Arkib Tag: Porsche 911 GT3 Ocelot

Porsche 911 GT3 Ocelot dari Sonderwunsch, bergaya dengan inspirasi Amazon

Porsche melancarkan projek Sonderwunsch baharu yang diberi nama Icons of Latin America untuk meraikan warisan dan kecemerlangan automotif rantau tersebut.

Projek sulung ini dimulakan dengan sebuah 911 GT3 Touring 2025 unik yang dipanggil The Ocelot.

 

Inspirasi dan Ulang Tahun

Rekaan kereta ini diinspirasikan secara langsung oleh kepelbagaian biologi hutan hujan Amazon di Colombia dan haiwan eksotiknya, harimau oselot (ocelot).

Projek ini dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Porsche Latin America dan ulang tahun ke-30 bagi Autoelite, pengimport rasmi Porsche di Colombia.

 

Luaran: Forest Green Metallic dan Centenaire Silver

911 GT3 Touring tampil menarik dalam warna eksklusif Forest Green Metallic (Paint to Sample), yang dipilih untuk membangkitkan lapisan dedaun, bayangan dan cahaya hutan hujan Amazon.

Warna hijau pekat tersebut dikontraskan dengan riasan Centenaire Silver pada beberapa bahagian luaran seperti pemegang pintu dan logo.

Penggunaan warna perak adalah penghormatan kepada kemasan krom pada model Porsche 911 terawal dari tahun 1960an, menghubungkan versi moden dengan warisan jenama.

 

Dalaman: Kulit Cohiba Brown dan Fabrik Pepita

Bahagian dalaman menterjemahkan identiti ocelot, yang dikenali dengan kecantikan dan corak bertompok.

Majoriti bahagian dalaman menggunakan kulit Cohiba Brown dengan warna yang menyerupai bulu harimau oselot bersama jahitan silang Crema dan Truffle Brown.

Kerusi sport menampilkan panel tengah fabrik Pepita dalam pelbagai tona, ala corak bertompok harimau oselot dan penghargaan kepada warisan klasik Porsche.

Corak harimau oselot terpampang pada sandaran kepala, diinspirasikan daripada papan tanda lintasan hidupan liar Colombia.

 

Sonderwunsch dengan Identiti Amerika Latin

Penyesuaian pada 911 GT3 Touring disempurnakan dengan perincian eksklusif Sonderwunsch yang menyerlahkan kesungguhan untuk meraikan identiti Amerika Latin.

Perincian ini termasuk lencana Iconos de Latinoamérica dalam Centenaire Silver pada tiang B.

Pelindung ambang pintu bercahaya memaparkan inskripsi untuk memperingati kedua-dua ulang tahun utama, 30 Años de Autoelite dan 25 Años de Porsche Latin America.

Selain itu, penggunaan kulit Cohiba Brown pada stereng, papan pemuka dan juga ruang bagasi hadapan, menyerlahkan sentuhan mewah dan eksklusif projek ini.