Arkib Tag: Renault Twingo

Renault teruskan projek EV kos rendah guna bantuan rakan kongsi China

Setelah perbincangan antara Renault dan Volkswagen tidak mencapai kata sepakat, pengeluar automotif Perancis itu dilapor akan meneruskan pembangunan model kenderaan elektrik kos rendah (Twingo EV) dengan bantuan daripada rakan kongsi China, lapor SCMP.

Menurut sumber yang enggan dikenali, keputusan untuk bekerjasama dengan syarikat China adalah kerana perancangan untuk menjual Renault Twingo EV bermula tahun 2026.

“Pembangunan model tersebut akan dibuat dengan rakan kongsi China untuk mengurangkan kos dan tempoh pembangunan,” ujar wakil Renault.

 

 

Sementara proses rekaan dan kejuruteraan lanjutan pula akan dibuat di Perancis yang diketuai oleh Ampere – divisyen EV Renault – sebelum Renault Twingo EV boleh mula dipasang di kilang Slovenia berdasarkan apa yang diumumkan oleh CEO-nya, Luca de Meo.

Langkah ini memungkinkan Renault untuk menjual Twingo EV di bawah julat harga €20,000 (RM102,085) di pasaran Eropah, sekaligus menjadikannya salah satu senjata ampuh untuk melawan penguasaan kenderaan elektrik mampu milik dari negara China.

Keputusan untuk bekerjasama dengan China juga memberikan petanda Renault kini sedia untuk belajar pendekatan pantas yang digunakan oleh syarikat dari Tanah Besar dalam pembangunan EV.

 

Renault Twingo Prototype – EV mampu milik, mula dijual 2026

RENAULT baru-baru ini memperlihatkan sebuah model serba baharu Twingo Prototype yang dijangka akan mula dijual pada tahun 2026.

Twingo baharu ini akan menjadi sebuah kereta elektrik mampu milik, dengan rekaan dan rupa paras yang diinspirasikan daripada model asal Twingo era 90-an.


Selain berkongsi bentuk yang hampir serupa, muka hadapan Twingo EV ini merupakan pendekatan yang lebih moden terhadap muka asal Twingo yang sememangnya sangat comel itu.

Malah, struktur tiga liang ventilasi yang wujud pada hud enjin model ori turut disertakan pada model baharu ini, dengan rekaan yang lebih garang.

Buat masa ini, spesifikasi penuh Renault Twingo EV masih lagi dirahsiakan, namun Renault menjanjikan angka kecekapan sekitar 10 km/kWh, jauh lebih cekap berbanding Ioniq 6 (6.8 km/kWh).

Menurut Renault, Twingo EV ini akan dijual tahun 2026 dengan tanda harga bermula bawah €20,000 (~RM102k), menjadikannya salah satu pesaing kepada EV jenama China yang semakin meningkat banyak masa kini.