Arkib Tag: PROTON

Proton umum Jelajah MISI 5 untuk promosi EV e.MAS 5 di seluruh negara

Proton New Energy Technology (Pro-NET) mengumumkan jelajah MISI 5 ke seluruh negara bermula Ogos hingga Oktober 2025.

Jelajah MISI 5 ini bertujuan untuk memperkenalkan model kedua EV Proton e.MAS 5 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Berikut merupakan senarai lokasi yang telah dijadualkan bermula 9 Ogos hingga 17 Ogos di sekitar Lembah Klang:

• 9 Ogos: SG Car (Shah Alam), Wheelcorp (Setia Alam), EON (Glenmarie) dan AJG (Puchong)
• 10 Ogos: AJG (Sri Kembangan), Jawira (Balakong), ProAuto (Kajang) dan Jewel Sonic (Putrajaya)
• 16 Ogos: Able Mobility (Cheras), MBF EV (Jalan Tun Razak), Cahaya (Segambut) dan Igreen (Setapak)
• 17 Ogos: Pantai Bharu (Rawang), EON (Damansara), Regal Motor (Petaling Jaya) dan Peringgit (Jalan Klang Lama)

Kemudian, Jelajah MISI 5 akan menghala ke Utara pada 21-25 Ogos, diikuti Pantai Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan) pada 4-8 September, Johor (13-15 September), Negeri Sembilan dan Melaka (20-21 September), Sarawak (25-28 September) dan akhir sekali Sabah (3-5 Oktober).

Menerusi jelajah ini, orang ramai berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat e.MAS 5, selain mempelajari bagaimana EV kedua Proton ini boleh disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.

999 unit Proton X50 diserahkan dalam tempoh hanya lima hari

Proton mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan sebanyak 999 unit X50 facelift dalam tempoh hanya lima hari bekerja selepas pelancaran rasminya pada 24 Julai lalu.

Sehingga akhir Julai, sebanyak 2,000 unit telah dikeluarkan dari kilang Proton di Tanjong Malim. Jumlah ini dijangka terus meningkat dalam tempoh terdekat bagi memastikan permintaan tinggi dapat dipenuhi dan tempoh menunggu bagi pelanggan kekal minimum.

Menurut Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, syarikat itu menerima 5,000 tempahan dalam tempoh 10 hari sebelum harga X50 diumumkan, dan jumlah tempahan meningkat kepada 8,000 unit menjelang akhir Julai.

Sejak dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2020, X50 telah menjadi SUV segmen-B paling popular di Malaysia, dengan lebih 140,000 unit telah terjual.

Model facelift ini meneruskan kejayaan tersebut dengan reka bentuk yang diperbaharui, ciri-ciri yang ditambah baik, serta tumpuan kepada segmen pelanggan yang lebih muda.

Tidak seperti sebelum ini, X50 baharu dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5-liter TD empat silinder yang menghasilkan 181 PS dan 290 Nm.

Ia digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, membolehkannya memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 7.6 saat, dengan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 4.7 peratus.

Model ini turut dilengkapi dengan sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS) yang dinaik taraf, skrin infotainmen bersaiz 14.6 inci yang lebih besar, serta fungsi pengecaman suara dalam Bahasa Melayu.

Tiga varian ditawarkan untuk X50 baharu ini iaitu Executive (RM89,800), Premium (RM101,800), dan Flagship (RM113,300).

Proton menawarkan rebat tunai sebanyak RM4,000 di bawah promosi “Gempak! Deal” kepada 10,000 pembeli terawal.

Proton tubuh syarikat eksport untuk luas jejak global

Proton Holdings Berhad mengumumkan penubuhan anak syarikat milik penuhnya, Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB) untuk menerajui usaha memperluas pasaran luar negara.

Enmund Lim Meng, bekas Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu ini.

PICSB akan dipertanggungjawabkan untuk memperluas pasaran eksport Proton dengan sasaran untuk berkembang ke negara-negara selatan global di samping menyelia dan membangunkan usaha jualan dan pemasaran di pasaran sedia ada.

Untuk sepanjang tahun 2025, PICSB menyasarkan jualan eksport mencecah angka 6,000 unit, dengan sasaran melebihi 10 kali ganda jumlah itu menjelang tahun 2030.

Buat masa ini, Proton sudah mengeksport 20,169 unit kenderaan ke 19 buah negara termasuklah Afrika Selatan, Angola, Bangladesh, Bermuda, Brunei, Fiji, Ghana, Iraq, Kenya, Mauritius, Mesir, Mozambique, Nepal, Pakistan, Papua New Guinea, Singapura, Sri Lanka, serta Trinidad & Tobago.

Tiga model Proton yang paling tinggi unit eksport sejak 2020 adalah Proton Saga (10,998 unit), Proton X50 (3,968 unit) serta Proton X70 (3,316 unit).

Sambutan hangat yang diterima untuk Proton e.MAS 7 menyebabkan angka jualan model tersebut melonjak ke tempat ketiga dalam jualan eksport tahun ini.

