Arkib Tag: QJMotor Malaysia

QJMotor SRK921 sah masuk Malaysia – harga akan diumumkan Mei 2026

Selain skuter dan sportsbike, QJMotor Malaysia turut memperlihatkan sebuah jentera naked segmen 1,000 cc yang bakal masuk Malaysia tahun hadapan, iaitu QJMotor SRK921 2026.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 921 cc sejukan udara/minyak dengan kuasa 129 PS dan daya kilas 80 Nm.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Beginner, Standard dan Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak gas tunggal di belakang, peredam stereng Marzocchi, angkup brek empat omboh Brembo di depan serta angkup dua omboh di belakang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, kawalan pendikit ride-by-wire, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS), kawalan jelajah, penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah, serta kamera perakam tunggangan secara standard.

Mforce Bike Holdings akan mengumumkan harga jualan rasmi SRK921 ini semasa Mforce Bike Show 2026 yang akan berlangsung pada Mei tahun hadapan, dijangka 30 peratus lebih murah berbanding model pesaing dalam pasaran.

QJMotor SRK 450 RR 2026 rasmi – harga serendah RM25,888 sahaja

Sebuah lagi jentera ’empat dapur’ dilancarkan oleh QJMotor Malaysia, iaitu sportsbike SRK 450 RR dengan harga jualan yang agak murah – serendah RM25,888 sahaja.

Menurut Mforce, jentera ini disasarkan untuk golongan pengguna motosikal bersesaran rendah yang mahu naik taraf kepada motosikal bersesaran lebih tinggi pada harga yang lebih mampu beli.

Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 421 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 77.6 hp @ 14,000 rpm dan daya kilas 39 Nm @ 13,000 rpm, dengan dua mod tunggangan tersedia iaitu Standard dan Sport.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik (USD) Marzocchi, penyerap hentak tunggal di belakang, serta sistem brek Brembo dengan tetapan dua cakera di depan.

 

Ciri lain termasuklah sistem ambilan udara RAM Air, skrin paparan TFT saiz 7 inci, tangki bahan api 16.5 liter, tinggi pelana 795 mm, serta rim saiz 17 inci.

SRK 450 RR turut dilengkapi ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, dan kawalan cengkaman (TCS).

QJMotor SRK 250 RD 2026 rasmi di Malaysia – harga RM21,888

Selain skuter kembara, QJMotor Malaysia turut membawakan model sportsbike SRK 250 RD untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM21,888.

Ia membawakan enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menjana 40 hp @ 15,500 rpm dan daya kilas 22 Nm @ 12,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang, serta sistem brek Brembo depan dan belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, sistem ambilan udara RAM, skrin paparan TFT tujuh inci, tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter, pengecas peranti pintar 18W, tinggi pelana 795 mm, rim 17 inci serta winglet aerodinamik.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan depan dan belakang, dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

QJMotor ATX 250 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM12,988

QJMotor Malaysia mengumumkan model skuter terbaharu ATX 250 yang bakal tiba di pasaran Malaysia menjelang Januari 2026.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc menghasilkan 25.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Varian standard mendapat kelengkapan seperti fork hadapan konvensional, skrin penghadang angin boleh laras manual, rim aloi, crash bar, lampu LED, serta skrin paparan TFT saiz lima inci.

Varian ATX 250X pula mempunyai ciri eksklusif seperti fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar gas di belakang, rim lidi saiz 14 inci depan/13 inci belakang, serta kotak storan di belakang.

Ciri keselamatan termasuklah sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Harga jualan bermula dari RM12,988 untuk versi standard, dan RM13,988 untuk varian ATX 250X.

QJMotor E-LTR 2025 rasmi dilancarkan – harga dari RM6,999 sebelum rebat

Mforce Bike Holdings membawakan sebuah lagi skuter elektrik untuk pasaran tempatan, kali ini di bawah jenama QJMotor iaitu E-LTR 2025.

