Arkib Tag: proton x50

Zeekr 009 Ultra Luxury rangkul anugerah Malaysia Car of The Year 2025

Anugerah keseluruhan Malaysia Car of The Year 2025 telah dianugerahkan kepada model MPV mewah Zeekr 009 Ultra Luxury.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut kenderaan elektrik menerima pengiktirafan tertinggi, mencerminkan perkembangan berterusan EV di dalam pasaran automotif Malaysia.

Zeekr 009 Ultra Luxury dipilih kerana ia meletakkan penanda aras baharu dari segi teknologi maju rangkaian kuasa elektri, tahap penghalusan yang tinggi, ciri keselamatan komprehensif serta ciri-ciri mewah moden yang hadir secara standard.

Proton X50 1.5TD Flagship pula terpilih meraih Anugerah “People’s Choice Award” 2025 mencerminkan sentimen pengguna terhadap teknologi, kecekapan tenaga, keselamatan dan nilai.

Sementara itu, Anugerah “Automotive Person of The Year (APOY) diberikan kepada Dato’ Seri Zainal Abidin Ahmad (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua).

Di bawah kepimpinan beliau, Perodua secara konsisten mencatatkan prestasi jualan kukuh, menyumbang secara signifikan kepada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia.

Beliau turut menyokong pembangunan industri yang lebih luas melalui pembangunan vendor, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penjajaran dengan dasar automotif dan kelestarian negara, sekaligus mengukuhkan peranan Perodua sebagai tonggak sektor automotif Malaysia.

Uniknya MCOTY 2025 ialah sebahagian besar penerima anugerah terdiri daripada kenderaan berelektrifikasi, khususnya model elektrik penuh.

Dalam masa yang sama, keputusan ini mencerminkan bagaimana rangkaian kuasa hibrid dan enjin pembakaran dalaman turbo moden telah menjadi kebiasaan baharu di kalangan kenderaan berprestasi tinggi.

“Anugerah Malaysia Car of the Year mencerminkan sejauh mana kemajuan industri automotif negara, bukan hanya dari segi skala, malah dari aspek inovasi dan kelestarian.

“Kehadiran kenderaan elektrik yang semakin ketara di kalangan pemenang anugerah utama menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menerima penyelesaian mobiliti yang lebih bersih dan pintar,” kata Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof.

Beliau turut menjelaskan bahawa ini selaras dengan aspirasi nasional dan juga serantau, sementara fokus berterusan kerajaan terhadap peralihan tenaga membuka peluang kepada pemain industri untuk melabur dalam teknologi hijau, memperkukuh keupayaan tempatan serta membangunkan penyelesaian mobiliti masa hadapan.

Pemenang MCOTY 2025 dipilih melalui proses penjurian yang telus dan menyeluruh, dikendalikan oleh panel wartawan automotif dan golongan profesional industri yang berpengalaman.

Kenderaan dinilai berdasarkan lapan kriteria utama, iaitu Reka Bentuk, Keselamatan, Ergonomik, Nilai, Praktikaliti, Prestasi, Kecekapan Tenaga dan Jaminan. Rangka penilaian yang komprehensif ini memastikan anugerah diberikan kepada kenderaan yang benar-benar relevan dalam dunia sebenar serta menawarkan kecemerlangan yang seimbang.

Senarai penuh

Proton catat jualan 11,069 unit sepanjang Jun 2025

Sepanjang bulan Jun 2025, Proton mencatatkan angka jualan berjumlah 11,069 unit, dengan jumlah jualan keseluruhan setakat ini (YTD) mencecah 72,156 unit.

Ini menjadikan Proton sebagai jenama nombor dua di dalam industri, biarpun jumlah volum industri (TIV) merosot 21 peratus kepada 53,500 unit berbanding 68,007 unit pada bulan Mei.

Pegangan pasaran Proton bagi bulan Jun dianggarkan 20.7 peratus, atau peningkatan sebanyak 1.1 peratus berbanding bulan terdahulu, dan 1.2 peratus lebih tinggi berbanding angka YTD 19.5 peratus.

Menurut Proton, jualan automotif menurun pada Jun disebabkan oleh faktor luaran seperti peningkatan ketegangan di Timur Tengah, dan perluasan skop SST yang menjejaskan sentimen pembeli.

Setakat ini, Proton Saga masih lagi mendahului carta sebagai kereta Proton yang paling laris terjual, dengan jumlah 5,206 unit, diikuti Proton X50 (1,657 unit), Proton S70 (1,402 unit), Proton Persona (1,171 unit), Proton X70 (533 unit), Proton Iriz (288 unit) dan Proton X90 (174 unit).

