Arkib Tag: Porsche 911 Carrera S

Porsche 911 (997.2) milik James May dibuka untuk bidaan, terlalu banyak kereta dan tidak cukup ruang

Porsche 911 (997.2) Carrera S 2010 milik personaliti TV terkenal, James May, kini ditawarkan secara bidaan tanpa harga rizab di dalam platform dalam talian Collecting Cars.

Alasan jualan? Beliau terpaksa melepaskannya kerana terlalu banyak kereta dan tidak cukup ruang.

James May memiliki kereta sport ini sejak baharu dan hanya dipandu sejauh 50,362 km. Kereta ini dijaga dengan baik dan sentiasa disimpan di dalam garaj.

Memandangkan bidaan sedang berlangsung, harga terkini setakat artikel ini ditulis ialah GBP37,750 (RM205,326) sebelum sesi tamat pada 26 November.

Spesifikasi Teknikal

  • Enjin: Flat-six 3.8 liter naturally aspirated.
  • Kuasa: 380 bhp, 420Nm.
  • Transmisi: 6-kelajuan manual.
  • Jarak Perjalanan: Hanya 31,294 batu (50,362 km).

Ciri-Ciri Utama

Unit ini dipesan dengan spesifikasi ‘purist’ yang memperlihatkan citarasa James May yang mementingkan aspek pemanduan dan estetika klasik:

  • Warna Luaran: Carrara White.
  • Dalaman: Kabin kemasan kulit Ocean Blue dengan trim bercorak aluminium.
  • Roda: Rim aloi Carrera Classic 19-inci dengan spacer 5mm.
  • Brek: Angkup brek berwarna merah.
  • Tayar: Michelin Pilot Sport.
  • Pemanduan dan Kestabilan: Pembeza belakang gelinciran terhad, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Porsche Stability Management (PSM).
  • Pilihan Teknologi (Dipilih oleh James May): Sistem audio Bose, Porsche Communication Management (PCM) dengan navigasi, kawalan jelajah (cruise control), pengelap belakang dan cermin depan berwarna kelabu atas.
  • Kelengkapan Lain: Porsche Vehicle Tracking System (Sistem telah diputuskan sambungan).

Sejarah Penyelengaraan dan Kelengkapan

Kereta ini diselenggara dengan baik oleh pengedar utama Porsche Centre West London dan pakar Number 5 Garage.

Ia dibekalkan dengan semua sejarah penyelengaraan lengkap, manual pemilik, sijil MOT, V5, borang pesanan dan invois asal serta berus pembersih James May yang terkenal.

  • MOT Terkini: 31 Oktober 2024 pada 30,778 batu (49,532 km).
  • Servis Terkini (Mei 2025): Penggantian besar di Number 5 Garage, merangkumi kedua-dua radiator hadapan, tayar hadapan, komponen penyaman udara, semua hos penyejuk dan semua cecair utama (minyak enjin, minyak kotak gear, bendalir brek).

Rekod Servis Mengikut Tarikh:

  • Okt 2012 (7,694 batu / 12,382 km): Porsche Centre West London.
  • Nov 2014 (15,711 batu / 25,285 km): Porsche Centre West London (termasuk palam pencucuh).
  • Okt 2015 (21,834 batu / 35,138 km): Porsche Centre West London (bateri/starter relay).
  • Ogos 2017 (26,160 batu / 42,099 km): Number 5 Garage.
  • Mei 2025 (30,793 batu / 49,557 km): Number 5 Garage (servis utama).

Porsche 911 hibrid muncul hujung bulan ini, lebih pantas mengelilingi Nurburgring!

Porsche 911 hibrid bro!

Tanggal 28 Mei ini akan menandakan permulaan era baharu buat keluarga kereta sports Porsche 911.

Ini kerana, Porsche bakal mendedahkan model 911 hibrid jalanan pertama mereka setelah selesai menjalani fasa pembangunan yang memakan masa lebih dua tahun dan jarak perbatuan mencecah hampir 5 juta kilometer.

 

 

Menurut Porsche, 911 hibrid baharu ini mampu mengelilingi litar Nurburgring dalam masa 7 minit 16.9 saat, di mana ia 8.7 saat lebih pantas berbanding model terdahulu.

Sebagai makluman, catatan masa tersebut merujuk kepada prestasi model Carrera S generasi 992 yang telah mencatatkan masa pusingan 7:52 pada tahun 2020.

Naib presiden unit pembangunan 911 dan 718, Frank Moser menjelaskan, “untuk pertama kalinya dalam sejarah ikon 61 tahun, kami memasang sistem pacuan hibrid dalam model jalanan 911. Prestasi inovatif hibrid menjadikan 911 lebih dinamik.”

 

 

Tambahnya lagi, model hibrid 911 ini turut diuji dalam pelbagai keadaan cuaca termasuklah cuaca sejuk beku serta keadaan panas melampau di kawasan gurun pasir di Dubai.

Kembali semula ke Litar Nurburgring Nordschleife, Porsche telah menggunakan khidmat duta jenama itu, Jörg Bergmeister untuk melengkapkan pusingan di laluan Neraka Hijau dalam tempoh 7:16.934 minit.

Dalam cubaan tersebut, Porsche 911 hibrid itu dilengkapi dengan tayar jalanan standard, serta kit aerodinamik (termasuk sayap belakang kekal) yang bakal ditawarkan sebagai opsyen untuk model tersebut.

Seperti biasa, lebih banyak perincian spesifikasi bakal diketahui dalam masa terdekat, namun Porsche mengesahkan unit hibrid yang dimuatkan pada 911 ini lebih disasarkan untuk peningkatan prestasi jentera, bukannya soal kecekapan.