Sejak aktiviti eksport bermula ke Nepal dan Trinidad & Tobago, sebanyak 233 unit telah dihantar dan pada Disember 2024.

Model ini telah mengekalkan jualan kukuh dengan 916 unit terjual pada Mei untuk pasaran domestik dan antarabangsa, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) sebanyak 3,632 unit.

Sedikit sejarah ringkas, Proton memulakan eksport ke pasaran Bangladesh pada tahun 1986, setahun selepas kereta pertama dilancarkan.

Menjelang 1992, Proton menjadi francais kereta baharu paling pesat berkembang di UK dengan jualan tahunan mencapai 15,000 unit.

Menjelang awal tahun 2000-an, model-model Proton telah berada di 64 buah negara di seluruh dunia.

Proton catat jualan 11,069 unit sepanjang Jun 2025

Sepanjang bulan Jun 2025, Proton mencatatkan angka jualan berjumlah 11,069 unit, dengan jumlah jualan keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah 72,156 unit.

Ini menjadikan Proton sebagai jenama nombor dua di dalam industri, biarpun jumlah volum industri (TIV) merosot 21 peratus kepada 53,500 unit berbanding 68,007 unit pada bulan Mei.

Pegangan pasaran Proton bagi bulan Jun dianggarkan 20.7 peratus, atau peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding bulan terdahulu, dan 1.2 peratus lebih tinggi berbanding angka YTD 19.5 peratus.

Menurut Proton, jualan automotif menurun pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah, dan perluasan skop SST yang menjejaskan sentimen pembeli.

Setakat ini, Proton Saga masih lagi mendahului carta sebagai kereta Proton yang paling laris terjual, dengan jumlah 5,206 unit, diikuti Proton X50 (1,657 unit), Proton S70 (1,402 unit), Proton Persona (1,171 unit), Proton X70 (533 unit), Proton Iriz (288 unit) dan Proton X90 (174 unit).

Dalam pada itu, satu-satunya model EV Proton e.MAS 7 menamatkan separuh pertama 2025 dengan 4,253 unit terjual di pasaran domestik dan eksport, dengan penguasaan pasaran 24 peratus.

Jumlah eksport kenderaan Proton melonjak 56.8 peratus kepada 414 unit sepanjang Jun 2025 berbanding Jun 2024, menjadikan jumlah eksport untuk separuh pertama tahun ini meningkat 39.9 peratus kepada 2,250 unit.

Proton menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat apabila model Proton e.MAS7 diperkenalkan di lebih banyak negara kelak.

Berbalik semula kepada pasaran tempatan, Proton dijangka akan melancarkan model X50 facelift pada bulan Julai ini, membawakan perubahan dari segi rupa paras, enjin, serta penambahbaikan pada sistem ADAS 2.0.

Proton X50 2025: Beza antara varian Executive, Premium & Flagship

Proton secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV segmen B X50 2025 facelift pada hujung minggu lalu.

10,000 orang pelanggan pertama akan menerima tawaran eksklusif berupa rebat tunai bernilai RM1,000, kad Touch ‘n Go edisi terhad serta tawaran “Gempak” yang akan diumumkan sewaktu pelancaran rasminya kelak.

Buat masa ini, Proton masih lagi merahsiakan harga jualan X50 2025, namun difahamkan terdapat tiga varian utama iaitu Executive, Premium dan Flagship.

Secara standard, ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.6 saat, dan dikatakan 4.7 peratus lebih jimat minyak berbanding model terdahulu.

Berikut merupakan perincian baharu bagi setiap varian:

 

X50 Executive
– lampu hadapan LED baharu berserta lampu nyalaan siang
– lampu belakang LED baharu
– jeriji hadapan baharu
– rim aloi 17 inci baharu
– papan pemuka baharu
– konsol tengah dengan ruang storan bawah sebesar 10 liter
– skrin infohibur 14.6 inci dan skrin kluster 8.88 inci
– sokongan Hi Proton dalam Bahasa Malaysia
– sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
– tempat duduk fabrik
– enam pembesar suara
– sistem pendingin hawa automatik dengan penapis kabin N95
– enam beg udara
– kamera undur
– bantuan tukar lorong (LCA), amaran pelanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW)

 

X50 Premium (tambahan kepada ciri di atas)
– rim aloi 18 inci
– pintu tailgate berkuasa
– rak bumbung
– angkup brek merah
– sistem pencahayaan ambien 72 warna
– tempat duduk balutan kulit leatherette
– kamera HD 360 darjah + paparan telus pandang 180 darjah
– brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan pintar (ICC), amaran dan pengelakan keluar lorong (LDW & LDP), kawalan pemusatan lorong (LCC), informasi papan tanda trafik (TSI), bantuan suluhan tinggi (IHBC) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

 

X50 Flagship (tambahan kepada ciri di atas)
– spoiler bumbung sporti
– kemasan dua tona di luar
– kemasan hitam berkilat pada cermin sisi
– visor matahari separa telus
– slot pengecasan tanpa wayar
– bumbung kaca panorama
– kemasan dalaman dua tona
– Auto Park Assist (APA)

Terdapat lima warna yang ditawarkan untuk Proton X50, iaitu Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver serta warna baharu Teal Bayou Green.

