Arkib Tag: REEV

XPeng X9 PowerX diperkenalkan – versi REEV dengan jarak melebihi 1,600 km

XPeng secara rasmi memperkenalkan X9 versi ‘range extender’ (REEV) yang dikenali sebagai X9 PowerX. Ini menjadikannya model pertama XPeng dengan enjin pembakaran dalaman sejak penubuhan syarikat itu lebih 10 tahun lalu.

Dijangka dilancarkan di pasaran China menjelang akhir tahun ini, X9 PowerX dilengkapi enjin 1.5-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 150 PS. Sebagai model REEV, enjin ini tidak memacu roda tetapi ditugaskan untuk menjana kuasa untuk bateri LFP 63.3 kWj.

Menurut laporan Autohome, X9 PowerX menawarkan jarak pemanduan elektrik sejauh 452 km berdasarkan kitaran CLTC. Sebagai perbandingan, X9 EV versi Standard Range dengan bateri 84.5 kWj mampu mencapai jarak sehingga 500 km (WLTP).

Walau bagaimanapun, apabila digabungkan dengan tangki minyak sebesar 60 liter, model REEV ini dikatakan mampu mencecah jarak keseluruhan 1,602 km.

Menariknya, terdapat dua angka penggunaan bahan api dilaporkan iaitu 0.15L/100 km dan 6.4L/100 km, di mana angka kedua dijangka merujuk kepada penggunaan apabila bateri kehabisan tenaga.

Dari segi reka bentuk, X9 PowerX mengekalkan gaya “mecha” futuristik versi EV tetapi kini hadir dengan gril aktif dan liang udara baharu pada bampar hadapan. Bampar belakang turut direka semula, dan warna baharu Aurora Teal kini ditawarkan untuk varian ini.

Ruang dalaman hampir sama dengan versi EV, namun varian ini didatangkan dengan stereng baharu dengan butang mod pemanduan. Ciri lain seperti skrin infohibur bersaiz 17.3 inci, skrin bumbung 21.4 inci, dan peti sejuk mini dikekalkan.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai harga jualan. Untuk rujukan, X9 EV telah dilancarkan di Malaysia pada Mac lalu dengan tiga varian iaitu Standard Range 2WD Pro (RM269,888), Long Range 2WD Pro (RM287,888) dan Long Range 2WD Pro Plus (RM299,888).

Leapmotor umum C10 varian REEV, enjin 1.5L, jarak pandu cecah 950 km

Leapmotor mengumumkan varian baharu bagi SUV elektrik C10 yang bakal muncul di Brussels Motor Show 2025 yang akan berlangsung pada Januari hadapan.

Leapmotor C10 varian REEV (Range Extender Electric Vehicle) itu menjanjikan manfaat daripada kedua-dua kenderaan elektrik dan enjin pembakaran dalaman dengan menawarkan jarak pemanduan yang lebih jauh dan kadar penjimatan bahan api yang baik.

C10 REEV ini menggandingkan motor elektrik berkuasa 215 PS dengan pek bateri sebesar 28.4 kWh yang hanya menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 145 km sahaja.

Dengan bantuan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai unit penambah jarak, C10 REEV ini boleh dipandu sejauh lebih 950 km untuk satu tangki bahan api penuh, dengan kadar penggunaan bahan api 0.4 liter untuk setiap 100 km.

Menurut Leapmotor, C10 REEV ini secara asasnya beroperasi sebagai sebuah EV untuk permulaan, namun apabila tenaga bateri semakin berkurangan, enjin tersebut akan dihidupkan untuk menjana kuasa elektrik dan mengecas bateri.

Pemilik juga boleh memilih untuk menggunakan pengecasan pantas DC 65 kW yang dapat menambah jarak sejauh 72.5 km dalam tempoh 18 minit sahaja.

Lebih banyak informasi berkenaan Leapmotor C10 REEV bakal diketahui menjelang acara Brussels Motor Show 2025 pada 10 hingga 19 Januari 2025.

Berminat dengan Leapmotor C10? Anda boleh baca ulasan pandu uji ringkas kami pada pautan INI.