Proton bekerjasama dengan Reef Check Malaysia (RCM) dengan mengadakan kempen pembersihan Pantai Morib sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Usaha ini menandakan tahun kedua berturut-turut Proton kembali ke kawasan pesisir pantai yang terkenal dengan ekosistem marin dan bakau yang berharga.
Kempen terbaharu ini mengumpulkan seramai 157 orang sukarelawan terdiri daripada kakitangan Proton, vendor, pengedar dan pihak bank.
Fokus utama tertumpu kepada kawasan tumpuan pengunjung di mana sebanyak 468.27 kg sisa buangan telah berjaya dikumpulkan termasuklah tin/logam, plastik dan kaca
Aktiviti pembersihan turut menyingkirkan sisa penyedut minuman plastik dan puntung rokok yang memberikan kesan ketara kepada keindahan semula jadi pantai.
Selain meningkatkan kualiti pantai yang lebih baik, aktiviti ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan pesisir pantai serta peranan ekosistem bakau dalam pemuliharaan alam sekitar.
Ia juga dapat memberikan pendedahan kepada para peserta tentang tindakan peribadi yang boleh diambil untuk mengurangkan sisa buangan.
Ainol Azmil selaku Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “usaha kerjasama di Pantai Morib ini benar-benar mencerminkan semangat Proton.
“Dengan mengambil bahagian dalam kerja komuniti, kami bukan sahaja menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab kami. Pada saat-saat seperti inilah nilai-nilai teras kami — Teamwork, Achiever, Respect, dan Integrity (TARI) menjadi nyata.”
