Sehingga saat artikel ini ditulis, kelibat minivan elektrik jenama Denza ini sudah banyak kelihatan di atas jalan.
Malah jika anda berkunjung ke mana-mana pusat membeli belah terkemuka, EV ini tidaklah malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak popular pilihan rakyat Malaysia – Alphard & Vellfire.
Sama besar, sama tinggi dan paling penting penampilan yang cukup mewah di atas jalan raya.
Penulis yakin ia kini mampu menjadi satu alternatif yang terbaik untuk menggantikan peranan kembar Alphard/Vellfire.
Itu pun jika anda tidak kisah sekiranya perlu menghabiskan masa (yang tidak seberapa) di stesen pengecasan.
Berikut merupakan pendapat kami setelah beberapa hari diberi peluang untuk memandu uji Denza D9 ini.
Penampilan
Seperti yang kami sebutkan tadi, Denza D9 kini sudah menjadi model pilihan bagi rakyat Malaysia yang mahukan sebuah pakej komuter yang besar dan selesa.
Kelebihan yang ketara ialah dimensi yang jauh lebih besar berbanding pesaingnya, jarak antara roda yang lebih panjang ditambah pula dengan pakej penampilan yang premium.
Tidak perlu garis badan yang agresif, ataupun muka yang garang.
Dengan imej serba sederhana itu Denza D9 cukup menonjol di atas jalan raya, ditambah dengan bar krom pada jeriji, rim 18 inci berbilang jejari yang elegan itu dan padanan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang memanjang ke bawah.
Bahagian belakang pula lebih ringkas, cuma grafik pada unit lampu utama itu dilihat agak sibuk.
Kokpit pemandu
Untuk pemandu, disediakan kelengkapan yang mampu membuatkan segala urusan yang lebih mudah dan sempurna.
Tempat duduk hadapan lengkap dengan fungsi larasan lapan tahap, sokongan tulang belakang, fungsi pengudaraan, headrest yang boleh diubah sudutnya dan paling penting kusyen yang menyokong bahagian bawah peha.
Sangat penting terutama jika anda kerap melakukan pemanduan jarak jauh.
Butang kawalan fizikal juga masih lagi wujud walaupun Denza D9 ini sebuah EV.
Di bahagian konsol tengah terdapat beberapa suis fungsi penting seperti membuka pintu gelangsar sisi, pemilihan mod pemanduan serta membuka pintu peti sejuk untuk penumpang belakang.
Tombol gear cukup besar dan rasa premium, cuma sayang sekali kedudukan butang P dan Start/Stop berada pada posisi yang salah.
Kerap kali juga penulis tertekan butang Start/Stop ketika otak berniat untuk menekan butang P.
Untuk kawalan iklim pula perlu bergantung kepada skrin tengah sebesar 15.6 inci.
Namun secara keseluruhan, penulis tidak mempunyai komen terhadap tetapan ini, apa yang penting segala fungsi mudah untuk dicapai dan diaktifkan untuk memastikan tahap keselesaan yang optimum untuk penumpang belakang.
Ruang untuk bos
Sebut pasal penumpang belakang, atau lebih tepat lagi bos akan menghargai segala fungsi yang disediakan pada baris kedua.
Buka saja pintu, anda akan dihidangkan dengan tempat duduk kapten berserta pakej yang sukar untuk ditemukan pada model lain:
– fungsi pemanas dan pengudaraan
– fungsi urut 10 titik
– perehat kepala dan kaki
– tetapan sifar graviti untuk posisi rehat yang lebih selesa
Segala fungsi itu tadi boleh diaktifkan menerusi skrin kawalan untuk kedua-dua tempat duduk itu tadi.
Bukan itu sahaja, bos belakang yang duduk di sebelah kiri boleh memaksimumkan ruang dengan mengaktifkan ‘boss switch’.
Untuk bekerja dari dalam kabin juga tidak menjadi masalah, kerana Denza D9 menyediakan kelengkapan seperti meja boleh lipat, serta ruang simpanan minuman sejuk dengan suhu yang boleh dilaras antara negatif 6 hingga 50 darjah Celcius.
