Arkib Tag: pelajar

Pelajar sekolah vokasional ubah wagon Skoda Superb jadi trak pengangkut basikal

Tahukah anda, Skoda asalnya bukanlah bermula sebagai sebuah pengeluar kenderaan?

Mula beroperasi sejak 1895, pengasas jenama Skoda iaitu Václav Laurin and Václav Klement membentuk syarikat Laurin & Klement dan produk pertama mereka: basikal!

Hanya pada tahun 1905, baharulah mereka memulakan pengeluaran kereta sebelum syarikat tersebut dikenali sebagai Skoda Auto pada tahun 1925.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-130, Skoda menghasilkan sebuah kenderaan khas L&K 130 sebagai satu penghormatan kepada sejarah awal syarikat tersebut.

Ia asalnya merupakan sebuah wagon Superb yang diubah menjadi sebuah trak ute oleh para pelajar Sekolah Vokasional Skoda Auto dengan kerjasama para jurutera Skoda itu sendiri.

Antara perubahan yang dibuat termasuklah tiang B dan C yang telah diubah semula, serta seksyen belakang yang telah dibuang untuk memberi laluan kepada rak basikal kustom.

Dengan adanya rak tersebut, ‘trak’ ini boleh memuatkan sehingga tiga buah basikal pada satu-satu masa.

Lebih menarik, pintu belakang kini dengan bukaan stail minivan dengan dua tempat pemegang pintu disertakan.

Tempat duduk baris kedua kini hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja, memandangkan bahagian kiri telah dimuatkan dengan kotak penyejuk dan kit pembesar suara.

Di ruang kokpit, terdapat unit komunikasi radio serta tablet untuk paparan video yang dihantar daripada kamera belakang.

Menurut Skoda, projek L&K 130 ini memerlukan masa lebih 2,000 jam untuk disiapkan dan ia akan dipamerkan di acara Tour de France yang ke-112 bulan depan.

Konsep kereta baji ini dihasilkan oleh pelajar jurusan rekaan, dapat sokongan penuh Hyundai!

Perhatikan model konsep ini dengan Saloon Concept daripada Honda 0 Series.

Ya, kedua-dua model ini merupakan konsep kereta yang membawakan bentuk badan baji. Cuma bezanya satu membawakan logo H italik, satu lagi logo H tegak.

Kereta hitam gelap ini sebenarnya merupakan Hyundai Obsidian Concept yang dihasilkan oleh seorang pelajar jurusan rekaan pengangkutan, Dominik Anders dan mendapat sokongan sepenuhnya daripada Hyundai sendiri.

Model berskala penuh ini dipamerkan bersebelahan dengan Kia EV2 Concept semasa acara Car Design Event 2025 yang dianjurkan di Munich.

Sayang sekali, tiada sebarang perincian didedahkan buat masa ini.

Namun kita dapat melihat beberapa ciri seperti bar lampu piksel LED melintang di depan, lampu belakang piksel, rim aerodinamik serta diffuser agresif di bahagian belakang.

Ia juga mempunyai rekaan bumbung yang lebih landai dan rata bertujuan untuk memaksimumkan ruang kabin.

Apa pendapat anda tentang konsep terbaharu daripada Hyundai ini? Adakah ia patut direalisasikan?

Honda 0 Saloon Concept

Pelajar kolej automotif Nissan hasilkan ‘Z wagon’ guna asas Stagea wagon

Perkataan “kereta sports” dan “praktikaliti” mungkin sangat sukar untuk diletakkan di dalam satu baris ayat yang sama.

Namun, itu mungkin sekali apa yang cuba dibuat oleh sekumpulan pelajar dari Nissan Automotive College untuk Tokyo Auto Salon 2025.

Projek ini dinamakan sebagai Z Lealia, gandingan antara perkataan “Lead” dan “Familia”, di mana Z Lealia direka sebagai sebuah sports wagon yang sesuai untuk seisi keluarga.

Kereta wagon yang sporti ini sebenarnya bukanlah berasal daripada platform tarik belakang Nissan Z, akan tetapi bergantung sepenuhnya kepada platform Nissan Stagea wagon generasi kedua.

Tengok dari sudut hadapan, kita dapat melihat muka hadapan Nissan Z yang berjaya diintegrasikan dengan kemas.

Namun, hasil kerja pada seksyen belakang wagon ini dilihat tidak begitu menjadi dengan dimensi fender yang terlebih lebar dan jurang panel yang wujud antara lampu belakang dan bampar belakang.

Kereta tersebut akhirnya dilayangkan dengan warna Ikazuchi Yellow, set rim aftermarket 19 inci, roda stereng daripada Nissan Z serta upholsteri kustom dua tona.

Pujian harus diberikan kepada pelajar kolej tersebut kerana berani menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

Selain daripada Z Wagon, terdapat dua lagi model ubahsuai, iaitu Nissan Neo Skyline dan Bluebird Kiwami yang dihasilkan oleh dua kumpulan pelajar yang berbeza.

Nissan Neo Skyline secara asasnya merupakan sebuah Skyline Coupe V35 dengan panel badan kustom yang diinspirasikan daripada model Skyline “Kenmeri” era 70-an.

Keseluruhan badan dilayangkan dengan warna Tomoaki Blue, diikuti dengan rim 18 inci dan kemasan warna dalaman dua tona.

Bluebird Kiwami (dari Aichi College) pula dibina berdasarkan Nissan Bluebird Maxima yang wujud 36 tahun lalu, menampilkan kit badan yang lebar dan berpetak.

