Arkib Tag: pusat R&D

Kilang Proton Shah Alam rasmi ditutup, pindah operasi ke Tanjong Malim

Setelah hampir empat dekad, Proton akhirnya secara rasmi menutup kilang pemasangan kenderaan di Shah Alam menandakan penghujung era kegemilangan dalam sejarah automotif negara.

Unit terakhir Proton Saga dilapor meluncur keluar pada 30 September 2025.

Operasi pembuatan kini dipindahkan sepenuhnya ke Tanjong Malim, di mana seramai 1,400 orang kakitangan pengeluaran terakhir telah pun berpindah ke sana.

Satu majlis sambutan khas telah diadakan baru-baru ini di Proton Tanjong Malim bagi meraikan 1,400 pekerja, dan disempurnakan oleh Ainol Azmil, Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, bersama barisan pengurusan tertinggi PROTON.

Menurut Ainol Azmil, “Hari ini merupakan satu detik bersejarah buat PROTON apabila 1,400 rakan sekerja dari Shah Alam memulakan perjalanan baharu di Tanjong Malim.

“Dengan pengalaman dan dedikasi mereka selama ini, PROTON kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, menjadikan kilang ini sebagai hab utama untuk generasi baharu kenderaan PROTON,” ujarnya lagi.

Pengeluaran model Saga akan diteruskan di Tanjong Malim bersama model Persona, siri SUV X dan sedan S70 di hab pembuatan berteknologi tinggi AHTV yang turut menempatkan kilang pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton.

Fasiliti Tanjong Malim mempunyai kapasiti pengeluaran 250,000 unit setahun dan terdiri daripada lima bahagian pengeluaran utama, iaitu Pemesinan Enjin dan Transmisi, Penekapan, Pemasangan Badan, Cat, dan Pemasangan Akhir.

Ia juga merupakan satu-satunya fasiliti di luar China yang mempunyai barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI.

Kilang Proton Shah Alam telah beroperasi sejak tahun 1985, mempunyai keluasan sekitar 83.48 hektar dengan pelaburan bernilai RM370 juta.

Selain menempatkan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), ia juga lengkap dengan kemudahan ujian menyeluruh, serta trek ujian separa kelajuan tinggi.

Sepanjang tempoh operasi, kilang tersebut telah menghasilkan lebih 4 juta unit kenderaan termasuklah model ikonik Saga, Wira, Perdana dan Exora.

 

Proton rasmi buka pusat R&D di Teluk Hangzhou, China

Syarikat pengeluar kereta nasional Proton secara rasmi membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terletak di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI), Teluk Hangzhou, China.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar selaku Pengerusi PROTON; Syed Farizal Aminy Syed Mohamad, Konsul Jeneral, Konsulat Jeneral Malaysia, Shanghai; Jerry Gan, Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group; Li Chuanhai, Presiden Institut Penyelidikan Automobil Geely; Cai Shijie, Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Daerah Baru Teluk Hangzhou; Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON; bersama Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

Pembukaan fasiliti itu juga bertepatan dengan sambutan ulang tahun yang ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.

Fasiliti R&D itu merupakan pusat R&D global kumpulan Geely keenam yang dibuka sebagai pelengkap kepada kemudahan pusat R&D sedia ada di Shah Alam dan Tanjong Malim, Malaysia.

Dengan kekuatan tenaga pekerja sekitar 50 orang, pusat R&D ini akan membantu meningkatkan kerjasama rentas sempadan, selain memudahkan pemindahan pengetahuan antara Proton dan Geely, serta memacu inovasi untuk produk yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan Proton.

Selain daripada itu, ia juga turut berfungsi sebagai platform penghubung yang kritikal untuk Proton melibatkan diri dengan vendor berkebolehan untuk pembangunan berterusan di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak di samping memberi tumpuan kepada bidang kitaran hayat perniagaan penuh seperti kualiti, pemerolehan dan pembuatan.

Pusat R&D Proton di China mempunyai tiga jabatan bagi memastikan operasi yang lancar, iaitu:
Institut Penyelidikan Pusat – bertanggungjawab menyelaras sistem R&D bagi kenderaan dan mengukuhkan keupayaan teknologi Proton
Pusat Pembangunan Perisikan Data – pembangunan, penyelidikan, dan penyampaian data besar serta kecerdasan buatan sebelum merangka pelan penggunaan produk
Pusat Pendigitalan R&D – meneroka dan mengurus keperluan pendigitalan sistem R&D, dan merumuskan strategi untuk transformasi digital

 

Toyota Technical Center Shimoyama kini lengkap, fasiliti seakan Litar Nurburgring

Selain daripada kehadiran pelbagai jenis litar lumba yang terkenal, rakyat Jepun terutama warga Toyota boleh berbangga mereka kini mempunyai sebuah fasiliti yang mirip kepada Litar Neraka Hijau (Nurburgring), atau lebih tepat lagi Toyota Technical Center Shimoyama.

Terletak di kawasan pergunungan yang melintasi bandar Toyota dan Okazaki, pusat penyelidikan dan pembangunan Toyota itu mula beroperasi sepenuhnya pada 25 Mac yang lalu.

 

 

Mula dibina pada April 2018, pusat R&D itu menampilkan tiga seksyen utama, iaitu:
Central Area
-mula beroperasi April 2019
-menempatkan litar ujian ala Nurburgring sepanjang 5.3 km

Eastern Area
-mula beroperasi Oktober 2021
-terdapat litar ujian berkelajuan tinggi serta litar ujian khusus

Western Area
-mula beroperasi Mac 2024
-fasiliti pembangunan kenderaan baharu Toyota dan Lexus

 

 

Menepati tema ‘Litar Nurburgring’, Toyota turut menghasilkan rekaan ruang dalaman pusat R&D ini yang menyerupai rasa dan pengalaman ketika berada di lorong pit Nordschleife.

Di sini, kesemua 3,000 orang kakitangan termasuklah pemandu uji akan berkumpul untuk menilai dan menambah baik kenderaan baharu yang sedang dibangunkan, dibantu dengan pelbagai jenis kelengkapan digital canggih.

Fasiliti baharu ini juga turut menempatkan bangunan pelawat di mana ia akan menjadi tempat berkumpul rakan-rakan strategik dan pembekal Toyota.

 

 

Menurut Toyota, lebih daripada 60 peratus daripada kawasan seluas 650 hektar itu mengekalkan tumbuh-tumbuhan dan pokok hijau yang asal, selain kawasan hijau yang baharu dibangunkan sepenuhnya.

Pengerusi Toyota, Akio Toyoda turut menyifatkan pusat R&D baharu ini sebagai ‘tempat untuk memandu, merosakkan dan menambahbaik kereta’ yang sedang dibangunkan.

“Lebih banyak usaha dibuat untuk memandu dan merosakkannya, kereta itu akan menjadi semakin baik. Sebagai seorang ‘master driver‘, saya sendiri tidak sabar untuk menghabiskan banyak masa memandu di sekitar Shimoyama.”