Honda telah mengesahkan bahawa Prelude 2026 yang bakal dilancarkan hujung tahun ini akan hadir dengan beberapa komponen daripada Civic Type R, walaupun tidak menggunakan lencana Type R.
Buat pertama kalinya, model bukan Type R akan menggunakan suspensi hadapan dual-axis Honda, yang pertama kali diperkenalkan pada Civic Type R 2017.
Rekaan suspensi ini memisahkan geometri stereng dan penyerap hentak bagi membantu mengurangkan kesan torque steer dan meningkatkan ketepatan kawalan stereng, ciri penting bagi kereta pacuan hadapan.
Selain suspensi tersebut, Prelude baharu ini turut dilengkapi dengan brek hadapan Brembo dan ukuran trek roda hadapan serta belakang yang lebih lebar, juga diambil daripada Civic Type R.
Namun begitu, Honda menyatakan bahawa komponen ini telah ditala khas bagi memberikan pengalaman pemanduan ala grand touring yang sporty tetapi selesa.
Dari segi kuasa, Prelude menggunakan sistem hibrid yang ‘dipinjam’ daripada Civic Hybrid. Ia merangkumi enjin petrol 2.0-liter kitaran Atkinson yang digandingkan dengan dua motor elektrik. Output rasmi masih belum diumumkan, tetapi dalam Civic, sistem ini menghasilkan 200 hp dan 232 lb-ft tork.
Bukan itu sahaja, Prelude juga bakal memperkenalkan mod pemanduan baharu S+ Shift, yang direka untuk meningkatkan tindak balas dan memberikan rasa pemanduan lebih agresif.
Spesifikasi penuh dan harga akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran, namun ia dijangka bermula sekitar USD $30,000 (sekitar RM140,000).
HONDA Prelude membuat kemunculan mengejut di Tokyo Motor Show tahun lepas. Menurut Honda, model coupe itu akan menjadi realiti, dan ia terus menyemarakkan lagi spekulasi dalam kalangan peminat dan pemerhati automotif.
Berikut adalah beberapa perincian baharu yang kami ketahui. Jom lihatkan!
Tidak begitu sporti
Honda Prelude generasi baharu mungkin tidak begitu sporti seperti yang disangkakan. Malah, ia akan dipacu enjin hibrid.
Output adalah sekitar 200hp. Dan ketua jurutera Honda, Tomoyuki Yamagami berkata, Prelude baharu ini “tidak akan menjadi kereta paling sporti, paling lincah”.
Guna nama apa?
Kereta coupe sports ini akan terus menggunakan nama Prelude. Honda menggunakan nama ini untuk model coupe sports dua-pintu sejak 1978 hingga 2001.
Prelude baharu ini akan menggantikan Civic Coupe dan Accord Coupe. Ia juga akan menjadi antara model terawal untuk EV Honda akan datang.
Cantik ke?
Model konsep dalam gambar ini memberi gambaran jelas untuk kedatangan semula Honda dalam segmen coupe dua-pintu. Jika dilihat pada sejarah seperti model Civic, ia tidak lari jauh dari model konsep.
Jadi, kita boleh jangkakan perkara sama untuk Prelude ini.
Model konsep ini menampilkan rupa klasik hud depan yang panjang dan bahagian belakang pendek. Gril depan diapit oleh lampu yang nipis, manakala lampu belakang adalah jenis bar memanjang, terletak di bawah spoiler hitam.
Seperti biasa, perangai Honda tidak menunjukkan bahagian dalam kereta mereka. Begitu juga dengan Prelude ini, cerminnya digelapkan. Kami bayangkan kabinnya mempunyai papan pemuka seperti Civic FE.
Guna enjin apa?
Seperti disebut tadi, Prelude baharu akan menjadi model hibrid. Honda mengesahkan bahawa coupe ini bakal dilengkapi dengan enjin 2.0-liter 4-silinder yang sama seperti Civic e:HEV RS, tetapi ditambah dengan dua motor elektrik.
Bila mula dijual?
Honda dijangka mengeluarkan model ini pada pertengahan atau lewat 2025, sebab itu sesetengah pasaran melabelkan model ini sebagai Prelude 2026. Masih ada masa untuk kumpul duit!
Berapa harganya?
Bercakap pasal duit, berapa pula harganya nanti? Menurut laporan-laporan media antarabangsa, Honda mahu meletakkan Prelude lebih premium dari Civic dan Toyota GR86.
Civic paling mahal di Malaysia berharga RM167,900 untuk e:HEV RS. Toyota GR86 pula berharga hampir RM300,000. Kami syak Honda Prelude ini akan berharga antara RM290,000 hingga RM350,000.
Apa pendapat anda mengenai Prelude setakat ini, menarik? Atau lebih baik tambah sikit dan terus ambil Civic Type R FL5?
HONDA nampaknya mendedahkan suatu kejutan, sebuah Prelude? Wah, siapa masih ingat zaman kegemilangan coupe sports ini? Tahun 90-an dulu siapa pakai Prelude memang romeo habis! Tetapi bagaimana dengan model terkini?
Sayangnya, tidak banyak perincian yang kami dapat mengenainya. Prelude didedahkan di penghujung pembentangan Honda di acara Japan Mobility Show (JMS) yang sedang berlangsung.
Tiada sebarang maklumat termasuklah mengenai sistem janaan kuasanya. Tetapi dari firasat kami, berdasarkan treng automotif global, kemungkinan Honda Prelude ini menjadi model elektrik sepenuhnya (EV). Paling tidak pun, ada sedikit elektrifikasi seperti hibrid atau PHEV.
Walaupun tiada sebarang maklumat lanjut, dari segi rupa luarannya, ia nampak seperti bukan sekadar konsep. Bermakna ada potensi besar ia diproduksikan menjadi realiti, dengan bentuk yang anda lihat ini.
Muka depannya tidak jauh berbeza dari Civic, cuma nampak lebih tajam dan tiada gril. Silhouette badan cukup kemas dan sporti. Jika anda intai di sebalik rim 20-inci padanya, terdapat brek Brembo. Menarik. Cermin digelapkan, jadi tiada apa yang dapat dilihat atau diagak.
CEO Honda, Taishiro Mibe berkongsi satu perkara semasa pendedahan Prelude ini. Katanya, “Ini akan menjadi prelude (pembukaan) kepada model akan datang yang membawakan keseronokan pemanduan kepada masa depan elektrifikasi, selain berpegang kepada pemikiran sports Honda.”
Jika anda lihat, prelude di atas adalah huruf kecil, bermakna ia tidak merujuk kepada model yang dipaparkan, tetapi sebagai pembukaan lembaran baharu model elektrik sports Honda.
Apa pendapat anda? Bagi kami, cukup jika Honda menyumbat enjin Civic Type R K20C 2.0-liter dan ditala lebih 330hp, dengan motor elektrik, dan kotak gear manual 6-kelajuan. Amacam?