Arkib Tag: Panigale V4

Ducati Panigale V4 generasi ketujuh tiba di Malaysia – RM182,900

Ducati Panigale V4 generasi ketujuh, yang diperkenalkan buat pertama kali di acara World Ducati Week di Misano, Itali pada Julai lalu, kini sudah pun tiba di pasaran Malaysia.

Hadir dengan pelbagai pembaharuan yang melibatkan aspek kosmetik, prestasi, dan teknikal, Panigale V4 dijual pada harga RM182,900.

Memacu Panigale V4 adalah enjin Desmosedici Stradale 1,103 cc V4 90 darjah yang dibangunkan dengan teknologi dari MotoGP. Ia mampu menjana 216 hp pada 13,500 rpm dan 120.9 Nm pada 11,250 rpm, 0.5 hp lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Menurut Ducati, enjin baharu ini bukan sahaja lebih ringan sebanyak 1 kg, malah mematuhi piawaian Euro 5+ yang lebih ketat.

Lengan ayun sebelah yang menjadi identiti Panigale V4 sejak 2018 kini digantikan dengan Ducati Hollow Symmetrical Swingarm yang mengurangkan ketegaran sisi (lateral stiffness) sebanyak 37%, memberikan cengkaman mekanikal dan kestabilan lebih baik.

Untuk suspensi, Panigale V4 dilengkapi dengan Showa Big Piston Fork (BPF) yang digandingkan dengan peredam stereng dan penyerap hentak Sachs.

Panigale V4 S pula mendapat sistem Ducati Electronic Suspension (DES) 3.0 yang merangkumi fork Öhlins NPX-30, penyerap hentak Öhlins TTX36 dan peredam stereng Öhlins.

Sistem brek terdiri daripada angkup monobloc Brembo Hypure yang merupakan evolusi kepada Stylema. Ia 60 gram lebih ringan dan mempunyai ciri pelepasan haba yang lebih baik.

Untuk sistem elektronik pula, terdapat platform enam paksi dikenali sebagai Ducati Vehicle Observer (DVO) yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Ducati Traction Control (DTC) DVO
  • Ducati Wheelie Control (DWC) DVO
  • Ducati Slide Control (DSC)
  • Ducati Power Launch (DPL) DVO
  • Engine Brake Control (EBC)

Turut disertakan adalah sistem pengurusan brek Race e-CBS, Ducati Quick Shift (DQS) 2.0 dan paparan warna berukuran 6.9 inci dengan resolusi 1280 x 480.

Dari segi penggayaan, Ducati berkata fairing rekaan baharu ini dapati mengurangkan rintangan aerodinamik sebanyak 4% serta meningkatkan aliran udara ke radiator.

Tangki turut direka semula, menampilkan pad sisi untuk membantu penunggang mengekalkan posisi mereka semasa beraksi di litar, manakala pelana dipanjangkan sebanyak 35 mm bagi tujuan yang sama.

Ini 5 sebab Ducati hanya untuk mereka yang poket tebal

“Kenapa Ducati mahal sangat harganya?”

Itu soalan yang sering diajukan bukan sahaja oleh komuniti motosikal malah orang ramai.

Soalan itu amat relevan kerana hakikatnya, motosikal Ducati sememangnya didatangkan dengan tanda harga yang tinggi.

Sejak 1926 lagi, kilang di Borgo Panigale Itali itu hanya tahu menghasilkan satu produk sahaja, motosikal.

Namun, alasan itu sahaja tidak cukup untuk ‘menghalalkan’ tanda harga yang bukan sahaja di anggap ‘bangsawan’ di Malaysia malah di pelusuk dunia.

Ini lima (5) sebab kenapa motosikal Ducati mahal terlampau.

  1. Juara dunia di pentas antarabangsa

Ducati sememangnya terbukti di medan perlumbaan dengan 51 kemenangan setakat ini di pentas MotoGP menerusi Casey Stoner, Andrea Dovizioso, Loris Capirossi, Jorge Lorenzo, Danilo Petrucci, Troy Bayliss. Andrea Iannone.