Dari segi kuasa, QJMotor E-LTR dijana dengan motor elektrik 4.02 hp yang mampu mencapai kelajuan maksimum 70 km/j, dan terdapt tiga mod kelajuan yang boleh dipilih.

Dengan bateri lithium-ion 74V 27Ah, E-LTR mampu mencapai jarak tunggangan sejauh 105 km untuk sekali cas penuh.

Tempoh pengecasan 30-80 peratus SoC hanya mengambil masa 5-6 jam.

Terdapat dua slot bateri disediakan, satu didatangkan standard bersama skuter manakala satu unit bateri lagi boleh ditambah secara pilihan.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah penyerap hentak hidraulik depan dan belakang, sistem brek cakera dengan teknologi CBS, rim 12 inci, lampu LED, paparan meter LCD dan slot pengecasan USB.

E-LTR turut menyediakan ruang simpanan di bahagian bawah tempat duduk, ruang tambahan berkembar di hadapan, serta cangkuk barang.

Skuter ini turut mempunyai fungsi kod ralat untuk memudahkan pengguna mengesan sebarang masalah teknikal dengan pantas.

Berat keseluruhan skuter elektrik ini cuma 98.5 kg tanpa bateri, sementara tinggi pelana pula sekitar 760 mm.

Harga jualan bermula dari RM6,999 (atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran), di mana pemilik juga layak untuk menerima rebat MARiiCas sehingga RM2,400.

QJMotor SRK250S rasmi di Malaysia – harga dari RM9,888

QJMotor Malaysia melancarkan sebuah lagi model baharu, QJMotor SRK250S bersempena dengan upacara pembukaan Mforce SmartShop Tat Kang Motor Sdn Bhd.

Motosikal sport naked tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 27.5 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 7,250 rpm.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac basah berbilang plat dan sistem pacuan akhir rantai.

Suspensi jentera ini terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik, diikuti dengan penyerap hentak gegelung tunggal boleh laras serta redaman minyak di bahagian belakang.

Sistem brek pula menggunakan rotor bersaiz 300 mm di depan, dibantu dengan rotor bersaiz 240 mm dan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu isyarat kecemasan, serta slot pengecasan USB Type-A.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin paparan digital yang turut menyokong sambungan Bluetooth kepada peranti pintar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 780 mm.

Terdapat dua pilihan warna iaitu hitam dan kelabu.

Untuk pasaran Malaysia, QJMotor SRK250S ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Cruiser QJMotor SRV600V rasmi masuk Malaysia – harga bermula RM33,888

Bersempena dengan pembukaan Mforce Smartshop Shun Yue Motor Sdn Bhd, QJMotor Malaysia turut melancarkan model cruiser SRV600V 2025 untuk pasaran tempatan.

Terdapat tiga pilihan warna disediakan, iaitu perak, Sky Black (matte) dan Night Black.

Cruiser ini dijana dengan enjin empat silinder sebaris 561 cc DOHC sejukan cecair, menghasilkan kuasa 67 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 54 Nm @ 8,000 rpm.

SRV600V turut dilengkapi dengan transmisi enam-kelajuan, klac jenis basah berbilang plat, dan sistem pacuan akhir tali sawat.

Aspek tunggangan dibantu dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, sistem suspensi gegelung teleskopik dengan redaman minyak di belakang, serta sistem brek cakera bersaiz 300 mm di depan dan 260 mm di belakang.

Secara standard, SRV600V ini hadir dengan sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED depan dan belakang, ekzos berkembar kiri dan kanan, slot pengecasan USB Type-A dan Type C.

Terdapat skrin digital berbentuk bulat yang turut menyokong sambungan Bluetooth serta sambungan kepada aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride.

Cruiser ini menyediakan tangki bahan api sebesar 16.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 720 mm.

Untuk pasaran Malaysia, QJMotor SRV600V dijual pada harga bermula RM33,888 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Setiap pembelian QJMotor SRV600V akan disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun tanpa had perbatuan, selain perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian.