Arkib Tag: Perodua D66B

5 Perkara yang kami jangka tentang Perodua Traz/Nexis (D66B) baharu

Dalam tempoh beberapa hari lagi Perodua akan memperkenalkan sebuah SUV baharu yang ketika ini dikenali melalui kod dalaman D66B, dengan nama komersial yang dikatakan sama ada Perodua Traz atau Perodua Nexis.

Model ini bakal mengisi ruang di atas Ativa dengan asas teknikal Toyota Yaris Cross versi Asia, bukannya versi Eropah. Sama seperti Aruz dan Alza, Toyota dijangka turut melancarkan versi tersendiri.

Pengguna di Thailand dan Indonesia terlebih dahulu dapat merasa Yaris Cross.

Berikut lima perkara awal yang boleh dirumuskan setakat ini.

1. Diasaskan Daripada Toyota Yaris Cross Versi Asia

Perodua Traz/Nexis ini berasaskan Toyota Yaris Cross seperti yang ditawarkan di Thailand dan Indonesia.

Ini bermakna ia menggunakan konfigurasi rangkaian kuasa, dimensi dan talaan yang disesuaikan untuk pasaran ASEAN, berbeza dengan Yaris Cross Eropah yang lebih kecil dan berorientasikan citarasa pengguna di sana.

Pendekatan ini selari dengan strategi Perodua yang menekankan praktikaliti, kos pemilikan dan kesesuaian penggunaan harian.

2. Pilihan Enjin 1.5L Petrol dan Hibrid

Berdasarkan spesifikasi pasaran Thailand, Yaris Cross versi Asia ditawarkan dengan sistem hibrid 1.5L menggunakan enjin 2NR-VEX:

  • Enjin 4-silinder sebaris DOHC 16-injap Dual VVT-i
  • Kapasiti: 1,496 cc
  • Kuasa enjin petrol: 91 hp @ 5,500 rpm
  • Tork enjin petrol: 121Nm @ 4,000 – 4,800 rpm
  • Kuasa gabungan sistem hibrid: 82 kW (111 hp)
  • Voltan bateri: 177.6 volt
  • Transmisi: E-CVT

Sementara itu, model Indonesia menggunakan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter 2NR-VE dan rangkaian kuasa hibrid 2NR-VEX seperti Thailand:

1.5 liter 2NR-VE

  • Kuasa maksimum: 105 ps @ 6,000 rpm
  • Tork maksimum: 138Nm @ 4,200 rpm
  • Transmisi: Manual dan CVT

Setakat ini tiada makluman atau petunjuk mengenai rangkaian kuasa Traz/Nexis. Untuk makluman, Perodua sebelum ini menawarkan rangkaian kuasa hibrid untuk Ativa secara pajakan buat pelanggan terpilih.

3. Dimensi 

Sebagai rujukan, berikut adalah dimensi Toyota Yaris Cross Thailand dan Indonesia.

  • Panjang: 4,310 mm
  • Lebar: 1,770 mm
  • Tinggi: 1,615 mm
  • Jarak roda: 2,620 mm
  • Kelegaan tanah: 210 mm
  • Radius pusingan minimum: 5.2 meter

Dimensi ini meletakkannya hampir dengan SUV segmen B+ dan menghampiri saiz beberapa SUV segmen C.

4. Perbandingan Awal Dengan Ativa dan Proton X50

Dari sudut kedudukan pasaran, Perodua D66B jelas berada di antara Perodua Ativa dan Proton X50, baik dari segi saiz mahupun penawaran.

Perodua Ativa kekal sebagai SUV paling kompak dalam barisan Perodua:

  • Panjang: 4,065 mm
  • Lebar: 1,710 mm
  • Tinggi: 1,635 mm
  • Jarak roda: 2,525 mm

Sebaliknya, Proton X50 sedikit panjang dan lebar dan jauh lebih berkuasa berbanding Yaris Cross.

  • Panjang: 4,330 mm
  • Lebar: 1,800 mm
  • Tinggi: 1,609 mm
  • Jarak roda: 2,600 mm
  • Enjin 1.5L turbo empat silinder menghasilkan 181 ps dan 290Nm
  • Dipadankan dengan transmisi DCT

Dalam konteks ini, walaupun Perodua D66B bakal bersaing secara langsung dengan X50 dari sudut saiz dan segmen, pendekatan Perodua jelas berbeza.

Traz/Nexis dijangka menekankan kecekapan bahan api dan kos pemilikan berbanding prestasi tinggi, memandangkan X50 menggunakan enjin turbo dan transmisi DCT yang lebih berorientasikan pemanduan.

 

5. Harga Pasaran Serantau

Sebagai rujukan pasaran luar:

  • Thailand (Yaris Cross Nightshade Hybrid):
    ฿919,000 (RM119,270.58)
  • Indonesia:
    Bermula daripada Rp358,700,000 (RM88,410.94)

Untuk pasaran Malaysia, harga Perodua Traz/Nexis berkemungkinan lebih tinggi daripada Ativa bagi mengelakkan pertindihan produk, namun masih kompetitif dalam segmen SUV-B+.

Ativa dijual pada julat harga sekitar RM62,000 sehingga RM73,000 dan menariknya Perodua sedang menawarkan rebat sehingga RM7,000.

Angka itu satu jumlah besar yang pernah ditawarkan Perodua atau mereka sedang membuat pelarasan harga?

Perodua lancar EV pertama akhir tahun 2025, harga antara RM50k-RM100k

Perodua dijangka akan melancarkan dua buah model baharu pada tahun 2025, iaitu Perodua D66B pada awal tahun diikuti model kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun yang sama.

Menurut penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, kumpulan automotif itu membayangkan 2025 akan menjadi satu tahun yang sangat menarik dengan kemunculan dua model baharu yang disebutkan tadi.

 

 

“Model EV Perodua keluaran tempatan dijangka berharga dalam julat RM50,000 hingga RM100,000, dan diharapkan dapat dijual 10,000 unit dalam tempoh awal projek EV Nasional oleh Perodua,” jelasnya dalam satu nota penyelidikan.

Pada Malaysia Autoshow 2024 yang baru berlangsung tempoh hari, Perodua telah mempamerkan model prototaip EV pertama yang dinamakan sebagai emo-1 (Electric Motion Online).

 

 

Menggunakan Perodua Myvi sebagai asas, emo-1 digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda depan berkuasa 161 hp dan 220 Nm, dipadankan dengan pek bateri 55.7 kWh untuk jarak gerak sejauh 350 km.

Menurut Perodua, pembangunan prototaip EV ini dibuat dengan kerjasama daripada tiga universiti tempatan, iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM), sementara pembangunan teknologi rangkaian kuasa pula dibuat dengan syarikat yang berpangkalan di Australia.