang.

Sementara itu, Dolphin mendapat markah 89% dalam ujian perlindungan penumpang dewasa dan 87% dalam ujian perlindungan penumpang kanak-kanak. Seperti Seal, ruang penumpang Dolphin kekal stabil dalam ujian offset hadapan, menawarkan perlindungan daripada whiplash.

Bukan itu sahaja, sistem bantuan keselamatan Dolphin yang merangkumi ciri-ciri seperti Intelligent Speed Limit Assist dan Lane Keeping Assist menerima 79% markah. Sistem AEB pula menyumbang kepada markah perlindungan pengguna jalan raya sebanyak 85%.

BYD Seal dilancarkan di Thailand, harga dari 1.3 juta baht (RM169k)

PESAING Tesla Model 3 dari China iaitu BYD Seal telah pun dilancarkan secara rasminya ke pasaran Thailand pada 28 September lalu.

Di sana, Seal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic RWD, Premium RWD dan Performance AWD, dengan harga bermula dari 1,325,000 baht hingga 1,599,000 baht (RM169,427 hingga RM204,464).

Menurut CarNewsChina, sedan elektrik itu mendapat lebih 1,100 tempahan dalam tempoh sejam selepas ia dilancarkan. Syarikat itu juga telah menyerahkan 39 unit pertama kepada pemilik dalam majlis pelancaran itu.

Seperti Atto 3 dan Dolphin, Seal juga dibina berasaskan e-platform 3.0 serta mempunyai seni bina Cell-to-Body (CTB) yang menjadikan bateri sebahagian daripada struktur kenderaan, sekali gus meningkatkan ketegaran dan keselamatan.

Dari segi saiz, Seal mempunyai ukuran panjang 4,800 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,460 mm dan tapak roda 2,920 mm, bermakna ia lebih panjang dan lebar jika dibandingkan dengan Model 3.

Varian Dynamic RWD dilengkapi dengan bateri LFP 61.4 kWj dan sebuah motor elektrik berkuasa 204 hp pada gandar belakang. Ia menawarkan jarak pandu sejauh 510 km dengan satu cas penuh.

Varian kedua iaitu Premium RWD pula mempunyai bateri lebih besar dengan kapasiti 82.5 kWj dan sebuah motor elektrik lebih berkuasa yang menjana 313 hp. Jarak pandu bagi varian ini adalah sekitar 650 km.

Sebagai varian tertinggi, Seal Performance AWD didatangkan dengan bateri 82.5 kWj dan dua motor elektrik yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 580 hp serta jarak pandu sejauh 580 km.

Untuk perbandingan, harga jualan Model 3 bermula di Thailand dari 1,659,000 baht (RM212,136) untuk varian RWD, 1,879,000 baht (RM240,267) untuk Long Range AWD dan 2,059,000 (RM263,284) untuk Performance AWD.

Sementara itu, BYD Malaysia dijangka melancarkan Seal sekitar suku keempat tahun ini namun spesifikasi dan harga masih menjadi teka-teki setakat ini.