Arkib Tag: Petron Malaysia

100 stesen minyak Petron Malaysia akan dilengkapi sistem solar PV

Petron Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Progressture Renewables Sdn Bhd (Progressture Solar).

Di bawah kerjasama jangka panjang ini, sebanyak 100 stesen minyak Petron di seluruh negara akan dilengkapi dengan panel solar fotovoltaik (PV).

Sepanjang tempoh kontrak, Progressture Solar akan memiliki, mengurus dan menyelenggara operasi aset sistem panel solar yang dipasang.

Apabila siap sepenuhnya, sistem panel solar ini dijangka akan:

  • Menjana sehingga 3,321 MWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun, bersamaan tenaga untuk kira-kira 953 isi rumah di Malaysia dalam tempoh setahun.
  • Mengurangkan sehingga 2,517 tan pelepasan karbon setiap tahun, bersamaan pelepasan karbon daripada kira-kira 587 buah kereta atau menanam 62,933 pokok setiap tahun.
  • Menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 62,925 tan sepanjang kitar hayat projek.

Menurut Mohd Nizam Mansor selaku Pengurus Besar Petron Malaysia berkata, “Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk mengintegrasikan kelestarian dalam setiap aspek operasi kami.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perjalanan Petron dalam menyokong sasaran Karbon Sifar Bersih 2050 Malaysia, di samping menambah bekalan tenaga kepada operasi kami secara lebih bersih dan berdaya tahan,” ujarnya.

Ng Yew Weng, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Operasi Progressture Solar berkata, “Sebagai rakan tenaga bersih terkemuka, kami percaya kerjasama ini menandakan satu kemajuan penting bagi industri bahan api runcit.

“Ia menunjukkan bagaimana penggunaan tenaga boleh diperbaharui mampu memberikan impak operasi sebenar sambil menyokong usaha penyahkarbonan Petron serta perjalanan Malaysia ke arah sifar bersih.”

Petron Malaysia raih Lesen Produk Tulen SIRIM bagi produk minyak enjin

Petron Malaysia mengumumkan pihaknya berjaya meraih Lesen Produk Tulen SIRIM bagi produk minyak enjin di Malaysia.

Majlis penyerahan sijil rasmi diadakan di ibu pejabat Petron Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Azmi Musa selaku Pengurus Besar Kanan, Jabatan Perkhidmatan Ujian, SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Pensijilan ini berasaskan piawaian SIRIM 58 – Skim Pensijilan Produk Tulen (Minyak Enjin untuk Kenderaan Bermotor).

Skim ini memastikan setiap produk mematuhi piawaian, melindungi pengguna daripada minyak enjin tiruan serta memberikan keyakinan bahawa minyak enjin Petron dihasilkan secara konsisten mengikut spesifikasi.

Antara rangkaian pelincir Petron yang menerima pensijilan SIRIM seperti berikut:

  • siri Petron Blaze Racing
  • siri Petron Rev-X
  • siri Petron Rider 4T
  • siri Petron 2T
  • Super Tractor Universal Oil (STOU)

Mohd Asri Ibrahim, Ketua Perniagaan Komersial Petron Malaysia, berkata “Selaras dengan garis panduan dan prosedur baharu, Petron berbangga menerima Lesen Produk Tulen SIRIM yang menegaskan lagi kualiti, keaslian dan kebolehpercayaan minyak enjin kami.

“Ia juga membuktikan komitmen kami untuk menghasilkan produk yang mampu memberi perlindungan lebih baik kepada enjin kenderaan pelanggan.”

Petron, RTM sambung kerjasama untuk Jelajah Aspirasi Malaysia 2025

Petron Malaysia meneruskan kerjasama untuk tahun kedua dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.

Program ini berlangsung dari 16 Ogos hingga 13 September 2025 bersempena dengan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Pelbagai aktiviti dan pengisian khusus bertujuan untuk memupuk perpaduan nasional melalui interaksi secara langsung bersama masyarakat di lokasi-lokasi terpilih di semua negeri.

Ia turut mendapat kerjasama daripada pengusaha-pengusaha stesen minyak Petron, warga kerja, serta rakan dari sektor awam dan swasta.

Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Petron berhasrat menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan dengan rakyat Malaysia pada bulan Ogos dan September, yang meraikan dua perayaan nasional penting: Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Kami berharap para peserta mendapat manfaat daripada aktiviti yang disokong melalui sumbangan wang tunai dan barangan daripada rangkaian pengusaha stesen minyak kami.”

