Perodua Traz ditawarkan dalam dua varian, X dan H, dengan harga bermula dari RM76,100 hingga RM81,100.
SUV yang lebih besar daripada Atiza ini menggunakan rangkaian kuasa yang sudah dikenali dalam keluarga Perodua, sekali gus memberi gambaran awal bahawa kos pemilikan jangka panjang berada pada tahap terkawal.
Traz berkongsi enjin 2NR-VE 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) yang sama digunakan pada Perodua Myvi dan Alza.
Enjin ini menghasilkan kuasa 105 ps pada 6,000 rpm serta daya kilas 138Nm pada 4,200 rpm.
Penggunaan enjin NA juga jawapan kepada pengguna yang tidak mahukan enjin turbo seperti Atiza.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi Dual Mode CVT (D-CVT) yang turut dilengkapi fungsi penukaran gear manual serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Dengan tangki petrol 42 liter, Perodua Traz mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km/liter (MDC).
Selain kecekapan bahan api, satu lagi aspek penting bagi bakal pembeli ialah kos penyelenggaraan.
Berikut adalah ringkasan kos yang perlu dibayar bagi setiap tempoh servis, berserta komponen yang perlu ditukar sepanjang lima tahun pertama.
1. Servis Tahun Pertama (1K km & 10K km)
- 1K km (Bulan 1): Kos adalah RM0.00 bagi Semenanjung Malaysia (WM) dan Malaysia Timur (EM). Servis ini hanya melibatkan pemeriksaan menyeluruh dan ianya adalah percuma.
- 10K km (Bulan 6): Kos adalah RM184.70 (WM) / RM193.00 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran (Drain Plug Gasket).
- 20K km (Bulan 12): Kos adalah RM340.41 (WM) / RM350.71 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Gasket Palam Saliran, Penapis Minyak dan Penapis Kabin.
2. Servis Tahun Kedua (30K km & 40K km)
- 30K km (Bulan 18): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
- 40K km (Bulan 24): Kos adalah RM437.50 (WM) / RM452.30 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak, Bendalir Brek (1.0L), Penapis Kabin dan Penapis Udara.
3. Servis Tahun Ketiga (50K km & 60K km)
- 50K km (Bulan 30): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
- 60K km (Bulan 36): Kos adalah RM340.41 (WM) / RM350.71 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak dan Penapis Kabin.
4. Servis Tahun Keempat (70K km & 80K km)
- 70K km (Bulan 42): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
- 80K km (Bulan 48): Kos adalah RM437.50 (WM) / RM452.30 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak, Bendalir Brek, Penapis Kabin dan Penapis Udara.
5. Servis Tahun Kelima (90K km, & 100K km)
- 90K km (Bulan 54): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
- 100K km (Bulan 60): Ini adalah servis major dengan kos RM769.38 (WM) / RM804.48 (EM).
- Selain penukaran Minyak Enjin, Gasket dan Penapis Minyak, ia juga melibatkan penukaran Bendalir CVT, Gasket Saliran CVT, Penapis Kabin dan Palam Pencucuh Jenis Iridium.
Kos Penyelenggaraan 5 Tahun
Berdasarkan senarai harga servis, jumlah kos penyelenggaraan Perodua Traz sepanjang tempoh lima tahun atau sehingga 100,000 kilometer adalah RM3,179.86 bagi Semenanjung Malaysia (WM) dan RM3,301.66 bagi Malaysia Timur (EM).
Secara purata, kos penyelenggaraan tahunan adalah sekitar RM635.97 di Semenanjung Malaysia dan RM660.33 di Malaysia Timur.
Angka-angka ini memberikan panduan kepada pemilik mengenai peruntukan kewangan yang diperlukan untuk mengekalkan Traz mereka dalam tempoh jaminan atau lima tahun pertama.
Di sebalik kos tersebut, anda juga perlu memperuntukkan kos lain seperti penjajaran dan penggantian tayar, penyelenggaraan penyaman udara, bateri dan beberapa lagi sekiranya diperlukan.
