Arkib Tag: pengecasan pantas

Hab pengecasan pantas EV terbesar ASEAN bakal dibina di Singapura

VOLT Singapore, sebahagian daripada divisyen infrastruktur Keppel, mengumumkan yang ia telah dianugerahkan untuk membangunkan dan mengendalikan hab pengecasan pantas EV di Jalan Papan.

Kontrak tersebut dianugerahkan oleh Setsco Services iaitu anak syarikat milik penuh VICOM Ltd. Setsco akan menyediakan infrastruktur dan kemudahan elektrik manakala Volt pula mengendalikan hab pengecasan pantas untuk tempoh 15 tahun.

Menurut Volt, ia akan menjadi hab pengecasan pantas EV awam terbesar di Asia Tenggara. Ia akan menyediakan sehingga 80 unit pengecas DC dengan kapasiti 120 kW dan 360 kW yang boleh digunakan oleh bas elektrik, teksi, kereta sewa persendirian dan EV lain.

Fasa pertama, yang dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026, akan menampilkan lima pengecas DC 360 kW yang boleh menampung sehingga 30 bas elektrik dan EV.

Apabila siap sepenuhnya, ia dikatakan boleh menampung pengecasan serentak untuk 80 bas elektrik, dengan masa pengecasan sepantas 10 minit untuk EV.

“Volt berharap untuk menyokong peralihan kepada EV, terutamanya untuk flit komersial dan bas elektrik bagi mengurangkan pelepasan, mempromosikan pengangkutan mampan,” kata pengarah eksekutif Volt Lim Yong Wei.

Inisiatif ini selaras dengan Pelan Hijau Singapura 2030 yang menyasarkan untuk meningkatkan fasiliti pengecasan EV di negara itu.

Dari Januari hingga Mei tahun ini, satu pertiga kereta baharu yang didaftarkan di Singapura adalah EV, dua kali ganda lebih tinggi berbanding angka yang direkodkan pada 2023 iaitu 18.1 peratus.

Lotus Emeya pecah rekod pengecasan DC terpantas, 10-80 peratus dalam 14 minit

Diumumkan secara rasmi pada tahun lepas, Lotus Emeya merupakan sebuah hyper-GT berkuasa elektrik sebagai pencabar ampuh kepada sedan elektrik pantas seperti Tesla Model S, Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

Dengan motor elektrik berkembar berkuasa 905 hp/984 Nm, Emeya mampu memecut sepantas 2.8 saat dari 0-100 km/j.

 

 

Tahukah anda, Emeya bukan sahaja pantas memecut, hyper-GT itu juga sebenarnya mampu menawarkan kadar pengecasan DC terpantas?

Berdasarkan ujian yang dibuat oleh firma perundingan global P3 Group, Lotus Emeya memecahkan rekod terpantas pengecasan 10 hingga 80 peratus pek bateri dalam masa 14 minit sahaja apabila menggunakan pengecas DC 400 kW.

Ia merupakan satu angka yang cukup impresif, di mana Lotus Emeya berjaya mengalahkan model-model EV terkemuka seperti Mercedes-Benz EQS, BMW i7, Tesla Model Y, Genesis G80, Xpeng G9, Kia EV9, Hyundai Ioniq 6, Nio ET5 dan BYD Atto 3.

 

 

Laporan P3 Group itu turut mendapati Emeya mampu mencapai kuasa pengecasan puncak 402 kW, dengan kuasa pengecasan purata sekitar 331 kW sepanjang tempoh pengecasan 10 hingga 80 peratus itu.

Digandingkan dengan kadar penggunaan tenaga 18.7 kWh/100 km, Lotus Emeya mampu menawarkan jarak gerak 310 km selepas sesi pengecasan selama 10 minit – tempoh masa yang hampir sama diambil oleh sebuah kereta untuk membuat pengisian bahan api petrol di stesen minyak.

Menurut Lotus, Emeya menggunakan struktur bateri cell-to-back, di mana ia mengandungi kandungan sel 20 peratus lebih banyak yang boleh dimuatkan dalam ruang yang sama berbanding senibina modul standard.

 

 

Secara standard, pek bateri 102 kWh yang dibekalkan pada Emeya membolehkan sedan tersebut bergerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Sama seperti Eletre, Lotus Emeya turut menampilkan sistem aerodinamik aktif untuk mengurangkan kesan seretan dan dalam masa yang sama bertindak sebagai sistem penyejuk untuk bateri dan brek.

 

Pemilik EV di Norway ada cara tersendiri hadapi musim sejuk

Cuaca sejuk yang melanda Chicago serta beberapa tempat di Amerika Syarikat sedikit sebanyak memberikan kesan kepada penduduk, terutama pemilik EV Tesla.

Ini kerana beberapa portal media melaporkan sebilangan besar kereta elektrik Tesla tersadai di beberapa buah stesen pengecasan pantas DC.

Ada pemilik yang merungut kerana kereta mereka sukar untuk dicas, dan tempoh pengecasan yang jauh lebih lama daripada kebiasaan.

Jadi, adakah kereta elektrik langsung tidak sesuai untuk kegunaan musim sejuk?

Jawapan tersebut mungkin ada pada rakyat Norway, salah satu negara dengan kadar penerimaan EV yang tertinggi dalam dunia.

 

sumber: Electrek

Norway juga merupakan salah satu negara yang paling sejuk, namun jarang sekali kita dengar insiden membabitkan pemilik kereta elektrik di sana.

Berdasarkan laporan The New York Times, pemandu-pemandu EV di Norway telah dibiasakan dengan amalan memanaskan kereta terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan dalam keadaan cuaca beku.

Selain daripada itu, menurut penasihat Norwegian Electric Vehicle Association Lars Godbolt berkata, infrastruktur pengecasan yang telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun yang lalu turut menyumbang kepada tempoh masa menunggu yang lebih singkat.

Namun, fakta yang harus anda tahu ialah kebanyakan penduduk di Norway tinggal di kawasan rumah bertanah, di mana 90 peratus daripada pemilik EV mempunyai kemudahan pengecasan di rumah masing-masing.

Seperkara lagi, penduduk Norway biasanya menghabiskan masa 30 minit sahaja secara purata dari rumah ke tempat kerja, berbanding tempoh satu jam atau lebih oleh penduduk Amerika Syarikat.