Arkib Tag: petrol

Porsche Taycan lebih laku dari kesemua jenis kenderaan petrol dan diesel di Norway

NORWAY telah benar-benar menerima kenderaan elektrik (EV) dengan kadar lebih tinggi dari negara-negara lain. Kini jualan EV di negara itu melebihi kenderaan pembakaran dalaman (ICE).

Dan menariknya, Porsche Taycan sangat laris di sana dengan jualan model itu sahaja melebihi gabungan semua kenderaan ICE. Sebanyak 181 unit Taycan kepada pelanggan sepanjang Januari 2022.

Menurut Norwegian Road Traffic Information Council (OFV), dari 7,957 kenderaan yang dijual di negara itu tahun lepas, hanya 387 sahaja yang menggunakan diesel atau petrol.

Harus diketahui bahawa jualan bulanan kenderaan ICE di sana telah menjadi rendah, dengan penurunan 2,400 unit berbanding Januari 2021.

Hampir 84 peratus kenderaan baharu di Norway bulan lepas (6,659 unit) adalah elektrik sepenuhnya.

Dari 20 kenderaan paling popular, kesemuanya adalah elektrik kecuali Toyota RAV4. Ini bukan sahaja rekod baharu untuk negara itu, malah menunjukkan peningkatan 53 peratus berbanding bulan sama tahun lepas.

Kenderaan paling popular secara keseluruhan bulan lepas adalah Audi Q4 E-Tron dengan 643 unit diserahkan kepada pelanggan. Ini diikuti oleh Hyundai Ioniq 5 (477 unit) dan BMW iX (444 unit).

Menariknya, Volkswagen ID.3 yang lebih murah hanya terjual sebanyak 125 unit, sangat rendah jika dibandingkan dengan ID.4 dan Skoda Enyaq (masing-masing 389 unit terjual).

Peningkatan mendadak jualan EV ini juga mungkin disebabkan pengurangan insentif Norway terhadap kenderana hibrid, yang hanya terdiri dari 19 peratus sahaja pada Januari 2021, kemudian menurun kepada 6.6 peratus tahun ini.

Cawangan Petros di Sarawak ini akan jadi stesen pelbagai bahan bakar pertama di Malaysia

MALAYSIA akan mempunyai stesen pelbagai bahan bakar (multifuel) pertamanya tidak lama lagi, iaitu sebuah cawangan Petros di Darul Hana, Kuching, Sarawak.

Stesen itu akan menempatkan bahan bakar konvensional iaitu petrol, mogas dan diesel, serta tempat pengecasan kenderaan elektrik dan tempat pengisian bahan bakar hidrogen.

Stesen Petros ini akan dibina oleh SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC Energy) yang merupakan sebahagian dari Sarawak Economic Development Corporation (SEDC). Ia diharapkan dapat menjana ke arah alam sekitar lebih bersih serta merancakkan ekonomi hidrogen di Sarawak.

Menurut laporan dari tahun lepas, SEDC Energy dijangka membina enam stesen “3 dalam 1” ini di Sarawak; dua di Kuching, dan satu stesen masing-masing di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Stesen ini juga boleh diubah menjadi tempat pengecas elektrik dan pengisian hidrogen sepenuhnya apabila penggunaan kenderaan EV bateri dan bahan bakar sel meningkat pada masa depan.

Seperti stesen minyak biasa, stesen Petros ini juga akan menyediakan ruang komersial untuk produk tempatan dan global.

Kredit gambar: Jonathan Ding

Enam syarikat setuju henti keluar kenderaan guna bahan bakar menjelang 2040

ENAM syarikat automotif dikatakan bersetuju menghentikan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan api petrol dan diesel.

Memetik laporan Nikkei Asia, kesemua syarikat automotif berkenaan bersetuju menamatkan pengeluaran kenderaan menggunakan bahan api menjelang tahun 2040.

