Arkib Tag: pandu uji ringkas

BYD Seal 6 EV: Sedan elektrik ‘sporti’ mampu beli – pandu uji ringkas

Sporti.

Sekurang-kurangnya, itulah ciri yang cuba BYD ketengahkan untuk model sedan elektrik terbaharu BYD Seal 6 yang dilancarkan dua bulan lepas.

Dengan pakej harga yang berdaya saing (bermula dari RM100 ribu), BYD Seal 6 berjaya mencatatkan jualan lebih 100 unit hanya dalam tempoh minggu pertama selepas pelancaran.

Beberapa minggu yang lepas, kami dijemput oleh BYD Malaysia untuk sesi pandu uji ringkas menuju ke Janda Baik dan Genting Highlands untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan BYD Seal 6 varian Premium.

Berikut merupakan nota ringkas kami:

 

Dimensi dan bentuk

BYD Seal 6 diposisikan sebagai sebuah sedan segmen C, dengan ukuran yang jauh lebih besar berbanding model pesaing seperti Toyota Corolla dan Honda Civic.

Bentuk badan Seal 6 yang tidak begitu sporti berbanding model Seal yang lebih premium itu mengingatkan penulis pada model sedan elektrik buatan Mercedes, iaitu EQE dan EQS.

Namun, kelebihan yang nyata pada Seal 6 ialah kapasiti kargo sebesar 525 liter yang terdiri daripada ruang belakang sebesar 460 liter dan frunk 65 liter.

Selain itu, dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm menjadikan kabin Seal 6 dirasakan lebih luas dan selesa ditambah pula dengan struktur lantai belakang yang rata.

 

Prestasi atas jalan

Varian Premium yang kami pandu uji ini dibekalkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 330 Nm.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang yang ditala sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Pecutan yang diberikan agak linear dan tiada aksi kejutan yang mampu membuatkan leher pemandu terkehel.

Dengan kawalan pendikit yang baik, Seal 6 boleh mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa gangguan.

Talaan suspensi juga agak berkesan untuk mengurangkan gegaran dan ketidakrataan jalan daripada mengganggu kesejahteraan penumpang.

Walaupun ia hadir dengan tetapan RWD, Seal 6 tidak menunjukkan karakter yang sporti ketika dipandu sedikit agresif.

Ini kerana selain daripada talaan stereng Seal 6 tidak mengujakan penulis, sedan ini juga didatangkan dengan balutan getah pada keempat-empat sudut yang dirasakan kurang meyakinkan terutama di selekoh.

Kelebihan talaan suspensi yang disebutkan tadi itu juga lenyap tatkala Seal 6 dibawa naik ke atas Genting Highlands.

Di kebanyakan selekoh, sedan ini dirasakan agak membuai.

 

Pengalaman dalam kabin

Mungkin sedan ini kurang sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan berprestasi.

Tapi untuk kebanyakan lapisan pengguna, ia sudah lebih daripada memadai.

Tempat duduk balutan kulit sintetik itu cukup selesa dan memegang erat pemandu sepanjang masa, dan dimensi kusyen yang cukup menyokong bahagian bawah peha.

Tempat duduk belakang juga cukup luas dan selesa, ditambah dengan rekaan lantai yang rata. Aspek NVH juga tidak mengecewakan sepanjang perjalanan.

Susun atur papan pemuka yang minimalis itu menempatkan skrin tengah sebesar 12 inci yang tidak boleh diputar, namun menyumbatkan segala macam fungsi penting kenderaan.

Paling penting, ada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Itu perkara wajib yang patut ada pada mana-mana kereta moden.

Masih lagi terdapat beberapa butang fungsi fizikal pada konsol tengah, lengkap dengan tempat meletakkan peranti pintar dengan fungsi pengecasan tanpa wayar disertakan.

Mujur fungsi larasan cermin sisi masih lagi dikekalkan pada panel pintu.

Cuma sayang sekali, walaupun hadir dengan kelengkapan keselamatan yang canggih seperti AEB, FCW, LDW dan kamera 360 darjah, sedan ini tidak langsung mempunyai ciri pemantauan titik buta (BSM) walaupun untuk varian yang lebih tinggi.

 

Alternatif kepada sedan segmen C di luar sana?

Ya, dengan harga di bawah julat RM120 ribu BYD Seal 6 boleh jadi satu alternatif yang baik jika anda perlukan sebuah kereta sedan yang besar, selesa, moden.

Tambah pula jika anda kini terkesan kerana tidak lagi mendapat bantuan subsidi Budi95.

