Arkib Tag: R&D

Akio Toyoda kongsi pengalaman terbabas dalam GR Yaris di fasiliti R&D Shimoyama

Tidak salah untuk penulis sifatkan Toyota sebagai sebuah syarikat automotif yang paling ‘cool‘ di atas muka bumi.

Jika dibandingkan dengan rakan pesaing, ia mempunyai barisan model kereta sports yang cukup menarik seperti GR Yaris, GR Corolla dan GR86, serta beberapa model yang sedang dibangunkan kelak.

Tidak cukup dengan itu, Toyota juga dipimpin oleh seorang insan yang tidak langsung takut untuk mengotorkan tangan memandu uji dan bergiat aktif dalam sukan perlumbaan, iaitu Akio Toyoda selaku pengerusinya.

 

 

Bulan April yang lalu, Akio Toyoda telah merasmikan pembukaan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Toyota Technical Center Shimoyama, Toyota City.

Dalam masa yang sama beliau turut berkongsi pengalaman pernah terbabit dalam satu insiden kemalangan di fasiliti tersebut.

Insiden kemalangan tersebut berlaku pada Disember 2023, di mana Akio Toyoda pada ketika itu memandu sebuah jentera rali GR Yaris bersama-sama juara rali Jepun sembilan kali, Norihiko Katsuta sebagai jurupandu arah.

 

 

Berdasarkan rakaman yang disiarkan, jentera yang dipandu Akio Toyoda itu terbalik dengan keempat-empat tayar menghala ke langit setelah terlanggar satu longgokan batu di salah sebuah selekoh laluan batu kerikil.

Mujur kedua-dua pemandu dan jurupandu arah terselamat tanpa sebarang kecederaan, dan mengambil kesempatan untuk menyampaikan sendiri kisah pengalaman tersebut semasa pembukaan pusat R&D tersebut.

 

 

Jentera rali GR Yaris yang terbabas itu turut sama dipamerkan dalam acara tersebut, di mana idea di sebalik keputusan ini adalah untuk memperlihatkan mantera yang Toyoda mahu semua pekerja di Shimoyama amalkan, iaitu “Pandu, Rosak, Baiki” (Drive, Break, Fix).

Ini adalah bertepatan dengan apa yang diungkapkan sendiri oleh Akio Toyoda yang menyifatkan pusat R&D baharu ini sebagai lokasi terbaik untuk memandu, merosakkan dan menambahbaik kereta yang sedang dibangunkan.

Pusat R&D Shimoyama ini turut mempunyai sebuah litar ujian yang diinspirasikan daripada Litar Nurburgring sepanjang 5.3 km serta rekaan ruang pit yang turut menepati tema litar Neraka Hijau yang terkenal itu.

 

Toyota Technical Center Shimoyama kini lengkap, fasiliti seakan Litar Nurburgring

Ducati dan inovasi elektronik

MOTOSIKAL Ducati terhasil daripada gabungan kecantikan dan teknologi. Tidak kira sama ada Multistrada V4, Scrambler atau Panigale V4, setiap model direka untuk memberikan pengalaman menunggang yang tidak boleh dilupakan.

Dalam perkara ini, elektronik memainkan peranan yang sangat penting dan sebab itulah Ducati telah banyak melabur dalam pembangunan teknologi canggih terutamanya sejak 15 tahun yang lalu.

Pada 2008, Ducati muncul sebagai pengeluar motosikal pertama yang memperkenalkan ciri Traction Control. Setahun kemudian, syarikat itu memperkenalkan pula lampu depan LED menerusi model Streetfighter 1100.

Tahun 2010 menyaksikan kemunculan motosikal pertama yang dilengkapi dengan mod tunggangan iaitu Multistrada 1200 S.

Kelengkapan elektronik lain yang diperkenalkan oleh Ducati termasuk panel instrument TFT pada Diavel pada 2011. Pada 2012 pula, 1199 Panigale dilancarkan sebagai motosikal pertama yang dilengkapi dengan kluster lampu LED sepenuhnya dan pengurusan brek enjin elektronik.

Apa yang menarik, 1199 Panigale juga pernah merangkul anugerah reka bentuk Compasso d’Oro pada tahun 2014.

Teknologi keselamatan juga menjadi keutamaan bagi Ducati. Oleh itu, pada tahun 2014, Ducati dan Dainese melancarkan Multistrada 1200 Touring D|Air, iaitu motosikal pertama dengan sistem terintegrasi yang boleh berkomunkasi dengan beg udara di dalam jaket.

Tahun 2018 menyaksikan kemunculan sistem Slide By Brake pada Panigale V4, manakala pada 2020, Ducati memperkenalkan radar untuk Adaptive Cruise Control dan Blind Spot Detection pada Multistrada V4 Rally.

Untuk tahun ini, Multistrada V4 Rally mendapat satu lagi teknologi baharu iaitu extended deactivation, yang berfungsi untuk menyahaktifkan dua silinder belakang bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan haba.

Dari segi pembangunan dan penyelidikan (R&D), Ducati sentiasa berusaha untuk menambahbaik model-model sedia dari tahun ke tahun.

