Arkib Tag: pratonton

Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 – tempahan dibuka, harga anggaran RM295,888

Mercedes-Benz Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi model sedan elektrik serba baharu Mercedes-Benz CLA 2026.

Ia hanya ditawarkan dalam varian tunggal CLA 250+ with EQ Technology, dengan harga jualan anggaran bermula dari RM295,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Unit pacuan

CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

 

2. Bateri & pengecasan

CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), terima kasih kepada pek bateri NMC 85 kWh.

Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

 

3. Dimensi

Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.

Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.

 

4. Luaran

Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.

Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

 

5. Kabin

Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.

Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP4o dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.

Lebih banyak perincian tentang model ini akan diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung tidak lama lagi.

 

Nissan Serena e-Power C28 dipertontonkan – pelancaran Q1 2026 sebagai model CKD

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model MPV baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan, iaitu Nissan Serena e-Power.

Generasi keenam Nissan Serena e-Power (C28) itu dikuasakan oleh sistem pacuan e-Power yang terdiri daripada enjin 1.4 liter, motor elektrik 163 PS dan 315 Nm dan pek bateri lithium-ion 1.769 kWh.

Tidak seperti kenderaan hibrid di pasaran, sistem e-Power ini bergantung sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak.

Enjin 1.4 liter itu tadi hanya bertindak sebagai unit penjana kuasa, namun tetap didatangkan dengan teknologi sistem pancitan terus dan Mirror Bore Coating yang mampu mengurangkan geseran, gegaran dan bunyi.

Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, dan MPV ini boleh bergerak sejauh 1,000 km untuk setangki minyak penuh.

Daripada segi penampilan, Serena e-Power C28 ini membawakan imej yang lebih moden, dimulakan dengan jeriji V-motion dan bampar yang lebih kemas, lampu belakang dengan grafik boomerang, serta logo Nissan baharu.

Rim pula bersaiz 16 inci.

Menurut ETCM lagi, Nissan Serena e-Power merupakan model e-Power yang pertama akan dipasang di kilang Serendah.

Harga jualan serta spesifikasi penuh Nissan Serena e-Power akan diumumkan pada pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada suku pertama 2026 (Q1 2026).

Tempahan Jetour T2 2026 dibuka, pelancaran Q1 2026, harga anggaran RM178,888

Pihak Jetour Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV premium lasak Jetour T2, dengan harga anggaran dari RM178,888.

Dengan kemunculan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) baru-baru ini, ia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran terawal di dunia yang menyambut kemunculan model ini.

Untuk info, Jetour T2 versi RHD ini telah pun dipamerkan semasa acara pameran Shanghai Auto Show pada bulan April yang lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Jetour T2 yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2026 (Q1 2026):

 

1. Enjin

Jetour T2 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L TGDi dengan hamburan kuasa 245 PS dan daya kilas 375 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, sistem pacuan empat roda serta mod pemanduan pintar X-Intelligent yang boleh disesuaikan mengikut permukaan dan keadaan jalan.

 

2. Dimensi

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan dengan ukuran dimensi sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi, 1880 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm.

 

3. Kelengkapan

Jetour T2 mendapat kelengkapan seperti unit pencahayaan LED berserta logo Jetour bercahaya, rel bumbung serta kotak storan luaran pada pintu kargo belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tidak ketinggalan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara.

 

4. Keselamatan

Jetour Malaysia mengesahkan SUV T2 ini akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera keliling 360 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Jetour dengan yuran tempahan RM1,000.

smart #1 akan dipertonton di acara Carlist Drive Auto Fair pada 1-3 September 2023

SUSULAN pelancaran smart #1 di EVx 2023 baru-baru ini, smart Malaysia menganjurkan pratonton eksklusif pada 26 hingga 28 September 2023.

Acara ini telah menarik perhatian peminat smart dengan lebih daripada 1,000 pengunjung yang hadir dan menawarkan peluang memandu uji kereta serta interaksi secara peribadi.

Menurut smart, sambutan yang telah diterima amat menggalakkan dengan ramai pengunjung memuji EV kompak itu atas ciri-ciri premium dan reka bentuknya.

Dalam perkembangan terbaharu bagi smart Malaysia, mereka mengumumkan bahawa persiapan sedang dijalankan untuk pembukaan pengedar pertama pada masa akan datang.

Kemuncak acara pratonton kali ini turut disertai oleh ahli ahli kelab pemilik smart, yang memeriahkan acara dengan semangat dan sokongan mereka.

Pameran smart #1 di Carlist DRIVE Auto Fair 2023

smart Malaysia mengumumkan smart #1 akan dipamerkan di Carlist DRIVE Auto Fair 2023 dengan kerjasama Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON).

Jika anda ingin melihat dengan lebih dekat EV kompak terbaharu ini, bolehlah berkunjung ke Hall 2, Setia City Convention Centre dari hari ini, 1 September hingga Ahad, 3 September 2023.

Program ini dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 8 malam.

Dari segi rekaan, smart #1 mendapat sentuhan pereka Mercedes-Benz memandangkan jenama smart kini dimiliki 50-50 oleh jenama Jerman itu dan Geely. Maka sebab itu anda dapat melihat lekuk-lekuk dan elemen rekaan seperti Mercedes GLA atau EQA.

smart #1 dilengkapi dengan lampu LED matriks, gril depan bercahaya, dan lampu LED belakang jenis bar melintang. Kesemua lampu luaran ini akan menyala dengan kesan grafik khas semasa anda membuka/mengunci kereta atau memainkan muzik.

Ruang dalaman smart #1 mendapat ciri premium dan terkini tetapi agak unik dengan cara mereka sendiri.

Antaranya ‘persembahan’ lampu semasa anda mahu membuka pintu (tanpa bingkai), kokpit dengan paparan infotainmen 12.8-inci di tengah, dan paparan instrumen 9.2-inci untuk pemandu.

Ciri lain merangkumi Apple Carplay dan Android Auto, pembesar suara 640W, dan bumbung panoramik halo yang menurut Pro-Net, terbesar dalam segmennya.

Smart #1 juga didatangkan dengan sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara, pertama dalam industri automotif. Jangan main-main.