Apapun, tepuk dada, tanyalah selera. Seperti yang pernah kami tekankan sebelum ini, pandu uji terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Malaysia negara pertama terima kehadiran BYD Seal 6 2025, harga dari RM100k

Lima perkara anda perlu tahu tentang Lexus NX350h – pandu uji ringkas

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kecoh seantero laman media sosial tentang penawaran harga RON95 di bawah program subsidi yang diumumkan oleh kerajaan Madani.

Di zaman yang tidak menentu ini, sudah pasti ada di antara golongan yang lebih berkemampuan di luar sana tidak mahu terjejas dengan kenaikan harga bahan bakar.

EV bukanlah satu pilihan yang ideal untuk sesetengah pihak. Jadi apa pilihan yang ada di pasaran? 

Lexus NX350h yang baru sahaja diperkenalkan oleh Lexus Malaysia sejak beberapa bulan lepas.

Engear TV baru-baru ini dijemput untuk merasai pemanduan singkat SUV mewah berkuasa hibrid ini menuju ke negeri pelancongan terkenal di selatan tanah air.

Kami kemudian singgah di sebuah lokasi penginapan baharu yang digelar sebagai The Lisbon Melaka untuk menikmati hidangan fusion yang ditawarkan.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Rupa luaran

Secara fizikal, tidak banyak yang berubah untuk varian hibrid berbanding varian NX250 yang digantikannya itu.

Perkakasan standard termasuklah unit lampu projektor LED, lampu belakang LED berbentuk L, serta rim bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar 235/50.

 

2. Unit pacuan hibrid

Perubahan besar yang wujud kali ini ialah kehadiran unit pacuan hibrid.

Sistem hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter NA (A25A-FXS) dipadankan dengan dua motor elektrik, sistem pacuan semua roda E-Four dan transmisi CVT lapan nisbah kelajuan maya.

Secara keseluruhan, NX350h ini mampu menjana kuasa setinggi 243 hp dan 239 Nm dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter/100 km.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

3. Bagaimana pula dengan ruang kabin?

Ruang kabin NX350h juga masih kekal dengan susun atur standard NX yang dibayangi falsafah Tazuna.

Skrin tengah bersaiz 14 inci diposisikan supaya menghadap pemandu bagi memudahkan operasi penukaran menu/larasan suhu sepanjang perjalanan.

Malah, Lexus dengan baik hatinya masih lagi mengekalkan kehadiran tombol fizikal untuk penukaran mod pemanduan.

Sistem paparan keliling 360 darjah lengkap dengan pandangan ‘tembus’ lantai memudahkan pengendalian di kawasan yang sempit.

Pemandu juga ditemani dengan paparan peta Apple CarPlay tanpa wayar, serta alunan irama yang cukup mengasyikkan daripada sistem audio 10 pembesar suara yang lengkap dengan subwoofer bertenaga.

Selain penawaran warna hitam, pembeli juga boleh memilih kemasan warna merah Dark Rose seperti unit yang kami pandu ini.

Antara kemasan unik yang wujud pada panel pintu ialah tekstur 3D Cutting Black yang lebih menyerlah apabila berada di bawah sinaran mentari.

 

4. Pemanduan jimat minyak

Bagi kami, Lexus NX350h ini berada di posisi yang tepat untuk mereka yang masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV.

Dengan sistem hibrid yang cukup cekap, perjalanan jarak jauh boleh dibuat tanpa perlu membuat singgahan ke stesen minyak secara kerap.

Berdasarkan pemanduan ringkas, kami mendapati Lexus NX350h tidak segan silu untuk menguasai laluan kanan lebuh raya pada kelajuan yang stabil untuk dikawal, dalam masa yang sama tidak juga perlahan pecutannya.

Tambah pula bila masuk mod Sport, hamburan kuasa dirasakan lebih bertenaga untuk memalukan sedan segmen B yang acah-acah laju.

Dalam keadaan pemanduan yang cukup bersemangat pergi dan balik itu, Lexus NX350h mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.6 liter per 100 km. Jarak pemanduan tersisa berada pada julat 480 km.

Menariknya, SUV hibrid ini turut merekodkan kadar pemanduan sifar emisi lebih 50 peratus, sementara tolok bahan api mencatatkan penurunan sebanyak dua bar sahaja.

Mungkin dengan corak pemanduan yang lebih sopan dan santai, anda mampu mencapai bacaan jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh.

Satu kelebihan yang ditawarkan oleh Lexus NX350h ialah suasana kabin yang rasa premium dan senyap sepanjang perjalanan.

Bunyi enjin masih lagi wujud, namun lebih bersifat deruman berbanding ngauman.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Lexus NX350h ini dijual pada harga bermula dari RM395,888 dan hadir pada masa yang sangat tepat.

Terjejas dengan pelaksanaan subsidi minyak? SUV hibrid ini mungkin sesuai untuk anda!