Arkib Tag: projek kereta nasional

Indonesia, KG Mobility jalin kerjasama bangunkan projek kereta dan bas nasional

Nampaknya negara-negara Asia Tenggara sedang berlumba untuk menonjolkan projek kereta nasional masing-masing.

Selepas Thailand, tiba giliran Indonesia pula untuk mengumumkan projek kereta dan bas nasional tersendiri yang bakal dibantu oleh KG Mobility (KGM).

Untuk pengetahuan anda, KGM merupakan satu jenama automotif dari Korea Selatan yang sebelum ini lebih dikenali dengan nama SsangYong.

KGM sebelum ini telah menandatangani perjanjian untuk pengembangan perniagaan dan bekalan pemasangan tempatan model Rexton di ibu pejabat PT Pindad – syarikat pertahanan dibawah Kementerian Pertahanan Indonesia pada 8 Mei lalu.

Menurut laporan oleh Business Korea, KGM akan meneliti beberapa aspek seperti daya saing, teknologi dan kejuruteraan untuk model seperti Rexton.

Daripada situ, KGM merancang untuk bekerjasama secara aktif bagi mengembangkan lagi skala projek pengeluaran kereta nasional dan bas elektrik Indonesia yang diterajui oleh PT Pindad dengan jumlah sasaran 200,000 unit.

Ini bukanlah kali pertama Indonesia mempunyai projek kereta nasional.

Pada tahun 1996, sebuah syarikat dikenali sebagai PT Timor Putra Nasional (Timor) telah ditubuhkan sebagai respons kepada presiden Indonesia pada ketika itu yang mahu merealisasikan industri kereta nasional.

Dalam tempoh beberapa tahun operasi, Timor mempunyai dua model kenderaan, iaitu sedan S515 (rebadge daripada Kia Sephia) dan station wagon SW516i.

Inilah dia MV3 Garuda Limousine, kenderaan rasmi Presiden Indonesia yang ke-8