Arkib Tag: Proton X50 2025

Proton X50 2025 versi facelift padam kelemahan model terdahulu – pandu uji pertama

Penulis masih teringat saat kali pertama memandu uji SUV segmen B Proton X50 beberapa tahun yang lepas – pada ketika itu musim COVID mula melanda.

Teruja dengan anjakan rekaan yang dibawakan, namun dalam masa yang sama kecewa dek beberapa kelemahan kesan daripada proses ubah lencana dan perubahan daripada format pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan.

Proton juga tidak berdiam diri.

Beberapa penambahbaikan telah dibuat menerusi pengenalan model MC dan RC menjadikan kelemahan-kelemahan tersebut kian tenggelam.

Namun, dengan pengenalan model facelift besar beberapa bulan yang lepas, Proton akhirnya berjaya menawarkan sebuah SUV segmen B yang mampu menjadi pilihan yang lebih bernilai.

Namun, adakah ia jauh lebih baik dan mampu memadamkan kelemahan model terdahulu? 

Proton baru-baru ini menjemput kami untuk memandu uji X50 facelift untuk membolehkan kami merasai dan menilai apa yang terkandung di sebalik muka yang lebih garang itu.

Berikut merupakan pandangan awal kami:

 

1. Rupa

Berdasarkan komen-komen di laman media sosial, tidak kurang netizen yang melontarkan pandangan masing-masing tentang rupa bentuk agresif X50 facelift baru ini.

X50 terlebih garang? Mungkin ramai yang bersetuju. Lihat saja bampar depan, rim rekaan baru, serta sayap belakang yang agresif.

Penulis pula berpendapat ia satu perubahan yang lebih segar, memandangkan sudah beberapa tahun X50 ditawarkan tanpa perubahan yang besar.

Malah sepanjang perjalanan tadi banyak juga mata-mata yang memerhati SUV yang kami pandu ini ketika sedang meluncur atas jalan.

 

2. Enjin baharu

Ya, perubahan yang ketara dibawakan selain rupa paras ialah unit pacuan serba baharu.

Hilang sudah nadi tiga silinder sebaris, ucapkan selamat datang kepada enjin empat silinder sebaris.

Nadi 1.5 liter turbo itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 181 PS dan 290 Nm.

Menurut Proton, enjin baharu ini dikatakan lebih jimat bahan api, dan berdasarkan pemanduan seharian yang dibuat dari Proton CEO hingga ke Ipoh, kami berjaya mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.

Setelah pemanduan sejauh lebih 250 km (pola pemanduan yang bercampur-campur), anggaran jarak yang tersisa adalah sekitar 440 km.

Yang pasti, X50 facelift ini jauh lebih jimat berbanding model X50 terdahulu.

 

3. Pemanduan Proton yang sebenar?

Perjalanan kami kali ini tidaklah tertumpu kepada pemanduan di atas lebuh raya semata-mata.

Tidak terlalu bergantung kepada Waze, kami lebih gemar melalui jalan lama untuk menilai dengan lebih teliti tahap pengendalian SUV popular ini.

Sejujurnya, apa yang ditawarkan pada X50 facelift kali ini benar-benar diluar jangkaan.

Input stereng yang jauh lebih hidup, dan tidak banyak pembetulan yang perlu dibuat oleh pemandu ketika sedang melayan selekoh.

Talaan suspensi juga rasa lebih dekat dengan apa yang penulis cuba harapkan daripada sebuah model Proton.

Selesa, tidak terlalu membuai-buai, dan pengendalian yang lebih meyakinkan.

Walaupun sesi ujian kali ini agak singkat, namun ia benar-benar membuatkan penulis kagum dengan Proton X50 facelift ini.

 

4. Kabin macam EV, tapi…

Ruang kabin X50 kali ini membawakan susun atur yang lebih mirip kepada Proton e.MAS 7.

Nampak lebih kemas dan ringkas tanpa kehadiran butang fungsi fizikal, malah tombol penukaran gear PRDN juga telah dialihkan kepada kolum stereng bagi menjadikan ruang tengah nampak luas.

Cuma, bila terlalu ringkas menyebabkan beberapa fungsi penting dialihkan ke dalam skrin infohibur.

Sejujurnya, penulis lebih harapkan fungsi seperti kawalan suhu, dan pemilihan mod pemanduan dikekalkan dalam bentuk butang fizikal yang mudah dicapai.