Dalam pada itu, satu-satunya model EV Proton e.MAS 7 menamatkan separuh pertama 2025 dengan 4,253 unit terjual di pasaran domestik dan eksport, dengan penguasaan pasaran 24 peratus.

Jumlah eksport kenderaan Proton melonjak 56.8 peratus kepada 414 unit sepanjang Jun 2025 berbanding Jun 2024, menjadikan jumlah eksport untuk separuh pertama tahun ini meningkat 39.9 peratus kepada 2,250 unit.

Proton menjangkakan angka tersebut akan terus meningkat apabila model Proton e.MAS7 diperkenalkan di lebih banyak negara kelak.

Berbalik semula kepada pasaran tempatan, Proton dijangka akan melancarkan model X50 facelift pada bulan Julai ini, membawakan perubahan dari segi rupa paras, enjin, serta penambahbaikan pada sistem ADAS 2.0.

Proton X50 2025 facelift: Ini perkara yang perlu anda tahu

Proton mengumumkan kemas kini penawaran secara menyeluruh bagi model SUV segmen B X50 2025.

Tidak seperti model terdahulu, X50 facelift kini membawakan rupa paras yang lebih berbeza di bahagian luar, ruang kokpit, serta tidak ketinggalan penawaran enjin yang lebih berkuasa.

Berikut merupakan perincian ringkas tentang X50 2025 facelift:

 

1. Enjin baharu

Ucapkan selamat jalan kepada enjin tiga silinder, ini kerana X50 facelift kini membawakan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo.

Kuasa setinggi 181 PS dan 290 Nm itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.6 saat, dan dalam masa yang sama menawarkan penggunaan bahan api 4.7 peratus lebih jimat.

 

2. Rupa luaran bergaya

Proton X50 facelift menampilkan imej hadapan dan belakang yang diperbaharui dengan unit lampu utama, lampu belakang, bampar, spoiler dan juga set rim aloi 18 inci rekaan baharu.

Terdapat empat warna sedia ada ditawarkan (Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver) serta tambahan warna baharu Teal Bayou Green.

 

3. Ruang kabin lebih kemas

Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka telah diperbaharui sepenuhnya, menampilkan skrin kluster yang kecil dan skrin infohibur 14.6 inci yang kini menyokong Apple CarPlay/Android Auto secara standard.

Bahagian tengah lebih lapang dan menampilkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar. Ini kerana tuil penukaran gear telah dialihkan ke bahagian kolum stereng.

Terdapat juga ciri seperti lampu ambien 72 warna, konsol tengah yang menempatkan ruang storan di bawah, serta arahan suara yang kini menyokong Bahasa Melayu.

 

4. Sistem ADAS ditambah baik

Ciri keselamatan Proton X50 dipertingkatkan dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 yang ditambah baik dengan fungsi berikut:
– sistem radar sisi belakang (RSRS)
– bantuan parkir automatik (APA) dengan kamera HD 360 darjah
– paparan telus bawah kenderaan 180 darjah

Lebih banyak perincian bakal diumumkan dalam masa terdekat.

 

Jualan Proton naik 13.6 peratus sepanjang Oktober 2024, Saga kekal model paling laris

Sepanjang bulan Oktober, Proton telah merekodkan jualan sebanyak 12,799 unit untuk pasaran domestik dan eksport, dengan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan terdahulu.

Ini menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton naik kepada 125,557 unit dan meletakkan jenama kereta nasional itu ditempat kedua dalam kedudukan jualan automotif negara.

Daripada jumlah tersebut, Proton Saga kekal menjadi pilihan popular di kalangan pembeli dengan jumlah sebanyak 6,112 unit dicatatkan dan jumlah YTD mencecah 60,178 unit.

Proton juga berharap angka jualan Saga dapat menembusi paras 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut tahun ini.

Walaupun Saga tidak berjaya menjadi pendahulu di dalam segmennya, terdapat tiga model Proton lain mengekalkan kedudukan teratas di dalam segmen masing-masing.

Proton X50 menjadi SUV segmen B yang paling laris terjual sepanjang bulan lepas, dengan 2,122 unit dicatatkan, manakala Proton S70 pula kembali ke tangga teratas sebagai sedan segmen C terlaris dengan jumlah jualan 1,432 unit.

Model flagship Proton X90 pula kekal sebagai peneraju jualan SUV segmen D dengan jumlah sebanyak 245 unit direkodkan untuk bulan lepas.

Dalam masa yang sama, Proton mendedahkan model EV pertama syarikat itu, e.MAS 7 akan dilancarkan secara rasmi pada bulan hadapan (Disember 2024).

Proton X50 2024 rasmi dilancar – 4 pembaharuan utama, harga dari RM86,300

PROTON hari ini melancarkan X50 2024 iaitu versi yang dikemaskini. SUV kompak segmen-B ini menerima penambah baikan dari empat aspek; keselesaan, keselamatan, ketersambungan, dan kebolehpercayaan/ketahanan.