Terima kasih kepada balutan bahan upholsteri premium Nappa yang membuatkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa ditambah pula dengan aspek NVH yang kekal senyap sepanjang masa.
Buat pertama kalinya, penulis menghabiskan lebih banyak masa di tempat duduk baris kedua Denza D9 ini berbanding model pandu uji lain sebelum naik ke rumah semata-mata untuk menikmati fungsi-fungsi mewah tersebut.
Poin seterusnya akan menjelaskan kenapa Denza D9 ini lebih selesa.
Pemanduan
Walaupun dimensinya agak besar, namun penulis tidak berdepan masalah untuk mengendalikan MPV premium ini.
Sudut pandang keluar yang cukup besar, talaan stereng yang cukup rasa dan dibantu pula dengan sistem kamera keliling yang menyediakan paparan yang cukup jelas dan tajam.
Semua ini demi memastikan Denza D9 kekal premium tanpa sebarang kesan calar.
Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel pandu uji ringkas terdahulu, Denza D9 menyediakan tetapan untuk sistem pacuan, roda stereng, sistem brek serta tetapan suspensi topang MacPherson/Multi-link.
Kelebihan yang ketara pada Denza D9 ialah tetapan suspensi boleh laras adaptif Disus-C untuk kawalan pemanduan dan keselesaan mengikut keperluan.
Kebanyakan masa, penulis lebih gemar menggunakan mod Sport untuk memastikan penumpang di belakang menikmati keselesaan yang diperlukan.
Ini kerana dalam mod Comfort tahap olengan badan MPV ini dapat dirasakan dengan lebih ketara, dan penumpang mungkin akan mengadu tidak selesa.
Mungkin lebih baik jika mod ini digunakan pada kawasan yang mempunyai kualiti turapan tar yang premium.
Biarpun hadir dengan tetapan motor elektrik berkembar, output cecah 369 hp/470 Nm dan prestasi pecutan sepantas 6.9 saat, penulis beranggapan tidak perlu untuk memandu MPV ini serupa syaitan yang terlepas kandang.
Dengan kawalan pendikit yang minima penulis dapat membawa Denza D9 ini mencapai kelajuan yang diinginkan – semua demi keselesaan penumpang VIP di belakang.
Sesuai untuk pemanduan jarak jauh
Denza D9 ditawarkan dalam dua varian di pasaran Malaysia.
Versi yang kami pandu uji ini merupakan versi AWD, cuma anda perlu berpuas hati dengan jarak gerak yang sederhana jauh, sekitar 480 km (data WLTP).
Jika kuasa bukan kepentingan, anda boleh saja pilih varian FWD dengan hamburan 309 hp/360 Nm yang mampu membawa anda bergerak sejauh 520 km.
Aspek pengecasan pantas juga bukanlah satu masalah, kerana Denza D9 ini boleh menyokong pengecasan DC sehingga 166 kW.
Dengan kehadiran kemudahan pengecasan pantas tersedia di sepanjang laluan utama, urusan pemanduan jarak jauh di dalam Denza D9 bukan lagi satu masalah besar, terutama ketika ditugaskan untuk membawa golongan VIP ke destinasi tujuan.
Harga
Satu lagi kelebihan yang menyebelahi Denza D9 ialah harga jualan yang lebih mampu beli.
Berbanding model pesaing, Denza D9 boleh didapati pada harga serendah RM259,000, atau tambah sedikit untuk varian Premium AWD berharga RM309,000.
Jadi, masih lagi berhajat untuk membeli MPV premium jenama Jepun?
Spesifikasi ringkas Denza D9
Nadi penggerak: dua motor elektrik
Kuasa: 369 hp, 470 Nm
Pacuan: semua roda (AWD)
Pecutan: 6.9 saat (0-100 km/j)
Bateri: LFP Blade, kapasiti 103.36 kWh
Pengecasan AC: 11 kW
Pengecasan DC: 166 kW
Jarak gerak: 580 km (data NEDC)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link, sistem adaptif DiSus-C
Dimensi: 5,250 mm x 1,960 mm, 1,920 mm
Jarak antara roda: 3,110 mm
Radius putaran: 5.95 m
Kargo: 410 liter – 2,310 liter
