Pertandingan Kemahiran Teknikal Omoda | Jaecoo yang julung kali diadakan meriah dengan penyertaan lebih 132 juruteknik daripada 48 pengedar di seluruh Malaysia.
Pusingan akhir pula menyaksikan hanya 10 orang finalis menunjukkan kemahiran masing-masing untuk merebut gelaran Juara Nasional yang disandang oleh Wong Sau Seng (Gagner Auto Sdn Bhd).
Wong akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat global yang akan berlangsung di China pada Oktober ini.Menurut Wong, kejayaan yang dikecapi itu hasil daripada sokongan padu daripada syarikatnya, serta bimbingan daripada pengurus dan atasan yang mendorongnya untuk terus memperbaiki diri.
“Ia merupakan satu penghormatan besar, dan saya berbangga dapat mewakili Malaysia di peringkat global untuk menunjukan kemahiran dan komitmen terhadap kecemerlangan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, gelaran Naib Juara pula dipegang oleh Ng Chen Ton (CarShen Sdn Bhd), dan Syasya Mazdiana binti Nor Azman (Anggerik Auto Sdn Bhd) di tangga ketiga.
Sebagai juruteknik wanita tunggal, Syasya Mazdiana merupakan bukti kepelbagaian dan kesaksamaan jantina di dalam jaringan Omoda | Jaecoo.
“Sebagai satu-satunya peserta wanita dalam pusingan akhir, ia merupakan satu penghormatan dan membuktikan wanita juga mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki di dalam bidang teknikal,” ujarnya.
Setiap peserta dinilai secara individu oleh panel hakim daripada pasukan teknikal Chery Malaysia berdasarkan penilaian teori (30 peratus) dan ujian praktikal (70 peratus) yang turut merangkumi penyelesaian masalah sebenar, kualiti pembaikan dan kecekapan.
Emily Lek, Naib Presiden Omoda | Jaecoo Malaysia berkata, “semangat yang ditunjukkan dalam pertandingan ini mencerminkan budaya kecemerlangan kami dan keprihatinan tulen kami terhadap pelanggan sepanjang pemilikan.
“Kami percaya matlamat bersama untuk menegakkan standard teknikal bertaraf dunia dan kepuasan pelanggan itu yang memacu kejayaan jenama untuk jangka panjang di Malaysia,” ujarnya lagi.
Chery International Group kini merupakan pengeluar kereta China nombor satu yang mengeksport lebih lima juta unit kenderaan ke seluruh dunia.
Pencapaian tersebut sekaligus mengekalkan Chery di kedudukan nombor satu dalam eksport kereta penumpang untuk 22 tahun berturut-turut.
Pada Julai 2025, Chery turut mencatatkan pencapaian bersejarah “Double 500” di mana syarikat tersebut muncul sebagai pengeluar paling pantas berkembang dalam senarai Fortune Global 500 dan Fortune China 500 untuk tahun kedua berturut-turut.
Chery kini berada di kedudukan yang ke-233 di peringkat global (naik daripada kedudukan ke-385 tahun 2024), dan di tangga ke-59 di China (naik dari kedudukan ke-100 tahun 2024).
Pencapaian tersebut banyak disumbangkan oleh Omoda | Jaecoo yang kini sudah menembusi 44 pasaran di seluruh ASEAN, Australia, Eropah dan Amerika Selatan.
Dalam tempoh masa dua tahun, Omoda | Jaecoo memegang 37 peratus di dalam jumlah eksport keseluruhan Chery, dengan jumlah jualan terkumpul melebihi 570,000 unit.
Didorong oleh asas teknologi yang kukuh termasuklah pengenalan Super Hybrid System (SHS), Omoda | Jaecoo turut memperlihatkan prestasi cemerlang dalam kategori kenderaan tenaga baharu (NEV).
Ini dibuktikan dengan jualan model NEV sebanyak 13,023 unit untuk tempoh suku pertama 2025 (Q1 2025) berbanding 2,325 unit untuk tempoh yang sama tahun 2024, atau peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 460 peratus.
Malah dalam tempoh separuh pertama 2025 (H1 2025), 40 peratus daripada jumlah eksport terdiri daripada NEV.
Di Malaysia, Omoda | Jaecoo mencatatkan jualan melebihi 17,000 unit kenderaan sejak model pertama Jaecoo J7 debut pada Julai 2024, diikuti Omoda C9 (Disember 2024), J7 PHEV (Februari 2025) dan Jaecoo J8 (Julai 2025).
Berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Omoda | Jaecoo mengekalkan kedudukannya di dalam kelompok lima jenama automotif teratas di Malaysia untuk tempoh H1 2025.
Setelah lebih setahun sejak pertama kali dipertontonkan, Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV kedua mereka, iaitu Jaecoo J8 pada bulan lepas.