Menurut Proton, model X50 2025 mempunyai kira-kira 245 komponen baharu dengan tempoh pembangunan memakan masa selama 412,000 jam dan telah menjalani ujian atas jalan raya sejauh 4.3 juta km.

 

 

Proton X50 2025 varian Premium

 

Proton X50 2025 varian Flagship

Proton e.Mas 7 dikemas kini untuk 2025 – warna hitam baharu, dalaman putih, dan Apple CarPlay

Pro-Net secara rasminya memperkenalkan Proton e.MAS 7 versi dikemas kini, yang dihasilkan berdasarkan maklum balas sebenar daripada pemilik.

Harga tidak berubah, RM109,800 untuk varian Prime dan RM123,800 untuk Premium.

Bermula dengan bahagian luaran, e.MAS 7 kini boleh didapati dalam warna Obsidian Black, yang menurut Proton mendapat permintaan yang tinggi.

Untuk bahagian dalaman pula, Pro-Net memperkenalkan pilihan warna Alabaster White untuk varian dengan warna luaran Premium Quartz Rose dan Turquoise Green.

Setiap varian dihadkan kepada 250 unit sahaja, bermakna terdapat 500 unit untuk direbut.

Sistem operasi Flyme Auto, yang boleh diakses menerusi skrin 15.4 inci, menerima beberapa kemas kini. Yang paling penting ialah kemasukan Apple CarPlay, dalam format berwayar dan tanpa wayar.

Kemas kini OTA yang diperbaharui juga membolehkan pemandu mengekalkan tetapan terakhir yang digunakan.

Bagi pengguna telefon pintar Android, Android Auto hanya akan tersedia pada hujung tahun ini.

Selain itu, terdapat sokongan untuk lebih banyak aplikasi pihak ketiga termasuk Zoom for Cars, izi.TRAVEL dan Vivaldi Browser.

Dari segi keselamatan, sistem amaran bunyi kelajuan rendah e.MAS 7 kini hadir dengan dua pilihan bunyi tambahan: Galactic Note dan Space Walk, selain nada Classical sedia ada.

Bunyi yang dipilih akan disimpan dan dimainkan semula setiap kali kenderaan dihidupkan.

Pro-Net turut mengumumkan pakej jualan baharu Power Pack+ yang menawarkan nilai tambah kepada pelanggan. Ia merangkumi:

  • Power Home: Pengecas rumah 7kW percuma bernilai RM1,500
  • Power Plus: V2L percuma bernilai RM500
  • Power Online: Data internet tanpa had selama 5 tahun bernilai RM1,800
  • Power Thru: Waranti tanpa had perbatuan selama 6 tahun untuk kenderaan, serta waranti 8 tahun/160,000 km untuk bateri voltan tinggi
  • Power Exchange: Rebat tukar beli bernilai RM5,000

Selain itu, e.MAS 7 kini didatangkan secara standard dengan penutup ruang barangan (tonneau cover). Selain pemilik baharu, pemilik sedia ada juga akan menerima penutup ini secara percuma dalam masa terdekat.

Proton X50 2025 facelift: Ini perkara yang perlu anda tahu

Proton mengumumkan kemas kini penawaran secara menyeluruh bagi model SUV segmen B X50 2025.

Tidak seperti model terdahulu, X50 facelift kini membawakan rupa paras yang lebih berbeza di bahagian luar, ruang kokpit, serta tidak ketinggalan penawaran enjin yang lebih berkuasa.

Berikut merupakan perincian ringkas tentang X50 2025 facelift:

 

1. Enjin baharu

Ucapkan selamat jalan kepada enjin tiga silinder, ini kerana X50 facelift kini membawakan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo.

Kuasa setinggi 181 PS dan 290 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.6 saat, dan dalam masa yang sama menawarkan penggunaan bahan api 4.7 peratus lebih jimat.

 

2. Rupa luaran bergaya

Proton X50 facelift menampilkan imej hadapan dan belakang yang diperbaharui dengan unit lampu utama, lampu belakang, bampar, spoiler dan juga set rim aloi 18 inci rekaan baharu.

Terdapat empat warna sedia ada ditawarkan (Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver) serta tambahan warna baharu Teal Bayou Green.

 

3. Ruang kabin lebih kemas

Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka telah diperbaharui sepenuhnya, menampilkan skrin kluster yang kecil dan skrin infohibur 14.6 inci yang kini menyokong Apple CarPlay/Android Auto secara standard.

Bahagian tengah lebih lapang dan menampilkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar. Ini kerana tuil penukaran gear telah dialihkan ke bahagian kolum stereng.

Terdapat juga ciri seperti lampu ambien 72 warna, konsol tengah yang menempatkan ruang storan di bawah, serta arahan suara yang kini menyokong Bahasa Melayu.