Dalam masa yang sama, kumpulan pelajar tersebut berjaya mengekalkan ciri asal kereta tersebut termasuklah rekaan pintu tanpa bingkai dan kemasan dalaman mewah.

Ketiga-tiga kereta kustom ini akan dipamerkan secara rasmi di Tokyo Auto Salon 2025 yang akan berlangsung pada 10-12 Januari di Jepun.

 

 

Skim graduan tawar pembiayaan bagi lepasan universiti membeli kereta

BAGI mereka yang sudah menamatkan pengajian di peringkat kolej atau universiti, antara keperluan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan adalah memiliki kereta.

Ini akan memudahkan urusan ulang-alik mereka ke tempat kerja sekiranya tiada pilihan lain seperti pengangkutan awam.

Dan disebabkan mereka baru sahaja menamatkan pengajian, kebanyakan graduan belum mempunyai simpanan mencukupi untuk membeli kereta.

Untuk ini, terdapat skim graduan yang ditawarkan oleh beberapa bank tempatan, dan Pegawai Sokongan Jualan di Bank Islam, Nurul Hazira Azman berkongsi sedikit maklumat mengenai ini.

Apa itu skim graduan baharu?

  • Skim graduan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada graduan baharu memiliki kereta pertama.
  • Berbeza dengan pinjaman biasa, skim graduan baharu ini tidak menghendaki anda untuk mempunyai penjamin.
  • Pinjaman biasa memerlukan pemohon memiliki sekurang-kurangnya satu komitmen hutang. Misalnya kad kredit untuk bank menilai trend dan tabiat pembayaran anda. Namun, dengan skim ini pemohon tidak perlu mempunyai apa-apa komitmen.

Apakah syarat untuk memohon di bawah skim graduan baharu?

  • Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Tetapi secara umumnya, jika anda berumur 20 hingga 30 tahun dan bekerja kurang daripada setahun, anda sudah layak memohon skim graduan.
  • Anda perlu sekurang-kurangnya tamat pelajar pada peringkat diploma daripada pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diperakui. Pastikan anda sudah tamat pengajian dengan rasmi supaya fakulti atau pihak universiti boleh mengeluarkan surat tamat pengajian.
  • Tidak pernah memiliki kereta sendiri. Jika sebelum ini sudah pernah memiliki kereta sendiri, anda tidak layak untuk memohon skim graduan baharu yang ditawarkan oleh mana-mana bank.
  • Mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM1,800 ke atas.
  • Tidak mempunyai masalah tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sekiranya masih mempunyai tunggakan PTPTN, langsaikan segala tunggakan baru layak untuk memohon skim graduan baharu.

Apakah dokumen yang diperlukan?

  • Wajib menyediakan salinan Kad Pengenalan.
  • Wajib melampirkan salinan Lesen Memandu, sekurang-kurangnya Lesen P.
  • Wajib mempunyai transkrip mini atau surat tamat pengajian.
  • Jika sudah menerima gaji pertama, serahkan salinan slip gaji bersama dokumen wajib yang lain.
  • Jika mempunyai kad pekerja atau kad perubatan kerja, lampirkan bersama salinan kad tersebut.

Buat mereka para lepasan universiti yang ingin memiliki kereta pertama, anda boleh gunakan bantuan yang ditawarkan ini.

Tetapi jika anda mahu mencari kereta terpakai, boleh ikuti beberapa tips yang kami pernah kongsikan di sini.

Hamil tidak halang wanita tawar khidmat pandu percuma kepada penerima vaksin

HAMIL enam bulan tidak menghalang seorang wanita menabur bakti kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat pemanduan percuma kepada golongan memerlukan.

Wanita dikenali sebagai Rabiatul memberi perkhidmatan percuma itu kepada individu terkesan menetap di Cyberjaya yang perlu mendapatkan suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Raiatul berkata, ia diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama ibu tunggal dan pelajar memandangkan harga tambang e-hailing bagi perjalanan dua hala ke UKM mencecah RM50.

“Rasa puas apabila dapat menolong orang lain yang memerlukan.

“Saya bergerak dengan kebenaran polis setiap kali kerana perlu merentas daerah dari sini Cyberjaya).

“Bagi penumpang, mereka hanya perlu menunjukkan tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera di sekatan jalan raya (SJR),” katanya seperti dilapor Bernama.

Kerja amal Rabiatul sebelum ini tular di media sosial selain mendapat pujian ramai atas hasil usahanya itu.

Sementara itu, Rabiatul mengakui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat dititikberatkan ketika membawa penumpang.

Ia termasuk mengamalkan jarak sosial yang mana penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

Rabiatul cetus inspirasi

Usaha Rabiatul berjaya menjadi inspirasi kepada pihak lain yang turut mengikut jejak langkah sama.

Pengarah Urusan Gilmore House Theraphy Nazree Hisyam Md Nasir bersama Klinik Mediviron Pelangi Semenyih menyediakan perkhidmatan Grab dua hala untuk mereka ingin mendapatkan vaksin.

Menurutnya, khidmat tersebut diutamakan bagi warga emas dan juga individu yang menghadapi kesukaran pergerakan.

“Alamat PPV adalah terbuka dan tidak terhad kepada satu PPV sahaja.

Namun, syarat urusan pengambilan dan penghantaran penumpang adalah di Cyberjaya sahaja,” katanya.

Setakat ini, 50 slot tempahan perkhidmatan Grab diperuntukkan sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan warga Cyberjaya.

“Permohonan boleh dibuat menerusi mesej di Facebook Gilmore Kids Theraphy tiga hari sebelum tarikh vaksinasi dengan tangkap layar janji temu MySejahtera,” katanya lagi.