Antara syarikat dimaksudkan termasuk Ford, General Motors, Volvo, Mercedes-Benz, BYD dan Jaguar Land Rover.

Terdahulu, satu perbincangan diadakan antara kerajaan British dengan beberapa pengeluar kenderaan pada sidang berkaitan cuaca (COP26) di Glasgow.

Volvo antara syarikat memberi komitmen untuk menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030. – Foto ihsan Volvo Car Malaysia

Perbincangan antara lain memberi tumpuan terhadap penamatan penghasilan kenderaan berenjin menggunakan bahan bakar selain memperhebat pengeluaran electric vehicle (EV).

Bagaimanapun, masih terdapat pengeluar kenderaan tidak terlibat dengan perjanjian dimeterai.

Syarikat terbabit termasuk Volkswagen dan Toyota selain beberapa syarikat dari China serta Jerman.

Setakat ini, penghasilan EV kebanyakannya dihasilkan oleh syarikat automotif mewah dengan harga yang agak tinggi.

Justeru, wujud persoalan mengenai nasib golongan pertengahan sama ada mempunyai peluang untuk memiliki EV atau sebaliknya.

Harga minyak mentah global meningkat, kerajaan jamin kepentingan rakyat

RAKYAT diminta tidak gusar dengan peningkatan harga minyak mentah pasaran global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa memantau perkembangan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Jelasnya, terdapat pelbagai tindakan proaktif diambil kerajaan termasuk meneliti saranan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bagi meningkatkan pengeluaran petroleum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

“Mesyuarat OPEC memutuskan supaya kita meningkatkan pengeluaran petroleum kepada 400,000 tong sehari.

“Ia bagi menstabilkan harga minyak mentah di pasaran global dan akan berlangsung dalam tempoh beberapa bulan.

“Pada 1 Okober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 per liter.

“Kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya.

Pada Isnin, harga minyak mentah di pasaran global meningkat kepada AS$80 atau bersamaan RM334.24 setong.

Perkara ini menjadi kebimbangan rakyat yang gusar sekiranya harga runcit bagi petrol RON97, RON95 dan diesel mengalami kenaikan.

Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

HARGA jualan RON97, RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 19 sehingga 25 Ogos ini.

Ia bermakna RON97 masih lagi dijual pada harga RM2.74 seliter dan RM2.05 bagi RON95 seliter.

Harga bagi diesel pula adalah RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol.

“Sungguh pun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, MOF menjamin kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Perlu atau tidak panaskan enjin kereta di waktu pagi?

TERDAPAT pelbagai pandangan mengenai tabiat ‘memanaskan’ enjin kenderaan pada waktu pagi.

Ada menganggap ia bertujuan menjaga ketahanan enjin malah, ramai juga percaya tabiat itu sebagai satu mitos.

Jadi, mana satu pandangan yang betul?

Analoginya mudah, bayangkan anda berlari pecut dan tidak melakukan sebarang warm up. Apakah akan terjadi?

Semestinya anda mudah ‘semput’ dan berkemungkinan besar mengalami kecederaan bukan?

Hal sama berlaku kepada enjin kenderaan jika tidak ‘dipanaskan’ sebelum memulakan perjalanan.

Perlu diingat, apabila enjin kereta dimatikan minyak pelincir akan kembali semula ke dasar tangki minyak enjin.

Apabila kuantiti atau jumlah minyak pelincir tidak mencukupi, ia boleh menyebabkan keadaan enjin menjadi ‘haus’ dan rosak.

Bagaimanapun, sejak 1990-an kebanyakan sistem pencucuhan kereta mula digantikan daripada karburetor kepada fuel injection.

Secara tidak langsung, ia mampu ‘menyuap’ lebih banyak bahan api ke dalam enjin ketika cuaca sejuk.

Apabila enjin panas pula, injektor akan mengurangkan suapan bahan api.

Ini bermakna sistem penggunaan bahan api bagi kereta moden hari ini lebih cekap dan menjimatkan.