Ia bukanlah satu masalah besar sekiranya anda seorang yang tidak kisah langsung tentang semua itu.

Sebab segalanya boleh dikawal menerusi arahan suara dwi-bahasa, iaitu Inggeris dan Melayu!

Cuma ada kalanya, sistem akan mengambil masa yang sedikit lama untuk memahami apa yang cuba dituturkan oleh pengguna.

Tidak ketinggalan, aspek NVH yang jauh lebih baik berbanding model terdahulu. 

Masih terdapat bunyi bising angin pada kelajuan tertentu, namun tidaklah terlalu ketara.

Terdapat juga bunyi bising tayar yang wujud disebabkan oleh kualiti permukaan jalan yang berbeza mengikut daerah.

 

5. Ciri yang amat dihargai dan perkara yang boleh ditambah baik

Untuk X50 facelift, terdapat beberapa ciri baharu yang amat dihargai terutama ketika melakukan pemanduan jarak jauh, seperti:

  • Sokongan Apple CarPlay tanpa wayar
  • Corong pendingin hawa tengah yang boleh digunakan untuk sejukkan peranti pintar yang sedang dicas
  • Visor penghadang cahaya matahari
  • Tempat meletak beg pada terowong konsol tengah

Perkara yang boleh ditambah baik untuk X50 facelift:

  • Kusyen tempat duduk pemandu boleh ditambah baik terutama sokongan pada bahagian bawah peha untuk kurangkan rasa penat selepas pemanduan jarak jauh

 

Kesimpulan

Berdasarkan pemanduan ringkas dari Lembah Klang ke Ipoh, apa yang kami boleh simpulkan ialah Proton X50 2025 kali ini mampu memadamkan kelemahan yang wujud pada model terdahulu.

Penulis akui ia juga bukanlah sebuah SUV yang serba sempurna, namun penawaran kali ini dilihat jauh lebih baik dan kena pada tekak para peminat Proton.

Lebih banyak ulasan dan pendapat akan kami kongsikan pada masa akan datang.

Proton X50 2025 jadi model pertama Proton siap dengan tag RFID terus dari kilang

Proton mengumumkan kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go Sdn Bhd untuk mengintegrasikan teknologi RFID terus pada model SUV Proton X50 2025.

Di bawah perjanjian baharu ini, setiap Proton X50 baharu akan dipasang dengan tag RFID terus dari kilang untuk akses yang lebih lancar ke rangkaian lebuh raya berteknologi RFID di Malaysia.

Menurut Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, “Melalui kerjasama dengan Touch ‘n Go, Proton menambah satu lagi ciri baharu yang seiring dengan slogan model ini – Intelligence That Amazes.”

Selain X50, Proton juga bercadang untuk memperluaskan pemasangan tag RFID Touch ‘n Go pada model kenderaan lain.

Dilancarkan secara rasmi pada 24 Julai lalu, Proton X50 2025 menawarkan perubahan besar dari segi rekaan luaran dan dalaman, teknologi sambungan terkini serta nadi 1.5 liter turbo yang berkuasa.

Dalam masa tiga minggu selepas pelancaran, sebanyak 2,000 unit telah diserahkan kepada pemilik masing-masing.

Proton X50 2025 rasmi dilancarkan – harga jualan dari RM89,800

Proton secara rasmi melancarkan SUV segmen B versi facelift Proton X50 2025 untuk pasaran tempatan.

Berbeza dengan model terdahulu, X50 2025 tampil dengan rupa paras yang lebih malar segar, enjin baharu serta perubahan besar pada ruang kabin.

Bermula dengan enjin, X50 kini membawakan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, menjana 181 PS dan 290 Nm.
Transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan membolehkan ia memecut sepantas 7.6 saat dari 0-100 km/j.

X50 facelift juga dikatakan 4.7 peratus lebih jimat bahan api.

Perubahan besar di bahagian luar termasuklah lampu hadapan dan bampar baharu, lampu belakang baharu, set rim baharu, serta terdapat lima pilihan warna tersedia termasuklah warna Teal Bayou Green.

Susun atur ruang kabin turut diperbaharui dan lebih mirip kepada kabin e.MAS 7.

Terdapat skrin kluster digital berasingan, skrin tengah 14.6 inci yang kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, tuil transmisi pada kolum stereng, ruang pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sokongan arahan suara Bahasa Melayu.