Sebelum kita lihat pembaharuannya, jom kita perincikan varian dan penawaran. Proton X50 2024 hadir dalam empat varian seperti berikut:

X50 1.5T Standard – RM86,300
X50 1.5T Executive – RM93,300
X50 1.5T Premium – RM101,800
X50 1.5 TGDi Flagship – RM113,300

Untuk penambah baikan dari segi keselesaan, Proton telah memberikan pakej NVH (noise, vibration, and harshness) baharu dengan 20 tempat pada badan kereta. Ini dikatakan mampu mengurangkan bunyi dalam kabin semasa dipandu.

Selain itu, X50 juga kini dilengkapi dengan pintu but berkuasa (varian Premium dan Flagship) sahaja.

Untuk bahagian keselamatan, kamera 360-darjah (pada Premium dan Flagship) kini lebih jelas untuk pengemudian waktu kurang cahaya. Ia mendapat 3.3 kali lebih piksel, paparan titik buta, dan paparan live 3D semasa menukar lorong.

Seterusnya penambah baikan adalah di bahagian ketersambungan (connectivity). Semua varian X50 2024 kini mendapat skrin infotainmen 10.3-inci yang juga menampilkan pemprosesan lebih pantas untuk respon sentuhan lebih baik.

X50 baharu ini juga menyokong aplikasi PROTONLink yang membolehkan anda mengakses beberapa fungsi dari telefon pintar.

Aspek lain tidak berubah pada SUV ini. Proton X50 masih ditawarkan dengan dua pilihan enjin, iaitu 1.5-liter turbo 3-silinder untuk varian Standard, Executive, dan Premium, manakala 1.5-liter suntikan terus bahan api untuk Flagship.

Enjin 1.5-liter turbo 3-silinder menjana 150PS pada 5,5500rpm dan 226Nm tork pada 1,500 hingga 4,000rpm. Unit 1.5-liter TGDi yang lebih berkuasa pula menghasilkan 177PS pada 5,550rpm dan 255Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.

Kotak gear adalah standard untuk semua, iaitu automatik dwi-klac 7-kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda depan. Masih belum ada paddle-shifter untuk X50 2024 ini.

Ciri lain bermula pada varian Standard adalah empat beg udara, lampu LED dengan DRL, rim 17-inci dan kamera undur. Varian Executive ditambah dengan enam beg udara, stereng balutan kulit, lampu automatik, lampu kabus, dan tempat duduk kulit.

Kemudian ke varian yang lebih atas iaitu Premium, anda mendapat Tyre Pressure Monitoring System, Security Tint, rim 18-inci, pintu but berkuasa, tempat duduk pemandu berkuasa, dan kamera 360-darjah.

Untuk varian tertinggi Flagship, X50 didatangkan dengan tambahan enjin 1.5 TGDi, sistem bantuan pemandu ADAS, warna badan dwi-tona, dan bumbung panoramik.

Proton X50 2024 boleh didapati dengan lima pilihan warna – Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, dan Passion Red.

Selain itu, Proton turut menawarkan pakej ‘early bird’ untuk 5,000 tempahan pertama yang dibuat sebelum 31 Julai 2024, iaitu:

Diskaun RM7,000
Sokongan trade-in RM1,500
Ciri tambah nilai RM6,000

Chery Omoda E5 mula mendarat di Malaysia, pra-tonton tidak lama lagi

CHERY Malaysia mengumumkan kumpulan pertama Omoda E5 telah mula tiba di Pelabuhan Klang dan sesi pra-tonton media akan diadakan tidak lama lagi, sebelum pelancaran rasmi.

Bagi yang belum tahu, Omoda E5 ialah versi elektrik (EV) bagi Omoda 5 yang diperkenalkan sebelum ini. Kami juga telah memandu uji SUV pesaing Toyota Corolla Cross, Proton X50, dan Honda HR-V ini, anda boleh tonton video penuh di sini.

Dalam laporan sebelum ini, kami melaporkan Omoda E5 akan dilancarkan di Malaysia pada April 2024 nanti.

Omoda E5 dibekalkan dengan bateri 61kWh yang mampu menghasilkan 221hp (165kW). Ia mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.

Jarak pemanduan maksima ialah sehingga 450km, dan jika dicas menggunakan DC, 80 peratus boleh dicapai dalam masa 35 minit.

Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.

Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.

Omoda E5 di Malaysia akan dilengkapi dengan sistem ADAS yang merangkumi 16 fungsi, antaranya Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking, dan Rear Cross Traffic Alert.