Sebagai contoh, pemilik Multistrada V4 sedia ada menerima sistem Minimum Pre Load dan Easy Lift secara percuma selepas ciri-ciri itu diperkenalkan pada model-model baharu.

Dalam aspek keselamatan pula, setiap motosikal Ducati didatangkan standard dengan ABS Cornering dan Traction Control.

Pendekatan yang diambil oleh Ducati ialah dengan membangunkan teknologi-teknologi secara dalaman menerusi kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka seperti Pirelli, Brembo dan Bosch.

Tambah Ducati lagi, pendekatan ini juga membolehkan mereka mengambil kawalan penuh ke atas teknologi-teknologi yang dipasang pada motosikal Ducati. Dengan cara ini, teknologi tersebut boleh disesuaikan mengikut keperluan tanpa sebarang sekatan.

Inovasi dalam elektronik bergerak seiring dengan pertumbuhan jabatan Sistem Elektrikal & Elektronik. Menerusi penyelidikan mereka, Ducati mampu mengkaji, membangunkan dan memperkenalkan sistem-sistem baharu dan berinovatif ke model produksi.

Turut menyumbang adalah pengalaman Ducati dalam kancah sukan permotoran. Usaha-usaha pembangunan solusi teknikal dan teknologi yang berterusan telah memberikan banyak ciri-ciri seperti Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshift, Riding Mode, Cornering ABS dan instrument TFT kepada barisan model Ducati.

Ducati mempunyai pelbagai kemudahan untuk menjalankan ujian semasa fasa pembangunan tanpa perlu bergantung kepada pembekal luaran.

Antara kemudahan yang dimaksudkan adalah jabatan Ujian Elektrikal dan Elektronik yang bertanggungjawab untuk menguji kualiti komponen elektrikal dan elektronik dalam satu tempoh masa tertentu.

Kaedah ini membolehkan syarikat itu menyelesaikan masalah yang mungkin timbul semasa fasa pembangunan dan memantau kualiti model yang sedia ada.

Antara ujian yang dijalankan oleh jabatan berkenaan termasuk ujian suhu ekstrem, ujian operasi menggunakan robot, serta software debugging.

Potensi besar EV, menteri sanggup bantu tarik pelabur ke Malaysia

MALAYSIA bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran atau penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenderaan elektrik (EV).

Perkara itu diumumkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi hantaran di akaun media sosial Facebook miliknya.

Jelas Wee, pihaknya juga bersedia memberi sebarang bantuan kepada pemain industri berminat melabur di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

“Saya amat mengalu-alukan pelaburan asing ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai platform penting untuk memasuki pasaran Asean pembuatan EV.

“Saya juga bersedia untuk memberi bantuan dan kerjasama kepada mereka yang berminat untuk melabur khususnya dalam sektor pengangkutan dan bidang pembuatan, pemasangan atau penyelidikan EV,” katanya.

Kenderaan elektrik (EV) mampu menjimatkan kos dan sumber tenaga. – Foto hiasan ihsan Volvo

Penggunaan EV dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna bukan sahaja kerana ia menjimatkan kos malah, membantu melestarikan alam sekitar.

Ketika ini kerajaan memberikan beberapa insentif khas kepada pengguna yang memiliki EV termasuk pengecualian penuh duti import dan eksais serta cukai jualan.

Terdapat juga pengecualian cukai jalan sepenuhnya bagi EV dan rebat cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk setiap pembelian dan pemasangan pengecas sehingga 31 Disember 2023.

Jual 60,419 kenderaan pada Feb, Chery sasar ‘tawan’ pasaran global

SYARIKAT pengeluar kenderaan nombor satu China Chery berjaya memasarkan lebih 60,419 produknya pada Februari tahun ini.

Chery dalam satu kenyataan berkata, ia meningkat 26.4 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

“Chery menjual sebanyak 60,419 kenderaan pada Februari…termasuk 19,997 unit di luar China,” katanya.

Jualan Chery bagi dua bulan pertama 2022 mencecah 147,459 kenderaan termasuk yang dieksport iaitu sebanyak 46,897 kenderaan.

Chery Tiggo 2 antara model mendapat permintaan tinggi. – Foto ihsan Chery International

Walaupun berdepan masalah kekurangan cip, Chery International berjaya mengembangkan pemasarannya menerusi pelancaran produk dan teknologi baharu.

Apa yang lebih membanggakan, syarikat itu juga memiliki enam pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Selain itu, Chery memiliki sepuluh pusat pengeluaran dan lebih 1,500 pusat jualan dan servis di luar China.

Chery semakin ke hadapan dengan mengutamakan rekaan mewah. – Foto ihsan Chery International

Hal ini menyaksikan kapasiti pengeluaran Chery di luar China mencapai 200,000 unit setahun. 

Kekal sebagai pengeksport kenderaan penumpang nombor satu China selama 19 tahun berturut-turut, Chery kini menyasarkan eksport tahunan mencecah 400,000 kenderaan.

Setakat ini, terdapat lebih 10 juta pengguna Chery termasuk dua juta di luar China.