Arkib Tag: rxz members

Pahang sedia jadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0

PAHANG sedia menjadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0 tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan itu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Members, awal tahun depan,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu nanti.

“Insya-Allah berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara luar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan Yamaha RXZ terbesar di Malaysia itu sudah memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini selepas kali pertama diadakan bermula 2017 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Walaubagaimanapun edisi kelima baru-baru ini menjadi isu hangat apabila ramai motosikal peserta himpunan yang ‘dipukat’ dalam operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa. Jadi adakah wajar lokasi acara ini ditukar?

Dan jika ditukar, adakah ia menjamina tiada operasi akan dijalankan? Paling penting, setiap peserta wajarlah menunggang motosikal dengan mematuhi semua undang-undang jalan raya.

RXZ Members patut jadi peluang pihak berkuasa dekati masyarakat, buat kempen kesedaran – Mohd Fadli Salleh

RXZ Members menjengah lagi tahun ini, diadakan di Terengganu International Drag Strip (Gong Badak), Terengganu, semalam pada 9 September 2023.

Ia telah mengumpulkan para penunggang, pemilik, serta peminat Yamaha RX-Z seluruh negara, malah ada yang difahamkan hadir dari Sabah dan Sarawak walaupun mereka terpaksa merancang semula perjalanan disebabkan penangguhan dari Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Gambar oleh: Bernama

Namun, seperti biasa acara besar-besaran yang menarik puluhan ribu pengunjung ini menjadi sasaran pihak berkuasa menjalankan operasi.

Walaupun kami faham matlamat pihak berkuasa memandangkan ramai antara anak muda peserta yang mungkin menunggang motosikal yang tidak mematuhi undang-undang dan garis panduan, kami tertarik dengan pandangan bahawa acara sebegini boleh dijadikan platform untuk pihak berkuasa mendekati dan mendidik mereka.

Pandangan ini disuarakan oleh Mohd Fadli Salleh, seorang guru dan penulis di Facebook di profail miliknya. Katanya, “Alangkah baiknya satu event (acara) yang mampu menjana ekonomi negara, yang menarik minat ratusan ribu anak muda untuk hadiri, pihak berkuasa ambil peluang ini dekati dan didik mereka.”

“JPJ dan Polis Trafik patut guna peluang ini untuk buka booth bayaran saman, buat slot kesedaran keselamatan jalan raya, didik dan dekati masyarakat secara berdepan,” tulisnya lagi.

Kami sangat setuju dengan pendapat ini kerana daripada menahan dan ‘memukat’ anak muda ini dan menjadikan mereka ‘anti’ dengan pihak berkuasa, apa kata dekati dan ‘berkawan’ dengan mereka. Didik seperti ayah dan anak.

Anda boleh baca tulisan penuh Fadli di bawah ini. Adakah anda setuju dengan tulisannya?

Kerajaan cadang bina litar drag di setiap negeri – PM

KERAJAAN bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri bagi memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

“Setakat ini, hanya terdapat dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka,” katanya.

Menurutnya, apabila litar itu siap, ia akan memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Terengganu Drag Strip. Imej oleh: Facebook

“Perlumbaan drag mungkin tidak terlalu bahaya jika dibandingkan dengan perlumbaan trek kerana ia hanya memerlukan jalan yang lebih pendek dan lurus,” katanya ketika merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Litar Permotoran Drag Strip di Gong Badak, Sabtu lepas.

Perdana Menteri juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, membabitkan pembangunan sukan motosikal dan kereta, yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.

“Di bawah program itu, peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik, sekali gus dapat mencungkil bakat atlet permotoran negara bagi menyertai kejohanan serta perlumbaan di peringkat negeri dan nasional,” kata Ismail.

Menurutnya, kerajaan akan sentiasa menyokong aktiviti kelab permotoran, terutama dalam menjayakan program amal bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan seperti dilanda banjir, bagi mengurangkan aktiviti tidak sihat di jalanan.

“Pertubuhan berkaitan permotoran banyak melakukan aktiviti amal. Ketika banjir banyak kelab motor terbabit dengan kerja pembersihan rumah mangsa banjir.

“Mungkin boleh anjurkan (perhimpunan penunggang) setiap tahun dan kerajaan boleh beri penajaan, dapat ketengahkan minat anak-anak muda, dapat kurangkan tanggapan negatif terhadap penunggang yang dikaitkan dengan pelbagai nama seperti Mat Motor,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022, yang menerima lebih 30,000 kunjungan peminat sukan permotoran di seluruh negara itu.

Pada perhimpunan itu, penganjur turut menawarkan hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal Yamaha R1 1000cc bernilai RM135,000 serta dua buah Yamaha RXZ bernilai RM60,000.