iCaur 03 baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, membawakan keupayaan pemanduan off-road dalam pakej SUV elektrik sepenuh masa.
Model yang dipamerkan ini pula merupakan kembar kepada iCaur 03T, namun dengan nama yang berbeza iaitu Chery Fulwin X3L.
Dengan adanya huruf ‘L’ di hujung nama, ia menandakan SUV ini membawakan kelebihan dari segi dimensi yang lebih panjang.
Berbanding iCaur 03, Fulwin X3L berukuran sepanjang 4,545 mm (+139 mm), lebar 1,950 mm (+40 mm), tinggi 1,815 mm (+10 mm) serta jarak antara roda 2,783 mm (+68 mm).
Lebih menarik, ia kini didatangkan dengan unit rangkaian kuasa penambah jarak (range-extender) Kunpeng Golden, menggandingkan enjin 1.5 liter turbo (154 hp) dengan tetapan motor elektrik tunggal atau motor elektrik berkembar dengan sistem AWD.
Kuasa keseluruhan untuk versi motor tunggal mencapai 248 hp, atau sehingga 422 hp/505 Nm untuk versi AWD.
Pecutan 0-100 km/j hanyalah sepantas 4.7 saat sahaja.
X3L menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh antara 135 km sehingga 215 km, atau sejauh 1,200 km dengan tangki bahan api yang penuh.
Susun atur ruang kabin X3L adalah hampir sama sahaja dengan model iCaur 03, namun hadir dengan beberapa penambahbaikan seperti fungsi tank turn, kawalan jelajah off-road dan fungsi merangkak pada kelajuan rendah.
Harga jualan di pasaran China bermula dari 119,900 yuan – 159,900 yuan (RM71,043-RM94,744).