Berikut merupakan sorotan program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025:

16 Ogos – Pelancaran rasmi dengan acara Historace di Gua Kelam, Perlis oleh Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah RTM dan Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia.
18 Ogos – Program lukisan mural di lapan buah sekolah terpilih
20 Ogos – Sumbangan kepada komuniti nelayan yang terjejas akibat kebakaran. Petron juga bekerjasama dengan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk menaja pembukaa akaun simpanan bagi pelajar sekolah.
26 Ogos – Kerjasama dengan Persatuan Kanak-Kanak Autisme dengan mengadakan bengkel kraftangan, di mana hasil jualan dakan digunakan untuk dana aktiviti persatuan.
27 Ogos – Inisiatif Tourism Malaysia sempena Hari Pelancongan Sedunia yang akan berlangsung pada 27 September 2025. Juga promosi kraftangan serta makanan tradisional di stesen minyak Petron terpilih di bawah program ‘Sapot Lokal’.
13 September – Sumbangan sistem tadahan air, lampu solar dan penambahbaikan dewan komuniti di Kampung Brantian, Tawau. Pengusaha stesen Petron Sabah akan sumbangkan TV, alat tulis serta papan putih digital kepada SK Brantian.

Petron juga akan menyertai inisiatif pengumpulan penutup botol plastik bagi program kitar semula di bawah Jelajah Aspirasi Malaysia 2025.

Bersempena dengan bulan kemerdekaan, Petron mengadakan kempen ‘Petron Hypermarket Sweep’ dan ‘Petron Pasti OK Mini Sweep’ di kedai Treats untuk menghargai pelanggan setia.

Petron Malaysia lancar kempen keselamatan jalan raya 2025

Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2025 yang bakal tiba, Petron Malaysia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya di Petron MRR2, Selayang.

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan amalan pemanduan yang selamat.

Menurut Shaliza Mohd Sidek selaku Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia berkata, “Isu keselamatan memang merupakan agenda penting di Petron. Kami telah mengadakan program khusus di sekolah dan universiti terpilih, terutamanya di kawasan yang mempunyai kadar kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi untuk memupuk sikap lebih prihatin dan bertanggungjawab di kalangan pemandu dan penunggang baharu.”

“Dalam masa yang sama, kami juga menjalin kerjasama strategik dengan PDRM dalam Program Go-To-Safety-Point (GTSP) yang telah menjadikan stesen-stesen Petron sebagai titik selamat untuk semua pelanggan dan komuniti setempat semasa kecemasan.

“Kami berharap program hari ini menjadi peringatan kepada semua agar sentiasa berwaspada dan memandu dengan penuh tanggungjawab, terutamanya menjelang Hari Raya,” ujarnya lagi.

Petron juga bekerjasama dengan rakan strategik seperti Carro dan Rider Gate untuk menawarkan pemeriksaan kereta dan motosikal secara percuma.

Gramp’s Asia pula menawarkan sampel semburan kereta botani berbau segar dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran terhadap tidur mikro, sementara IGL Coatings pula menyediakan produk untuk cermin depan kereta bagi meningkatkan keterlihatan dan mengurangkan keletihan mata.

Pelanggan juga boleh mendapatkan sampel produk kopi dan roselle daripada NesQ.

Stesen minyak Petron telah dijadikan sebagai pusat bantuan komuniti menerusi program GTSP sejak 2013 lagi, dan pada tahun 2024 sebanyak 54 pengusaha stesen Petron telah diiktiraf oleh PDRM atas sumbangan cemerlang mereka.

Petron Rinching sedia terima e-waste secara pandu lalu

Petron Malaysia baru-baru telah bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk mewujudkan pusat pengumpulan sisa elektronik (e-waste) secara pandu lalu bagi menyemai tabiat pelupusan melalui kaedah betul di kalangan masyarakat.

Kempen terbaharu itu telah dirasmikan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin selaku Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, serta turut dihadiri oleh Puan Nor Aziah Jaafar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Puan Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia bertempat di stesen minyak Petron Rinching, Semenyih.

Menurut Shaliza Mohd Sidek, “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk meluaskan kemudahan dan pengumpulan e-waste di kalangan komuniti kami.

 

 

“Sejak 2021, kakitangan Petron Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak 4,500 kg e-waste menerusi pelbagai aktiviti operasi dalam syarikat. Kami berharap agar rangkaian stesen minyak kami boleh dijadikan sebagai tempat kutipan e-waste yang mudah untuk para pelanggan Petron.

