EON Capital Sdn Bhd hari ini secara rasmi melancarkan Tras, platform digital yang menawarkan penyelesaian pembiayaan kenderaan peribadi yang lebih mudah dan selamat.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Syed Faisal Albar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Akkbar Danial selaku CEO EON.
Menurut Kazrin Khairul Anuar selaku CEO EON Capital Sdn Bhd, “Kami mahu menjadi rakan penyelesaian pembiayaan automotif yang dipercayai dengan meringkaskan perjalanan pelanggan, dan menyediakan alat yang tepat untuk membuat keputusan yang lebih bijak.
“Dengan Tras, pelanggan kami akan dihidangkan dengan produk yang tepat, penawaran yang betul serta sokongan terbaik yang dapat memenuhi keperluan mereka,” ujarnya lagi.
Platform Tras menawarkan kebebasan kepada pelanggan untuk mendapatkan tawaran pembiayaan terbaik dengan cepat daripada tiga rakan perbankan iaitu Bank Muamalat, Ambank dan juga Maybank.
Ciri intuitif “CarCulator” mencadangkan pilihan kereta terbaik berdasarkan profil kewangan serta bajet bulanan yang ditetapkan oleh pelanggan.
Pelanggan juga boleh memilih untuk menyertai Program Jaminan Lanjutan yang menawarkan perlindungan sehingga dua tahun ke atas program jaminan pengeluar standard.
Tras turut melancarkan kempen promosi pengenalan di mana pelanggan boleh menikmati kadar faedah serendah 1.79 peratus untuk pembelian kenderaan terpilih, serta diskaun 10 peratus untuk Program Jaminan Lanjutan bagi model bukan EV Proton, serta model-model di bawah jenama Audi, Mitsubishi dan Volkswagen.
Promosi ini berjalan sehingga 16 September 2025, di mana Tras menjamin pelanggan akan kredit TNG e-wallet RM50 sekiranya tidak menerima maklum balas permohonan pinjaman dalam tempoh 24 jam.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.tras.my
