Arkib Tag: Rali Safari Afrika Timur

Seiko lancar 3 jam tangan bertemakan jentera lagenda Datsun 240Z, harga serendah RM4,500

Pengeluar jam tangan terkemuka dunia Seiko mengumumkan tiga model jam tangan baharu di bawah siri Speedtimer, iaitu SPB517, SRQ057 dan SSC957.

Ketiga-tiga jam tangan tersebut mempunyai rekaan tersendiri yang diinspirasikan daripada jentera lagenda Datsun 240Z.

Jam tangan SPB517 menampilkan logo klasik Datsun pada bahagian dial dan penutup belakang.

Seiko SPB517 dikuasakan oleh pergerakan automatik Caliber 6R55, dengan casis 39.5 mm dan ketahanan kalis air sehingga 20 bar.

Hanya 2,500 unit sahaja dihasilkan, dan setiap satu dijual pada harga RM6,000.

Sementara SRQ057 pula mempunyai nama Datsun dalam tulisan berangkai, dan logo Datsun yang digunakan pada jentera rali pada komponen penutup belakang.

Jam tangan Seiko SRQ057 pula dikuasakan oleh pergerakan automatik Caliber 8R48 yang dilindungi casis 42 mm, dan ketahanan kalis air 10 bar.

Hanya 500 unit sahaja tersedia dan setiap satu berharga RM16,500.

Akhir sekali, SSC957 menampilkan tulisan Datsun dalam fon yang lebih kemas, dan penutup belakang yang mempunyai lakaran asli Datsun 240Z.

Seiko SSC957 mempunyai sistem pergerakan chronograph solar V192 dengan casis sebesar 41.4 mm dan ketahanan kalis air sehingga 10 bar.

Hanya 4,000 unit sahaja yang akan dihasilkan, setiap satu dijual pada harga bermula dari RM4,500.

Siri Speedtimer bermula pada tahun 1969 di mana Seiko pada ketika itu melancarkan jam tangan chronograph automatik yang pertama di dunia yang menampilkan teknologi canggih klac menegak (vertical clutch) dan roda kolum (column wheel).

Pada tahun yang sama, Datsun 240Z menjadi satu model yang sangat popular di seluruh dunia, terutama di Jepun dan Amerika Utara.

Berkongsi semangat untuk menyahut cabaran, Seiko turut menyokong aktiviti sukan permotoran Datsun 240Z pada awal 1970-an.

Pada tahun 1971, Datsun 240Z bernombor 11 dan logo Seiko di bahagian sisi berjaya meraih kejayaan di dalam Rali Safari Afrika Timur sejauh 6,200 km yang disifatkan sebagai salah satu perlumbaan paling sukar di dunia.