iCaur Malaysia memperlihatkan model SUV elektrik kedua yang bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini (Q4 2025), iaitu iCaur V23.
Harga jualan anggaran bermula dari RM145,000 hingga RM155,000.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Varian
Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 2WD dan iWD.
Varian 2WD dijana dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, dipadankan dengan pek bateri LFP 59.9 kWh.
Sementara varian iWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda pintar, kuasa keseluruhan 211 PS dan 292 Nm yang disokong oleh bateri NMC 81.8 kWh.
Jarak gerak boleh mencecah sehingga 401 km untuk versi 2WD, atau sehingga 501 km untuk varian iWD.
2. Pengecasan
Secara standard, iCaur V23 menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW.
Keupayaan pengecasan pantas pula berbeza, di mana varian 2WD menyokong pengecasan DC sehingga 85 kW, atau sehingga 104 kW untuk varian iWD.
SUV ini turut dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW, sesuai untuk aktiviti luar.
3. Casis
Dari segi dimensi, ia berukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.
Bermakna, ia sebenarnya lebih pendek jika dibandingkan dengan iCaur 03 yang telah dilancarkan sebelum ini.
Suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di depan dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.
V23 menggunakan casis unibodi namun dengan pengaruh rekaan daripada beberapa SUV off-road ikonik era terdahulu seperti Land Rover Defender, Toyota Land Cruiser dan Mercedes-Benz G-Class.
Antara kelengkapan termasuklah lampu utama berbentuk bulat, rim 19 inci (21 inci untuk varian iWD), tempat pemijak sisi, serta pintu belakang bukaan sisi lengkap dengan kotak storan kecil.
4. Kabin
Kabin V23 tampil minimalis, namun tetap dilengkapi dengan beberapa butang dan tombol fizikal yang besar dan mudah dicapai.
Ia turut dilengkapi dengan skrin paparan sebesar 15.4 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sokongan kamera casis lutsinar 540 darjah, serta tombol khas untuk penukaran mod pemanduan.
5. Keselamatan
V23 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2) merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran keluar lorong (LDW) dan brek kecemasan autonomi (AEB).
