SAIC Motor Malaysia menerusi kerjasama EP Manufacturing Berhad (EPMB) hari ini mengumumkan perancangan program pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan elektrik (EV) jenama MG yang akan bermula pada suku pertama 2026 (Q1 2026).
Perkara tersebut diumumkan oleh Emory QiFeng selaku Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia dalam satu acara yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta YBhg. Hamidon Abdullah, Pengerusi Eksekutif EP Manufacturing Berhad (EPMB).
Fasiliti EPMB di Melaka berkeupayaan untuk memasang kenderaan tenaga hijau termasuklah BEV dan HEV di samping model enjin pembakaran dalaman (ICE) di bawah satu bumbung.
Strategi ini akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu keterjangkauan, penghantaran yang lebih pantas, serta tahap penyetempatan yang lebih kukuh.
SAIC Motor Malaysia menjamin setiap kenderaan yang dipasang di sini akan melalui pemeriksaaan menyeluruh mengikut piawaian global Program Kualiti SAIC.
Menurut SAIC Motor Malaysia, kedudukan strategik Malaysia di ASEAN menjadikannya lokasi yang sesuai sebagai hab pengedaran dan pertumbuhan serantau.
Ia juga dijangka mampu menjana peluang pekerjaan, mengukuhkan ekosistem vendor tempatan serta menjadi asas kepada program penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada masa hadapan.
Menurut Emory QiFeng, “Barisan pemasangan kami akan memenuhi keperluan pelanggan sepenuhnya dan memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan efisian.
“Pengumuman hari ini hanyalah permulaan. Bersama rakan kongsi dan bakat tempatan, kami sedang membina masa depan yang dipacu oleh inovasi, kemampanan, dan peluang yang akan menggerakkan Malaysia ke hadapan bersama MG,” jelasnya lagi.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan SAIC Motor Malaysia dalam melaksanakan pemasangan kenderaan elektrik sepenuhnya pertama kami di kilang Melaka,” kata YBhg Hamidon Abdullah.
“Bersama-sama, kami menyasarkan untuk memperkukuh ekosistem EV negara, mempercepatkan penyetempatan serta menambah nilai kepada pelanggan di Malaysia,” ujarnya lagi.
Sejak bertapak, SAIC Motor Malaysia telah mengembangkan rangkaiannya kepada 26 pengedar sah di seluruh negara, termasuk tiga bilik pameran di Sarawak dan tiga lagi yang bakal dibuka tidak lama lagi.
