Arkib Tag: PMX

AFAZ serah model Kencana Sport kepada Perdana Menteri

Satu detik bersejarah tercatat semalam (15 Januari) apabila jenama motosikal tempatan AFAZ Kencana Sport diserahkan secara rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Majlis ini menandakan kemuncak kepada inisiatif jangka panjang yang bermula dengan pelaksanaan Automotive Manufacturing 2 (AM-2) pada tahun 2022.

Ia merupakan satu kerangka dasar strategik bertujuan untuk memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh.

Pada tahun 2023, KMSB Motors Sdn Bhd memeterai Perjanjian Memorandum (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.

Hasilnya, projek AFAZ telah dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional dengan matlamat jelas untuk membangunkan Motosikal Nasional Kedua Malaysia dan memperkukuh ekosistem industri motosikal negara.

Penyerahan AFAZ Kencana Sport kepada Perdana Menteri bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan keupayaan Malaysia dalam mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian mobiliti bertaraf nasional, hasil gabungan dasar progresif, kerjasama industri strategik dan keupayaan tempatan yang semakin matang.

AFAZ Kencana Sport merupakan sebuah motosikal underbone dengan enjin Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, serta disokong teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan dan prestasinya.

Objektif utama pembangunan model ini adalah untuk menyediakan sebuah motosikal yang praktikal dan mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan pasaran massa.

 

Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan, keselamatan dan pematuhan peraturan. Pendekatan ini memastikan motosikal ini bukan sahaja relevan untuk pasaran tempatan, malah bersedia untuk dieksport ke pasaran ASEAN dalam tempoh terdekat.

Dengan tahap kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan piawaian yang kompetitif, AFAZ Kencana Sport berpotensi menjadi duta industri dua roda Malaysia di peringkat serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada vendor tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif ASEAN.

Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter 30 September ini

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga jualan petrol RON95 turun kepada RM1.99/liter bermula 30 September ini, lapor Berita Harian.

Pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) itu disasarkan kepada rakyat tempatan tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Beliau berkata, lebih 16 juta rakyat Malaysia dengan lesen memandu sah akan menerima manfaat penurunan harga bahan bakar tersebut.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Untuk bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60/liter bermula tarikh yang sama.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Sistem Malaysia Airports Holdings Berhad digodam dengan tuntutan RM44.4 juta

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) digodam dengan tuntutan AS$10 juta (RM44.36 juta), namun permintaan itu ditolak serta-merta.

“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan ‘hacking’ (aktiviti menggodam) dan agak berat terhadap MAHB dalam satu dua hari yang lalu.

“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperoleh dana AS$10 juta atau sebagainya. Saya dimaklum, saya Alhamdulillah bulan Ramadan, saya tak tunggu lima saat pun, saya terus jawab no (tidak),” katanya.

Anwar tidak memperincikan insiden penggodaman terhadap syarikat pengendali lapangan terbang berkenaan, namun menegaskan insiden itu membuktikan keperluan negara untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), antara lain, untuk mempersiapkan diri melawan penggodam.

Tegas Anwar lagi, Malaysia tidak mungkin akan selamat jika pimpinan dan sistemnya mengizinkan negara tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara.

Beliau berkata, tindakan untuk tidak tunduk kepada tuntutan penggodam itu sudah pasti membawa risiko kepada kerajaan namun ia membuktikan keperluan untuk meningkatkan keupayaan pihak berkuasa termasuk sektor perbankan.

PMX dapat hadiah SUV elektrik Togg T10X

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam (11 Februari) menerima hadiah berupa sebuah SUV elektrik daripada Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.

Hadiah berupa sebuah Togg T10X itu diterima sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara bersempena lawatan rasmi Presiden Turkiye itu ke Malaysia baru-baru ini.

Togg T10X merupakan sebuah SUV segmen C berkuasa elektri yang diproduksikan oleh syarikat pengeluar automotif Turkiye, Togg.

Terdapat dua konfigurasi trenkuasa ditawarkan, iaitu versi pacuan roda belakang (RWD) berkuasa 218 hp/350 Nm, atau versi pacuan semua roda (AWD) berkuasa 436 hp/700 Nm.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 52.4 kWh pula membenarkan jarak sejauh 314 km, sementara versi 88.5 kWh pula menawarkan jarak sehingga 523 km untuk sekali cas penuh.

Proton Saga LHD mula dipasang di Mesir Disember ini

Proton dijangka akan memulakan proses pemasangan kenderaan (CKD) di Mesir pada Disember ini menerusi pembukaan kilang di Kaherah, Mesir.

Perasmian kilang CKD tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim bersempena dengan lawatan rasminya ke negara itu.

Terletak di Al Oula Industrial Park, Giza, fasiliti yang dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) bernilai US$35 juta ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dan mampu menyediakan 400 peluang pekerjaan.

Perasmian kilang CKD tersebut merupakan susulan daripada penghantaran pertama unit CKD ke Mesir pada 9 September yang lalu.

Unit pertama Proton Saga versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dijangka akan meluncur keluar dari barisan produksi pada bulan Disember ini dengan sasaran pengeluaran 1,400 unit untuk tahun 2024.

Angka tersebut akan meningkat kepada 5,000 unit pada tahun 2025, dengan unjuran pengeluaran sebanyak 16,000 unit Saga CKD versi LHD untuk tempoh sehingga tiga tahun sehingga akhir tahun 2026 dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Selain pasaran domestik Mesir, Proton juga akan mengeksport model kenderaan ke negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Proton juga merancang untuk menjadikan Mesir sebagai salah satu hab terpenting pengeluar itu di rantau tersebut.

PM perjelas sebab harga minyak tidak boleh diturunkan

UMUM sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk menurunkan harga petrol sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kini, setelah diangkat sebagai PM ke-10 susulan keputusan PRU15, ucapan itu secara berterusan dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang terhadapnya.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara itu.

Jelas beliau, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Anwar berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.