CIri keselamatan ditambah baik dengan fungsi baharu seperti sistem radar sisi belakang (RSRS), bantuan parkir automatik (APA) dengan kamera HD 360 darjah, serta paparan telus bawah kenderaan 180 darjah.

Untuk pasaran tempatan, Proton X50 2025 dijual pada harga seperti berikut:

• Proton X50 Executive – RM89,800
• Proton X50 Premium – RM101,800
• Proton X50 Flagship – RM113,300

Proton turut mengumumkan pakej gempak berupa rebat tunai bernilai RM4,000 untuk 10,000 orang pelanggan pertama, menjadikan harga jualan X50 facelift ini bermula serendah RM85,800 untuk varian Executive, RM97,800 untuk varian Premium, dan RM109,300 untuk varian Flagship.

Terdapat juga lima pakej istimewa untuk 10,000 orang pelanggan pertama, merangkumi:
Pro-Warranty: jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta kos buruh percuma untuk enam kali servis
Pro-Connect: pakej data 2GB/bulan untuk lima-tahun
Pro-Trade-In: sokongan trade-in sehingga RM2,000
Pro-Finance: faedah serendah 2.35 peratus/tahun untuk tempoh pembiayaan lima tahun, atau 2.38 peratus/tahun untuk tempoh tujuh tahun
Pro-Shield: program insurans Proton

Proton X50 2025 (Gambar Rasmi)

Proton X50 2025 Flagship

 

Proton X50 2025 Premium

Proton X50 2025: Beza antara varian Executive, Premium & Flagship

Proton secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV segmen B X50 2025 facelift pada hujung minggu lalu.

10,000 orang pelanggan pertama akan menerima tawaran eksklusif berupa rebat tunai bernilai RM1,000, kad Touch ‘n Go edisi terhad serta tawaran “Gempak” yang akan diumumkan sewaktu pelancaran rasminya kelak.

Buat masa ini, Proton masih lagi merahsiakan harga jualan X50 2025, namun difahamkan terdapat tiga varian utama iaitu Executive, Premium dan Flagship.

Secara standard, ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.6 saat, dan dikatakan 4.7 peratus lebih jimat minyak berbanding model terdahulu.

Berikut merupakan perincian baharu bagi setiap varian:

 

X50 Executive
– lampu hadapan LED baharu berserta lampu nyalaan siang
– lampu belakang LED baharu
– jeriji hadapan baharu
– rim aloi 17 inci baharu
– papan pemuka baharu
– konsol tengah dengan ruang storan bawah sebesar 10 liter
– skrin infohibur 14.6 inci dan skrin kluster 8.88 inci
– sokongan Hi Proton dalam Bahasa Malaysia
– sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
– tempat duduk fabrik
– enam pembesar suara
– sistem pendingin hawa automatik dengan penapis kabin N95
– enam beg udara
– kamera undur
– bantuan tukar lorong (LCA), amaran pelanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW)

 

X50 Premium (tambahan kepada ciri di atas)
– rim aloi 18 inci
– pintu tailgate berkuasa
– rak bumbung
– angkup brek merah
– sistem pencahayaan ambien 72 warna
– tempat duduk balutan kulit leatherette
– kamera HD 360 darjah + paparan telus pandang 180 darjah
– brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan pintar (ICC), amaran dan pengelakan keluar lorong (LDW & LDP), kawalan pemusatan lorong (LCC), informasi papan tanda trafik (TSI), bantuan suluhan tinggi (IHBC) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

 

X50 Flagship (tambahan kepada ciri di atas)
– spoiler bumbung sporti
– kemasan dua tona di luar
– kemasan hitam berkilat pada cermin sisi
– visor matahari separa telus
– slot pengecasan tanpa wayar
– bumbung kaca panorama
– kemasan dalaman dua tona
– Auto Park Assist (APA)

Terdapat lima warna yang ditawarkan untuk Proton X50, iaitu Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver serta warna baharu Teal Bayou Green.

Menurut Proton, model X50 2025 mempunyai kira-kira 245 komponen baharu dengan tempoh pembangunan memakan masa selama 412,000 jam dan telah menjalani ujian atas jalan raya sejauh 4.3 juta km.

 

 

Proton X50 2025 varian Premium

 

Proton X50 2025 varian Flagship