Bagaimanapun, Francesco Bagnaia terus membuktikan kehebatan Ducati dengan muncul dua kali juara dunia berturut-turut pada musim 2022 dan 2023. 

Ducati turut cemerlang di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dengan lebih 350 kemenangan.

  1. Ducati adalah jenama ‘premium’

Berbanding jenama motosikal lain, Ducati mengetengahkan imej premium sejak 1926 lagi sepertimana Ferrari dan Lamborghini bagi platfom empat roda.

Bagi mengekalkan status premium, Ducati mengguna pakai alat yang mahal bagi menghasilkan setiap motosikal maka tak hairanlah Ducati mensasarkan pembeli yang memiliki poket tebal dan berpuluh kad kredit.

  1. Jentera Ducati bukan ‘mass produce’ 

Ketika pengeluar lain memfokuskan penggunaan mesin dan robot bagi menghasilkan motosikal secara besar-besaran, Ducati masih lagi mengguna pakai tenaga kerja manusia.

Senario ini menyaksikan motosikal Ducati dihasilkan dalam jumlah yang sedikit.

Apabila kurang mesin dalam bahagian pengeluaran, kos pengeluaran adalah lebih tinggi lantas produk yang dihasilkan juga lebih mahal.

Tidak hairanlah rata-rata motosikal Ducati (baharu) berharga lebih RM100,000 kecuali Monster dan Scrambler. 

  1. Reka bentuk yang sukar ditandingi 

Ducati memang dibina dengan satu elemen penting, menarik perhatian orang ramai tidak kira di mana sahaja. Sebagai contoh jika berada di BHP Karak, di antara lautan motosikal, Ducati tetap mencuri tumpuan.

Ini kerana setiap rekaan Ducati bukan hanya untuk tampak cantik malah menusuk sanubari setiap peminat dua roda.

Lihat sahaja Ducati Panigale V4 dan Streetfighter V4 terbaru, terbeliak mata bagi semua yang memandang.

Fakta setiap jentera Ducati dihasilkan di Itali juga antara menjadi daya penarik utama.

  1. Enjin Desmo yang cukup berkuasa

Jentera sportsbike, Ducati Panigale V4 R menghasilkan 218hp dan 112Nm pada manakala Streetfighter V4 menjana 208hp pada 12,750rpm.

Bayangkan, sebuah motosikal naked menawarkan kuasa seangkatan dengan segmen superbike?

Bukan itu sahaja, motosikal adventure, Multistrada V4 S terbaru menawarkan 170hp dan itu sudah cukup meletakkan motosikal tersebut seangkatan jentera ‘supersport’. 

Hakikatnya, tak kira model Ducati mana pun yang ditawarkan, masing-masing akan menghasilkan kuasa yang lebih tinggi berbanding pesaing lain

Ducati Panigale V4, V4 S model 2022 kini di Malaysia – harga dari RM146k

Hanya sebulan selepas membawa masuk enam model Ducati baharu ke pasaran Malaysia, Next Bike Sdn Bhd kini melancarkan pula model flagship jenama itu iaitu Ducati Panigale V4 dan V4 S.

Untuk tahun 2022, kedua-dua jentera berkenaan diberikan penambahbaikan menyeluruh yang merangkumi lima aspek utama iaitu aerodinamik, ergonomik, enjin, casis dan elektronik. Ini bagi menjadikan ia lebih pantas di litar dan juga lebih intuitif.

Ducati Panigale V4

Enjin Desmosedici Stradale bersesaran 1,103 cc kekal menjadi ‘nadi’ Panigale V4 dan V4 S namun dengan peningkatan seperti diameter silencer yang lebih besar dan mapping baharu, ia kini menghasilkan 215.5hp pada 13,000rpm, 1.5hp lebih tinggi berbanding sebelum ini. Tork pula adalah 123.6Nm pada 9,500 rpm.

Ducati turut mempertingkatkan kotak gear dengan nisbah gear satu, dua dan enam yang lebih panjang, menjadikan ia lebih sesuai untuk digunakan di litar lumba. Bukan itu sahaja, kelajuan maksimum turut bertambah sebanyak 5km/j.

