Arkib Tag: Pantai Timur

Reka bentuk tren EMU ECRL diperlihatkan, tema biru putih, siap corak batik

Malaysia Rail Link Sdn Bhd selaku pengendali Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semalam (18 Disember) memperlihatkan rekaan tren EMU (Electric Multiple Unit) yang bakal menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur.

Tren EMU buatan syarikat China Railway Rolling Stock Corp (CRRC) Dalian ini mempunyai enam gerabak dengan kapasiti muatan penumpang seramai 430 orang pada satu-satu masa.

Tren ini juga mempunyai ruang bagi penumpang orang kurang upaya (OKU), ruang solat serta tempat wudu’ yang disediakan khas.

Dari segi luaran, tren EMU ini dilayangkan tema dua tona putih dan biru, serta lengkap dengan motif wau yang sangat sinonim dengan negeri pantai timur.

Menurut Anthony Loke, sebanyak 11 tren EMU enam gerabak telah diperuntukkan untuk operasi, dengan set pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025.

Selain tren EMU, projek ECRL juga memperuntukkan sebanyak 12 set E-Loco daripada CRRC Dalian untuk tujuan pengangkutan kargo, di mana set pertama juga akan tiba di Malaysia menjelang akhir tahun hadapan.

Projek ECRL yang akan mula beroperasi tahun 2027 itu mempunyai 20 stesen, terdiri daripada 14 stesen penumpang, 5 stesen gabungan dan satu stesen pengangkutan.

Tesla Supercharger kini di Kuantan, pertama di Pantai Timur

TESLA telah membuka dan mengaktifkan stesen Supercharger di Kuantan, Pahang. Terletak di premis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), ianya menjadi Tesla Supercharger pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Menurut Josh KY Chua yang berkongsi beberapa gambar dalam laman Facebook Warga Kuantan, stesen itu boleh digunakan oleh orang awam 24 jam sehari.

Terdapat empat ruang pengecas di lokasi ini. Sama seperti stesen-stesen Supercharger lain di seluruh negara, stesen baharu di Kuantan ini juga mempunyai kadar caj RM1.25 per kWh.

Terdapat juga bayaran melahu RM4.00 seminit sekiranya stesen itu penuh.

Walaupun Tesla telah mula membuka rangkaian Supercharger V4 di Malaysia, stesen di MBK walaubagaimanapun adalah Supercharger V3.

Pembukaan Supercharger baharu ini adalah selari dengan apa yang diumumkan oleh Pengarah Rantau Tesla, Isabel Fan pada Mac bahawa Supercharger di Kuantan akan dibuka menjelang penghujung suku kedua tahun ini.

Lokasi-lokasi lain untuk suku kedua ini adalah Supercharger pertama di Pulau Pinang yang terletak di Prai.

Harga tiket bas eksekutif untuk Pantai Timur mungkin naik dari RM44 kepada RM75

PENGUSAHA bas ekspres di Pantai Timur dijangka menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus iaitu dari RM44 kepada RM75, dalam masa terdekat.

Perkara itu diputuskan menerusi perbincangan membabitkan pengusaha bas di Pantai Timur berikutan kos yang semakin meningkat dan negeri lain pula sudah lama menaikkan harga.

Menurut Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail, bas eksekutif bermaksud bas yang mempunyai kerusi 2+1 di setiap barisan, manakala bas ekonomi pula membabitkan kerusi 2+2 di setiap barisan.

Katanya lagi, ketika ini pengusaha bas di Pantai Timur mengenakan tambang tiket ekonomi untuk bas eksekutif akibat persaingan yang berlaku sebelum ini.

“Namun disebabkan kos yang semakin meningkat termasuk alat ganti dan harga bas yang semakin mahal menyebabkan pengusaha bas sudah tidak mampu menampung kos operasi dan kami sepakat untuk menaikkan tambang kepada harga yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Bagi bas ekonomi untuk perjalanan Kelantan ke Kuala Lumpur, harga yang akan dikenakan RM44 berbanding kini RM35, manakala tiket bas eksekutif yang akan dikenakan RM75 berbanding kini RM44.

“Kenaikan harga ini akan dibuat dalam masa terdekat dan mungkin ini Aidilfitri terakhir di mana penumpang masih membeli dengan harga tiket yang lama,” katanya.

Che Ibrahim berkata, selepas berlaku kenaikan berkenaan, harga tiket bas eksekutif atau ekonomi akan selaras di semua negeri berbanding di Pantai Timur buat masa ini lebih murah.