Jadi apa jawapannya? Boleh atau tidak memanaskan enjin pada waktu pagi? Jelas ia bergantung pada anda.

Jika anda sudah terbiasa memanaskan enjin sebelum bergerak, disarankan untuk melakukannya dibawah 30 saat sahaja.

Manakala bagi anda yang jenis suka start and go, lakukan sahaja. Namun, elak memandu lebih dari 3,000 rpm sebelum enjin mencapai suhu optimum.

Semoga tips ini membantu merungkai persoalan anda!

Teringin tukar ekzos kenderaan? Ini alasan paling ‘solid’

Ekzos merupakan sistem mengawal pengeluaran gas pembakaran di dalam ruang enjin kenderaan.

Sistem ekzos bermula dari extractor yang berada di head enjin kenderaan sehingga ke bahagian muffler.

Sistem ekzos juga berfungsi mengurangkan bunyi dihasilkan dari bahagian enjin.

Namun, terdapat individu sengaja menukar sistem ekzos bagi menghasilkan bunyi kenderaan lebih ‘garang’.

Jadi, di sini kami kongsikan antara ‘alasan’ terbaik untuk anda menukar ekzos kenderaan.

Bunyi lebih kuat

Kadang kala, bunyi ekzos terlalu kuat adalah disebabkan terdapat kebocoran di bahagian komponen tertentu.

Bunyi dihasilkan seakan motorboat dan kebiasaan berlaku ketika waktu pagi atau sewaktu kenderaan dipecut laju.

Enjin ‘lemau’

Senario ini anda dapat rasakan ketika melakukan pecutan.

Anda dapat rasakan kuasa enjin anda semakin ‘mendap’ berbanding kebiasaan.

Tidak hairan jika kenderaan nak ‘memotong’ lori pun terasa seperti ‘kura-kura’.

Konsumsi petrol tinggi

Keadaan ini mempunyai kaitan dengan enjin ‘lemau’.

Semakin ‘lemau’ enjin anda maka semakin kuat anda menekan pedal minyak.

Maka, secara tidak langsung ia menyebabkan kenderaan anda menggunakan petrol yang lebih banyak berbanding kebiasaan.

Bau asap

Gas ekzos tidak dirawat dengan betul dalam sistem ekzos akan menghasilkan bau petrol yang kuat.

Bau dihasilkan seakan seperti petrol atau diesel yang terbakar.

Paling bahaya, situasi ini juga boleh menyebabkan berlaku kebocoran gas karbon monoksida yang boleh mengancam nyawa.

Bunyi besi ekzos

Jika anda terdengar bunyi bising seperti ketukan besi di bahagian bawah kenderaan, sah ia berpunca daripada ekzos.

Bunyi ini datangnya daripada ekzos yang patah sehingga menyebabkan ia bergoyang ketika kenderaan bergerak.

Demikian antara lima kerosakan umum melibatkan ekzos kenderaan. Anda disarankan mengambil tindakan segera jika berdepan masalah seperti ini.

Setidak-tidaknya ini menjadi alasan paling solid diberikan kepada ‘orang rumah’ untuk anda menukar ekzos kenderaan.

Good luck!

Harga RON97 naik empat sen, RON95 dan diesel kekal

Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit petrol RON97 naik empat sen seliter sementara RON95 serta diesel kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Harga itu berkuatkuasa bagi tempoh 22 hingga 28 April ini.

Harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Memetik kenyataan itu lagi, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

Pada masa sama, kerajaan juga akan terus mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

RON97 naik dua sen, RON95 dan diesel kekal

HARGA petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.54 sen seliter bagi tempoh 8 sehingga 14 April ini.

Bagaimanapun, harga bagi petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan paras harga siling RM2.05 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.15 seliter bagi diesel walaupun harga runcit APM bagi RON95 dan diesel telah meningkat melebihi harga siling yang ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian.

Langkah itu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.