Ohlins TTX36 pada Panigale V4 S

Panigale V4 S dilengkapi dengan fork elektronik Ohlins NPX 25/30, penyerap hentak Ohlins TTX36 dan peredam stereng Ohlins, manakala V4 mendapat Showa Big Piston Fork (BPF) boleh laras, serta monoshock dan peredam stereng keluaran Sachs.

Untuk elektronik, Panigale V4 dan V4 S didatangkan dengan Power Mode yang merangkumi empat konfigurasi enjin iaitu Full, High, Medium dan Low. Mod Full dan Low adalah baharu, manakala mod High dan Medium yang dibawa dari model terdahulu diberikan strategi yang telah dikemas kini.

Panel instrumen kini mempunyai paparan Track Evo, di mana tachometer diletakkan pada kedudukan paling atas dan posisi gear ditunjukkan di tengah-tengah skrin. Sistem elektronik dipaparkan pada bahagian kanan skrin, manakala jam randik, lap dan kelajuan pada bahagian kiri.

Penampilan agresif kedua-dua superbike ini diperhebatkan lagi dengan kehadiran sayap double-profile yang dikatakan boleh menjana downforce sebanyak 37kg pada kelajuan 300km/j. Selain itu, bahagian bawah fairing turut direka semula bagi membantu menyejukkan enjin dan Quickshifter.

Turut mendapat perhatian jurutera Ducati adalah aspek ergonomik. Tempat duduk yang lebih rata membolehkan penunggang bergerak dengan lebih mudah, manakala material balutan baharu mengurangkan kecenderungan penunggang untuk bergerak ke hadapan apabila membrek.

Sementara itu, tangki minyak mempunyai bentuk baharu bagi membolehkan penunggang menunggang pada kelajuan tinggi lebih lama.

Harga Panigale V4 dan V4 S masing-masing bermula dari RM145,900 dan RM188,900. Seperti model-model lain, kedua-dua jentera ini boleh dimiliki menerusi skim pembiayaan Ducati Corse Credit Financing yang menawarkan kadar faedah serendah 4.88% dan opsyen bayaran muka sebanyak 10%.

 

Ducati makin ‘mantul’, apa pula kejutan untuk 2022?

MEMPERKATAKAN tentang motosikal, sudah pasti Ducati antara jenama yang tidak boleh dilupakan atau diketepikan.

Syarikat asal Itali itu telah menghasilkan begitu banyak model motosikal yang boleh didapati hampir di setiap pasaran negara di dunia ini.

Kejayaan demi kejayaan ditempa Ducati boleh dilihat hasil angka jualan pelbagai jenis unit motosikal yang kian mendapat kepercayaan pengguna.

Foto ihsan Ducati

Tahun lalu, Ducati telah memasarkan lebih 59,447 unit jentera sekaligus mencatatkan peningkatan jualan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Persoalannya, apakah resepi kejayaan Ducati ini?

Jawapannya terdapat pada model Multistrada V4 yang boleh diibaratkan seperti ‘pisang goreng panas’.

Untuk rekod, Ducati telah menjual lebih 9,957 unit Multistrada V4 pada tahun lalu sahaja.

Rekod “super wow” pastinya menjadi kebanggaan Ducati kerana jelas terbukti pengguna sanggup berbelanja untuk memiliki model tersebut.

Foto ihsan Ducati Malaysia

Umum mengetahui, dua tahun kebelakangan ini ekonomi dunia tidak begitu stabil ekoran penularan pandemik pembunuh Covid-19 di serata dunia.

Hakikatnya, tahun lalu juga Ducati telah memecahkan rekodnya tersendiri dengan mencatat angka jualan motosikal terbaik.

Hal ini sudah pasti membakar semangat buat barisan keluarga Ducati untuk terus menghasilkan produk terbaik, tahun ini.

Tahun 2022, Ducati mengeluarkan lebih Sembilan model terdiri daripada segmen off-road DesertX dan Panigale V4 yang menjanjikan teknologi seakan MotoGP!

Jujur penulis akui tidak sabar untuk melihat perkembangan mantap ini…semoga industri permotoran terus kompetetif demi kepuasan pengguna!

Chiow!