 

4. Sistem ADAS ditambah baik

Ciri keselamatan Proton X50 dipertingkatkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang ditambah baik dengan fungsi berikut:
– sistem radar sisi belakang (RSRS)
– bantuan parkir automatik (APA) dengan kamera HD 360 darjah
– paparan telus bawah kenderaan 180 darjah

Lebih banyak perincian bakal diumumkan dalam masa terdekat.

 

Model baharu Proton akan dilengkapi komponen teknologi tinggi buatan tempatan

Proton baru-baru ini memeterai empat perjanjian usahasama serta dua perjanjian teknikal dengan vendor tempatan serta syarikat pembekal global untuk produk Geely.

Kerjasama baharu ini bertujuan untuk mengukuhkan rantaian bekalan tempatan syarikat dan meningkatkan keupayaan vendor tempatan.

Ia juga bertujuan untuk mempercepatkan penyetempatan komponen penting bagi model Proton dalam segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).

Antara komponen penting yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
• Sistem ADAS untuk model AMA01 (Delloyd Technology Bhd & Imotion Automotive Technology (Suzhou) Co. Ltd)
• Sistem brek untuk model AMA01 dan Siri X (PEPS JV (M) Sdn Bhd & Liuzhou Sanly Autoparts Co. Ltd)
• Sistem lampu (JHM Consolidation Bhd & Jiangsu Dekai Auto Parts Co. Ltd)
• Sistem HVAC (Trillion Speed (M) Sdn Bhd & Shanghai Yinlun Heat Exchange Systems Co. Ltd)

Selain daripada itu, perjanjian teknikal telah dimuktamadkan antara SHJ Interia Sdn Bhd dan Changcun Fawsn Automotive Trim Co Ltd untuk membangunkan dan memindahkan teknologi pembuatan baharu bagi komponen dalaman terutama pelapik bumbung.

Perjanjian teknikal kedua pula melibatkan Xenso Electronics Sdn Bhd dan Freetech Intelligent Systems Co. Ltd bertujuan untuk membangunkan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), khususnya untuk fungsi pemantauan titik buta dan bantuan penukaran lorong.

“Dengan komponen berteknologi tinggi menjadi semakin penting dalam model kami, penting bagi PROTON untuk membawa pembangunan dan pengeluaran komponen ini ke ekosistem tempatan. Ini bukan sahaja untuk pengurangan kos tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan pasukan R&D dan vendor.

“Perjanjian usaha dan teknikal ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk mengeluarkan kenderaan di Malaysia, sambil turut menjadikan negara ini hab automotif dengan menyumbang kepada merealisasikan Automotive High Tech Valley (AHTV) yang diterajui oleh pemegang saham syarikat,” kata Wang Huaibing, Ketua Pegawai Perolehan, PROTON.

 

Proton tawar lebih banyak pilihan model kereta untuk pemandu Grab

Proton terus memperluas jalinan strategik mereka bersama Grab Malaysia dengan memperkenalkan lebih banyak pilihan model untuk keperluan pemandu e-hailing platform tersebut.

Kerjasama ini merupakan susulan kejayaan kempen terdahulu “Saga Power Up for Grab Driver-Partners” yang dilancarkan pada November 2024.

Selain daripada Proton Saga, rakan-pemandu Grab ini boleh memilih untuk mendapatkan sedan Proton S70 dan barisan model premium Siri X (Proton X50, Proton X70 dan Proton X90) untuk disesuaikan di bawah kategori GrabCar Plus dan GrabCar (6-seater).

Kerjasama ini turut menawarkan insentif menarik seperti rebat tunai sehingga RM13,000, serta diskaun servis sebanyak 5 peratus untuk dua tahun pertama atau sehingga 40,000 km.

Ia juga turut menawarkan sokongan minyak petrol bernilai RM500 untuk meringankan kos operasi pada peringkat awal pemilikan.

Ong Chee Wooi, Timbalan Pengarah Jualan, Proton EDAR berkata, “Kerjasama yang diperkukuh bersama Grab Malaysia ini merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan sektor e-hailing. PROTON berbesar hati dapat menawarkan model S70 dan siri premium X kepada rakan-pemandu Grab.

“Bagi pekerja gig, program komprehensif ini bukan sahaja menyediakan kelebihan eksklusif tetapi juga jaminan dari segi kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan yang mampu milik – faktor penting bagi mereka yang menggunakan kenderaan sebagai alat utama dalam mencari rezeki.”

Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia pula berkata, “Kami berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama bersama PROTON, yang mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memberi peluang fleksibel kepada rakyat Malaysia.

“Inisiatif ini telah memudahkan rakan-pemandu kami mendapatkan kenderaan, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyara keluarga sambil memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.

