Arkib Tag: Proton Saga 2026

Proton Saga 2026: Tempahan dibuka, tiga varian, harga anggaran dari RM40k

Proton mengumumkan tempahan untuk model sedan Saga baharu telah pun rasmi dibuka.

Proton Saga 2026 boleh didapati dalam tiga varian iaitu Standard, Executive dan Premium dengan harga jualan anggaran bermula dari RM40,000 hingga RM50,000.

Proton turut menawarkan ganjaran eksklusif untuk pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

20,000 pembeli terawal yang membuat membuat tempahan dari 10 November 2025 hingga tarikh pelancaran rasmi dan melengkapkan pendaftaran sebelum 31 Disember 2025 layak mendapat tawaran berikut:

  • Pakej Servis Percuma 1 Tahun atau had 20,000 km (yang mana tiba dahulu)
  • Kad Touch ‘n Go Saga Serba Baharu Edisi Terhad

Perincian tentang Proton Saga 2026 boleh dibaca menerusi pautan berikut:

4 Perkara yang anda perlu tahu tentang Proton Saga 2026

4 Perkara yang anda perlu tahu tentang Proton Saga 2026

Proton mendedahkan perincian spesifikasi bagi model sedan segmen A Proton Saga 2026 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Masih lagi menggunakan pelantar yang sama, namun Saga kini tampil dengan rupa yang lebih segar, enjin baharu serta susun atur papan pemuka yang lebih moden.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

1. Enjin

Tamat sudah hayat enjin Campro 1.3 liter, Saga kini diberikan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter NA menghasilkan 120 PS dan 150 Nm.

Menurut Proton, enjin kitaran Atkinson dengan teknologi DVVT ini mampu menawarkan manfaat berikut:

  • kadar penggunaan bahan api serendah 4.9 liter per 100 km, atau 14.04 peratus lebih jimat
  • 25.24 peratus lebih senyap menyumbang kepada NVH yang lebih baik

Terdapat dua pilihan transmisi, iaitu CVT yang dikhususkan untuk varian Premium, serta kotak gear 4AT untuk varian Executive dan Standard.

 

2. Keselamatan

Proton Saga 2026 kini menawarkan kelengkapan keselamatan yang jauh lebih baik berbanding penawaran terdahulu.

Ia kini dilengkapi dengan enam beg udara (berkemungkinan besar untuk varian yang lebih tinggi), serta sembilan fungsi ADAS yang dibantu oleh sistem kamera monokular dan sistem radar sisi belakang (RSRS) seperti:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • amaran pergerakan kenderaan hadapan (FDA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHBC)
  • amaran keluar lorong (LDW)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • bantuan penukaran lorong (LCA)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)

Tidak cukup dengan itu, casis Saga turut diperkukuh dengan empat komponen RESS (Reinforced Safety Structure).

 

3. Kabin

Untuk ruang kabin Saga kini dilengkapi dengan panel skrin memanjang sebesar 16 inci dengan dua paparan terbina, iaitu skrin meter digital 7 inci dan skrin infohibur sebesar 9 inci.

Berita baik, Saga kini dilengkapi dengan sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Corong pendingin hawa turut diberikan nafas baharu diikuti dengan tombol gear, sementara roda stereng pula adalah unit sama yang wujud pada Proton X50.

Tidak seperti Saga terdahulu yang bergantung pada sistem stereng hidraulik, Saga 2026 kini hadir dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS).

Antara ciri lain termasuklah tempat duduk dua tona balutan leatherette, storan pada konsol tengah, port pengecasan USB Type-A, cangkuk teh tarik, dan tombol kawalan iklim fizikal.

Menurut Proton, dimensi tempat duduk depan dan belakang kini lebih besar dan lebih lebar.

 

4. Luaran

Dari bahagian sisi, Saga tidak menonjolkan perubahan besar melainkan rekaan rim 15 inci serba baharu (14 inci untuk varian Standard).

Daripada sudut hadapan, Saga membawakan unit lampu projektor LED lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED, diikuti jeriji dengan elemen sulaman songket dan Ethereal Bow.

Unit lampu belakang juga diperbaharui dengan grafik 3D yang lebih kemas.

Dengan segala ciri baharu dan penambahbaikan bernilai RM12,000, berapa pula harga yang bakal diletakkan oleh Proton untuk Saga baharu ini?

Gambar rasmi Proton Saga 2026