Arkib Tag: Repsol

Honda RS-X Repsol Edition terima warna baharu – Terhad 5,000 unit, harga RM9,998

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan warna baharu untuk RS-X Repsol Edition. Ia ditawarkan pada harga RM9,998 tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran. Hanya 5,000 unit akan dikeluarkan, boleh mula didapati bermula 28 Oktober 2023.

Repsol Edition membawakan grafik ikonik yang menggabungkan warna putih, oren, merah, dan hitam seperti pasukan MotoGP.

Selain dari skema warna ini, spesifikasi lain adalah sama dengan RS-X biasa. Motosikal ini dipacu enjin 150cc DOHC Euro 4 dengan output 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear 6-kelajuan dan klac jenis basah.

Honda RS-X Repsol Edition juga dilengkapi dengan brek cakera untuk depan dan belakang, sementara ABS adalah satu saluran (depan sahaja).

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di depan, dengan monoshock di belakang berserta pelarasan pra-beban. RS-X ini menggunakan rim 17-inci dengan profail 90/80 di depan dan 120/70 di belakang.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api 4.5 liter, berat 1222kg, paparan meter digital dengan penunjuk gear, serta lampu LED depan dan belakang.

Seperti dinyatakan tadi, Honda RS-X Repsol Edition boleh mula didapati esok, 28 Oktober 2023. Ia hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda Vario 160 Edisi Repsol mula dijual – 2,000 unit sahaja, RM10,498

HONDA Vario 160, yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada November tahun lalu, kini boleh didapati dalam Edisi Repsol pada harga bermula dari RM10,498.

Menurut Boon Siew Honda, model ini boleh didapati di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 20 Julai 2023. Mereka yang berminat perlu segera mendapatkannya kerana hanya 2,000 unit akan ditawarkan.

Rasanya tidak perlu diperkatakan lagi yang ia tampil dengan livery ikonik Repsol yang menggabungkan warna putih, oren, merah dan hitam.

Sebagai pelengkap, terdapat tulisan ‘Honda’ berwarna merah pada bahagian bawah, serta rim 14 inci berwarna oren.

Selain itu, semuanya sama seperti versi standard. Vario 160 menggunakan kerangka enhanced Smart Architecture Frame (eSAF), tayar bersaiz 180/80 pada bahagian depan dan 120/70 pada bahagian belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang, serta ABS pada brek depan sahaja. Satu lagi ciri keselamatan yang ada ialah sistem kunci pintar dengan penggera.

Ciri-ciri lain termasuk lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Kuasa masih dibekalkan oleh enjin 157 cc silinder tunggal dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.