Chery Omoda 5 sebelum ini dilancarkan pada harga bermula RM108,000 hingga RM118,000. Pada firasat anda, berapa agaknya harga bagi model EV ini? Boleh lebih murah dari Hyundai Kona Electric?

3-silinder ‘makan’ 4-silinder, Geely Coolray (Proton X50) menang drag dengan Honda Civic

ANDA masih ragu-ragu dengan kemampuan enjin 3-silinder? Mungkin video yang kami paparkan ini boleh mengubah persepsi anda.

Ini kerana sebuah Geely Coolray (kembar Proton X50) telah mengalahkan Honda Civic dalam acara lumba drag di Filipina. Seperti yang semua tahu, Proton X50 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 3-silinder manakala Honda Civic EG dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder.

Menurut video pendek yang dikongsi dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook, acara itu merupakan kejuaraan National Drag Race Championship Filipina (NDRC PH) yang berlangsung di Clark International Speedway.

Dapat dilihat sebaik lampu bertukar hijau, dapat dilihat Geely Coolray memecut dengan lebih ‘clean’ mungkin kerana adanya Traction Control. Honda Civic pula bergelut sedikit dengan cengkaman, kerana dapat dilihat asap pada kawasan tayar depan.

Geely Coolray itu terus meninggalkan Civic dalam acara sejauh 400 meter itu.

Kami tidak pasti akan spesifikasi setiap kenderaan, apakah modifikasi yang dilakukan pada kedua-dua kenderaan tersebut. Geely Coolray nampak agak ‘standard’, manakala Civic pula nampak cukup ‘perang’ dengan hos kemasukan udara di lampu depan kanan.

“Honda Civic dengan ram air system berentap dengan Coolray turbo, dari Geely, pembuat Volvo. Pengecas turbo, tiga silinder, kawan. Dan pemenangnya ialah Geely,” kata pengulas perlumbaan.

Enjin Proton X50 di pasaran Malaysia varian paling berkuasa dengan enjin TGDI menghasilkan sekitar 175hp dan 255Nm tork, mungkin lebih tinggi dari Civic jika menggunakan enjin B-Series. Tetapi X50 juga lebih berat.

Apa pun, menarik untuk kita tontoh kenderaan berenjin 3-silinder memecut lebih pantas dari kenderaan berenjin 4-silinder.

Proton jual 14,033 unit kenderaan pada Februari 2023, naik 52 peratus

PROTON mengumumkan bahawa mereka berjaya mencatat jualan sebanyak 14,033 unit kenderaan pada Februari tahun ini bagi pasaran domestik dan import.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 52 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu dan 20.1 peratus lebih tinggi daripada bulan Januari 2023.

Dengan pencapaian ini, volum tahun sehingga kini (YTD) telah meningkat sebanyak 88 peratus kepada 25,714 unit.

Pegangan pasaran Proton untuk Februari dianggarkan mencapai 22.7 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam pasaran, dan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding Februari 2022.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata jualan kereta di Malaysia terus melonjak untuk bulan kedua berturut turut dengan anggaran jumlah keseluruhan volum industri (TIV) sebanyak 62,300 unit.

Ini kerana industri automotif berkejar untuk memenuhi tempahan semasa tempoh pengecualian cukai jualan sebelum tarikh akhir 31 Mac.

Persona muncul sebagai peneraju jualan bulan kedua berturut-turut bagi sedan segmen B dengan catatan sebanyak 2,313 unit. Ia menembusi sasaran 2,000 unit untuk bulan ketiga berturut-turut, kali pertama ia mencapai prestasi itu sejak melakukannya selama lima bulan berturut-turut dari Jun hingga Oktober 2020.

Sementara itu, X50 mencapai jualan sebanyak 3,247 unit, sekaligus mengekalkan statusnya sebagai peneraju pasaran SUV segmen B dan SUV paling popular secara keseluruhan.

Exora menikmati kebangkitan semula apabila jualan peneraju MPV segmen C itu telah meningkat sebanyak 216 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

“Sama seperti pesaing kami, banyak volum didorong oleh pemenuhan tempahan yang dikecualikan cukai, tetapi nombor tempahan baharu kami kekal sihat, jadi kami berharap dapat meneruskan trajektori pertumbuhan jualan kami untuk sepanjang tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Menurut beliau lagi, Proton juga akan membuat beberapa pengumuman dalam beberapa bulan akan datang untuk membentuk hala tuju syarikat untuk tahun 2023 dan seterusnya.

“Ini merupakan tahun yang sibuk kerana kami mewujudkan kehadiran kami dalam segmen baharu, memasuki pasaran kenderaan tenaga baharu (NEV) dan melangkah ke depan dalam usaha EV kami apabila jualan pintar #1 bermula,” katanya.