Masih lagi dengan tema off-road, namun Jaecoo J8 membawakan imej yang lebih elegan dan mewah berbanding adiknya J7.
Malah semasa pelancaran, J8 ini disifatkan sebagai sebuah kenderaan lasak dengan pengalaman penumpang kelas pertama.
Untuk membuktikan kemampuan sebenar SUV ini di laluan yang lebih mencabar, pihak Omoda | Jaecoo Malaysia menganjurkan satu sesi pengalaman pemanduan off-road bertempat di Sepang Bay 13.
Terdapat beberapa halangan yang disediakan, dimulakan dengan seksyen Rock Crawl, Side Slope dengan curam bersudut 30 darjah, Log Run yang mensimulasikan laluan atas kayu balak, serta seksyen Water Wading.
Cuaca yang hujan sejak awal pagi menyediakan permukaan laluan yang lebih mencabar berbanding hari sebelumnya.
Biarpun hanya dilengkapi dengan tayar standard Michelin e-Premacy, tidak menjadi masalah besar bagi Jaecoo J8 ini untuk meredah cabaran yang disebutkan tadi.
Jadi, apakah rahsia yang membuatkan Jaecoo J8 ini tidak membuatkan pemandu berpeluh-peluh?
1. Enjin yang bertenaga
Nadi empat silinder sebaris 2.0L turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 249 PS dan 385 Nm itu tidak memerlukan sela masa yang agak lama untuk bertindak.
Hanya perlukan kawalan pendikit yang konsisten, SUV ini berjaya meredah kesemua seksyen cabaran yang diberikan.
Paling penting, sukar untuk kami rasakan gelinciran tayar berlaku melihatkan kepada kecekapan sistem yang ditawarkan.
2. Sistem AWD dengan Torque Vectoring Control
Untuk cabaran kali ini, kami diberikan peluang memandu Jaecoo J8 versi AWD yang turut dilengkapi dengan fungsi Dynamic Torque Vectoring Control.
Menurut Jaecoo, sistem AWD ini mempunyai tetapan dua klac yang dapat mengagihkan daya kilas secara bebas, membolehkan kuasa enjin dihantar 100 peratus kepada roda belakang yang mempunyai tahap cengkaman yang lebih baik.
3. Suspensi adaptif CDC
Secara standard, Jaecoo J8 dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.
Ia turut dibantu dengan ciri CDC, atau nama penuhnya Continuous Damping Control.
Ciri CDC ini akan melaraskan tetapan redaman suspensi sepantas 0.002 saat bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan semasa.
Terdapat tiga tahap iaitu Soft, Medium dan Hard.
Apa yang kami perasan, ruang kabin ternyata tidak menghasilkan gegaran dan bunyi bising yang ketara akibat hentakan permukaan jalan yang tidak rata, terutama ketika meredah seksyen Rock Crawl.
Rasa macam tiada apa-apa yang berlaku di dalam kabin walaupun pada hakikatnya di luar kami melihat sendiri casis Jaecoo J8 sedang beroleng dan meloncat cuba melepasi laluan berbatu yang agak besar itu.
Pemandu masih lagi boleh mengawal kenderaan dengan tenang, yakin dan lancar, dalam masa yang sama aspek keselesaan tidak dikorbankan.
4. Senjata ampuh untuk redah banjir kilat di ibu kota
Jaecoo J8 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, boleh dikatakan biasa-biasa sahaja berbanding SUV off-road lain.
Namun, dengan berkeupayaan untuk meredah air pada kedalaman sehingga 450 mm, ia merupakan satu ciri yang sangat berguna untuk rakyat Malaysia sekali sekala menempuh laluan banjir kilat di ibu kota.
Atau mungkin sekali terpaksa menempuh jalan kampung pedalaman untuk menyelesaikan tugas di sana.
Atau sekali sekala jika anda mahu merehatkan minda di kawasan perkhemahan yang rata-rata jauh dari akses jalan utama, dengan permukaan jalan yang tidak begitu manis dipandang mata.
Kesimpulan
Anda kini tidak perlu berbelanja besar sampai RM400k-RM500k untuk menikmati pengalaman off-road yang menyeronokkan.
Cukup dengan bajet cuma bermula dari RM198,800 untuk versi AWD, anda akan dapat merasai sendiri sebuah pakej SUV urban premium yang cukup bergaya dan selesa.
Dalam masa yang sama, ia juga menawarkan keyakinan untuk menawan apa jua bentuk permukaan bumi yang perlu ditempuh.
Tidak ada pengalaman off-road? Usah risau, kerana dengan teknologi moden yang disebutkan tadi anda sebenarnya boleh mengendalikan pemanduan Jaecoo J8 ini dengan baik.
Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan SUV premium Jaecoo J8 2025 membawakan slogan “Pengembaraan Lasak Kelas Pertama”.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Konfigurasi tempat duduk
Untuk pasaran Malaysia, Jaecoo J8 boleh didapati dalam versi pacuan roda depan (2WD) dengan tetapan dua baris atau lima tempat duduk.
Versi paling premium pula merupakan varian pacuan semua roda (AWD) dengan tetapan tiga baris tempat duduk dengan konfigurasi 2+2+2.
2. Dimensi
Jaecoo J8 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,820 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,699 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm.
Ruang kargo adalah sebesar 738 liter, atau 200 liter untuk versi AWD.
3. Kuasa
SUV ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo, menghasilkan 249 PS dan 385 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat manakala varian AWD pula mengambil masa 9.0 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.
Kadar penggunaan bahan api adalah serendah 7.8 liter/100 km untuk versi 2WD, dan 8.1 liter/100 km untuk varian AWD.
Tiga mod pemanduan tersedia iaitu Eco, Normal dan Sport, sementara varian AWD pula mendapat tiga mod tambahan iaitu Mud, Sand dan Off-road.
4. Suspensi
SUV ini dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan tetapan multi-link di belakang.
Aspek pemanduan dibantu dengan ciri Continuous Damping Control (CDC) yang dikhususkan untuk varian AWD, selain keupayaan untuk mengharung air sedalam 450 mm.
Selain itu, varian AWD juga hadir dengan ciri vektor tork pintar untuk memastikan cengkaman yang stabil untuk apa jua permukaan.
5. Kelengkapan
Ciri luaran termasuklah sistem pencahayaan LED penuh, rim aloi 20 inci, pemegang pintu tertanam, struktur jeriji gaya air terjun, serta rekaan bumbung terapung.
Untuk ruang kabin pula, ia didatangkan dengan dua skrin lebar bersaiz 12.3 inci, skrin paparan head-up (HUD), sokongan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu ambien 256 warna, pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W, serta sistem audio premium 12 pembesar suara (atau 14 pembesar suara untuk versi AWD) serta sistem kamera 540 darjah.
Versi AWD pula mendapat ciri eksklusif seperti kerusi Ratu untuk penumpang hadapan, sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara, 10 beg udara, sistem pewangi automatik, 10 beg udara, sistem kunci berasaskan NFC, serta ciri pemanas, pengudaraan, urutan dan memori (HVMM) untuk pemandu, penumpang hadapan dan penumpang baris kedua.
6. Keselamatan
Varian 2WD dilengkapi dengan enam beg udara serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), manakala varian AWD pula mendapat sehingga 10 beg udara.
Kelengkapan ADAS 2.5 turut dimuatkan pada Jaecoo J8, merangkumi fungsi seperti Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Pemantauan Pemandu (DMS), Bantuan Penukaran Lorong (LCA), Brek Kecemasan Automatik (AEB), Pemantauan Jarak Hadapan (FDM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), serta ciri Bantuan Parkir Automatik untuk varian AWD.
7. Harga
Jaecoo J8 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Shah Alam dengan harga jualan bermula dari RM178,800 untuk versi 2WD, dan mencecah sehingga RM198,800 untuk versi AWD.
Untuk tempahan sebelum 21 Julai, setiap pelanggan akan menerima pakej menarik berupa jaminan enjin selama 10 tahun tanpa had perbatuan, perlindungan insurans percuma satu tahun percuma dan pakej eksklusif pengalaman off-road selama satu tahun.
Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan gudang simpanan alat ganti baharu bagi menyokong pertumbuhan jumlah pelanggan dan jaringan pengedarnya di Malaysia.
Gudang simpanan yang terletak di Hicom Industrial Estate Shah Alam itu dimiliki dan dikendalikan oleh Chery Corporate Malaysia.
Fasiliti berkeluasan sehingga 88,000 kaki persegi itu kini memuatkan sehingga 10,000 komponen dan alat ganti untuk semua model Omoda | Jaecoo di Malaysia.
Difahamkan, stok alat ganti bagi model jenama iCAUR juga turut disimpan di gudang tersebut sebagai persediaan awal menjelang pelancaran model sulung iCAUR 03 yang dijangka berlangsung pada suku ketiga 2025 (Q3 2025).
Emily Lek selaku naib presiden Omoda | Jaecoo Malaysia berkata, “Sedang kami menakrikan semula kemewahan yang mudah dicapai, pengalaman pelanggan kekal sebagai fokus utama misi Omoda | Jaecoo Malaysia.
“Adalah penting bagi jaringan pengedar kami dapat menyokong keperluan selepas jualan secara dinamik bagi pengkalan pelanggan kami yang semakin meningkat.
“Gudang baharu ini akan membantu pertumbuhan jenama Omoda | Jaecoo di pasaran Malaysia, selain menyokong perniagaan eksport yang semakin berkembang di rantau ASEAN,” jelasnya lagi.
