Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan pencapaian terbaharu di mana sebanyak 2,000 unit kenderaan elektrik telah diserahkan dalam tempoh setahun.
Sebanyak 50 unit Zeekr 7X telah diserahkan kepada pemilik masing-masing dalam satu acara yang berlangsung hujung minggu lalu.
Unit yang ke-2000 telah diserahkan kepada pemiliknya, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Menurut Eddy Lu selaku Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia berkata, “Untuk mencapai 2,000 orang pemilik dalam masa setahun bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Zeekr.
“Kami akan terus meningkatkan mutu jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan dan ketenangan minda.
Zeekr Malaysia turut berusaha untuk mengembangkan lagi kehadiran jenama itu di seluruh negara.
Bermula Januari 2026, Zeekr akan membuka cawangan pengedar baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang dan Ipoh.
Menjelang akhir 2026, Zeekr akan mempunyai jaringan pengedar yang terdiri daripada 18 buah bilik pameran termasuklah lebih 10 Pusat Badan & Cat di seluruh negara.
Zeekr Malaysia turut menjalankan kempen bersempena musim perayaan Krismas di mana setiap model Zeekr yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 layak menerima barangan eksklusif TRAPO bernilai sehingga RM1,000.
Omoda | Jaecoo Malaysia meraikan pencapaian penting dengan penyerahan kenderaan yang ke-20,000 dalam tempoh 14 bulan selepas jenama itu diperkenalkan di sini.
Penyerahan kenderaan ke-20,000 itu diraikan dalam satu acara eksklusif bertema ‘20,000 and Beyond: A Celebration of Trust’ yang diadakan di Blossom Glass Mansion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Lebih 100 tetamu hadir ke acara tersebut yang turut menyaksikan sebuah Jaecoo J7 PHEV diserahkan kepada pemilik baharunya, Khirdzir Ali.
Menurut Khirdzir, “Saya benar-benar berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada mercu jaya luar biasa dengan penyerahan 20,000 kenderaan Omoda | Jaecoo di Malaysia. Memang amat membanggakan untuk melihat betapa pantas jenama ini telah berkembang maju dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemandu di Malaysia.”
Beliau juga tidak sabar untuk menikmati tahap keselesaan dan kecekapan J7 PHEV baharu ini dengan keluarganya.
Selain aktiviti mesra keluarga dan pameran model Jaecoo J5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi, turut dipamerkan J7 AWD milik Irene Tee yang telah mencatatkan jarak perbatuan 70,000 km dalam masa tidak sampai setahun.
Menurut Pemangku Pengarah Jualan Omoda | Jaecoo Malaysia, Clement Yeo berkata, “Kejayaan mencapai 20,000 pendaftaran kenderaan dalam tempoh setahun lebih sesungguhnya satu detik membanggakan bagi kami dan membuktikan keyakinan yang diletakkan oleh pelanggan Malaysia terhadap Omoda | Jaecoo.
“Mercu jaya ini juga sebahagian daripada pencapaian Kumpulan Chery yang lebih luas, yang telah mencatatkan jualan 5 juta kenderaan di pasaran eksport, dengan lebih 600,000 unit daripada angka ini disumbangkan oleh kenderaan Omoda | Jaecoo.
“Menerusi rangkaian rakan pengedar, kami terus komited untuk menggembirakan pelanggan Malaysia dengan portfolio luar biasa yang menggabungkan teknologi canggih seperti Sistem Hibrid Super (Super Hybrid System) dengan keselesaan, keselamatan dan reka bentuk premium,” tambahnya.
Sebagai jenama SUV premium, Omoda | Jaecoo kini menawarkan empat model teras iaitu Jaecoo J7, Jaecoo J7 PHEV, Jaecoo J8 serta Omoda C9 yang disokong oleh lebih 50 rakan pengedar strategik, gudang alat ganti dan operasi pemasangan tempatan di Shah Alam.
Pencapaian tersebut juga mengukuhkan kedudukannya dikalangan lima jenama automotif teratas untuk tempoh separuh pertama 2025 (1H 2025).
Bersempena dengan pencapaian terbaharu ini, Omoda | Jaecoo menawarkan promosi khidmat servis percuma 7-tahun atau ganjaran bernilai RM5,000 untuk Jaecoo J7 PHEV sah sehingga 31 Disember 2025.
Terdapat juga pakej pembiayaan dan servis menarik disediakan untuk model Jaecoo J7 2WD, J7 AWD, C9 2WD dan C9 AWD yang berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2025.