“Dengan peluasan kerjasama ini – merangkumi model S70 dan siri premium X – rakan-pemandu kini berpeluang meningkatkan pengalaman pemanduan mereka, menaik taraf kenderaan, dan memenuhi keperluan pelanggan yang lebih pelbagai. Kami berharap dapat terus melangkah bersama dalam usaha membina masa depan yang lebih inklusif dan penuh peluang untuk semua.”

Roslan Abdullah kini Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia

GWM Malaysia mengumumkan pelantikan Roslan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) yang baharu.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun di dalam industri automotif Malaysia, Roslan memainkan peranan penting dalam mengubah dan memperkukuh kehadiran jenama di dalam pasaran, selain meraih kepercayaan pelanggan.

Pelantikan Roslan tiba pada masa yang tepat di mana GWM Malaysia sedang mempercepat usaha untuk membina ekosistem mobiliti yang menyokong peralihan negara ke arah pengangkutan yang lebih pintar dan hijau.

Menurut Roslan Abdullah, GWM kini mempunyai resepi yang tepat untuk membentuk masa depan mobiliti di Malaysia.

“Visi saya adalah untuk meletakkan GWM sebagai rakan mobiliti jangka panjang yang dipercayai menerusi jaringan pengedar dan servis yang kuat dan boleh dipercayai, portfolio produk yang mampu memenuhi keperluan rakyat Malaysia, serta komitmen kuat untuk menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar.

Roslan sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Proton lantik Ainol Azmil sebagai pemangku timbalan CEO ganti Roslan Abdullah

Proton mengumumkan pelantikan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sekaligus mengambil alih peranan Roslan Abdullah.

Ainol Azmil akan melapor kepada Dr. Li Chunrong (Ketua Pegawai Eksekutif Proton) dan dalam masa yang sama akan terus menjalankan portfolio sedia ada di dalam Strategi Korporat dan Perolehan Teknikal Kumpulan.

Menurut Dr. Li Chunrong, “Proton mengalu-alukan Ainol Azmil sebagai Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan yakin akan kemampuannya untuk mengambil alih jawatan sementara ini.

“Pada masa yang sama, Proton ingin menyampaikan penghargaan tertinggi kepada Roslan Abdullah atas sumbangannya kepada syarikat dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha-usahanya yang akan datang.

Roslan Abdullah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif selama lima tahun, di mana beliau membantu mengukuhkan kedudukan Proton di Malaysia, selain memasuki pasaran EV menerusi model Proton e.MAS 7.

Proton tawar khidmat pasang tayar Continental di pusat 3S/4S terpilih, harga serendah RM211

Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Continental Malaysia untuk meningkatkan lagi pengalaman pemilikan pelanggan di seluruh negara.

Menerusi kerjasama terbaharu, Proton akan memperkenalkan perkhidmatan tayar bersepadu di beberapa pusat servis terpilih di seluruh negara, di mana pelanggan boleh mendapatkan tayar Continental pada harga yang lebih kompetitif.

Menjelang akhir tahun ini, Proton menyasarkan sekurang-kurangnya 60 cawangan akan menyediakan perkhidmatan ini bagi memudahkan pelanggan mendapatkan pakej penyelenggaraan lengkap di bawah satu bumbung.

Selain daripada pakej harga kompetitif (bermula serendah RM211), terdapat juga pakej perlindungan Total Confidence Plan (TCP) yang disediakan oleh Continental Malaysia.

Ia merangkumi jaminan kerosakan jalan raya selama setahun, serta penggantian tayar satu dengan satu secara percuma bagi kes-kes yang tidak diduga.

Perkhidmatan pembiayaan secara ansuran juga turut disediakan.

Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “pengenalan perkhidmatan penukaran tayar merupakan langkah seterusnya dalam usaha kami mentransformasikan pusat 3S/4S menjadi penyelesaian sehenti yang lengkap.

“Ini mencerminkan usaha kami untuk memperkukuh imej Proton sebagai jenama automotif pilihan utama rakyat Malaysia,” jelasnya lagi.

Proton kini mempunyai lebih 173 pusat servis dan 73 pusat badan & cat di seluruh negara.

 

Program Proton Xchange tawar insentif RM2k untuk lupus kereta lama, ganti kereta baru

Proton hari ini melancarkan program Proton Xchange yang menggalakkan pemilik kereta lama menukarkannya dengan model Proton baharu tanpa mengira jenama.

Program ini selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mempromosikan mobiliti lebih hijau.

Dengan peruntukan sebanyak RM4.8 juta, Proton akan bekerjasama dengan Car Medic Sdn Bhd, fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF) untuk merangka penyelesaian menyeluruh yang memberi insentif kepada peserta serta memastikan pelupusan kenderaan lama dengan selamat.

Untuk setiap kenderaan lama yang dilupuskan, pemilik akan diberikan insentif bernilai RM2,000 yang boleh digunakan untuk pembelian mana-mana model Proton baharu termasuklah EV Proton e.MAS 7.