Omoda | Jaecoo Malaysia kini mempunyai 45 buah pengedar di seluruh negara yang merangkumi aspek jualan dan sokongan selepas jualan.
Sementara itu, iCAUR mengumumkan 11 rakan pengedar baharu dengan perancangan untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar di seluruh Malaysia.
Jaecoo Malaysia meraikan ulang tahun pertamanya di Malaysia Autoshow 2025 dengan memperkenalkan imej jenama baharu.
Kini, jenama itu lebih dikenali sebagai Omoda | Jaecoo sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyeragamkan kembali portfolio produk mereka.
Langkah ini juga selari dengan strategi yang telah dipraktikkan oleh Chery di peringkat global.
Menurut Emily Lek selaku Naib Presiden Omoda | Jaecoo Malaysia, “Sebagai sebuah jenama dinamik yang memahami kecenderungan dan keperluan pengguna, kami bertekad untuk menambah baik cara orang ramai menikmati pengalaman bersama jenama ini.
“Dengan barisan kenderaan canggih dan berprestasi tinggi, kami berusaha membawakan pengalaman gaya hidup yang diperibadikan khas untuk pengguna selaku jenama SUV kegunaan lasak premium di Malaysia,” jelasnya lagi.
Di Malaysia, Omoda | Jaecoo berjaya mencatatkan pendaftaran berjumlah lebih 12,000 unit, selain mempunyai rangkaian 45 buah pengedar sah di seluruh negara.
Di Malaysia Autoshow 2025, Omoda | Jaecoo memperlihatkan sebuah crossover kompak Omoda C7.
Tiada sebarang perincian spesifikasi didedahkan buat masa ini, namun besar kemungkinan C7 ini merupakan varian petrol berdasarkan kehadiran penutup tangki tunggal pada bahagian sisi.
Di pasaran luar, C7 turut hadir dalam varian PHEV, dengan enjin 1.5 liter turbo 154 hp/22- Nm yang dipadankan dengan motor elektrik, serta jarak gerak sifar emisi sejauh 95 km.
Secara keseluruhan, C7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,250 km dengan kadar penggunaan bahan api serendah 4.98 liter untuk setiap 100 km.
Mula diperkenalkan di Auto Shanghai 2023, jenama muda Omoda & Jaecoo ini telah berjaya meraih kepercayaan lebih 500,000 orang pengguna di seluruh dunia dengan rekaan barisan crossover yang berjaya memikat komuniti segmen gaya hidup.
Ia merupakan satu pencapaian yang mengkagumkan untuk sebuah jenama yang baru sahaja dua tahun bertapak.
Selain daripada itu, jenama itu juga telah berjaya memasuki 42 buah negara dengan lebih 1,300 pusat pameran telah didirikan di peringkat global serta meraih lebih tujuh juga pengikut di pelbagai platform digital.
Bergerak ke depan, Omoda & Jaecoo akan menumpukan perhatian kepada teknologi Super Hybrid System (SHS) yang diterajui oleh Jaecoo J7 PHEV.
Dengan kombinasi enjin hibrid 1.5TGDI DHE (Dedicated Hybrid Engine) generasi kelima dan transmisi hibrid DHT, SHS mampu menawarkan jarak gerak keseluruhan sehingga 1,200 km.
Kecekapan SHS terbukti menerusi beberapa ujian pemanduan jarak jauh yang telah dijalankan sebelum ini merentas tiga negara (Singapura, Malaysia, Thailand) dengan rekod 1,427.5 km, Filipina (1,488.8 km) dan Mexico (1,613.1 km).
Bersempena dengan ulang tahun yang kedua, Omoda & Jaecoo turut memperlihatkan beberapa buah model baharu termasuklah Omoda C7 dan juga Omoda C3 di Auto Shanghai 2025.
Berikut merupakan info ringkas bagi kedua-dua model tersebut:
Omoda C7
– SUV segmen C
– dimensi lebih besar berbanding Omoda 5, namun lebih kecil berbanding Omoda C9
– unit rangkaian kuasa Super Hybrid System (SHS) yang sama digunakan pada Jaecoo J7 PHEV
– enjin 1.5 liter turbo (156 PS/220 Nm) dipadankan dengan motor elektrik 204 PS/310 Nm
– kuasa keseluruhan 360 PS/530 Nm
– jarak gerak keseluruhan boleh cecah 1,475 km
– skrin infohibur 15.6 inci yang boleh dialihkan kedudukan
Omoda C3
– SUV segmen B
– rekaan dan garis geometri badan yang diinspirasikan daripada kapal angkasa futuristik
– rekaan kabin ‘Starship Cockpit’
– bakal dilancarkan di peringkat global pada bulan Oktober 2025