Arkib Tag: pelabuhan

Lokomotif pertama ECRL mula tiba di Pelabuhan Kuantan

BEBERAPA lokomotif pertama East Coast Rail Link (ECRL) mula tiba di Pelabuhan Kuantan. Perkara itu disiarkan dalam satu muat naik oleh laman Facebook East Coast Rail Link – ECRL.

Tetapi anda mungkin perasan bahawa ini merupakan lokomotif diesel kerana ianya hanya akan digunakan untuk tujuan pembinaan jajaran ECRL itu.

Kereta api yang akan digunakan untuk projek menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang itu adalah jenis elektrik.

Projek ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB), iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pula adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ini.

Jaringan rel ECRL akan merapatkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Berdasarkan laporan berita pada Ogos lepas, projek ini telah mencapai perkembangan 48.77 peratus, menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara itu juga berkata perkembangan tersebut selaras dengan pembangunan projek itu dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, sekali gus membolehkan perkhidmatan ECRL beroperasi pada Januari 2027.

Johor Port menang ‘Anugerah Syarikat Paling Berpengaruh di Asia’

JOHOR Port Bhd merangkul ‘Anugerah Syarikat Paling Berpengaruh di Asia’ bagi tahun 2021.

Kejayaan dirangkul pada Anugerah Kecemerlangan dan Kemampanan Korporat Asia (ACES) 2021 dan Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Sektor Perkhidmatan Kategori 4 serta Anugerah Perdana Menteri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, pelabuhan itu telah mengambil pelbagai inisiatif untuk berinovasi sekaligus menjadikan Pelabuhan Johor sebagai antara terbaik di rantau ini.

Foto ihsan Johor Port

“Anugerah ini adalah bukti kemampuan kami dalam memahami dan menampung keperluan pasaran serta dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti tinggi,” kata Md Derick Basir.

Johor Port mengekalkan unjuran pertumbuhan volum keseluruhan tahun ke tahun sebanyak satu peratus tahun lalu, lapor Bernama.

Walaupun dunia berdepan pandemik Covid-19 namun, Johor Port terus beroperasi secara optimum tanpa sebarang gangguan terhadap aktiviti import, eksport dan logistik.

Sementara itu, Johor Port melancarkan pelan penambahbaikan operasi terminal kontenanya dengan fokus meningkatkan produktiviti dan kecekapan limbungan.

Sehubungan itu, ia telah menghasilkan pergerakan kasar sejam (GMPH) yang lebih baik sebanyak 25 kren berbanding GMPH sebanyak 22 kren sebelum ini.