YB Jamaliah Jamaluddin yang juga Adun Bandar Utama dalam ucapannya berkata, “Saya amat berbesar hati dan teruja kerana Petron telah menyahut cabaran untuk bersama-sama Kerajaan Negeri untuk menjayakan projek perintis ini.

“Saya berharap inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Selangor tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar melalui pengurusan e-waste yang baik, sekaligus dijadikan sebagai satu gaya hidup dan budaya,” ujarnya lagi.

Puan Nor Aziah Jaafar dalam ucapannya menyebut, “menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), e-waste adalah aliran sisa pepejal yang paling pesat berkembang di seluruh dunia. Jika kita gagal mengitar semula e-waste secara bertanggungjawab, ia akan menjadi bahan pencemar yang amat teruk dan memberikan impak negatif kepada kesihatan orang ramai.

 

 

Penduduk berhampiran Semenyih boleh membawa barangan elektronik dan elektrik yang sudah rosak atau tidak lagi digunakan ke stesen minyak Petron Rinching.

Pihak Jabatan Alam Sekitar telah melantik satu syarikat pengumpulan e-waste yang berlesen untuk menukar e-waste dengan wang tunai, serta memastikan e-waste tersebut dilupus atau dikitar semula dengan kaedah yang betul.

Petron Malaysia turut menggalakkan semua kakitangannya mengambil bahagian dalam inisiatif pengumpulan e-waste secara aktif.

Satu ceramah kesedaran e-waste telah diberikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar Selangor, diikuti dengan pengumpulan e-waste oleh semua kakitangan Petron Malaysia bermula 30 Mei hingga 22 Jun 2024.

 

Petron lancar kempen keselamatan jalan raya, kerjasama strategik dengan PDRM, JPJ

Bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Petron Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen keselamatan jalan raya bertempat di Stesen Minyak Petron MRR2 Safari.

Kempen terbaharu ini turut mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta rakan kerjasama seperti Applecrumby®, NESQ, Farm Fresh, dan snskidz.

 

 

Petron Malaysia juga melancarkan kempen yang sama di dua buah stesen minyak Petron, iaitu di Petron Bukit Lanjan Arah Utara dan Petron Sungai Besi Tol Arah Selatan.

Difahamkan sebanyak lebih daripada 100 pek 1 liter minyak hitam motosikal Petron turut diagihkan kepada pelanggan Petron P-Miles di ketiga-tiga stesen minyak.

 

 

Menurut Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia, Shaliza Mohd Sidek berkata, “Petron Malaysia amat mengambil berat tentang keselamatan jalan raya. Sepanjang sedekad yang lalu, kami telah bekerjasama dengan pihak PDRM dan JPJ sebagai rakan strategik untuk mempromosikan program keselamatan.

“Pada hari ini, kami amat berbesar hati untuk memperluaskan advokasi ini kepada orang ramai melalui stesen minyak kami. Kami berharap dengan menekankan langkah-langkah keselamatan yang penting yang sering diabaikan, seperti mengambil rehat yang mencukupi semasa memandu jauh, dapat mengelakkan lebih banyak kemalangan jalan raya.”

 

 

Dalam majlis yang sama, pihak JPJ turut menyumbang topi keledar motosikal kepada kanak-kanak terpilih dari kawasan kejiranan untuk menekankan kepentingan penggunaan topi keledar bagi penunggang motosikal.

Selain menyumbang kerusi keselamatan kanak-kanak, snskids dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menjalankan program pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak secara percuma.

Sementara itu, jenama NESQ memberikan sampel Kopi Kelasik secara percuma kepada 20 pelanggan terawal menggunakan pemegang cawan kertas mesra alam Go-To-Safety Point (GSTP) Petron.

 

 

Farm Fresh pula tidak ketinggalan menyumbangkan produk susu popular mereka, iaitu Yarra by Farm Fresh, serta uncang 30 g serbuk Farm Fresh Grow untuk memudahkan urusan balik kampung bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Jenama Applecrumby® pula menyediakan sampel pek lampin PureBasics untuk 500 pelanggan terawal di ketiga-tiga stesen minyak, menyediakan reruai aiskrim dan belon secara percuma, serta menawarkan Gift With Purchase (GWP) berupa patung ‘Unicorn’ secara percuma untuk setiap pembelian produk sebanyak RM150 dalam satu resit.

Tawaran tersebut terhad untuk 50 orang pelanggan terawal di mana penebusan fizikal boleh dibuat di Petron MRR2 Safari sahaja.