Syarat-syarat untuk menyertai program Proton Xchange ini adalah seperti berikut:

– terbuka kepada semua jenis kenderaan termasuklah sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas
– kenderaan mesti berusia 15 tahun ke atas, dan berada dalam keadaan yang tidak boleh digunakan dengan selamat
– mesti sertakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) dan borang JPJK1KD
– pemilik juga perlu dapatkan Sijil Pemusnahan (COD) daripada Car Medic

Program Proton Xchange ini akan berlangsung sehingga hujung tahun ini, di mana hanya 2,400 slot sahaja tersedia.

Berucap dalam majlis, Menteri Pengangkutan Malaysia YB Anthony Loke Siew Fook berkata, “Kementerian Pengangkutan
menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah
PROTON dengan melihat melangkaui sasaran jualan dan keuntungan semata-mata.

“Sebagai syarikat automotif pertama negara, PROTON sekali lagi menjadi ejen perubahan dalam industri automotif dan menunjukkan teladan yang baik. Tiada jenama automotif lain yang mempunyai program dengan kedalaman dan skop yang sama, dan ia akan membawa pengurangan yang ketara kepada jejak karbon mereka,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, “Program PROTON Xchange merupakan langkah penting automotif yang lebih selamat dan hijau di Malaysia, serta menunjukkan komitmen PROTON terhadap pelanggan dan negara.

“Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan penggantian kenderaan lama kepada kereta baharu yang dilengkapi ciri keselamatan moden, sekaligus mengurangkan risiko di jalan raya.”

Ketika berucap, Anthony Loke turut mengumumkan kejutan di mana setiap kenderaan baharu Proton yang didaftarkan menerusi program ini akan dikecualikan bayaran cukai jalan selama satu tahun.

Proton e.MAS 5 muncul di Malaysia Autoshow 2025

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Proton memperlihatkan sebuah lagi model kenderaan elektrik (EV) sebagai pelengkap kepada penawaran e.MAS 7 sedia ada.

Proton e.MAS 5 (Geely Star Wish) mempunyai dimensi yang lebih kecil berbanding e.MAS 7.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Spesifikasi tidak didedahkan buat masa ini.

Namun berdasarkan unit yang wujud di China, ia dikuasakan oleh motor elektrik 78 hp dan 130 Nm, atau 114 hp/150 Nm.

Terdapat pilihan pek bateri 30.12 kWh dengan jarak gerak sejauh 310 km, atau 40.16 kWh dengan jarak gerak sejauh 410 km.

Lebih banyak perincian bakal didedahkan oleh Proton dalam masa terdekat, namun yang pasti Proton e.MAS 5 bakal menjadi EV Proton yang paling mampu milik apabila dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Proton e.MAS 7 debut di Singapura dengan harga bermula RM565k

Setelah lebih satu dekad, Proton akhirnya membuat kemunculan semula di pasaran negara jiran Singapura menerusi pelancaran model kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 yang dikendalikan oleh pengedar baharu VINCAR Group.

EV terlaris di Malaysia itu dilancarkan secara rasmi di acara The Car Expo 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, “pelancaran Proton e.MAS 7 di Singapura merupakan langkah penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa kami, serta komitmen untuk memperkenalkan EV berkualiti tinggi dan canggih ke rantau ini.

“Kami yakin bahawa e.MAS 7 dengan ciri-ciri menarik dan kesesuaiannya untuk persekitaran bandar akan mendapat sambutan positif daripada pemandu di Singapura yang semakin mengutamakan mobiliti elektrik,” jelasnya.

Kemunculan semula Proton di Singapura berlaku sejajar dengan peralihan pantas negara tersebut ke arah mobiliti hijau.

Ini kerana pasaran EV Singapura dilapor mengalami peningkatan konsisten daripada 12 peratus (2022) kepada 18 peratus pada tahun 2023, dengan sasaran sehingga 55 peratus menjelang tahun 2027.

Kerajaan Singapura juga menyasarkan penyediaan sehingga 12,000 titik pengecasan EV di 2,000 kawasan parkir Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menjelang tahun ini, dan 60,000 menjelang 2030.

Di Singapura, Proton e.MAS 7 ditawarkan dengan enam pilihan warna menarik termasuklah warna baharu Moyu Black.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, Proton e.MAS 7 untuk pasaran tersebut menyamai varian Prime yang dijual di Malaysia dengan rim bersaiz 18 inci (berbanding rim 19 inci untuk varian Premium).

Antara ciri lain termasuklah skrin sentuh 15.4 inci, sistem audio Flyme Auto, serta sistem pencahayaan LED penuh.

Proton e.MAS 7 dijual pada harga bermula dari S$173,988 (RM565,429).

Mac 2025: Jualan kenderaan Proton melonjak 23.9 peratus

Proton mengakhiri suku pertama (Q1 2025) dengan jumlah jualan sebanyak 13,918 unit untuk sepanjang bulan Mac yang disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, serta jualan yang disumbangkan oleh jenama smart dan e.MAS.

Berbanding bulan Februari 2025, Proton menunjukkan peningkatan prestasi sebanyak 23.9 peratus untuk bulan Mac, serta 9.6 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun 2024.

