Arkib Tag: Qi2

Nissan perkenal pengecas tanpa wayar Qi2 – lebih sejuk, lebih pantas

Nissan kini menyelesaikan salah satu masalah paling biasa dalam kereta: pengecasan telefon tanpa wayar yang perlahan, tidak stabil, atau terlalu panas.

Untuk pertama kali di Amerika Syarikat, syarikat itu memperkenalkan pengecas wayarles Qi2, yang akan mula ditawarkan pada Nissan Pathfinder dan Nissan Murano model tahun 2026.

Sistem Qi2 membawa peningkatan ketara berbanding pengecas wayarles lama. Ciri paling ketara adalah bulatan magnetik timbul pada pad pengecas. Permukaan magnetik ini memastikan telefon sejajar dengan betul bagi membolehkan pengecas memberikan kuasa optimum, walaupun untuk telefon dengan kamera besar di belakang.

Menurut syarikat itu, pengecas ini sesuai untuk iPhone (12 dan ke atas), Google Pixel (10 dan ke atas), serta peranti Android dengan kes aksesori yang serasi.

Selain itu, Qi2 turut dilengkapi kipas penyejuk bagi mengatasi masalah kepanasa yang boleh memperlahankan atau menghentikan pengecasan. Dengan kipas ini, Qi2 memastikan suhu telefon dan pengecas kekal rendah, sekaligus membolehkan pengecasan lebih pantas dan konsisten.

Qi2 mampu menghantar kuasa sehingga 15 watt, berbanding 5 watt pada sistem lama. Ia boleh mengecas bateri telefon dari 10% hingga 90% dalam hanya lebih 90 minit, jauh lebih cepat daripada empat jam sebelum ini.

Untuk kemudahan penggunaan, Qi2 juga menampilkan lampu status LED. Lampu oren menyala menandakan pengecasan sedang berlaku, hijau menandakan penuh, manakala oren berkelip memberi amaran jika objek asing diletakkan di pad atau telefon tidak sejajar dengan betul.

Dengan Qi2, pemandu boleh menikmati pengecasan lebih pantas, lebih sejuk dan lebih mudah semasa memandu, tanpa perlu risau tentang tahap bateri telefon.