Proton turut menjangkakan pegangan pasaran sebanyak 18.9 peratus untuk tempoh Q1 2025 berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak 184,652 unit.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, prestasi jualan baik untuk tempoh tiga bulan pertama menobatkan Proton e.MAS 7 sebagai kenderaan elektrik (EV) yang paling laris terjual.

Proton Saga masih kekal sebagai model Proton yang paling laris dengan jumlah jualan mencecah 6,154 unit (naik 22.5 peratus), diikuti Proton S70 dengan 2,125 unit (naik 77.5 peratus), Proton X50 (1,858 unit), Proton Persona (1,482 unit), Proton X70 (835 unit), Proton Iriz (337 unit) dan akhir sekali Proton X90 (302 unit).

Sementara itu, operasi eksport Proton terus berkembang pada Q1 2025 dengan jumlah eksport meningkat sebanyak 211 peratus kepada 417 unit pada bulan Mac berbanding bulan terdahulu.

Hasilnya, jumlah jualan eksport Proton meningkat 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran sebanyak 410 unit ke pasaran luar negara.

Proton juga mengembangkan jumlah eksport dengan penghantaran ke negara seperti Nepal serta Tinidad & Tobago.

Dalam pada itu, Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar menjangkakan Proton akan melancarkan beberapa model baru menjelang suku kedua tahun ini, selari dengan apa yang diumumkan oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong pada awal tahun yang lepas.

Salah satu daripadanya ialah Proton Saga baharu yang kini sedang giat diuji di atas jalan raya Malaysia, manakala sebuah lagi mungkin sekali SUV segmen B Proton X50 facelift yang juga sedang dalam proses ujian.

Proton e.MAS7 muncul sebagai EV paling laris terjual di Malaysia

Untuk tempoh sepanjang bulan Mac yang lepas, Pro-Net selaku anak syarikat Proton telah berjaya menjual sebanyak 797 unit SUV elektrik Proton e.MAS7.

Ini menjadikan jumlah penghantaran e.MAS7 adalah sebanyak 1,853 unit untuk tempoh suku pertama (Q1) 2025 yang menyumbang kepada pegangan pasaran setakat tahun ini sebanyak 30 peratus sekaligus menjadikannya sebagai EV nombor satu di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas sokongan, dan keyakinan yang tidak terhingga kepada Proton e.MAS7, selain kepercayaan kepada kami untuk menyediakan ekosistem yang membolehkan mereka menikmati pengalaman pemanduan elektrik.

“Pencapaian ini akan menjadi dorongan untuk kami terus memperbaiki diri dalam menawarkan produk berkualiti tinggi serta memberikan pengalaman pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan kami,” ujarnya.

Untuk pasaran Malaysia, Proton e.MAS7 ditawarkan dalam dua varian, iaitu Prime berharga RM105,800 dan Premium berharga RM119,800, sah untuk 6,000 tempahan pertama.

Untuk memudahkan pengguna, Proton menyediakan 75 poin pengecasan DC sehingga 120 kW di beberapa pusat pengedar.

Selain itu, pemilik juga boleh mendapatkan akses kepada lebih 90 peratus titik pengecasan yang wujud di Malaysia dikendalikan oleh Gentari, JomCharge, chargEV, DC Handal, Chargesini, Carput Zap, RExharge dan Charge+, serta peta pengecasan bersepadu langsung menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Menurut Zhang Qiang lagi, “matlamat kami bukan sekadar menjual kereta, kami ingin membangunkan eksositem lengkap yang tidak hanya melibatkan 36 pengedar, tetapi juga seluruh infrastruktur pengecasan EV di Malaysia.

“Kami juga bekerjasama rapat dengan pengendali poin pengecasan (CPO) untuk menjadikan pemilikan EV yang lebih mudah kerana kami mahu pelanggan kami beralih dari ICE ke EV dengan lancar.”

 

Perang harga jenama China beri kesan besar kepada industri automotif tempatan

Perang harga yang dilancarkan oleh segelintir jenama automotif China boleh memanfaatkan pengguna, namun ia mampu memberikan kesan yang besar kepada industri automotif tempatan.

Kebimbangan itu disuarakan sendiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dalam satu temubual oleh laman Berita Harian.

Jelasnya, pemberian diskaun besar-besaran akan membawa kesan berantai kepada vendor tempatan yang sekian lama membekalkan komponen dan bahagian kenderaan.

“Kesan perang harga ini bukan sahaja menjejaskan OEM yang memiliki kilang pembuatan dan pemasangan di negara ini, malah memberi impak kepada vendor serta pengedar tempatan.

“Keadaan ini berlaku apabila lambakan stok meningkat susulan pelanggan lebih memilih kenderaan ditawarkan pada harga lebih rendah. Pada masa sama, terdapat pelanggan mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan harapan harga akan terus menurun,” katanya kepada BH.

Selain itu, perang harga juga akan memberikan kesan kepada pasaran kenderaan terpakai, di mana pelanggan akan lebih cenderung untuk membeli kenderaan baharu disebabkan harga yang lebih kompetitif.

“Ini akan memberi kesan besar kepada nilai susut harga kenderaan terbabit. Pasaran perniagaan tukar beli (trade-in) juga akan menerima impak negatif,” ujarnya.

Disebabkan kos operasi yang tinggi (termasuk kos pembuatan, vendor dan rantaian bekalan), jenama OEM tempatan tidak mampu menurunkan harga kenderaan setanding dengan jenama China demi kelangsungan perniagaan.

“Kami tidak boleh menurunkan harga ke tahap terlalu rendah, namun boleh menawarkan diskaun atau promosi seperti rebat tunai dan pakej aksesori untuk mengimbangi harga pasaran,” katanya.

Dalam hal ini, Proton mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan keuntungan syarikat tidak terjejas dalam jangka panjang, memandangkan ia bukan sahaja menggaji lebih 7,000 pekerja, tetapi juga membabitkan lebih 5,000 pekerja dalam rangkaian jualannya.

“Vendor berskala besar mungkin boleh bertahan kerana mereka mempunyai perkongsian dengan jenama lain. Namun, vendor kecil yang bergantung kepada satu jenama pasti terkesan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jenama menurunkan harga mendapat kelebihan daripada konsep import sepenuhnya (CBU) atau pemasangan separa (SKD), yang memerlukan pelaburan lebih rendah berbanding OEM tempatan seperti Proton.

“Pelaburan mereka di Malaysia masih minimum. Oleh itu, mereka mampu menawarkan diskaun besar kerana kos operasi juga rendah. Namun, ini memberi tekanan kepada syarikat beroperasi di Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Roslan turut menekankan kepentingan penilaian semula terhadap impak perang harga ini bagi melindungi jenama yang sudah lama bertapak di Malaysia.

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) adalah sasaran kerajaan, namun kajian semula perlu dilakukan bagi memastikan jenama pemasangan tempatan (CKD) yang mempunyai kilang dan rangkaian vendor sendiri dapat terus berdaya tahan,” katanya.

Proton derma RM250k, tawar pemeriksaan kereta percuma untuk mangsa insiden Putra Heights

Syarikat automotif Proton mengumumkan inisiatif sokongan menyeluruh untuk penduduk dan mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights yang berlaku pada pagi 1 April.

Sebanyak RM250,000 telah diperuntukkan untuk memenuhi keperluan segera penduduk yang kehilangan tempat tinggal, termasuklah mereka yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS).

Proton juga turut menetapkan sebanyak enam pusat servis di kawasan berdekatan untuk menawarkan program penilaian kenderaan percuma yang menyeluruh, selain membantu dari segi tuntutan insurans bagi semua kenderaan jenama Proton yang terjejas akibat insiden malang tersebut.

Dengan perkhidmatan ini, ia bertujuan untuk mementukan tahap kerosakan dengan lebih terperinci dan menyediakan pemilik laluan yang jelas untuk pembaikan dan pemulihan kenderaan yang terjejas.

Pemilik Proton yang terjejas boleh mendapatkan penilaian menyeluruh secara percuma di enam pusat servis Proton yang berikut:

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi talian pelanggan 24 jam Proton di 1-800-88-8398, atau menerusi talian WhatsApp 012-219 5426.

 

EON sumbang 62 kenderaan untuk mangsa insiden Putra Heights

Syarikat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menyumbang sebanyak 62 unit kenderaan untuk kegunaan mangsa insiden Putra Heights selama sebulan tanpa sebarang caj.

Sebanyak 40 buah kenderaan terdiri daripada sedan, SUV dan kenderaan pelbagai fungsi daripada jenama runcit EON seperti Proton, Mitsubishi dan Volkswagen, dan menerusi subsidiari sewa kenderaan EON, iaitu Avis Malaysia.

Selain itu, 22 unit kenderaan yang terdiri daripada trak pikap termasuklah empat unit kenderaan elektrik (EV) jenama smart turut disediakan untuk kegunaan agensi kerajaan dan organisasi yang menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, “Ramai keluarga yang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan pengangkutan utama disebabkan insiden kebakaran.

“Sebagai syarikat pengedar pelbagai jenama kenderaan terbesar di negara, EON rasa bersyukur kerana berada di posisi untuk memberikan sedikit kelegaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Bagi pihak EON Group, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Kami mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar cepat sembuh, dan berharap semua yang terkesan mempunyai kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan.

Beliau yang juga ketua unit pengedaran automotif DRB-HICOM menambah, “buat masa ini, EON akan menyediakan kenderaan kepada mangsa yang terjejas dan NGO tanpa sebarang caj selama satu bulan. Bantuan ini mungkin akan dilanjutka bergantung kepada keperluan tertentu.”

Akkbar turut melahirkan rasa terima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana menyokong EON untuk inisiatif ini dan menyeru pelbagai pihak untuk bertindak segera dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat susulan insiden malang tersebut.